Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Friday, August 23, 2013

Hadiah Ingatan Baginda SAW

Seperti mana yang kita tahu, Rasulullah SAW mahukan daripada umatnya supaya peka dalam menambah koleksi pahala selepas puasa Ramadhan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.

Berpuasa enam hari di bulan Syawal ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu begitu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa.




Sekiranya kita melakukan 30 hari puasa Ramadhan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari menjadikan ia bagaikan 360 hari yang bersamaan dengan satu tahun berpuasa.

Ia disandarkan kepada sabda Baginda SAW yang bermaksud:- “ Sesiapa berpuasa di bulan Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.” – Riwayat Muslim & Imam Ahmad –




Inilah yang dikatakan ingatan Nabi SAW terhadap umatnya, begitu juga dengan peringkat awal kefardhuan solat pada malam Mi’raj ke langit, Nabi SAW kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu solat hingga bermohon ke hadrat Allah SWT agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun masih ada dalam kalangan umat Islam yang tidak melakukan lima waktu secukupnya.

Adakah tindakan manusia hari ini membolehkan kita semua mendapat syafaat Baginda SAW pada hari kiamat? Tepuk dada, tanya iman.


Adaptasi :- Harakah


Rembau
17 Syawal 1434H



Read more...

Saturday, May 25, 2013

Bapa Kucing

Mari kita selusuri profail salah seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Hurairah:-
  • Nama sebenar beliau sebelum Islam ialah Abd Syams Bin Sakhr, dan Rasulullah SAW menukarnya kepada Abdur Rahman setelah memeluk Islam.
  • Gelaran beliau ialah Abu Hurairah ( Bapa Kucing ) kerana beliau mempunyai seekor kucing yang selalu bermain dengannya.
  • Beliau berasal daripada kabilah Daus.


  • Memeluk Islam pada Muharam tahun ke-7H. Sejak itu, beliau menjadi orang yang rapat dengan Rasulullah SAW.
  • Salah seorang sahabat yang alim. Sahabat lain yang meriwayatkan hadith daripadanya adalah Aisyah, Abu Ayyub Al-Ansari, Abdulah Bin Abas, Zaid Bin Thabit dan ramai lagi.
  • Wafat pada tahun 57H di Madinah Al-Munawwarah,

Adaptasi :- Gen-Q 20

Rembau
15 Rejab 1434H

Read more...

Saturday, May 11, 2013

Berani

Pada suatu malam yang hening, satu pasukan telah ditugaskan untuk membunuh sekujur insan mulia di dalam sebuah rumah yang kecil. Mereka sudah bersiap untuk menyerang pada bila-bila masa sahaja. Mereka menunggu arahan. Tiba-tiba, mata mereka teramat mengantuk. Tiada sesiapa yang boleh rasa mengantuk yang menyerang itu.

Salah seorang daripada pasukan itu adalah syaitan yang menyelinap & menyamar, juga tertidur dan tidak sedarkan diri. Beberapa lama kemudiannya, pasukan itu bangun terpinga-pinga menuju ke rumah sasaran mereka.

Mereka terus meluru masuk ke gerabak rumah yang dituju dan melihat sekujur badan sedang tidur di atas lantai.

Sebelum mengangkat pedang menikam insan yang berselimut itu, mereka sempat menarik selimut itu dan jelas terlihat, insan yang tidur di pembaringan bukanlah Muhammad SAW tetapi adalah Ali RA.




Dengan beraninya, Saidina Ali RA menghalau rombongan penjahat tersebut. Dengan bercampur perasaan marah dan malu, rombongan itu pulang dengan kegagalan. Kecintaan Saidina Ali RA yang luar biasa terhadap Baginda SAW mendorong beliau sanggup berkorban menggantikan tempat tidur Baginda SAW.




Lihatlah keberanian remaja Islam yang lahir hasil tarbiah Rasulullah SAW. Berani dan sanggup berkorban demi da'wah!


Adaptasi:- Gen-Q19

Rembau
1 Rejab 1434H


Read more...

Sunday, February 3, 2013

Fikirkanlah!!

Mari kita selusuri sirah nabawiyyah mengenai mereka yang merupakan 10 orang sahabat yang dijanjikan akan masuk syurga oleh Nabi SAW:-


SAIDINA ABU BAKAR ASH-SHIDDIQ R.A

  • Khalifah pertama setelah Nabi SAW wafat
  • Juga merupakan laki-laki pertama yang masuk Islam
  • Abu Bakar wafat dalam usia 63 tahun ( 13 hijriah ) dan dimakamkan di Madinah bersebelahan dengan makam Rasulullah SAW


SAIDINA  'UMAR BIN KHATTAB R.A

  • Adalah khalifah kedua
  • Sebelum masuk Islam, beliau dikenal sebagai seorang yang gagah perkasa dan sering mabuk.
  • Wafat setelah dibunuh Abu Lukluk saat hendak memimpin solat (23 H/644 M) dan dimakamkan berdekatan dengan Abu Bakar dan Rasulullah.


SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN R.A

  • Khalifah Islam ketiga
  • Mendapat gelaran Dzun Nur 'Ain ( pemilik dua cahaya ) kerana  menikahi dua putri Nabi SAW; Ruqqayah dan Ummu Kultsum
  • Wafat pada tahun 35H atau 655M


SAIDINA 'ALI BIN ABI THALIB R.A

  • Khalifah keempat dan terkenal dengan siasat perang dan ilmu pengetahuan yang tinggi
  • Orang yang pertama masuk Islam dari golongan anak-anak dan terkenal kerana sangat berani, ahli siasat perang, dan cerdas
  • Wafat pada tahun 40 Hijrah, setelah ditikam oleh Abdurrahman bin Muljam dengan pedang yang beracun setelah solat subuh dalam usia 63 tahun


 THALHAH BIN ABDULLAH R.A

  • Dikenali sebagai salah seorang konsultan Rasulullah SAW yang berasal daripada suku Quraisy
  • Didalam perang Uhud, beliaulah yang mempertahankan Rasulullah SAW supaya terhindar dari mata pedang musuh, sehingga putus jari-jari beliau
  • Wafat pada 36 H atau 656 M ketika mengikuti perang Jamal



ZUBEIR BIN AWWAM R.A

  • Termasuk golongan yang pertama masuk Islam ketika berumur 15 tahun
  • Tidak pernah tertinggal dalam berbagai pertempuran bersama kaum muslimin
  • Ditikam ketika sedang menghadap AllahSWT dan wafat pada tahun 36H atau 656M


SA'AD BIN ABI WAQQAS R.A

  • Memeluk Islam saat berusia 17 tahun
  • Sangat mahir menunggang kuda dan memanah
  • Wafat pada usia 70 tahun (55H atau 676M) dan di makamkan di tanah Baqi'


SA'ID BIN ZAID R.A

  • Masuk Islam bersama-sama isterinya, Fathimah binti al-Khattab, adik perempuan Saidina 'Umar bin Khattab
  • Bersama kaum muslimin menjatuhkan dan meruntuhkan pemerintahan Kisra Persia
  • Wafat dalam usia 70 tahun (51H atau 671M) dan di makamkan di Baqi' Madinah.


'ABDURRAHMAN BIN 'AUF R.A

  • Termasuk tujuh orang yang pertama masuk Islam
  • Tak kurang dari 40.000 dirham perak, 40.000 dirham emas, 500 kuda perang, dan 1.500 ekor unta beliau sumbangkan untuk perjuangan Islam
  • Beliau wafat pada umur 72 tahun(32H atau 652M) di Baqi


ABU 'UBAIDAH BIN JARRAH R.A

  • Masuk Islam melalui perantara Saidina Abu Bakar As-Siddiq pada awal kerasulan nabi Muhammad SAW
  • Beberapa kali dipercayai Rasul SAW memimpin peperangan
  • Wafat pada tahun 18H atau 639M



Lihatlah wahai pembaca sekalian. Ramai daripada sahabat Rasul SAW yang pada dahulunya tidak mengenal Islam dan mengamalkan cara hidup jahiliyyah. Namun, apabila masuk Islam, mereka dimuliakan Baginda SAW kerana istiqamah dalam melakukan ibadah dan jihad sehinggakan ada dalam kalangan mereka diangkat sebagai khalifah.

Cuba kita kaitkan dengan masa sekarang. Ramai daripada kita yang ingin berubah, tetapi merasa tidak layak kerana menganggap masa lampau kita yang hitam sebagai penghalang untuk melakukan kebaikan. Sedangkan Allah SWT itu Maha Pengampun dan menerima taubat daripada hamba-hambaNya. Tidak begitu?

Fikirkanlah!!


Adaptasi:- Blog Tarbawi


Rembau
22 Rabi'ul Awwal 1434H


Read more...

Wednesday, September 19, 2012

SA’D BIN MALIK BIN SINAN AL-KHUDRI AL-ANSARI

Nama sebenar beliau ialah Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudri al-Ansari, dipanggil Abu Sa’id.

Bapanya syahid dalam peperangan Uhud.

Lahir 10 tahun sebelum Hijrah.

Antara para sahabat yang alim dan banyak menghafaz hadith Rasulullah SAW iaitu sebanyak 1170 hadith.




