Saturday, November 19, 2011

Merindui Saat Itu

Selamat menyambut bulan Zulhijjah iaitu bulan yang terakhir dalam takwim hijrah kita sebagai orang Islam. Rasanya tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca. Seperti mana yang kita tahu, Aidiladha diraikan bagi mengenang dan menghayati pengorbanan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam mentaati perintah Allah.

Tambahan lagi, Zulhijjah adalah bulan yang terakhir Al-Quran diturunkan. Ini melambangkan syumulnya Islam dalam bulan Zulhijjah di mana Rasulullah SAW menyampaikan khtubah baginda yang terakhir. Jika kita amati apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW ketika itu, ia akan memberi kesan kepada hidup kita.

Selamat Hari Raya Aidiladha 1432H
Maaf Zahir & Batin

Mengenang peristiwa itu, kita sebagai umat Islam hendaklah dituntut untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 iaitu menunaikan haji. Oleh itu, saya hendak berkongsi pengalaman ketika berada di Tanah Suci pada tahun 2010.

Alhamdulillah Allah SWT pilih saya untuk menunaikan haji pada tahun itu. Yang sebenarnya, emak saya yang namanya naik untuk menunaikan haji. Akan tetapi, syaratnya adalah mesti membawa mahram untuk menemani. Allah izin pada masa itu, saya baru sahaja menamatkan pengajian di Kolej Teknologi Darulnaim dalam bidang Diploma Perakaunan pada bulan 6.

Perancangan awal, emak saya berhajat hendak pergi menunaikan haji bersama allahyarham ayah saya. Tapi, dia telah dipanggil pulang oleh Allah SWT sekitar 5 tahun yang lepas akibat kanser usus. Pada 10 tahun yang lepas, kami bertiga diizinkan oleh Allah SWT untuk menunaikan umrah bersama-sama ahli keluarga yang lain. Ketika itu, saya berumur 12 tahun dan alhamdulillah ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Banyak perubahan dari segi infrastruktur yang dilakukan kerajaan Arab Saudi demi keselesaan jemaah.

Tanggal 28/10/2010 saya berlepas ke Tanah Suci. Sebelum itu, para jemaah dikehendaki berkumpul di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya selewat-lewatnya 4 jam awal. Ini penting kerana di sana akan diagihkan segala peralatan yang diperlukan seperti tiket, sticker jemaah dan sebagainya. Sekitar dalam jam 12.00 malam, kami dikehendaki masuk ke dalam dewan besar untuk mendengar taklimat penerbangan dan sebagainya. Kira-kira dalam jam 4 pagi, kami dibawa menuju ke KLIA dengan menaiki bas dan diiringi oleh pihak polis.

Kompleks Kelana Jaya

Oleh kerana kami terus terbang ke kota Makkah, maka jemaah dikehendaki mengenakan kain ihram ketika di Kelana Jaya lagi. Ini kerana kami akan berniat melakukan haji di atas kapal terbang ketika melintasi kawasan bermiqat iaitu Qarnul Manazil. Berlainan jemaah yang berlepas awal dahulu yang mana mereka terus ke Madinah untuk melakukan ziarah dan baru menuju ke Makkah untuk melaksanakan ibadah haji. Mereka pula akan memasang niat atau bermiqat di Bir Ali.

Bagi penerbangan dari Malaysia, saya melihat hanya 2 jenis kapal terbang yang digunakan iaitu MAS & Saudi Arabia Airlines. Ketika itu, saya menaiki Saudi Arabia Airlines. Ketika berada di atas kapal terbang, waktu subuh hendak hampir habis. Dalam keadaan ini, jemaah hendaklah melakukan jua solat subuh dengan niat untuk menghormati waktu. Tidak perlu wudhu’  ketika itu. Apabila sampai di Makkah nanti, hendaklah diqadhakan semula solat. Ini telah dibincangkan dan diputuskan oleh fatwa antarabangsa.

Setibanya di ruang udara Arab Saudi, saya dapat melihat pemandangan bukit bukau di tengah-tengah padang pasir. Terbayang saya bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat yang menyebarkan da’wah menegakkan Islam di tengah-tengah panas pada waktu siang dan sejuk menggigit di malam hari. Agak-agaknya bagaimanalah baginda dan para sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah yang jaraknya lebih kurang 450km dengan keadaan muka bumi yang begitu.


