Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi di atas kurniaan-Nya kerana mengizinkan saya sekali lagi pada hari ini menghirup udara-Nya sehingga hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW di atas pengorbanan Baginda dan para sahabat memperjuangkan Islam sehingga kita dapat merasainya sehingga kini.
Hari ini, genaplah 22 tahun saya menghirup oksigen-Nya. Banyak pengalaman pahit, manis, suka, duka, pelik dan misteri yang dialami. Sorotan kenangan 2011 menjadikan saya dapat menambah ilmu dan pengalaman.
Bermula daripada Januari, mak saya berpindah ke Sandakan di atas kenaikan pangkatnya sebagai CC. Saya pula berada di alam ijazah yang menempatkan saya sebagai pelajar UiTM Bandaraya Melaka awal tahun ini.
Pada pertengahan Mac, pemergian allahyarham moyang saya – Haji Ismail Haji Isa. Allahyarham meninggal akibat sakit tua ketika berumur 92 tahun. Pemergiannya menjadikan hari raya kami sekeluarga menjadi tidak semeriah seperti dulu kerana bila Aidilfitri rumahnya menjadi tumpuan sanak saudara datang bertandang. Apa pun, yang muda akan PERGI, yang tua pasti PERGI.
Penghujung April bermulalah Final Exam saya sebagai seorang pelajar UiTM. Agak mendebarkan kerana kesemua exam adalah dalam masa 3 jam. Tidak tahu hendak menjawab, pakai hentam keromo sahaja. Tapi, alhamdulillah keputusannya memberangsangkan.
Bulan Mei menyaksikan saya baru sahaja membeli laptop baru akibat penyakit yang dihidapi oleh laptop lama. Pertengahan Mei pula, saya mengambil penyertaan dalam perkhemahan HaluanSiswa di Tanjung Malim.
Masuk sahaja Jun, saya pergi bercuti di rumah mak saya di Sandakan. Selama hampir 3 bulan di sana. Banyak pengalaman yang saya dapat bila berada di sana. Terutamanya dari segi budaya.
Bulan Ogos saya pulang ke Negeri Sembilan untuk menyambut Aidilfitri. Aidilfitri disambut seperti biasa. September pula saya masuk ke semester baru iaitu semester 3. Kawan-kawan berubah kerana saya telah ditukarkan ke kelas lain akibat penyusunan semula oleh UiTM.
Pada Oktober, panggilan haji kepada Nenek, Pak Tih & Mak Tih, Pak Ndak & Mak Ndak tiba. Mereka pergi menunaikan rukun Islam ke-5 itu dengan tenang. Mereka pulang pada awal November.
Pada Disember pula, saya lebih suka memerhatikan keadaan sekeliling. Dengan politik yang menegang, ekonomi dunia turun naik, sosial masyarakat menjadi-jadi, namun program-program agama banyak diadakan. Alhamdulillah.
30/12/2011 Penulis genap 22 tahun |
AZAM TAHUN BARU @ AZAM UMUR BARU?
Bercakap mengenai azam, sudah banyak azam yang saya azamkan. Azam tahun ini pun tidak terlaksana lagi. Kalau ada pun, secara on-off. Namun, tidak salah saya merasakan kita meletakkan niat untuk melakukan perkara baik di hari esok di samping tidak melupakan muhasabah diri mengenai apa yang telah kita lakukan dan apa kita telah sumbangkan pada tahun ini mahupun tahun sebelumnya.
Kalau dari segi pelajaran, saya suka menangguhkan kerja dan malas berjumpa lecturer. Ini akan saya cuba ubahkan mulai saat ini. Sudut ibadah pula, suka meringankan perkara sunat dan makruh. Sudut da’wah pula, malas hendak membaca buku-buku fikrah. Sedangkan saya sudah diajar untuk meletakkan target sepanjang bulan untuk mengukur prestasi diri masing-masing. Namun, saya mengambil remeh perkara tersebut. Ini juga akan saya usahakan.
Dari segi kewangan, habis bercelaru. Finance student fail to manage their Financial Planning? – Embarrassing –
Dengan sedikit kekuatan yang ada dalam diri, insyaAllah saya akan cuba mengurusnya dengan lebih baik. Moga Allah permudahkan.
PERTINGKATKAN IMAN, MENGAWAL HAWA NAFSU
Tulis memang senang. Dah ada dalam situasi tertentu, halal haram dipandang sepi. Bagi saya, kalau kita hendak meningkatkan iman, sibukkan diri dengan perkara berfaedah. Sibukkan diri sampai letih. Letih itu akan mempersempitkan masa kita untuk merancang aktiviti maksiat dan mungkar yang terlintas di fikiran dan terdetik di hati.
Teringat pesan kawan saya – Dalam dunia ini, ada 2 perkara. Kalau bukan Islam, ianya Jahiliah dan sebaliknya – Ya. Saya setuju. Kalau kita tidak menyibukkan diri dalam perkara yang berkaitan Islam, nescaya kita akan diburu oleh perkara Jahiliah. Hawa nafsu sentiasa menunggu kita alpa lalu merentap masa kita untuk diisi dengannya.
MEMPERBAIKI AKHLAK
Akhlak menurut pemahaman saya adalah satu perbuatan yang mana ianya bukan dibuat-buat. Ianay terjemahan spontan apa yang ada dalam diri. Kita sering tengok orang melatah atau mengkritik seseorang. Lihat pada apa yang terpacul dari mulut mereka. Daripada situ, kita dapat tahu tinggi atau rendahnya akhlak seseorang itu. Memang ianya tidak menggambarkan keseluruhan peribadi seseorang itu, namun kita dapat tahu sedikit akhlak mereka dari segi perkataan yang dituturkan, tidak begitu?
Bergaul berlainan jantina ada akhlaknya. Bergurau dengan rakan dan sahabat ada akhlaknya, Bersemangat dalam politik ada akhlaknya. Malah dalam berhibur pun ada akhlaknya. Lihat indahnya Islam. Hikmahnya mencakupi keseluruhan hidup penganutnya. Namun, itu yang menjadi masalah bagi saya. Saya tidak berjaya mengaplikasikannya dalam hidup. Namun, tiada salahnya berusaha untuk memperbaiki. Saya cuma risau dengan fenomena tempangnya satu-satu da’wah itu kerana ketempangan akhlak yang dimiliki oleh penyebar-penyebar risalah Islam.
HARAPAN HANYA TINGGAL HARAPAN
Ya. Itulah ungkapan yang kita sering dengar. Tanpa usaha, ianya menjadi seperti angan-angan Mat Jenin. Saya berdoa supaya Allah mempermudahkan dan menguatkan saya dan kalian untuk mencapai apa yang diharapkan.Semoga hidup saya dan kalian lebih baik dari semalam, lebih baik dari tahun-tahun lepas. Apa yang kita harapakan? Menjadi lebih matang. Ya. Lebih matang. InsyaAllah.
Ya Allah, bantulah hamba-hambaMu ini.
– Wassalam –
Rembau
4 Safar 1433H
Read more...