Selain Rasulullah SAW, beliau turut meriwayatkan hadith daripada ramai orang seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya juga ramai, antaranya ialah Ibn Abbas dan Ibn Umar.

Sempat bersama Rasulullah SAW dalam 12 peperangan, dengan peperangan Khandaq adalah peperangan yang mula-mula disertainya bersama Baginda SAW.

Wafat pada tahun ke-74 Hijrah di Madinah.

Adaptasi:- Gen-Q 13


UiTM Bandaraya Melaka
3 Zulkaedah 1433H


Read more...

Sunday, August 12, 2012

Badar Kubra

Kali ini mari kita singkap kembali sirah nabawiyyah ini secara bersama. Penulis mendapat perkongsian ini melalui khutbah Jumaat pada 3 Julai 2012.

Secara umumnya, ianya berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah. Dimulakan cerita, terdapat segolongan manusia daripada kafilah ( rombongan perniagaan ) Abu Sufian dari Syam yang membawa barang perdagangan yang mana akan diambil barangnya itu oleh Rasulullah SAW kerana sebagai bahan gentian kepada orang Islam yang diambilnya dahulu.

Kafilah Abu Sufian ini terlepas daripada sekatan Rasulullah SAW. Oleh kerana mereka hendak sampai di destinasinya, mereka memberitahu mahu membuat pesta minum arak untuk menguar-uarkan kedatangan mereka berjaya masuk ke bandar itu.

Rasulullah SAW berasa murka lalu menyusun saf ketenteraan dengan rapi dan bergantung kepada Allah SWT.

Saidina Hamzah RA & Saidina Ali berperang dengan golongan tersebut di antaranya ialah Utbah bin Rabiah.

Dengan jumlah tentera Muslimin yang sedikit, maka Allah SWT memperkenankan doa Rasulullah SAW dengan menghantar malaikat yang berduyun-duyun.

Dalam perang itu menyaksikan pembunuhan Abu Jahal dan kepalanya di bawa kepada Rasulullah SAW.

Penduduk Madinah menyambut berita itu dengan gembira.




Pengajaran daripada sirah ini:-
  • Islam yang kita nikmati ini adalah hasil perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat RA
  • Sistem Syura membuktikan ianya penting dalam asas politik Islam.
  • Strategi yang betul memudahkan perjalanan sesuatu perkara.
  • Yakin kepada Allah SWT akan member kemenangan kepada perjuangan Islam


Masjid Tanah, Chembong, Rembau
23 Ramadhan 1433H


Read more...

Sunday, July 29, 2012

Ibrah Dari Badar

Kali ini saya hendak berkongsi dengan pembaca mengenai isi kandungan dalam khutbah Jumaat. Tajuk khutbah pada hari tersebut ialah “ Semangat Jihad Perang Badar.”

Khatib menerangkan bahawa umat Islam kini berjihad untuk menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan. Seperti mana yang kita semua tahu, peperangan ini dimenangi oleh tentera Islam walaupun tentera Musyrikin lebih bilangannya daripada mereka.

Tentera Rasulullah SAW ketika itu tidak mempunyai kekuatan fizikal. Akan tetapi mereka semua kelihatan hebat kerana mempunyai kekuatan rohani dan iman yang mantap.

Generasi terdahulu walaupun kecil dan kurang peralatan ketenteraan, mereka masih daoat mengalahkan 2 empayar yang besar iaitu Rom dan Parsi. Ini kerana peperangan itu bertunjangkan iman.

Menariknya sirah ini, kita boleh menjadikannya sebagai motivasi kerana kita tidak boleh jadikan letih dan lemah serta malas untuk berjihad kerana masyarakat bukan Islam akan memandang rendah keupayaan orang Islam.



Mari kita semua jemaah sekalian bermuhasabah sebentar mengenai beberapa perkara:-

1) Berapa helai al-Quran telah kita baca setiap hari? Mencapai sasaran atau hanya sekadar angan di awal Ramadhan?

2) Kualiti solat Tarawih kita bagaimana? Cukup sekadar melakukannya atau terkesan di hati? Masih berat untuk menunaikannya atau ikhlas?

3) Sedeqah kita bagaimana? Atau kita memperuntukkan belanja untuk hari raya sebagai keutamaan yang paling utama?

4) Tadarus al-Quran kita berjalan atau tidak? Atau sekadar on-off?

5) Qiamullail kita? Beterusan dari awal Ramadhan?


Khatib menerangkan lagi bahawa inilah masa dan medan yang kita kena tempuhi dalam setahun. Ianya menuntut jihad yang tinggi. Selain itu, mimbar Jumaat terus berpesan:-

1) Usah dibiarkan wang digunakan untuk membeli baju dan juadah sehingga mengakibatkan pembaziran.

