Showing posts with label Petikan Soal Jawab. Show all posts
Showing posts with label Petikan Soal Jawab. Show all posts

Wednesday, January 21, 2015

Solat Ketika Ditimpa Musibah Banjir

SOALAN

Asalamualaikum Ustaz, sahabat saya mintak tolong tanya pada ustaz. Kes dia mcm ni, kalau badan perempuan tu kotor kena lumpur banjir lepas tu tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh buat jamak ke? Kes lagi satu, kalau baju kotor kena lumpur. Bnjir lepas tu ada tempat solat tapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak ustaz tolong jelaskan. Syukran jazakallah.


JAWAPAN

Wa’alaikumussalam,

Solat fardhu sentiasa wajib dalam apa jua keadaan selagi beraqal dan waras. Ia juga wajib fardhu 'ain ke atas setiap individu Muslim dan muslimah walau dalam keadaan banjir.

Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185) 

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas yang ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.

Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.




KESIMPULAN 

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad.

Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat jama' itu, wudhu tetap WAJIB diambil.

Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu.

Cuma para ulama bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah.

Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir




 BERCAMPUR LELAKI WANITA

Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di tempat wudhu’, wudhu masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :

1) Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhu’.
2) Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhu’.
3) Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil wudhu.

Adaptasi :- zaharuddin.net

Bandar Baru Bangi
30 Rabiul Akhir 1435H


Read more...

Monday, November 12, 2012

Ijazah Hasil Meniru

SOALAN

Seorang pelajar memperoleh ijazah dari sebuah university, namun ketika peperiksaan dia sering meniru. Dia kemudian menggunakan ijazah tersebut sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan. Adakah gaji bulanannya halal?




JAWAPAN ( Syeikh ‘ Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz, Mufti Arab Saudi )

Dia wajib bertaubat kepada Allah SWT atas perbuatannya menipu dalam peperiksaan dan menyesal terhadap perbuatan tersebut.

Pekerjaan dan gaji yang diperolehnya itu halal selama mana dia melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Bagaimanapun, dia wajib bertaubat kepada Allah SWT atas perbuatan mungkarnya itu. Taubat dapat menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

Adaptasi:- Gen-Q 15


UiTM Bandaraya Melaka
27 Zulhijjah 1433H



Read more...

Wednesday, October 31, 2012

Terbatal Kerana Terpegang

SOALAN

Nasri berada dalam keadaan berwudhu' dan keluar menuju ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dengan menaiki bas. Di dalam bas, dia membayar tambang kepada konduktor perempuan berbangsa cina. Ketika mengambil baki, tangannya tersentuh jari wanita itu. Dia berfikir, adakah wudhu'nya terbatal? Sedangkan dia tidak sengaja.


JAWAPAN

Dalam masalah ini, wudhu' Nasri telah terbatal kerana bersentuhan dengan bersentuhan dengan kulit perempuan ajnabi. Walaupun kulit yang disentuh itu sedikit, ia tetap mambatalkan wudhu'. Sentuhan ini pula tidak mensyaratkan ia berlaku pada tapak tangan sahaja. Semua bahagian kulit daripada anggota badan bukan mahram yang tersentuh termasuk dalam salah satu perkara yang membatalkan wudhu'.

Berbeza dengan menyentuh kemaluan selepas berwudhu', hanya tapak tangan sahaja yang merupakan kawasan anggota badah yang membatalkan wudhu' jika menyentuhnya.




Sama ada tersentuh, menyentuh ataupun disentuh, menurut perkiraan para ulama mazhab Syafi'i hukumnya sama sahaja. Keadaan yang berlaku daripada ketiga-tiga tindakan ini boleh membatalkan wudhu' seseorang.

Begitu juga, ulama tidak membezakan individu yang bersentuhan itu sama ada Muslim atau tidak. Asalkan ia berlaku dalam kalangan bukan mahram, maka wudhu' salah seorang atau kedua-dua mereka terbatal. Namun, jika ada yang memakai sarung tangan atau sentuhan itu berlaku di atas lapik, ia tidak mengapa.

Jadi, Nasri perlu mengambil wudhu' semula apabila sampai ke masjid sebelum menunaikan solat Jumaat.

Adaptasi :- Gen-Q 14

Rembau
15 Zulhijjah 1433H


Read more...

Wednesday, August 1, 2012

Baca Majalah Hiburan

Soalan :- 
Bolehkah membaca majalah hiburan?

Jawapan :-

Risalah Islam datang dengan perintah supaya umatnya membudayakan sikap membaca. Ia boleh menambah ilmu di samping dapat mengangkat martabat seseorang itu di sisi Allah.




Namun, bolehkah bahan hiburan dijadikan bacaan?

