Showing posts with label Celoteh Blogger. Show all posts
Showing posts with label Celoteh Blogger. Show all posts

Monday, January 5, 2015

Tahun 2015

Assalamu’alaikum WBT.

Alhamdulillah setelah hampir setahun blog ini tanpa coretan, hari ini saya berhajat untuk memulakannya kembali. Mungkin kerana sibuk dengan urusan kerja dan mula hendak menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru membuatkan saya tidak mempunyai kesempatan untuk berkongsi maklumat. InsyaAllah, dengan kehadiran tahun 2015 ini, saya akan cuba lebih konsisten untuk menulis.



Tahun 2014 telahpun berlalu dan kini kita melangkah ke tahun baru. Banyak perkara yang telah kita semua lalui sepanjang tahun lepas. Namun, mari kita kita tanya diri kita sendiri apakah dengan banyaknya perkara yang berlaku sepanjang tahun lepas menjadikan kita lebih matang, lebih berilmu, lebih banyak melakukan perkara-perkara baik dan sebagainya.




Jika kita hendak hitung tragedi yang berlaku dalam Malaysia sendiripun sudah banyak yang boleh kita ambil untuk dijadikan pengajaran. Kehilangan MH 370, nahas MH 17, kejatuhan matawang RM, gejala zina yang berleluasa, puting beliung, pesta arak secara besar-besaran, nahas Air Asia QZ8501 dan banjir besar yang melanda di sebahagian negeri di Malaysia. Namun, bagaimana kita memandang perkara ini? Adakah kita menganggapnya sebgai satu takdir? Atau kita menganggapnya sebagai peringatan dari Allah? Ataupun kita tidak merasai apa-apa?

Saya mengajak diri saya dan menyeru kepada sahabat sekalian agar kita sentiasa bermuhasabah diri. Apakah dengan ujian daripada Allah yang menimpa diri kita atau orang lain membuatkan diri kita semakin hampir dengan-Nya? Apakah apabila kita mempunyai sesuatu hajat membuatkan kita semakin dekat dengan-Nya? Jika ya, Alhamdulillah. Akan tetapi, masih ada manusia yang apabila mempunyai sesuatu hajat, mereka meminta pada yang lain seperti roh di kubur, pokok, tangkal dan sebagainya. Ada juga apabila diberi ujian oleh Allah seperti bencana, kehilangan harta benda dan sebagainya, mereka merungut dan mengeluh dan yang paling dibimbangi sekali apabila mereka mula menyalahkan Allah. Na’uzubillahiminzalik.




Semoga dengan setiap kejadian yang berlaku meningkatkan iman kita kepada Allah SWT dan menjadikan kita orang yang sentiasa bersabar dalam kehidupan. Dengan kehadiran tahun 2015 ini, marilah kita semua berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi hamba-Nya yang soleh. InsyaAllah. 


Rembau
14 Rabiul Awwal 1436H



Read more...

Sunday, December 8, 2013

Sibuk

Assalamu'alaikum.
Rasanya, sudah hampir 4 bulan blog saya sudah bersawang. Alhamdulillah, kini saya dapat menulis semula. Namun, mungkin tidak sekerap dahulu. Ini kerana saya sudah mula bekerja.

Sebenarnya, dari sehari ke sehari, saya memang berhajat untuk mencoretkan beberapa perkongsian. Kalau boleh, sebulan ada 1 post. Disebabkan saya tidak mempunyai fasiliti seperti laptop, menyebabkan saya terbantut dalam penulisan blog. Alhamdulillah, kini saya sudah mempunyai PC. Moga-moga, Allah SWT memudahkan urusan saya dalam menyebarkan ilmu-Nya kelak.

Untuk pengetahuan umum, saya sudah mula berkhidmat di Bank Islam pada permulaan September 2013. Mungkin disebabkan baru mula bekerja, saya masih mencari rentak untuk mengurus dan membiasakan diri dengan working environment. Zaman study dulu, senang sikit.




Jika ada sesiapa hendak membuat pinjaman peribadi atau perumahan, insyaAllah saya sedia membantu. Jika hendak bertanya mengenai Bank Islam, insyaAllah saya akan cuba mnolong setakat kemampuan saya. Jangan risau tentang tawaran saya kerana jika berurusan dengan Bank Islam, 100% adalah shariah-compliance. Baik dari segi investment mahupun dananya.

Itu sahaja yang saya dapat kongsikan setakat ini memandangkan ada urusan lain. Moga Allah mempermudahkan urusan kita semua.


Melaka
5 Safar 1435H


Read more...

Saturday, July 6, 2013

SmiLe!!

Alhamdulillah, pertama dan selamanya, saya hendak mengucapkan rasa syukur kerana telah diberi peluang oleh Allah untuk melengkapkan pengajian saya dalam bidang kewangan di UiTM Bandaraya Melaka.

Selama hampir 2 tahun setengah saya berada di Melaka. Banyak perkara yang saya telah pelajari, ramai juga kawan-kawan yang saya kenali. Terima kasih kepada semua kenalan saya di UiTM kerana banyak mendorong saya untuk menjadi insan yang lebih berguna.


Kini, apabila telah tamat belajar, antara fokus utama bagi kebiasaan para mahasiswa, adalah untuk mencari pekerjaan. Sama halnya seperti saya. Saya berhajat, jika diizinkan Allah, saya hendak berkhidmat dalam industri perbankan. Kerana ia sangat berkait dengan apa yang saya pelajari selama ini.



Ada yang mencadangkan bahawa banyak bank-bank yang sedang mencari pekerja. Tapi, bila saya tanya, kebanyakannya adalah bank yang mengamalkan "dual-banking system". Pada hemat saya, saya tidak berminat untuk menyumbangkan tenaga dalam bank seumpama itu. Saya lebih berasa senang jika tenaga saya dapat disumbangkan kepada bank yang mematuhi sepenuhnya konsep syariah.