2) Usah dibiarkan selimut dan tilam menyelimuti diri kita sementara menunggu waktu berbuka.

3) Usah dibiarkan pancaindera melakukan perkara yang sia-sia.


Marilah kita semua menjadikan Ramadhan kali ini penuh bermakna buat diri kita.

Adaptasi:- Khutbah Jumaat 27/7/2012 Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama, Melaka.


UiTM Bandaraya Melaka
10 Ramadhan 1433H


Read more...

Saturday, July 7, 2012

Suka Memberi, Tidak Suka Menerima

Mungkin tidak ramai yang pernah mendengar nama al-Nu'Man bin Thabit bin al-Marzuban. Sebenarnya itu adalah nama seorang imam yang sangat masyhur yang dikenali sebagai Imam Abu Hanifah. Orangnya kacak,berbudi bahasa dan manis tutur katanya. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Ditambah pula dengan pakaiannya yang kemas dan harum semerbak. Orang ramai boleh menyedari kehadiran beliau melalui bau wangi tersebut walaupun tanpa melihatnya.





Imam Abu Hanifah merupaka seorang tabiin yang lahir pada 80 Hijrah. Beliau berkesempatan hidup pada akhir zaman pemerintahan Bani Umaiyyah dan permulaan zaman Bani Abbasiyyah. Pada zaman beliau, para khalifah dan pemerintah sentiasa mendampingi para ulama yang berkebolehan hingga mereka ini dapat hidup mewah kerana rezeki mereka datang mencurah-curah tanpa perlu bekerja. Namun demikian, Abu Hanifah tetap menjaga harga diri dan nilai ilmunya. Beliau berazam untuk bergantung hanya pada hasil usahanya sendiri dan sentiasa ingin memberi, bukannya menerima sedekah.




Banyak kisah hidup beliau yang boleh dijadikan iktibar dan panduan hidup. Sebagai contoh, suatu ketika khalifah al-Mansur pernah menjemput Abu Hanifah untuk menziarahinya. Apabila Abu Hanifah smapai, khalifah al-Mansur menyambut beliau dengan penuh hormat dan mesra, lalu dipersilakan duduk berdekatan dengannya. Kemudian, khalifah al-Mansur mengemukakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan agama dan dunia.

Ketika Imam Abu Hanifah mahu berangkat pulang, khalifah al-Mansur menghadiahkan seuncang wang yang berisi 30 ribu dinar kepada Imam Abu Hanifah. Khalifah al-Mansur sebenarnya terkenal dengan sifat bakhil. Sambil tersenyum, beliau berkata: " Wahai Amirulmukminin, saya ini orang asing di Baghdad. Saya tiada tempat untuk menyimpan wang ini. Saya juga berasa bimbang akan keselamatannya. Simpankan wang ini di Baitulmal. Apabila saya memerlukannya, saya akan datang menerimanya nanti. Khalifah al-Mansur menerima alasan beliau.




Walau bagaimanapun, tidak lama selepas peristiwa tersebut, beliau meninggal dunia. Setelah kewafatan beliau, orang ramai menemui sejumlah harta di rumahnya yang jauh berlipat kali ganda berbanding hadiah yang diterimanya. Apabila khalifah mendengar khabar tersebut, khalifah al-Mansur menitis air mata seraya berkata: " Moga Allah merahmati Imam Abu Hanifah. Walaupun enggan menerima hadiah saya, tetapi beliau menolak dengan penuh sopan."


Adaptasi : Gen-Q 09


UiTM Bandaraya Melaka
17 Sya'ban 1433H



Read more...

Tuesday, May 29, 2012

Ketua Editor Pembukuan Al-Quran

Untuk menjadikan kita sebagai pembaca Al-Quran yang sentiasa mentadabbur dengan keunikan dan keindahan susunan ayat-ayat daripada kalamullah ini, seharusnya kita mengingati dan mengenali sahsiah sahabat yang berada di sebalik tabir serta yang dipertanggungjawabkan dalam penyempurnaan susunan tersebut.


Beliau seperti yang kita telah maklumi adalah Sayidina Zaid bin Thabit bin al-Dahhak al-Ansari. Walaupun sahabat yang amat rapat dengan Baginda SAW ialah Saidina Abu Bakar RA, tetapi atas pilihan Allah SWT yang telah menetapkan segala ketentuan-Nya, beliau dilantik sebulat suara oleh sekalian para sahabat sebagai ketua editor dalam proses pembukuan Al-Quran ini.

Walaupun kebanyakan sifat peribadi beliau seperti sifat peribadi para sahabat yang lain, namun pemilihan beliau berdasarkan beberapa kriteria yang kebanyakan para sahabat tidak memperoleh peluang ini.