Pada asalnya, nilaian hukum pada bacaan itu dilihat pada isi kandungannya. Jika ianya baik dan tidak melanggar syarak, maka ia dibenarkan. Jika sebaliknya, maka ia tidak dibenarkan malah wang yang digunakan untuk membeli bahan itu terlibat dengan penyumbangan ke arah dosa  kerana menyokong bahan tersebut.

Bahan bacaan unsur hiburan pada masa kini telah bercampur di antara yang baik dan buruk. Perempuan dan lelaki dijadikan model dan tanpa segan silu mendedahkan aurat. Isi kandungannya pula penuh dengan umpatan, kejian, mengadu-domba dan melaga-lagakan antara seseorang dengan orang yang lain.




Maka, bahan bacaan ini jelaslah tidak dibenarkan dalam Islam kerana mengandungi perkara yang ditegah oleh Allah SWT.

Oleh sebab itu, pilihlah bahan bacaan yang baik iaitu boleh mendatangkan manfaat kepada diri. Hiburan yang baik dalam Islam dan ajarannya.

Berusahalah membiasakan perkara ini sedikit demi sedikit, insya-Allah kita akan diberi pertolongan oleh Allah SWT untuk mengamalkannya.

Adaptasi :- Gen-Q 11

UiTM Bandaraya Melaka
13 Ramadhan 1433H


Read more...

Wednesday, July 25, 2012

Cium Anak


SOALAN


Bolehkah seorang ayah mencium anak perempuannya atau seorang ibu mencium anak lelakinya walaupun sudah dewasa?


JAWAPAN

Diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak, Saidatina Aisyah berkata, " Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih mirip dengan Rasulullah SAW dalam ucapan dan perkataan daripada Fatimah RA. Apabila Fatimah datang kepada Baginda, Baginda mengucapkan selamat datang kepadanya, berdiri menyambutnya, kemudia memegang tangannya, menciumnya dan mendudukkan Fatimah di tempat duduk beliau. " Kata Imam az-Zahabi, " Hadith ini sahih."

Tidak ada dosa dan kesalahan bagi seorang ayah untuk mencium puterinya yang sudah besar ataupun yang masih kecil tanpa disertai syahwat. Namun dinasihatkan supaya ciuman itu diarahkan ke pipi seorang anak atau sebaliknya apabila telah dewasa.

Ciuman pada bibir terkadang akan menggerakkan nafsu dan syahwat ditambah pula dengan suasana zaman sekarang yang memandang bahawa ciuman mulut ke mulut adalah ciuman kemesraan pasangan kekasih. Maka meninggalkannya lebih utama dan lebih hati-hati.

Demikian pula si anak, boleg baginya mencium ayahnya pada hidung atau kepalanya tanpa disertai syahwat. Seorang ibu juga bole mencium anak lelakinya di dahi, pipi atau di kening dan begitulah sebaliknya. Adapun apabila ciuman itu disertai syahwat walaupun dibahagian mana sekalipun, maka haram hukumnya supaya menutup fitnah dan menutup ruang yang membawa kepada perkara keji.


Adaptasi :- Gen-Q 10


UiTM Bandaraya Melaka
6 Ramadhan 1433H



Read more...

Sunday, June 10, 2012

Tinggal Solat Kerana Studi

Soalan
Ustaz, apakah hukumnya belajar dan mengulangkaji sehingga lewat malam kerana menghadapi peperiksaan, sehingga tertinggal solat Subuh? Adakah pendapatan daripada kerjaya seseorang akan menjadi haram kerana kejayaannya dahulu adalah dengan mengulangkaji pelajaran hingga tidak solat Subuh?

Jawapan

Ada dua isu yang dinyatakan di sini. Pertama iaitu mengulang kaji pelajaran lewat malam hingga meninggalkan solat. Hal ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Solat adalah kewajipan dan rukun Islam yang kedua. Berjaya dalam kehidupan juga adalah tuntutan Islam, namun tidaklah sehingga menyebabkan agama tergadai. Haram hukumnya meninggalkan solat dengan sengaja. Sekiranya sudah berlalu, maka bertaubatlah kepada Allah SWT, qada semula solat yang ditinggalkan dan gandakan amalan soleh.



Isu status sumber pendapatan daripada kerja yang ditawarkan kepada individu kerana keputusan cemerlang, namun dicemarkan dengan usaha yang tidak sepatutnya seperti meninggalkan solat, maka sumber pendapatannya halal insya-Allah. Selagi kerja tersebut halal di sisi Islam, maka halal juga hasilnya.

Namun ada kemungkinan kurangnya keberkatan rezeki daripada cara sedemikian, dan semuanya bawah kuasa dan pengetahuan Allah SWT.