Selain itu, terdapat juga rakan-rakan yang mengajukan soalan tentang perkahwinan. Soalan itu saya bagi jawapan yang biasa saya bagi; " Bila Ditakdirkan". Orang kata kena usaha. Saya cakap saya sedang berusaha. Dengan cara, meningkatkan ilmu dan memastikan perkara-perkara dalam agama dijaga. Itulah saya cara berusaha. Kita jangan terikut rentak yang dicanang oleh barat yang menganggap "bercouple" itu perkara biasa. Islam ada caranya yang tersendiri. Kata orang; " Lebihkan Menjadi, Dari Mencari ".

Ingin saya kongsikan kepada rakan-rakan saya, bahawa cinta itu bukannya setahun dua. Bukannya pada kecantikan. Bukannya pada kelembutan semata-mata. Cinta itu sebenarnya PERLU diiringi dengan rasa tanggungjawab dan beramanah. Janganlah kita menjadikan drama-drama Melayu & Korea sebagai ukuran cinta. Walaupun saya selalu menontonnya, tapi saya tahu cerita sedemikian tidak berpijak pada realiti di luar sana.

Apa pun, saya harap, semua kawan-kawan dapat mencari erti KEBAHAGIAAN yang sebenar. Perlu kita ingatkan diri kita sendiri, bahawa dunia ini hanya sementara. Kebahagiaan yang sebenar terletak di akhirat sana.




Saya mohon maaf kepada semua rakan-rakan saya jika ada terkasar bahasa, terjentik hati, terpijak kaki dan sebagainya. Moga kita semua dapat menjadi hamba-Nya yang taat dan dapat menyumbangkan sedikit tenaga, harta & masa demi menegakkan Islam di dunia ini.

SmiLe!!

Rembau
27 Sya'ban 1434H


Read more...

Thursday, November 15, 2012

Semangat Baru

Assalamu'alaikum warahmatullah.

Rasanya sudah lama saya tidak berceloteh sendirian dalam kolum Celoteh Blogger ini. Memandangkan hari ini adalah cuti am, maka bolehlah saya mengemaskini kolum ini sekarang.




Alhamdulillah, pertamanya kita sudah melangkah ke tahun baru Islam. Meskipun yang sebenarnya tahun baru Islam bukanlah di awal Muharram kerana ini diperkenalkan oleh Saidina Umar RA, namun tidak perlulah kita mempertikaikannya dalam hendak melakukan amalan-amalan yang dipuji seperti membaca do'a akhir tahun dan awal tahun. Kerana di dalam intipati do'a itu mempunyai masuk yang mendalam. Namun, janganlah kita menganggap ianya tidak boleh dibaca kerana Rasulullah SAW tidak pernah melakukannya. Ambil sahaja semangat untuk berhijrah tanpa menanggapnya satu kemestian yang perlu dilakukan bila masuk awal Muharram.

Apa yang menggembirakan saya ialah apabila saya melihat surau kediaman yang saya menetap seakan-akan hendak penuh. Alhamdulillah. Bila Allah hendak memberi peluang kepada kita untuk beribadah, maka bersyukurlah. Ada orang yang hatinya hendak ke surau, tetapi ada kekangan. Ada juga yang memang hendak ke surau, dan Allah izinkannya ke surau dengan menggerakkan hati dan anggotanya. Maka bersyukurlah dan janganlah kita berasa bangga kerana boleh turun ke surau kerana tanpa izinNya, kita tidak punya apa-apa.




Pada malam harinya, saya dan rakan sebilik bersembang pelbagai cerita. Rakan sebilik saya merupakan Pengerusi surau tempat yang saya menetap. Seorang yang saya sangat kagumi.  Banyak perkongsian yang kami bualkan sehingga kami terlelap awal daripada biasa. Sebelum jam 11 kami sudah melayari bahtera di alam maya. Keletihan yang amat.

Dan apabila kami terjaga serentak pada jam 2 pagi, kelaparan mula menyerang. Lalu kami pergi mengisi perut dengan roti naan dan ayam tandoori di kedai. Saya ingatkan semuanya lelaki yang akan makan bersama, rupanya ada 3 gadis turut serta. Tapi tidak mengapa kerana tujuan kami adalah hendak makan, bukannya bergurau senda di awal pagi. Saya cuma meraikan pelawaan kawan-kawan. Ini juga satu perubahan. SmiLe!!



Marilah kita semua menitipkan rasa ingin berhijrah daripada perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Dan apa yang paling penting, apabila kita sudah berubah, janganlah kita merasakan diri kita sudah cukup baik. Ajaklah rakan-rakan yang lain untuk melakukan kebaikan. Sematkanlah semangat baru supaya kita sering istiqamah berada di atas jalan menuju redha Allah.

Wallahu'alam.


UiTM Bandaraya Melaka
1 Muharram 1434H



Read more...

Monday, September 10, 2012

Pengaruh Senior

Alhamdulillah setelah hampir sebulan tidak mengemaskan sesawang dalam blog ini, maka saat ini akhirnya saya diizinkan oleh-Nya untuk mengemaskini blog.
Setelah hampir sebulan, banyak perkara yang saya lalui. Daripada kisah saya mengambil semester pendek sehinggalah saya masuk ke semester baru ini - semester 5.

Sepatutnya bila kita masuk semester penghujung, kita lebih arif tentang selok-belok 'Student Life's '. Apa yang pernah kita lalui pada satu masa dahulu, adalah pengalaman yang patut diambil pengajaran. ' Culture Shock ' adalah istilah biasa dalam kalangan adik junior yang mereka akan lalaui. Siapa yang tahu menyesuaikan diri, maka merekalah yang akan dapat "menjiwai" persekitaran sekeliling.


Sebagai seorang senior, kita mestilah mempamerkan akhlak yang baik. Bukannya bertujuan untuk menarik perhatian terhadap kita. Tapi, hendak menarik perhataian mereka terhadap keindahan Islam. Kita berharap mereka dapat terus istiqamah dalam jalan ini.

Kesimpulannya, marilah kita semua berakhlak dengan akhlak Islam agar supaya kita menjadi titik-tolak untuk mereka yang sedang mencari jalan kebenarannya.


UiTM Bandaraya Melaka
23 Syawal 1433H



Read more...

Thursday, July 19, 2012

Ramadhan Bulan Mulia

Kita akan memasuki Ramadhan tidak lama lagi. Saya sebagai Muslim, merasakan kehadiran Ramadhan merupakan platform terbaik untuk kita mengubah menjadi lebih baik. Kali ini, saya hendak berkongsi tentang mengenai khutbah Jumaat.