Pemandangan dari atas Saudi Arabia Airlines

Setelah lebih 8 jam di atas kapal terbang, tibalah kami di Lapangan Terbang Jeddah. Kami turun di situ dan dibawa oleh bas airport untuk masuk ke dalam kaunter pemeriksaan. Ketika itu, sudah ramai jemaah yang sedang diperiksa. Passport diambil dan disimpan oleh pihak berkuasa ketika itu bagi melancarkan urusan haji selama sebulan lebih.

Lapangan Terbang Jeddah

Selepas itu, kami menunggu bas untuk bergerak ke kota Makkah. Setibanya di sana, kami ditempatkan di maktab 75 lebih kurang 850m dari Masjidil Haram. Pada malam itu, jemaah dibawa terus ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf. Oleh kerana saya pilih melakukan haji Tamattu’, tempoh ihram saya tidak lama iaitu sehingga saya melakukan sai’e. Berbeza dengan haji Ifrad yang mana boleh melepaskan ihramnya selepas tamatnya melontar di jamrah.


Penulis selepas melepaskan ihram


Jemaah mula memasuki Masjidil Haram


Selepas hampir 3 minggu di kota Makkah, tibalah waktu wukuf di padang Arafah. Wukuf dilakukan pada tarikh 9 Zulhijjah selepas gelincirnya matahari. Tidak berwukuf akan menyebabkab haji kita terbatal kerana ianya rukun haji dan bukannya wajib haji yang mana jika kita tidak buat wajib haji akan dikenakan dam tapi haji sah. Khutbah haji di sampaikan oleh khatib di padang itu. Pada waktu inilah, digalakkan berzikir dan berdoa sebanyak-banyaknya kerana ianya salah satu masa yang doa kita dimakbulkan. Keadaan di padang Arafah, dipenuhi dengan khemah-khemah untuk jemaah.


Wukuf di Arafah

Setelah selesai berwukuf , malam itu kami bergerak ke Muzdalifah untuk mengutip batu yang akan dilontar di ketiga-tiga jamrah di Mina nanti. Ada jemaah yang berjalan kaki dari padang Arafah ke Muzdalifah. Di sana, kami mengutip 70 biji anak batu untuk dilontar. Seperti mana yang kita tahu, batu-batu di Tanah Haram tidak boleh dibawa keluar dari Tanah Haram. Oleh sebab itu, kami dikehendaki memeriksa selipar dan kasut kami bagi memastikan tiada batu melekat yang dibawa pulang ke tanah air nanti.

Dalam masa beberapa jam menunggu, saya melihat ada jemaah yang berjalan kaki juga dari Muzdalifah ke Mina sambil bertalbiah dan ada juga yang mengalunkan takbir raya. Begitu ramai yang berbondong-bondong menuju ke Mina. Ketika itu teringat keluarga di tanah air yang sedang bergembira untuk menyambut hari raya Aidiladha.


Kutip anak batu di Muzdalifah untuk melontar di Mina

Sampai sahaja di Mina, kami ditempatkan dalam kanopi yang dalam satu khemah itu boleh memuatkan 10 orang maksimum. Kami akan bersiap-siap untuk melontar pertama iaitu Jamrah Aqabah / Jamrah Kubra. Menuju ke tempat melontar tersangatlah sesak kerana ianya lontaran yang pertama oleh semua jemaah haji. Alhamdulillah susunan yang sistematik oleh pihak pengurusan Tabung Haji telah memudahkan urusan jemaah haji Malaysia. Kami berjalan memasuki terowong Muaissim yang mana dahulunya telah mencatatkan kematian yang ramai kerana begitu sesak di dalam terowong yang lebih kurang sepanjang 200m itu.

Pulang dari melontar, saya melakukan tahallul iaitu dengan mencukur rambur saya. Selesai tahallul, maka terlepaslah saya dari pantang-larang dalam ihram yang ada 10 itu kecuali yang 3 yang masih tidak boleh dilakukan sehingga kami melakukan sai’e haji. Ketika di Mina, saya menerima berita bahawa imam di masjid kampung saya telah meninggal di dunia ketika melakukan tawaf di Kaabah. Dikhabarkan meninggal akibat serangan jantung. Innalillah. Ketika itu, saya masih berada di Mina dan akan bertolak ke kota Makkah dalam beberapa hari lagi. Di Mina juga ketika itu banjir sehingga menghanyutkan banyak selipar jemaah haji. Saya juga diizinkan Allah SWT terserempak dengan pak cik yang selalu bertandang ke surau ketika saya belajar di Kelantan dahulu. Masing-masing terkejut dan akhirnya bertegur sapa.