Antara kriteria tersebut:-

1. Saksi Al-'Ardah Al-Akhirah

  • Ia adalah pembentangan Al-Quran kali terakhir yang berlaku antara Baginda SAW dengan Jibril pada bulan Ramadhan. Sepanjang hayat Baginda SAW, ia berlaku sebanyak dua kali secara 'talaqqi musyafahah. Zaid merupakan orang yang membaca secara langsung selepas peristiwa tersebut.

2. Ketua Kadi

  • Beliau menjadi ketua kadi dalam kalangan para sahabat hinggakan Baginda SAW mengakuinya sebagaimana hadis Baginda SAW yang bermaksud: "Orang yang amat mengetahui tentang ilmu faraid ( hal pembahagian harta pusaka ) dalam kalangan umatku ialah Zaid bin Thabit." ( Sheikh Muhammad Salim Muhaisin, 'Fi Rihab Al-Quran',Jil.1 )

3. Pakar Rujuk Bahasa

  • Beliau juga mahir menterjemahkan bahasa Ibrani dan bahasa Suryani iaitu bahasa golongan Yahudi. Terdapat banyak penulisan surat antara golongan Yahudi dengan Baginda SAW yang menggunakan bahasa ini. Baginda SAW mengarahkan beliau mempelajari kedua-dua bahasa tersebut untuk menjawab segala perutusan daripada kaum Yahudi.
  • Kepantasan beliau menguasai kedua-dua bahasa tersebut terbukti apabila beliau hanya mengambil masa 15 hari sahaja untuk menguasai bahasa Ibrani, manakala untuk bahasa Suryani pula memakan masa 17 hari sahaja. ( Ibn.Saad, ' Tabaqat ', Jil.3 )

Adaptasi : Gen-Q 09

Rembau
8 Rejab 1433H



Read more...

Monday, February 6, 2012

Malu Kerana Benar

Suatu hari, Nabi Musa AS telah keluar meninggalkan bumi Mesir dalam keadaan takut kerana Firaun dan konco-konconya berpakat untuk membunuh baginda. Namun, baginda tidak lupa untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT dan berdoa, “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.”

Lalu, baginda menuju ke negeri Madyan yang bukan merupakan wilayah jajahan kerajaan Firaun sambil mengharapkan naungan Allah SWT, “Moga-moga Tuhanku memberikan petunjuk kepadaku ke jalan yang lurus dan selamat.”




Benar, Allah SWT mengabulkan permintaan Nabi Musa AS. Baginda sampai ke negeri tersebut dengan selamat. Tiba-tiba, baginda terlihat sekumpulan manusia yang sedang berasak-asak di sebuah telaga untuk mengambil air bagi ternakan mereka. Sedangkan tidak jauh daripada itu, terdapat dua orang gadis yang berdiri bersama ternakan mereka juga sambil menunggu giliran. Mereka tidak seperti kumpulan tersebut yang saling bersaing, tetapi sanggup menunggu sehingga keadaan menjadi tenang.

Maka, baginda bertanya kepada mereka berdua, “Mengapa keadaan kamu berdua begini?” Tujuan pertanyaan itu adalah kerana merka berdua tidak bersama kumpulan manusia tadi mengambil air. Begitu juga, mereka menahan ternakan yang dibawa bersama daripada terus menuju kearah telaha yang berisi air bersama ternakan yang lain.




Lalu keduanya menjawab, “ Kami tidak akan mengambil air minuman itu melainkan pengembala-pengembala itu telah beredar pulang, dan kami juga mempunyai seorang bapa yang sudah tua.” Mendengar jawapan tersebut, Nabi Musa AS terus membantu mereka berdua mengambil air untuk minuman ternakan mereka.

Sambil terus memohon kebaikan daripada Allah SWT, salah seorang perempuan tadi berjalan dengan penuh malu ke arah baginda dan mengajaknya ke rumah atas jemputan bapanya untuk memberikan upah di atas pertolongannya itu. Akhirnya, baginda menerima jemputan tersebut dan tinggal di Madyan dalam keadaan selamat.

Sumber :- Gen-Q 6

Rembau 
14 RabiulAwal 1433H



Read more...

Sunday, January 22, 2012

Berkat Doa Ibu

Juraij adalah seorang hamba yang taat beribadah kepada Allah SWT. Walaupun ibunya masih hidup, beliau lebih banyak menghabiskan masa di sebuah pondok yang didirikan bagi melakukan pelbagai amalan yang mendekatkannya kepada tuhan.