Khatib menerangkan bahawa puasa itu bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga. Tetapi, ianya lebih daripada itu, iaitu menahan mata, telinga, mulut dari melakukan perkara-perkara yang Allah tidak suka.

Itulah kesan tarbiah rohani di bulan Ramadhan.



Puasa juga mengajar kita untuk menghindari dari sikap buruk. Seperti merendahkan orang lain dan memandang rendah pendapat orang lain. Kita hendaklah tidak mencemuh orang lain kerana kita tidak tahu siapa lagi baik dan soleh amalannya. Sekiranya kita melakukan juga, hendaklah bertaubat. Jika tidak, kita dikira sebagai zalim. Na’uzubillah.

Ramadhan juga membolehkan kita merasai saling lengkap melengkapi dengan saling berbantuan. Selain itu, ianya dapat mengikis sifat sombong. Amalan sedekah perlulah diperbanyakkan ketika Ramadhan berlangsung.

Wallahualam.

Rembau
29 Sya'ban 1433H


Read more...

Saturday, June 23, 2012

Zon Selesa

Semester 4 hampir ke penghujungnya. Kini, saya sedang dalam minggu mengulangkaji. Bermula dari awal semester, banyak perkara yang dilalui. Gembira, sedih, risau, mengharap, semuanya ada. Semester kali ini lebih mencabar dan lebih sibuk berbanding semester lepas. Setiap minggu, ada sahaja assignment yang perlu disiapkan dan dihantar.

Namun, saya masih tidak mengambil berat akan kesibukan yang dilalui oleh kami semua. Menangguhkan kerja dan tidak membuat perancangan yang rapi, itulah masalah saya. Bila ada masa lapang dan kesenangan, mulalah untuk relaks-relaks, this is my problem too. Hihi. Benarlah seperti yang sering kita dengar; kesenangan dan masa lapang jua adalah merupakan satu ujian.

Berada di dalam zon selesa, membuatkan kita terlupa akan nasib orang lain. Tidak ditimpa masalah atau musibah, membuatkan kita merasakan bahawa kitalah insan yang bertuah. Walhal, kita sedang diuji.




Walaupun semester ini kelihatan saya agak sibuk, sampai bersawang laman blog saya, tapi sebenarnya banyak masa lapang yang Allah SWT hadiahkan kepada saya. Mensia-siakan masa lapang itu menjadi rutin saya. Hihi. Kerana kebanyakan kelas saya adalah di waktu pagi, Jadi, waktu petang saya lapang. Diisi dengan apa? Tidur, main game, tengok movie. Hihi. Saya tewas lagi dalam zon selesa.

Saya merancang dengan teman sebilik saya, bahawa kami mesti membuat sesuatu bila tiba hujung minggu. Supaya masa kami terisi.  Berjogging di pagi hari. Ok jugalah daripada tidur. Menghadiri majlis perkahwinan juga antara program yang diisi. Antaranya ialah majlis perkahwinan cikgu saya ( cikgu yang menolak saya ke dalam Tarbiah ). Hihi. Dan juga kawan lama sekolah saya.


Walimatulurus Azuwan Romli

Walimatulurus Cikgu Normala


Selain itu, saya juga sempat menghadirkan diri di Daurah (Seminar) Usul Isyrin di Masjid Besi, Putrajaya. Usul Isyrin adalah garis panduan yang diperkenalkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Ianya umpama piagam atau perlembagaan dalam sesuatu organisasi. Ia juga dianggap sebaga traffic light ketikamana seseorang ahli jemaah itu berhadapan dengan sesuatu perkara.




Masa saya juga terisi dengan izin Allah SWT bilamana saya menyertai perkhemahan ringan yang dianjurkan oleh sahabat-sahabat saya. Kami memanggilnya Rehlah Tarbawi. Kami berseronok seramai lebih kurang 15 orang di Pantai Tanjung Bidara, Melaka. Seperti biasa, BBQ adalah agenda utama rehlah. Hihi.




Kampus saya juga banyak menganjurkan program samada majlis ilmu ataupun majlis keramaian. Ada juga yang saya sertai dan ada juga yang x sertai ( lebih banyak x sertai ). Hihi.

Kini, sudah hampir penghujung semester. Boleh dikatakan sekarang ini sudah tiba masanya untuk "gerak-gempur". Macam dekat sekolah pula rasanya. Hihi. Saya cuba merajinkan diri untuk study dan revision serta menyiapkan tugasan yang diberi. 




Final exam hanya dalam masa 3 minggu lagi. Persiapan saya? 10% kot. Hihi. Apapun, saya mengharapkan doa kalian semoga saya menjadi lebih rajin dan berjaya. Wallahualam.


UiTM Bandaraya Melaka
3 Sya'ban 1433H


Read more...

Thursday, February 23, 2012

Baki-Sisa Cutiku

Sedar tidak sedar, sudah hampir 5 minggu saya bercuti semester. 3 minggu saya bekerja di kilang sarung tangan, 3 minggu lagi menguruskan urusan yang patut diesegerakan. Daripada membaiki kereta sehinggalah meghadiri majlis-majlis. Namun, itu sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapang saya.

Dan saya baru sahaja dapat mengetahui keputusan semester 2 saya. Alhamdulillah. Walaupun tidak Dean List, tapi saya bersyukur kerana Allah terus menerus memberikan saya nikmat. Walaupun hakikatnya saya banyak main dan tidak belajar bersungguh-sungguh semester lepas. InsyaAllah, semester baru, saya akan cuba merangka perancangan yang rapi untuk mencaai kecemerlangan.



Jadi, baki-sisa cuti semester yang tinggal ini saya hendak mengisinya dengan mewujudkan satu lagi kolum dalam blog saya-kolum Ekonomi. Ini kerana saya mengambil jurusan kewangan yang memang berkait sungguh dengan ekonomi.  Jadi, bagi berkongsi ilmu, menguatkan ingatan dan menambah ilmu berkaitan bidang saya, saya akan mewujudkan kolum ini. InsyaAllah.

Semoga baki-sisa masa yang ada sebelum masuk ke kampus ini, dapat saya sudahkan dengan jayanya.


Rembau
29 Rabiul'Awal 1433H



Read more...

Tuesday, January 31, 2012

Mengisi Masa Lapang

Januari hampir meninggalkan kita. Sebagai muhasabah diri, mari kita semua check semula, adakah tertunainya sudah azam 2012 kita? Sudah pastinya, mesti ada dalam kalangan kita yang awal-awal sudah tersungkur. Termasuk yang menulis ini.

Namun, tidak mengapa. Kerana jatuh sekali, tidak bermakna akan jatuh berkali-kali. Teruskan usaha kita untuk menjadi insan yang lebih baik. Amal yang sedikit tetapi berterusan itu lebih elok dari amal yang besar-besar tapi hanya sekerat jalan.

Saya pula sudah mula bercuti hampir 2 minggu. Cuti semester selama 6 minggu. Lama juga. Apa yang hendak dibuat? Alhamdulillah saya telah merancang cuti saya. Usai sahaja exam terakhir saya, keesokannya saya pulang ke kampung. Pada mulanya, ingat hendak duduk di rumah sahaja menghabiskan masa dengan menonton drama Korea atau movie yang sudah sedia berlambak dalam external saya.




Hari kedua di kampung halaman, tanpa membuang masa, saya pergi ke kilang berhampiran untuk menanyakan jawatan kosong. Security guard memesan kalau hendak memohon kerja, jangan cakap hendak kerja sebulan sahaja atau sekejap sahaja. Kemungkinan besar supervisor tidak akan ambil. Namun, saya tidak mempedulikannya. Kerana saya hendak income yang saya dapat itu, diberkati. Itu sahaja. Dan alhamdulillah, keesokannya saya dipanggil bekerja. Itulah pertolongan Allah.

Namun, saya memohon penangguhan mula bekerja selepas Chines New Year kerana hujung minggu itu saya tidak prepare apa-apa lagi. Dan saya pun mula bekerja sebagai production line. Kerjanya tidak rumit. Just packing dan susun di atas pallet. Saya sudah ada pengalaman ini ketika semasa menunggu result SPM dulu iaitu ketikamana saya bekerja di Nestle. Kini, saya bekerja di GBI. Sebuah kilang yang menghasilkan glove.

Saya menjangkakan bahawa akan bekerja sehingga hujung bulan 2. Kerana masuk sahaja Mac, saya hendak pulang ke kampus. Hujung minggu lepas, saya pergi ke Taman Melati bersama sahabat saya, Syahabuddin untuk menghadiri walimatulurus ex-college kami. Ramai sahabat yang saya jumpa di sana. Ada yang makin berseri mukanya, ada yang makin bulat tubuhnya. Alhamdulillah, sahabat-sahabay saya sihat-sihat belaka. Rindu untuk berlaga pipi sepertimana yang kami selalu buat dulu semasa di kolej. Itulah nikmat ukhwah.




Akhir kata daripada saya, semoga kita semua dapat mempertingkatkan amal dan iman kita. Kerana tidak ada perkara yang paling membahayakan dan memudaratkan diri kita melainkan dosa yang kita lakukan.

Mari kita lakukan revolusi diri. Takbir!!!


Rembau 
7 Rabiul Awal 1433H



Read more...

Friday, December 30, 2011

Menjadi Lebih Matang

Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi di atas kurniaan-Nya kerana mengizinkan saya sekali lagi pada hari ini menghirup udara-Nya sehingga hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW di atas pengorbanan Baginda dan para sahabat memperjuangkan Islam sehingga kita dapat merasainya sehingga kini.

Hari ini, genaplah 22 tahun saya menghirup oksigen-Nya. Banyak pengalaman pahit, manis, suka, duka, pelik dan misteri yang dialami. Sorotan kenangan 2011 menjadikan saya dapat menambah ilmu dan pengalaman.




Bermula daripada Januari, mak saya berpindah ke Sandakan di atas kenaikan pangkatnya sebagai CC. Saya pula berada di alam ijazah yang menempatkan saya sebagai pelajar UiTM Bandaraya Melaka awal tahun ini.

Pada pertengahan Mac, pemergian allahyarham moyang saya – Haji Ismail Haji Isa. Allahyarham meninggal akibat sakit tua ketika berumur 92 tahun. Pemergiannya menjadikan hari raya kami sekeluarga menjadi tidak semeriah seperti dulu kerana bila Aidilfitri rumahnya menjadi tumpuan sanak saudara datang bertandang. Apa pun, yang muda akan PERGI, yang tua pasti PERGI.

Penghujung April bermulalah Final Exam saya sebagai seorang pelajar UiTM. Agak mendebarkan kerana kesemua exam adalah dalam masa 3 jam. Tidak tahu hendak menjawab, pakai hentam keromo sahaja. Tapi, alhamdulillah keputusannya memberangsangkan.

Bulan Mei menyaksikan saya baru sahaja membeli laptop baru akibat penyakit yang dihidapi oleh laptop lama. Pertengahan Mei pula, saya mengambil penyertaan dalam perkhemahan HaluanSiswa di Tanjung Malim.

Masuk sahaja Jun, saya pergi bercuti di rumah mak saya di Sandakan. Selama hampir 3 bulan di sana. Banyak pengalaman yang saya dapat bila berada di sana. Terutamanya dari segi budaya.

Bulan Ogos saya pulang ke Negeri Sembilan untuk menyambut Aidilfitri. Aidilfitri disambut seperti biasa. September pula saya masuk ke semester baru iaitu semester 3. Kawan-kawan berubah kerana saya telah ditukarkan ke kelas lain akibat penyusunan semula oleh UiTM.

Pada Oktober, panggilan haji kepada Nenek, Pak Tih & Mak Tih, Pak Ndak & Mak Ndak tiba. Mereka pergi menunaikan rukun Islam ke-5 itu dengan tenang. Mereka pulang pada awal November.

Pada Disember pula, saya lebih suka memerhatikan keadaan sekeliling. Dengan politik yang menegang, ekonomi dunia turun naik, sosial masyarakat menjadi-jadi, namun program-program agama banyak diadakan. Alhamdulillah.