Tanda rezeki yang berkat, walaupun sedikit, namun ia mencukupi. Sekiranya rezeki yang banyak itu berkat, petandanya ia cukup dan bermanfaat pula untuk orang lain. Rezeki  yang tidak berkat pula, walaupun ia banyak, namun ia masih tidak cukup dan tidak pula bermanfaat kepada orang lain.



Bagi para remaja yang masih belajar, ustaz nasihatkan supaya menjaga waktu solat anda. Jangan jadikan studi sebagai alasan untuk meninggalkan solat. Banyakkan berdoa dan memohon ampun daripada Allah SWT. Keberkatan dalam hidup adalah kebahagiaan sebenar bagi setiap insan.

Adaptasi:- Ustaz Mohd Azrul Ismail; Gen-Q 09

UiTM Bandaraya Melaka
20Rejab 1433H


Read more...

Monday, February 13, 2012

Kitab Al-Hikam

SOALAN : 
Apakah kitab al-Hikam?

JAWAPAN : 

Ianya adalah salah satu kitab klasik yang sangat popular dalam dunia Islam sejak berabad-abad lamanya dan menjadi bacaan utama dalam pengajian tasawuf di pondok-pondok pengajian di Nusantara.



Ia dikarang oleh Syeikh Ibnu Ataillah as-Sakandari ( wafat 709H ) yang hidup di Mesir pada zaman Dinasti Mameluk. Beliau lahir di kota Iskandariyah dan kemudian menetap di Mesir.

Selain mengajar fikah termasuk di Masjid al-Azhar, beliau memimpin Tarekat Syadziliyah.

Sumber :- Q&A Isu Perdana


Rembau
20 Rabiulawal 1433H



Read more...

Saturday, January 21, 2012

Hidayah Seorang Muslim


SOALAN


Perlukah meminta hidayah sedangkan kita telah jadi seorang Muslim?


JAWAPAN

Manusia perlu meminta hidayah secara berterusan kerana sifat semulajadi hati yang sentiasa berbolak-balik. Sabda Rasulullah SAW :- " Sesungguhnya hati-hati keturunan Adam, kesemuanya itu di antara dua jari daripada jari-jemari Tuhan Yang Maha Pemurah, Dia boleh sahaja membolak-balikkan ke mana-mana sahaja yang disukai-Nya." - Riwayat Muslim -




Petunjuk akan mantap pada hati yang mantap; begitulah sebaliknya, petunjuk longgar pada hati yang kacau. Imam Fakhruddin ar-Razi dalam tafsirnya menjawab persoalan ini dengan menyatakan bahawa seseorang itu perlu terus meminta hidayah kerana jalan yang dipinta itu adalah jalan para nabi.

Untuk mengikuti tingkah laku para nabi, kita memerlukan segala keupayaan yang bermula dengan meminta dan bermohon agar terus mendapat hidayah.


Rembau
26 Safar 1433H



Read more...

Wednesday, December 28, 2011

Aurat Di Hadapan Non-Muslim




Situasi:-


Seorang perempuan Islam tidak menutup aurat di hadapan lelaki non-Muslim.

Jawapan:-

Berkenaan aurat di hadapan orang lelaki non-Muslim - perkara ini ustaz rasa sudah jelas kepada kita bahawa membuka aurat kepada lelaki non-Muslim adalah haram sama sekali. Secara logik akalnya, sedangkan syarak menuntut wanita Muslimah menutup aurat di hadapan lelaki ajnabi seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, inikan pula kepada lelaki ajnabi non-Muslim yang sama sekali berlainan akidah dengan kita.

Sehinggakan ada pendapat sebahagian ulama mazhab Maliki dan Hambali yang menyatakan had aurat seorang wanita Muslimah dengan wanita kafir adalah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan, maka had aurat bersama lelaki non-Muslim adalah lebih utama dan wajib untuk dijaga. 



Ini kerana berkemungkinan seorang lelaki kafir berpegang kepada ajaran agamanya yang menyatakan tidak salah melihat anggota badan wanita lain. Ini lebih merbahaya dan mengundang fitnah yang lebih besar kepada wanita.

Ustaz melihat sebahagian di kalangan wanita Muslimah yang memandang remeh perkara ini. Contohnya ada situasi wanita Muslimah tidak segan silu "free hair" apabila orang bukan Islam datang menjual barang di rumah atau lalu di hadapan rumah mereka tatkala mereka menyidai pakaian. Namun, apabila ada seorang Muslim yang datang, cepat-cepat cari tudung kononnnya kena tutup aurat.



Pelik, bukan? Menutup aurat bukan kepada orang Islam sahaja bahkan kepada seluruh manusia mengikut garis panduan syarak.

