Wednesday, June 13, 2012

Jiwa Kacau

Jiwa itu sangat berkait dengan hati. Hati pula sangat akrab dengan niat. Jika kita berniat mengenali seseorang untuk berkongsi ilmu, maka aura ilmulah yang akan memenuhi fikiran kita. Jika kita berniat mengenali seseorang untuk menumpang glamour, mengikis duitnya dan mempergunakannya demi kepentingan diri, maka tempias keburukanlah akan mengiringi hidup kita. Begitu hebatnya kuasa niat.

Niatlah setiap hari perkara yang baik kerana Allah SWT kasih kepada insan yang sentiasa dalam perancangan yang baik.




Jika jiwa kita berniat dengan bersulamkan nafsu dan kebencian, maka tidak peliklah sekiranya keletihan dan sakit hati yang akan diperolehi. Bak kata orang muda, " Jiwa Kacau ". Maka dengan itu, jiwalah yang menjadi kompas kita yang mencari magnet ketenangan dan kebahagiaan. Kita digalakkan untuk sentiasa berbisik pada hati perkara-perkara kebenaran. Sekiranya hati dibiarkan sepi, maka taman hati itu akan dipenuhi dengan lalang dan semak samun. Lantas dengan terujanya, segerombolan syaitan cuba meneroka taman hati kita.



Mari kita semak apakah sindrom-sindrom hati (dipenuhi semak-samun@jiwa kacau) sedang melanda diri kita atau tidak?

  • Suka bergaduh walaupun dalam perkara kecil
  • Melihat kejayaan orang lain sebagai satu ancaman pada diri
  • Sering berasa tidak bahagia dan tidak puas dengan nikmat yang dimiliki
  • Sukar memberi dan menerima maaf
  • Asyik menyebut dan memikirkan hal-hal buruk, kotor dan negatif

Jika ada sindrom-sindrom tersebut, marilah kita bersegera mencari penawar. Mohon kepada Allah agar ketenangan bersama diri sepanjang waktu.

Adaptasi :- Gen-Q 09

UiTM Bandaraya Melaka
23 Rejab 1433H

No comments:

Post a Comment