30/12/2011
Penulis genap 22 tahun


AZAM TAHUN BARU @ AZAM UMUR BARU?

Bercakap mengenai azam, sudah banyak azam yang saya azamkan. Azam tahun ini pun tidak terlaksana lagi. Kalau ada pun, secara on-off. Namun, tidak salah saya merasakan kita meletakkan niat untuk melakukan perkara baik di hari esok di samping tidak melupakan muhasabah diri mengenai apa yang telah kita lakukan dan apa kita telah sumbangkan pada tahun ini mahupun tahun sebelumnya.

Kalau dari segi pelajaran, saya suka menangguhkan kerja dan malas berjumpa lecturer. Ini akan saya cuba ubahkan mulai saat ini. Sudut ibadah pula, suka meringankan perkara sunat dan makruh. Sudut da’wah pula, malas hendak membaca buku-buku fikrah. Sedangkan saya sudah diajar untuk meletakkan target sepanjang bulan untuk mengukur prestasi diri masing-masing. Namun, saya mengambil remeh perkara tersebut. Ini juga akan saya usahakan.

Dari segi kewangan, habis bercelaru. Finance student fail to manage their Financial Planning? – Embarrassing –

Dengan sedikit kekuatan yang ada dalam diri, insyaAllah saya akan cuba mengurusnya dengan lebih baik. Moga Allah permudahkan.

PERTINGKATKAN IMAN, MENGAWAL HAWA NAFSU

Tulis memang senang. Dah ada dalam situasi tertentu, halal haram dipandang sepi. Bagi saya, kalau kita hendak meningkatkan iman, sibukkan diri dengan perkara berfaedah. Sibukkan diri sampai letih. Letih itu akan mempersempitkan masa kita untuk merancang aktiviti maksiat dan mungkar yang terlintas di fikiran dan terdetik di hati.

Teringat pesan kawan saya – Dalam dunia ini, ada 2 perkara. Kalau bukan Islam, ianya Jahiliah dan sebaliknya – Ya. Saya setuju. Kalau kita tidak menyibukkan diri dalam perkara yang berkaitan Islam, nescaya kita akan diburu oleh perkara Jahiliah. Hawa nafsu sentiasa menunggu kita alpa lalu merentap masa kita untuk diisi dengannya.

MEMPERBAIKI AKHLAK

Akhlak menurut pemahaman saya adalah satu perbuatan yang mana ianya bukan dibuat-buat. Ianay terjemahan spontan apa yang ada dalam diri. Kita sering tengok orang melatah atau mengkritik seseorang. Lihat pada apa yang terpacul dari mulut mereka. Daripada situ, kita dapat tahu tinggi atau rendahnya akhlak seseorang itu. Memang ianya tidak menggambarkan keseluruhan peribadi seseorang itu, namun kita dapat tahu sedikit akhlak mereka dari segi perkataan yang dituturkan, tidak begitu?

Bergaul berlainan jantina ada akhlaknya. Bergurau dengan rakan dan sahabat ada akhlaknya, Bersemangat dalam politik ada akhlaknya. Malah dalam berhibur pun ada akhlaknya. Lihat indahnya Islam. Hikmahnya mencakupi keseluruhan hidup penganutnya. Namun, itu yang menjadi masalah bagi saya. Saya tidak berjaya mengaplikasikannya dalam hidup. Namun, tiada salahnya berusaha untuk memperbaiki. Saya cuma risau dengan fenomena tempangnya satu-satu da’wah itu kerana ketempangan akhlak yang dimiliki oleh penyebar-penyebar risalah Islam.

HARAPAN HANYA TINGGAL HARAPAN

Ya. Itulah ungkapan yang kita sering dengar. Tanpa usaha, ianya menjadi seperti angan-angan Mat Jenin. Saya berdoa supaya Allah mempermudahkan dan menguatkan saya dan kalian untuk mencapai apa yang diharapkan.Semoga hidup saya dan kalian lebih baik dari semalam, lebih baik dari tahun-tahun lepas. Apa yang kita harapakan? Menjadi lebih matang. Ya. Lebih matang. InsyaAllah.

Ya Allah, bantulah hamba-hambaMu ini.

 – Wassalam –


Rembau 
4 Safar 1433H



Read more...

Saturday, November 26, 2011

Salam Ma'al Hijrah 1433H



Assalamu'alaikum w.b.t kepada semua pembaca.

Sudah pun masuk tahun baru Islam 1433H. Walaupun ianya tidak semeriah sambutan tahun baru Miladiyah, namun ia dikenangi jua oleh sebilangan masyarakat. Muharram diletakkan sebagai bulan pertama dalam takwim Islam yang mengikut peredaran bulan. 

Muharram disepakati oleh para sahabat terdahulu dalam menentukan bulan yang pertama. Ia juga merupakan bulan yang diharamkan berperang pada zaman Rasulullah SAW dahulu.

Justeru itu, saya sebagai owner blog ini hendak meminta maaf kepada semua pembaca atas silap dan salah saya, keterlanjuran kata saya, tersindir atau membuatkab pembaca berasa sakit hati dan sebagainya. Semoga kalian semua memaafkan saya dan Allah SWT mengampunkan dosa-dosa saya.

Marilah kita semua meletakkan azam kita untuk terus menjadi lebih baik daripada tahun lepas. Perancangan yang rapi boleh melicinkan perjalanan kita untuk melakukan perubahan. 1432H telah berlalu, dan marilah kita semua bemuhasabah untuk melihat di mana kesilapan dan kekurangan diri kita.

Oleh itu, saya ingin berkongsi satu do'a. Iaitu doa awal tahun yang sering dikumandangkan saban tahun di masjid-masjid ketika masuknya waktu Maghrib 1 Muharram. :-

" Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan sekalian alam. Rahmat dan sejahteri ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan atas keluarga dan sahabat-sahabat Baginda sekalian. Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada, tiada permulaan. Kelebihan-Mu Maha Besar dan kemurahan-Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepada-Mu agar terlepihara kami sekalian di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga daripada kuncu-kuncu syaitan dan bala tenteranya. Dan kami mohon daripada-Mu akan pertolongan untuk mengalahkan runtunan nafsu amarah ( Nasfu yang mendorong ke arah kejahatan ). Kami mohon juga kepada-Mu Ya Allah akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia. Ya Allag tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat."