Adaptasi : Info daripada Ustaz Mohd Azrul Ismail


Rembau
3 Safar 1433H



Read more...

Thursday, December 1, 2011

Kadang-Kadang - Apakah Tandanya Itu?

Kadang-kadang...                                                                                                                                
Jiwa kacau risau tentang masa depan,

Hati sesak dengan karenah manusia yang tidak memahami,
Jiwa sukar berlapang dada,
Hati disempitkan dengan sangkaan buruk terhadap saudara lain,
Hati sentiasa ingin marah,
Hati mula berjinak dengan nafsu yang Allah tidak redha,                                             Apakah tandanya itu?

Kadang-kadang...                                                                                                                                  Akal lupa tujuan asal hidup,Diri terasa enak berlingkar dengan maksiat,
Hati puas melakukan perkara yang tidak berbuah amal,
Jasad duduk enak tanpa berbuat ma'aruf,                                                                       Apakah tandanya itu?


Kadang-kadang...                                                                                                                            Air mata terlalu sukar untuk dititiskan untuk-Nya,
Hati mula mengeras,                                                                                                                      Fikiran melayang untuk perkara sia-sia,                                                                                   Hati mula berputus asa terhadap rahmat dan nikmat-Nya.,                                   Apakah tandanya itu?

Kadang-kadang...                                                                                                                                  Diri mula meminta yang berlebihan,Hati mula meminta untuk yang bukan haq,
Diri rasa sudah cukup,
Lidah terlalu keras untuk mengalunkan zikir,                                                                   Apakah tandanya itu?

Kadang-kadang...                                                                                                                                  Cemburu terhadap nikmat dan rezeki insan lain,Diri berpura baik di hadapan manusia,
Hati merasa perbuatan dosa sebagai tidak apa,
Diri sentiasa mahu dipuji,                                                                                                    Apakah tandanya itu?


Kadang-kadang...                                                                                                                               Hati tidak yakin dengan janji-Nya,Diri menyesal dengan setiap taqdir-Nya,
Hati sentiasa mencari aib dan salah orang lain,
Diri sentiasa ingin memuaskan selain dari Allah,                                                       Apakah tandanya itu?

Kadang-kadang...                                                                                                                                  Hati merasa bebas dari jagaan Allah,Merasa diri milik mutlaq diri sendiri,
Hati merasa aman melanggar amanah,
Merasakan tiada yang lebih penting melainkan diri sendiri,                                   Apakah tandanya itu?

Kadang-kadang...                                                                                                                                  Diri terlalu banyak beralasan,Setiap perbuatan tidak terniat untuk Allah,
Diri mula berasa berat untuk sembah dan sujud kepada-Nya,
Telinga lebih enak dilagukan dengan selain ayat-ayat suci-Nya,                               Apakah tandanya itu?

Kadang-kadang...                                                                                                                               Mulut lebih senang berbicara tentang dunia dari manisnya syurga,Redha manusia lebih dicari daripada redha Allah,
Merasa cinta manusia lebih asyik daripada cinta Allah,
Hati tidak rindu untuk bertemu-Nya,
Hati mula disempitkan dengan dunia,
Diri sombong tidak mahu meminta kepada-Nya,
Setiap akal, jiwa dan jasad terikat dengan dunia,                                                       Apakah tandanya itu?



Itu tandanya hati kita cedera ATAU mati.                                                                Samada minta Allah pulihkan hati kita ATAU rahmati kita dengan hati yang baru.


UiTM Bandaraya Melaka
5 Muharram 1433H


Read more...

Friday, November 25, 2011

Lalai

Petikan daripada surah al-Ma'un:-

4. Maka kecelakaan besar bagi orang yang sembahyang.

5. ( Iaitu ) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.




Soalan :-
Apakah maksud ayat dalam surah al-Ma'un berikut?

Jawapan :-

Ayat keempat menggambarkan kelalaian mereka daripada menunaikan solat. Lalai yang dimaksudkan dalam ayat ini dihuraikan dalam ayat yang kelima dan juga dalam ayat lain. 

Ibn kathir mengemukakan pandangan yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Masruq dan Abud Dhuha bahawa lalai yang ditekankan ini melibatkan tiga bentuk :-

  • Melaksanakan solat lewat daripada waktu yang sebenarnya, atau menundakannya hingga ke akhir waktu
  • Lalai daripada melaksanakannya mengikut ketetapan rukun dan syarat.
  • Lalai daripada menghayati kandungan solat. Dalam penggunaan lain ia merujuk kepada ketiadaan khusyuk.



UiTM Bandaraya Melaka
28 Zulhijjah 1432H

Read more...