Saturday, July 7, 2012

Suka Memberi, Tidak Suka Menerima

Mungkin tidak ramai yang pernah mendengar nama al-Nu'Man bin Thabit bin al-Marzuban. Sebenarnya itu adalah nama seorang imam yang sangat masyhur yang dikenali sebagai Imam Abu Hanifah. Orangnya kacak,berbudi bahasa dan manis tutur katanya. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Ditambah pula dengan pakaiannya yang kemas dan harum semerbak. Orang ramai boleh menyedari kehadiran beliau melalui bau wangi tersebut walaupun tanpa melihatnya.






Imam Abu Hanifah merupaka seorang tabiin yang lahir pada 80 Hijrah. Beliau berkesempatan hidup pada akhir zaman pemerintahan Bani Umaiyyah dan permulaan zaman Bani Abbasiyyah. Pada zaman beliau, para khalifah dan pemerintah sentiasa mendampingi para ulama yang berkebolehan hingga mereka ini dapat hidup mewah kerana rezeki mereka datang mencurah-curah tanpa perlu bekerja. Namun demikian, Abu Hanifah tetap menjaga harga diri dan nilai ilmunya. Beliau berazam untuk bergantung hanya pada hasil usahanya sendiri dan sentiasa ingin memberi, bukannya menerima sedekah.




Banyak kisah hidup beliau yang boleh dijadikan iktibar dan panduan hidup. Sebagai contoh, suatu ketika khalifah al-Mansur pernah menjemput Abu Hanifah untuk menziarahinya. Apabila Abu Hanifah smapai, khalifah al-Mansur menyambut beliau dengan penuh hormat dan mesra, lalu dipersilakan duduk berdekatan dengannya. Kemudian, khalifah al-Mansur mengemukakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan agama dan dunia.

Ketika Imam Abu Hanifah mahu berangkat pulang, khalifah al-Mansur menghadiahkan seuncang wang yang berisi 30 ribu dinar kepada Imam Abu Hanifah. Khalifah al-Mansur sebenarnya terkenal dengan sifat bakhil. Sambil tersenyum, beliau berkata: " Wahai Amirulmukminin, saya ini orang asing di Baghdad. Saya tiada tempat untuk menyimpan wang ini. Saya juga berasa bimbang akan keselamatannya. Simpankan wang ini di Baitulmal. Apabila saya memerlukannya, saya akan datang menerimanya nanti. Khalifah al-Mansur menerima alasan beliau.




Walau bagaimanapun, tidak lama selepas peristiwa tersebut, beliau meninggal dunia. Setelah kewafatan beliau, orang ramai menemui sejumlah harta di rumahnya yang jauh berlipat kali ganda berbanding hadiah yang diterimanya. Apabila khalifah mendengar khabar tersebut, khalifah al-Mansur menitis air mata seraya berkata: " Moga Allah merahmati Imam Abu Hanifah. Walaupun enggan menerima hadiah saya, tetapi beliau menolak dengan penuh sopan."


Adaptasi : Gen-Q 09


UiTM Bandaraya Melaka
17 Sya'ban 1433H


No comments:

Post a Comment