Semoga dosa kita diampunkan dan memulakan tahun baru dengan perkara-perkara kebajikan.
Wassalam.



Rembau
1 Muharram 1433H

Read more...

Saturday, November 19, 2011

Merindui Saat Itu

Selamat menyambut bulan Zulhijjah iaitu bulan yang terakhir dalam takwim hijrah kita sebagai orang Islam. Rasanya tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca. Seperti mana yang kita tahu, Aidiladha diraikan bagi mengenang dan menghayati pengorbanan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam mentaati perintah Allah.

Tambahan lagi, Zulhijjah adalah bulan yang terakhir Al-Quran diturunkan. Ini melambangkan syumulnya Islam dalam bulan Zulhijjah di mana Rasulullah SAW menyampaikan khtubah baginda yang terakhir. Jika kita amati apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW ketika itu, ia akan memberi kesan kepada hidup kita.

Selamat Hari Raya Aidiladha 1432H
Maaf Zahir & Batin

Mengenang peristiwa itu, kita sebagai umat Islam hendaklah dituntut untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 iaitu menunaikan haji. Oleh itu, saya hendak berkongsi pengalaman ketika berada di Tanah Suci pada tahun 2010.

Alhamdulillah Allah SWT pilih saya untuk menunaikan haji pada tahun itu. Yang sebenarnya, emak saya yang namanya naik untuk menunaikan haji. Akan tetapi, syaratnya adalah mesti membawa mahram untuk menemani. Allah izin pada masa itu, saya baru sahaja menamatkan pengajian di Kolej Teknologi Darulnaim dalam bidang Diploma Perakaunan pada bulan 6.

Perancangan awal, emak saya berhajat hendak pergi menunaikan haji bersama allahyarham ayah saya. Tapi, dia telah dipanggil pulang oleh Allah SWT sekitar 5 tahun yang lepas akibat kanser usus. Pada 10 tahun yang lepas, kami bertiga diizinkan oleh Allah SWT untuk menunaikan umrah bersama-sama ahli keluarga yang lain. Ketika itu, saya berumur 12 tahun dan alhamdulillah ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Banyak perubahan dari segi infrastruktur yang dilakukan kerajaan Arab Saudi demi keselesaan jemaah.

Tanggal 28/10/2010 saya berlepas ke Tanah Suci. Sebelum itu, para jemaah dikehendaki berkumpul di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya selewat-lewatnya 4 jam awal. Ini penting kerana di sana akan diagihkan segala peralatan yang diperlukan seperti tiket, sticker jemaah dan sebagainya. Sekitar dalam jam 12.00 malam, kami dikehendaki masuk ke dalam dewan besar untuk mendengar taklimat penerbangan dan sebagainya. Kira-kira dalam jam 4 pagi, kami dibawa menuju ke KLIA dengan menaiki bas dan diiringi oleh pihak polis.

Kompleks Kelana Jaya

Oleh kerana kami terus terbang ke kota Makkah, maka jemaah dikehendaki mengenakan kain ihram ketika di Kelana Jaya lagi. Ini kerana kami akan berniat melakukan haji di atas kapal terbang ketika melintasi kawasan bermiqat iaitu Qarnul Manazil. Berlainan jemaah yang berlepas awal dahulu yang mana mereka terus ke Madinah untuk melakukan ziarah dan baru menuju ke Makkah untuk melaksanakan ibadah haji. Mereka pula akan memasang niat atau bermiqat di Bir Ali.

Bagi penerbangan dari Malaysia, saya melihat hanya 2 jenis kapal terbang yang digunakan iaitu MAS & Saudi Arabia Airlines. Ketika itu, saya menaiki Saudi Arabia Airlines. Ketika berada di atas kapal terbang, waktu subuh hendak hampir habis. Dalam keadaan ini, jemaah hendaklah melakukan jua solat subuh dengan niat untuk menghormati waktu. Tidak perlu wudhu’  ketika itu. Apabila sampai di Makkah nanti, hendaklah diqadhakan semula solat. Ini telah dibincangkan dan diputuskan oleh fatwa antarabangsa.

Setibanya di ruang udara Arab Saudi, saya dapat melihat pemandangan bukit bukau di tengah-tengah padang pasir. Terbayang saya bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat yang menyebarkan da’wah menegakkan Islam di tengah-tengah panas pada waktu siang dan sejuk menggigit di malam hari. Agak-agaknya bagaimanalah baginda dan para sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah yang jaraknya lebih kurang 450km dengan keadaan muka bumi yang begitu.


Pemandangan dari atas Saudi Arabia Airlines

Setelah lebih 8 jam di atas kapal terbang, tibalah kami di Lapangan Terbang Jeddah. Kami turun di situ dan dibawa oleh bas airport untuk masuk ke dalam kaunter pemeriksaan. Ketika itu, sudah ramai jemaah yang sedang diperiksa. Passport diambil dan disimpan oleh pihak berkuasa ketika itu bagi melancarkan urusan haji selama sebulan lebih.

Lapangan Terbang Jeddah

Selepas itu, kami menunggu bas untuk bergerak ke kota Makkah. Setibanya di sana, kami ditempatkan di maktab 75 lebih kurang 850m dari Masjidil Haram. Pada malam itu, jemaah dibawa terus ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf. Oleh kerana saya pilih melakukan haji Tamattu’, tempoh ihram saya tidak lama iaitu sehingga saya melakukan sai’e. Berbeza dengan haji Ifrad yang mana boleh melepaskan ihramnya selepas tamatnya melontar di jamrah.


Penulis selepas melepaskan ihram


Jemaah mula memasuki Masjidil Haram


Selepas hampir 3 minggu di kota Makkah, tibalah waktu wukuf di padang Arafah. Wukuf dilakukan pada tarikh 9 Zulhijjah selepas gelincirnya matahari. Tidak berwukuf akan menyebabkab haji kita terbatal kerana ianya rukun haji dan bukannya wajib haji yang mana jika kita tidak buat wajib haji akan dikenakan dam tapi haji sah. Khutbah haji di sampaikan oleh khatib di padang itu. Pada waktu inilah, digalakkan berzikir dan berdoa sebanyak-banyaknya kerana ianya salah satu masa yang doa kita dimakbulkan. Keadaan di padang Arafah, dipenuhi dengan khemah-khemah untuk jemaah.


Wukuf di Arafah

Setelah selesai berwukuf , malam itu kami bergerak ke Muzdalifah untuk mengutip batu yang akan dilontar di ketiga-tiga jamrah di Mina nanti. Ada jemaah yang berjalan kaki dari padang Arafah ke Muzdalifah. Di sana, kami mengutip 70 biji anak batu untuk dilontar. Seperti mana yang kita tahu, batu-batu di Tanah Haram tidak boleh dibawa keluar dari Tanah Haram. Oleh sebab itu, kami dikehendaki memeriksa selipar dan kasut kami bagi memastikan tiada batu melekat yang dibawa pulang ke tanah air nanti.

Dalam masa beberapa jam menunggu, saya melihat ada jemaah yang berjalan kaki juga dari Muzdalifah ke Mina sambil bertalbiah dan ada juga yang mengalunkan takbir raya. Begitu ramai yang berbondong-bondong menuju ke Mina. Ketika itu teringat keluarga di tanah air yang sedang bergembira untuk menyambut hari raya Aidiladha.


Kutip anak batu di Muzdalifah untuk melontar di Mina

Sampai sahaja di Mina, kami ditempatkan dalam kanopi yang dalam satu khemah itu boleh memuatkan 10 orang maksimum. Kami akan bersiap-siap untuk melontar pertama iaitu Jamrah Aqabah / Jamrah Kubra. Menuju ke tempat melontar tersangatlah sesak kerana ianya lontaran yang pertama oleh semua jemaah haji. Alhamdulillah susunan yang sistematik oleh pihak pengurusan Tabung Haji telah memudahkan urusan jemaah haji Malaysia. Kami berjalan memasuki terowong Muaissim yang mana dahulunya telah mencatatkan kematian yang ramai kerana begitu sesak di dalam terowong yang lebih kurang sepanjang 200m itu.

Pulang dari melontar, saya melakukan tahallul iaitu dengan mencukur rambur saya. Selesai tahallul, maka terlepaslah saya dari pantang-larang dalam ihram yang ada 10 itu kecuali yang 3 yang masih tidak boleh dilakukan sehingga kami melakukan sai’e haji. Ketika di Mina, saya menerima berita bahawa imam di masjid kampung saya telah meninggal di dunia ketika melakukan tawaf di Kaabah. Dikhabarkan meninggal akibat serangan jantung. Innalillah. Ketika itu, saya masih berada di Mina dan akan bertolak ke kota Makkah dalam beberapa hari lagi. Di Mina juga ketika itu banjir sehingga menghanyutkan banyak selipar jemaah haji. Saya juga diizinkan Allah SWT terserempak dengan pak cik yang selalu bertandang ke surau ketika saya belajar di Kelantan dahulu. Masing-masing terkejut dan akhirnya bertegur sapa.


Tempat melontar yang baru dibina secara bertingkat

Selepas beberapa hari, saya pulang ke kota Makkah untuk melakukan tawaf haji dan sai’e haji. Ada jemaah yang sudah melakukan nafar awal dan mereka telah habis awal. Ketika inilah Masjidil Haram begitu sesak kerana jemaah sedang bertumpu di Kaabah untuk melengkapkan ibadah haji. Alhamdulillah selesainya saya melakukan sai’e haji, maka lengkaplah ibadah haji saya.


Tempat sai'e paling atas sekali



Penulis ketika selesai melengkapkan ibadah haji

Selepas itu, kami berpakat di dalam kumpulan kami untuk melakukan umrah sunat. Kami memilih untuk berniat di Tana’im. Selesai tawaf dan sai’e maka selesailah umrah sunat kami. Selepas itu, kami menunggu masa untuk bertolak ke Madinah untuk melakukan ziarah makam Rasulullah SAW dalam masa beberapa hari lagi.


Tibanya sudah hari terakhir saya di Makkah. Sayu hati untuk meninggalkan kota yang penuh barakah ini. Jemaah dikehendaki untuk melakukan tawaf  Wada’ iaitu tawaf selamat tinggal. Dalam mazhab Syafi’i, tawaf ini wajib untuk dilakukan bagi mereka yang hendak meninggalkan Makkah. Ianya adalah perbuatan yang terakhir dilakukan oleh jemaah. Tidak boleh untuk bershopping selepas itu kerana selesai sahaja tawaf, jemaah akan terus naik bas dan bergerak ke Madinah. Sedihnya hati saya memandang Kaabah ketika itu dan sambil memasang harapan supaya Allah SWT mengizinkan saya untuk ke Makkah beberapa kali lagi. InsyaAllah.

Gambar terakhir Masjidil Haram pada waktu selepas Isyak
Malam terakhir di Masjidil Haram

Sepanjang perjalanan ke Madinah yang jaraknya lebih kurang 450km itu, saya dapat melihat pemandangan sepanjang perjalanan di sana. Bezanya di Malaysia, kiri dan kanan jalan adalah pokok-pokok menghijau, kedai, perumahan dan sebagainya. Di sana, pemandangannya adalah padang pasir yang ada bukit bukau, unta-unta yang berkeliaran, masjid-masjid lama. Di kesempatan itu, saya terlihat jua adanya monyet padang pasir yang agak besar berbanding monyet di Malaysia.


Pemandangan sepanjang perjalanan ke Madinah


Sesampainya di kota Madinah, kami ditempatkan hotel Al-Haram. Kebanyakan hotel di sini terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi. Madinah yang kini lebih tersusun pembangunannya mempamerkan pemandangan yang begitu cantik terutamanya pada waktu malam. Pada masa itu, terik matahari pada siang hari tidak terasa kerana Allah SWT telah mengizinkan angin yang sejuk mengiringi terik matahari itu. Alhamdulillah nyaman sekali. Digambarkan saya tidak berpeluh ketika berada di sana. Tidur di dalam bilik pun tidak perlu memasang aircond. Alhamdulillah.


Tempat menginap jemaah Malaysia - Hotel Al-Haram di Madinah

Masjid Nabawi yang sudah banyak perubahan itu juga sangat menarik. Payung yang kadang terbuka dan tertutup itu memayungi jemaah sebagai bumbung. Dalam masjid pula, kelihatan sistematik daripada Masjidil Haram. Ini kerana di Masjidil Haram, solat berjemaah bercampur lelaki dan perempuan terutamanya di tingkat atas. Bukannya pihak masjid membenarkan, tapi ada jemaah yang ingin solat di hadapan untuk melihat Kaabah. Di Masjid Nabawi pula, penghadang diletakkan antara lelaki dan perempuan.

Apa yang istimewanya Masjid Nabawi ini adalah kerana terletaknya jasad Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq & Saidina Umar Al-Khattab. Jemaah dibenarkan mengunjungi makam baginda dan para sahabat pada bila-bila masa. Pada hemat saya, lebih mudah untuk pergi menziarahi dengan masuk melalui pintu Babus Salam. Ini adalah pintu yang selalu digunakan Rasulullah SAW untuk masuk ke masjid. Sekiranya anda berada di depan makam, anda akan ditegur oleh pengawal makam sekiranya anda menadah tangan untuk berdoa. Pengawal akan menyuruh anda memalingkan badan ke arah kiblat dan bukannya kearah makam.

Tempat tumpuan di dalam masjid ini adalah Raudhah. Ia merupakan kawasan di antara rumah Rasulullah SAW dengan mimbar baginda. Kalau anda hendak mengenali mana satu Raudhah, permaidani di kawasan itu berwarna hijau dan tiang masjid di kawasan itu ada ukiran bunga. Itulah dia tempat yang paling mustajab berdoa dan ia dikenali dengan taman-taman syurga. Ada orang mengatakan bagaimana orang yang tidak mampu ke sana kerana mereka tidak berpeluang untuk ke taman-taman syurga. Persoalan ini sudah dijawab oleh Rasulullah SAW sejak dulu lagi yang mana majlis ilmu juga adalah sebahagian daripada taman-taman syurga. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu menghadiri sebarang majlis ilmu.


Selesai solat Subuh di Masjid Nabawi

Sepanjang saya di Madinah yang saya lawati seperti Masjid Quba. Ini adalah masjid pertama yang dibina di atas muka bumi ini oleh Rasulullah SAW. Terdapat ganjaran yang lumayan sekiranya kita berpeluang untuk menunaikan solat atau ibadah lain di sana. Selain itu, masjid Qiblatain ( masjid 2 qiblat ) yang mana sirah menceritakan ketika mana Rasulullah SAW sedang solat, baginda mendapat wahyu untuk memalingkan badan 180 darjah ke belakang untuk menukarkan arah kiblat yang asal iaitu menghadap Masjidil Aqsa di Palestin kepada Kaabah di Masjidil Haram, Makkah. Selain itu, saya juga dapat melihat daripada jauh Masjid Jumaah iaitu masjid yang didirikan solat jumaat yang pertama di muka bumi ini.


Masjid Quba
Seterusnya kami dibawa melawat perkuburan Baqi’. Ia menempatkan lebih kurang 10000 ahli jenazah. Saiditina Aishah RA dimakamkan di sini dan ahlul bait yang lain. Sekiranya ada jemaah Malaysia meninggal di Madinah, insyaAllah akan dikuburkan di situ. Kami juga dibawa ke kebun kurma yang terletak berhampiran dengan Masjid Quba. Kurma yang paling mahal ialah kurma Ajwah. Ia adalah kurma yang ditanam Rasulullah SAW. Harga kurma tersebut jika ditanam di tanah halal adalah 60 Riyal 1kg. Kalau ditanam di tanah haram adalah 120 Riyal 1kg.

Kebun kurma


Perkuburan Baqi

Selain itu kami dibawa ke Jabal Uhud yang menyaksikan peperanagan Uhud. Panjang Jabal Uhud sekitar lebih 2km. Di sana, terdapatnya makam 70 syuhada Uhud yang dikelilingi oleh pagar tembok. Jika anda melihat ada satu makam yang bertanda batu, itu ialah makam Saidina Hamzah RA. Di sebelah kawasan makam pula, terdapat pula bukit pemanah. Sirah merakamkan, di atas bukit itulah tentera muslimin menunggu tentera kafir Quraisy yang hendak datang menyerang. Daripada situ, kita boleh melihat nun di atas bukit sana ada bangunan-bangunan yang difahamkan itu adalah Universiti Madinah. Pada masa pertempuran Uhud, itu adalah tapak khemah orang kafir Quraisy. Kem atau markas tentera muslimin pula terletak di lereng Jabal Uhud.



Bukit Pemanah
Universiti Madinah di balik bukit sana


Makam Syuhada Uhud
Setelah berada 8 hari di Madinah, kami bersiap untuk pulang. Sememangnya dalam pergerakan jemaah haji, 8 hari diperuntukkan supaya jemaah dapat solat berjemaah sebanyak 40 waktu di Masjid Nabawi supaya dapat ganjaran pahala yang dijanjikan. Pada malam untuk terkahir di Madinah, seorang pakcik telah meninggal dunia. Berita itu sungguh menyedihkan jemaah lain kerana allahyarham telah dapat menyempurnakan haji dengan sempurna dan dipanggil pulang oleh Allah SWT di Madinah jua.

Bersama ibunda pada petang terakhir di Masjid Nabawi
Berlatarbelakangkan Babus Salam

Itulah pengalaman saya ketika saya menunaikan rukun ke-5 ini. Saya berharap Allah SWT mengizinkan saya sekali lagi untuk menunaikan haji pada masa hadapan. Dan akhir sekali saya ingin berkongsi do’a yang popular dalam kalangan jemaah haji ketika menunaikan haji :-  “Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan haji yang mabrur, dosa yang diampun dan usaha yang dipuji, amalan soleh yang di terima dan perniagaan yang tidak rugi.”


UiTM Bandaraya Melaka
22 Zulhijjah 1432H




Read more...