Tempat melontar yang baru dibina secara bertingkat

Selepas beberapa hari, saya pulang ke kota Makkah untuk melakukan tawaf haji dan sai’e haji. Ada jemaah yang sudah melakukan nafar awal dan mereka telah habis awal. Ketika inilah Masjidil Haram begitu sesak kerana jemaah sedang bertumpu di Kaabah untuk melengkapkan ibadah haji. Alhamdulillah selesainya saya melakukan sai’e haji, maka lengkaplah ibadah haji saya.


Tempat sai'e paling atas sekali



Penulis ketika selesai melengkapkan ibadah haji

Selepas itu, kami berpakat di dalam kumpulan kami untuk melakukan umrah sunat. Kami memilih untuk berniat di Tana’im. Selesai tawaf dan sai’e maka selesailah umrah sunat kami. Selepas itu, kami menunggu masa untuk bertolak ke Madinah untuk melakukan ziarah makam Rasulullah SAW dalam masa beberapa hari lagi.


Tibanya sudah hari terakhir saya di Makkah. Sayu hati untuk meninggalkan kota yang penuh barakah ini. Jemaah dikehendaki untuk melakukan tawaf  Wada’ iaitu tawaf selamat tinggal. Dalam mazhab Syafi’i, tawaf ini wajib untuk dilakukan bagi mereka yang hendak meninggalkan Makkah. Ianya adalah perbuatan yang terakhir dilakukan oleh jemaah. Tidak boleh untuk bershopping selepas itu kerana selesai sahaja tawaf, jemaah akan terus naik bas dan bergerak ke Madinah. Sedihnya hati saya memandang Kaabah ketika itu dan sambil memasang harapan supaya Allah SWT mengizinkan saya untuk ke Makkah beberapa kali lagi. InsyaAllah.

Gambar terakhir Masjidil Haram pada waktu selepas Isyak
Malam terakhir di Masjidil Haram

Sepanjang perjalanan ke Madinah yang jaraknya lebih kurang 450km itu, saya dapat melihat pemandangan sepanjang perjalanan di sana. Bezanya di Malaysia, kiri dan kanan jalan adalah pokok-pokok menghijau, kedai, perumahan dan sebagainya. Di sana, pemandangannya adalah padang pasir yang ada bukit bukau, unta-unta yang berkeliaran, masjid-masjid lama. Di kesempatan itu, saya terlihat jua adanya monyet padang pasir yang agak besar berbanding monyet di Malaysia.


Pemandangan sepanjang perjalanan ke Madinah


Sesampainya di kota Madinah, kami ditempatkan hotel Al-Haram. Kebanyakan hotel di sini terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi. Madinah yang kini lebih tersusun pembangunannya mempamerkan pemandangan yang begitu cantik terutamanya pada waktu malam. Pada masa itu, terik matahari pada siang hari tidak terasa kerana Allah SWT telah mengizinkan angin yang sejuk mengiringi terik matahari itu. Alhamdulillah nyaman sekali. Digambarkan saya tidak berpeluh ketika berada di sana. Tidur di dalam bilik pun tidak perlu memasang aircond. Alhamdulillah.


Tempat menginap jemaah Malaysia - Hotel Al-Haram di Madinah

Masjid Nabawi yang sudah banyak perubahan itu juga sangat menarik. Payung yang kadang terbuka dan tertutup itu memayungi jemaah sebagai bumbung. Dalam masjid pula, kelihatan sistematik daripada Masjidil Haram. Ini kerana di Masjidil Haram, solat berjemaah bercampur lelaki dan perempuan terutamanya di tingkat atas. Bukannya pihak masjid membenarkan, tapi ada jemaah yang ingin solat di hadapan untuk melihat Kaabah. Di Masjid Nabawi pula, penghadang diletakkan antara lelaki dan perempuan.

Apa yang istimewanya Masjid Nabawi ini adalah kerana terletaknya jasad Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq & Saidina Umar Al-Khattab. Jemaah dibenarkan mengunjungi makam baginda dan para sahabat pada bila-bila masa. Pada hemat saya, lebih mudah untuk pergi menziarahi dengan masuk melalui pintu Babus Salam. Ini adalah pintu yang selalu digunakan Rasulullah SAW untuk masuk ke masjid. Sekiranya anda berada di depan makam, anda akan ditegur oleh pengawal makam sekiranya anda menadah tangan untuk berdoa. Pengawal akan menyuruh anda memalingkan badan ke arah kiblat dan bukannya kearah makam.