Suatu hari, ibu Juraij datang ke pondok beliau untuk berjumpa dengannya sedangkan beliau sedang mengerjakan solat sunat. Lalu, ibunya memanggil namanya, “ Wahai Juraij!” Juraij mendengar panggilan ibunya namun beliau berasa serba salah, “Ibuku atau solatku?” katanya di dalam hati.

Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk meneruskan solatnya dan tidak menyahut panggilan ibunya. Tetapi, ibunya terus memanggil Juraij. Sama seperti sebelumnya, setiap kali mendengar panggilan si ibu, Juraij berasa serba salah namun tetap meneruskan solat. Setelah panggilan ketiga tidak dijawab, ibu Juraij berkata, “ Semoga Allah SWT tidak mematikanmu sehingga kamu dapat melihat wajah para pelacur.” Kemudian, ibunya berlalu pulang ke rumah.




Pada masa tersebut, terdapat seorang wanita yang telah berzina dengan seorang pengembala yang tinggal berhampiran dengan pondok Juraij dan melahirkan seorang anak. Wanita tersebut dibawa ke hadapan raja lalu ditanyanya, “ Anak siapa ini?” Dia menjawab, “Anak Juraij.”

Raja bertanya lagi, “Pemilik pondok itu?” Dia menjawab, “Ya”. Mendengar jawapannya, raja terus memerintahkan agar pondok Juraij dirobohkan dan beliau diikat serta dibawa menghadapnya. Dalam perjalanan, beliau telah melalui sekumpulan manusia dan melihat para pelacur di kalangan mereka turut berada bersama.

Sampai di hadapan raja, beliau ditanya tentang pertuduhan yang dilakukan oleh wanita itu. Dengan penuh ketenangan, beliau meminta agar dibawakan si anak kepadanya lalu dia ditanya, “Siapa ayahmu?”. Dengan kuasa Allah SWT, bayi tersebut menjawab, “Si penggembala lembu.”




Raja dan orang ramai berasa terkejut dengan apa yang berlaku lalu meneyesali terhadap tuduhan palsu yang dilakukan ke atas Juraij. Untuk menebus kesalahan, raja bertanya kepada Juraij, “Adakah kami perlu membina semula pondokmu daripada emas?” Jawab Juraij, “Tidak”.
“Daripada perak?"
“Tidak.”
“Maka bagaimana kami perlu membinanya?”
Beliau menjawab, “Kembalikan semula seperti keadannya yang asal."

Tetapi, mereka melihatnya tiba-tiba tersenyum lalu si raja bertanya, “Apa yang engkau senyumkan?”
Beliau berkata, “Kerana suatu perkara yang aku sedari, doa ibuku telah menimpa diriku.” Lalu beliau menceritakan kisah tersebut kepada mereka.


Rembau
27 Safar 1433H


Read more...

Thursday, January 5, 2012

Moleknya Akhlak Baginda

Muawiyah bin Al-Hakam Al-Sulami adalah seorang Badwi yang baru sampai ke kota Madinah. Pada suatu hari beliau telah masuk ke Masjid Nabawi di Madinah untuk mengerjakan solat berjemaah bersama-sama para sahabat yang lain. Tiba-tiba ada seseorang telah bersin. Lantas Muawiyah dengan serta-merta mengucapkan, " Yarhamukallah ( Semoga Allah merahmatimu )."

Orang-orang lain yang sedang solat telah melirik kepadanya. Muawiyah kehairanan kemudian berkata : " Mengapa kamu semua memandangku begitu?". Ini kerana dia belum tahu tentang larangan bercakap ketika sedang solat.



Mereka memberikan isyarat agar dia tidak berkata-kata. Maka di pun diam sahaja. Selesai solat, Rasulullah SAW menghadap kepada para jemaah lalu Baginda SAW bersabda yang bermaksud: " Sesungguhnya di dalam solat tidak boleh ada kata-kata. Cuma yang dibenarkan hanyalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran."

Lalu Muawiyah berkata: " Sungguh aku belum pernah melihat seorang guru sebelum dan sesudah Rasulullah SAW yang lebih baik daripada Baginda SAW. Baginda tidak mengherdik dan mencela kesalahan yang dilakukan."

Begitulah cara Rasulullah SAW memperbetulkan orang yang melakukan kesalahan kerana kejahilan. Beliau tidak mensasarkan tegurannya secara langsung kepada orang yang bersalah demi menjada kehormatannya. Teguran itu mengandungi pengajara dan tunjuk ajar agar kesalahan yang sama tidak dilakukan pada masa akan datang.




Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu'bah bahawa pada satu masa setelah Rasulullah SAW menikmati hidangan makanan, maka iqamat pun dikumandangkan untuk solat. Tanpa disuruh, al-Mughirah segera mngambilkan air untuk Baginda berwudhu'. Tetapi Rasulullah SAW tidak menggunakannya kerana Baginda telah berwudhu' sebelumnya.

Perkara itu menyebabkan Mughirah berasa tidak senang hati lalu menyampaikannya kepada Umar bin Khattab RA. Umar lalu bertanyakan Rasulullah SAW kalau-kalau Baginda mempunyai perasaan marah atau tidak menyenangi sesuatu tindakan yang dilakukan oleh Mughirah.



Baginda lalu berkata: " Aku tidak berasa marah padanya cuma aku berasa bimbang jika aku mengambil wudhu' dengan air yang dihulurkan olehnya, amalan ini akan diikuti oleh umatku ( iaitu wajib mengambil wudhu' sesudah makan )."

Demikianlah.

UiTM Bandaraya Melaka
11 Safar 1433H

Read more...

Tuesday, December 13, 2011

Detik Kewafatan Rasulullah SAW

Daripada Ibnu Mas'ud r.a., bahawasanya dia berkata:   "Ketika ajal Rasulullah saw sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aishah r.a


Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda: Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah."  


"Allah berfirman: Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa."  


Kemudian kami bertanya:   "Bilakah ajal baginda ya Rasulullah?"  


Baginda menjawab:   "Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila."  


Kami bertanya lagi:   "Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah?" 

Rasulullah menjawab:   "Salah seorang ahli bait."  


Kami bertanya:   "Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?"


Baginda menjawab:   "Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah."  


Kami bertanya:   "Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?"   Kami menangis dan Rasulullah saw pun turut menangis.


Kemudian baginda bersabda:   "Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku. Kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. 


Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya.
Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua."  





SEMAKIN TENAT


Semenjak hari itu, Rasulullah saw bertambah sakitnya yang ditanggungnya selama 18 hari.

Setiap hari, ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, disaat baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.   Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. 


Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, dia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:   "Assalamualaikum ya Rasulullah?"  


Kemudian dia berkata lagi:   "Assolah yarhamukallah."  


Fatimah menjawab:   "Rasulullah dalam keadaan sakit."  


Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid. Ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu dia berkata seperti perkataan yang tadi.


Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh dia masuk.   Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah saw bersabda:   "Saya sekarang berada dalam keadaan sakit. Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat."  


Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata:   "Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?"   


Kemudian dia memasuki masjid dan memberitahu Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut.   Ketika Abu Bakar r.a. melihat ke tempat Rasulullah SAW yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, dia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu dia menjerit dan akhirnya dia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah saw. 

Baginda bertanya:   "Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu?" 

Siti Fatimah menjawab:   "Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah saw tidak ada bersama mereka."  


Kemudian Rasulullah saw memanggil Ali bin Abi Talib dan Abbas r.a. Sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat.


Setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda:   "Ya ma aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua, setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini."  





MALAIKAT MAUT DATANG BERTAMU


Pada hari esoknya iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya dia turun menemui Rasulullah saw dengan berpakaian sebaik-baiknya.   Dan Allah menyuruh Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah saw dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan masuk. Tetapi jika Rasulullah saw tidak mengizinkannya, dia tidak boleh masuk dan hendaklah dia kembali sahaja.  


Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Dia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah saw,
Malaikat Maut itupun berkata:   "Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!"  


Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu:   "Wahai Abdullah (hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit."  


Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi:   "Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?"  


Akhirnya Rasulullah saw mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah:   "Siapakah yang ada di muka pintu itu?"  


Fatimah menjawab:   "Seorang lelaki memanggil baginda. Saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian dia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma."  


Rasulullah saw bersabda:   "Tahukah kamu siapakah dia?"  


Fatimah menjawab:   "Tidak wahai baginda."  


Lalu Rasulullah saw menjelaskan:   "Wahai Fatimah, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.  


Kemudian Rasulullah saw bersabda:   "Masuklah, wahai Malaikat Maut."  


Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan:   "Assalamualaika ya Rasulullah." 

Rasulullah saw pun menjawab:   "Waalaikassalam ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?"  


Malaikat Maut menjawab:   "Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan. Jika tidak, saya akan pulang."  


Rasulullah saw bertanya:   "Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?"  


Jawab Malaikat Maut:   "Saya tinggal dia di langit dunia."  


Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril a.s. datang lalu duduk di samping Rasulullah saw.


Maka bersabdalah Rasulullah saw:   "Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?"  


Jibril menjawab:   "Ya, wahai kekasih Allah."  





KETIKA SAKARATUL MAUT:  


Seterusnya Rasulullah saw bersabda:   "Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?"  


Jibril pun menjawab:   "Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu."  


Baginda saw bersabda:   "Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?"  


Jibril menjawab lagi:   "Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu."  


Baginda saw bersabda lagi:   "Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang disediakan Allah untukku?"  


Jibril menjawab:   "Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti."  


Kemudian Rasulullah saw bersabda:   "Segala puji dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. 


Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku."  


Jibril a.s. bertanya:   "Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?"  


Rasulullah saw menjawab:   "Tentang kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?"  


Jibril menjawab:   "Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman:   Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu."  


Maka berkatalah Rasulullah saw:   "Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku."  


Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah saw.  


Ali r.a. bertanya:   "Wahai Rasulullah saw, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?"  


Rasulullah menjawab:   "Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga."  


Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah saw. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata:   "Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut."  


Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril a.s. memalingkan mukanya.


Lalu Rasulullah saw bertanya:   "Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?"  


Jibril menjawab:   "Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?"  


Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah saw. 




KESEDIHAN SAHABAT


Berkata Anas r.a.:   "Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah r.a., aku terdengar dia sedang menangis sambil mengatakan:   Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera, wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum, wahai orang-orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana, wahai orang-orang yang jarang tidur diwaktu malam kerana takut Neraka Sa'ir."  


Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Muaz bin Jabal r.a. telah berkata:   "Rasulullah saw telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang. Kemudian orang itu berkata kepadaku:   Apakah anda masih lena tidur juga wahai Muaz, padahal Rasulullah saw telah berada di dalam tanah?"  


Muaz terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia mengucapkan:   "A'uzubillahi minasy syaitannir rajim."   Lalu setelah itu dia mengerjakan solat.   Pada malam seterusnya, dia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama.


Muaz berkata:   "Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan."   Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman.   Pada keesokan harinya, orang ramai berkumpul lalu Muaz berkata kepada mereka:   "Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah saw bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku."   


Setelah Muaz menerima Mushaf, lalu dibukanya. Maka nampaklah firman Allah yang bermaksud:   "Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula."   (Surah Az-Zumar: ayat 30)  


Maka menjeritlah Muaz, sehingga dia tidak sedarkan diri. Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi dan dia nampak firman Allah yang berbunyi:   "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?"   (Surah Al-lmran: ayat 144)   Maka Muaz pun menjerit lagi:   "Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad."  


Kemudian dia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika dia akan meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata:   "Seandainya apa yang ku lihat ini benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."  


Kemudian dia berkata:   "Aduhai, sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad saw."   Lalu dia pun pergi meninggalkan mereka. Di saat dia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud:   "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."  


Lalu Muaz mendekati sumber suara itu. Setelah berjumpa, Muaz bertanya kepada orang tersebut:   "Bagaimana khabar Rasulullah saw?"   Orang tersebut menjawab:   "Wahai Muaz, sesungguhnya Muhammad saw telah meninggal dunia."   Mendengar ucapan itu, Muaz terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya. Dia memanggil Muaz:   "Wahai Muaz, sedarlah dan bangunlah."  


Setelah Muaz sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar As-siddiq, dengan cop dari Rasulullah saw. Tatkala Muaz melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya. Kemudian dia menangis dengan tersedu-sedu.   Setelah puas dia menangis, dia pun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Muaz sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan:   "Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah?"   Muaz menyambungnya:   "Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah."   Kemudian dia menangis dan akhirnya dia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.  


Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy r.a. lalu dia berkata kepada Bilal:   "Wahai Bilal, sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya. Dia adalah Muaz yang sedang pengsan."   Setelah Bilal selesai azan, dia mendekati Muaz, lalu dia berkata:   "Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Muaz, aku telah mendengar dari Rasulullah saw, baginda bersabda: Sampaikanlah salamku kepada Muaz."   Maka Muaz pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa dia telah menghembuskan nafas yang terakhir. 


Kemudian dia berkata:   "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah r.a."   


Setelah sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Muaz mengucapkan:   "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh."   Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, dia berkata:   "Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah."   


Kemudian Muaz menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan:   "Assalamualaikum ya ahlil bait."  


Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian dia berkata:   "Rasulullah saw bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Muaz bin Jabal. Dia adalah kekasih Rasulullah saw."   


Kemudian Fatimah berkata lagi:   "Masuklah wahai Muaz."   Ketika Muaz melihat Siti Fatimah dan Aisyah r.a., dia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Setelah dia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya:   "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Muaz dan khabarkan kepadanya bahawasanya dia kelak dihari kiamat sebagai imam ulama."   Kemudian Muaz bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah saw.  


(Dipetik dari buku 1001 Duka - Himpunan Kisah-kisah Menyayat Hati)


UiTM Bandaraya Melaka
17 Muharram 1433H





Read more...