Sunday, June 10, 2012

Tinggal Solat Kerana Studi

Soalan

Ustaz, apakah hukumnya belajar dan mengulangkaji sehingga lewat malam kerana menghadapi peperiksaan, sehingga tertinggal solat Subuh? Adakah pendapatan daripada kerjaya seseorang akan menjadi haram kerana kejayaannya dahulu adalah dengan mengulangkaji pelajaran hingga tidak solat Subuh?

Jawapan

Ada dua isu yang dinyatakan di sini. Pertama iaitu mengulang kaji pelajaran lewat malam hingga meninggalkan solat. Hal ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Solat adalah kewajipan dan rukun Islam yang kedua. Berjaya dalam kehidupan juga adalah tuntutan Islam, namun tidaklah sehingga menyebabkan agama tergadai. Haram hukumnya meninggalkan solat dengan sengaja. Sekiranya sudah berlalu, maka bertaubatlah kepada Allah SWT, qada semula solat yang ditinggalkan dan gandakan amalan soleh.



Isu status sumber pendapatan daripada kerja yang ditawarkan kepada individu kerana keputusan cemerlang, namun dicemarkan dengan usaha yang tidak sepatutnya seperti meninggalkan solat, maka sumber pendapatannya halal insya-Allah. Selagi kerja tersebut halal di sisi Islam, maka halal juga hasilnya.

Namun ada kemungkinan kurangnya keberkatan rezeki daripada cara sedemikian, dan semuanya bawah kuasa dan pengetahuan Allah SWT.

Tanda rezeki yang berkat, walaupun sedikit, namun ia mencukupi. Sekiranya rezeki yang banyak itu berkat, petandanya ia cukup dan bermanfaat pula untuk orang lain. Rezeki  yang tidak berkat pula, walaupun ia banyak, namun ia masih tidak cukup dan tidak pula bermanfaat kepada orang lain.



Bagi para remaja yang masih belajar, ustaz nasihatkan supaya menjaga waktu solat anda. Jangan jadikan studi sebagai alasan untuk meninggalkan solat. Banyakkan berdoa dan memohon ampun daripada Allah SWT. Keberkatan dalam hidup adalah kebahagiaan sebenar bagi setiap insan.

Adaptasi:- Ustaz Mohd Azrul Ismail; Gen-Q 09

UiTM Bandaraya Melaka
20Rejab 1433H

No comments:

Post a Comment