Tempat tumpuan di dalam masjid ini adalah Raudhah. Ia merupakan kawasan di antara rumah Rasulullah SAW dengan mimbar baginda. Kalau anda hendak mengenali mana satu Raudhah, permaidani di kawasan itu berwarna hijau dan tiang masjid di kawasan itu ada ukiran bunga. Itulah dia tempat yang paling mustajab berdoa dan ia dikenali dengan taman-taman syurga. Ada orang mengatakan bagaimana orang yang tidak mampu ke sana kerana mereka tidak berpeluang untuk ke taman-taman syurga. Persoalan ini sudah dijawab oleh Rasulullah SAW sejak dulu lagi yang mana majlis ilmu juga adalah sebahagian daripada taman-taman syurga. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu menghadiri sebarang majlis ilmu.


Selesai solat Subuh di Masjid Nabawi

Sepanjang saya di Madinah yang saya lawati seperti Masjid Quba. Ini adalah masjid pertama yang dibina di atas muka bumi ini oleh Rasulullah SAW. Terdapat ganjaran yang lumayan sekiranya kita berpeluang untuk menunaikan solat atau ibadah lain di sana. Selain itu, masjid Qiblatain ( masjid 2 qiblat ) yang mana sirah menceritakan ketika mana Rasulullah SAW sedang solat, baginda mendapat wahyu untuk memalingkan badan 180 darjah ke belakang untuk menukarkan arah kiblat yang asal iaitu menghadap Masjidil Aqsa di Palestin kepada Kaabah di Masjidil Haram, Makkah. Selain itu, saya juga dapat melihat daripada jauh Masjid Jumaah iaitu masjid yang didirikan solat jumaat yang pertama di muka bumi ini.


Masjid Quba
Seterusnya kami dibawa melawat perkuburan Baqi’. Ia menempatkan lebih kurang 10000 ahli jenazah. Saiditina Aishah RA dimakamkan di sini dan ahlul bait yang lain. Sekiranya ada jemaah Malaysia meninggal di Madinah, insyaAllah akan dikuburkan di situ. Kami juga dibawa ke kebun kurma yang terletak berhampiran dengan Masjid Quba. Kurma yang paling mahal ialah kurma Ajwah. Ia adalah kurma yang ditanam Rasulullah SAW. Harga kurma tersebut jika ditanam di tanah halal adalah 60 Riyal 1kg. Kalau ditanam di tanah haram adalah 120 Riyal 1kg.

Kebun kurma


Perkuburan Baqi

Selain itu kami dibawa ke Jabal Uhud yang menyaksikan peperanagan Uhud. Panjang Jabal Uhud sekitar lebih 2km. Di sana, terdapatnya makam 70 syuhada Uhud yang dikelilingi oleh pagar tembok. Jika anda melihat ada satu makam yang bertanda batu, itu ialah makam Saidina Hamzah RA. Di sebelah kawasan makam pula, terdapat pula bukit pemanah. Sirah merakamkan, di atas bukit itulah tentera muslimin menunggu tentera kafir Quraisy yang hendak datang menyerang. Daripada situ, kita boleh melihat nun di atas bukit sana ada bangunan-bangunan yang difahamkan itu adalah Universiti Madinah. Pada masa pertempuran Uhud, itu adalah tapak khemah orang kafir Quraisy. Kem atau markas tentera muslimin pula terletak di lereng Jabal Uhud.



Bukit Pemanah
Universiti Madinah di balik bukit sana


Makam Syuhada Uhud
Setelah berada 8 hari di Madinah, kami bersiap untuk pulang. Sememangnya dalam pergerakan jemaah haji, 8 hari diperuntukkan supaya jemaah dapat solat berjemaah sebanyak 40 waktu di Masjid Nabawi supaya dapat ganjaran pahala yang dijanjikan. Pada malam untuk terkahir di Madinah, seorang pakcik telah meninggal dunia. Berita itu sungguh menyedihkan jemaah lain kerana allahyarham telah dapat menyempurnakan haji dengan sempurna dan dipanggil pulang oleh Allah SWT di Madinah jua.

Bersama ibunda pada petang terakhir di Masjid Nabawi
Berlatarbelakangkan Babus Salam

Itulah pengalaman saya ketika saya menunaikan rukun ke-5 ini. Saya berharap Allah SWT mengizinkan saya sekali lagi untuk menunaikan haji pada masa hadapan. Dan akhir sekali saya ingin berkongsi do’a yang popular dalam kalangan jemaah haji ketika menunaikan haji :-  “Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan haji yang mabrur, dosa yang diampun dan usaha yang dipuji, amalan soleh yang di terima dan perniagaan yang tidak rugi.


UiTM Bandaraya Melaka
22 Zulhijjah 1432H



1 comment: