Thursday, November 15, 2012

Semangat Baru

Assalamu'alaikum warahmatullah.


Rasanya sudah lama saya tidak berceloteh sendirian dalam kolum Celoteh Blogger ini. Memandangkan hari ini adalah cuti am, maka bolehlah saya mengemaskini kolum ini sekarang.




Alhamdulillah, pertamanya kita sudah melangkah ke tahun baru Islam. Meskipun yang sebenarnya tahun baru Islam bukanlah di awal Muharram kerana ini diperkenalkan oleh Saidina Umar RA, namun tidak perlulah kita mempertikaikannya dalam hendak melakukan amalan-amalan yang dipuji seperti membaca do'a akhir tahun dan awal tahun. Kerana di dalam intipati do'a itu mempunyai masuk yang mendalam. Namun, janganlah kita menganggap ianya tidak boleh dibaca kerana Rasulullah SAW tidak pernah melakukannya. Ambil sahaja semangat untuk berhijrah tanpa menanggapnya satu kemestian yang perlu dilakukan bila masuk awal Muharram.

Apa yang menggembirakan saya ialah apabila saya melihat surau kediaman yang saya menetap seakan-akan hendak penuh. Alhamdulillah. Bila Allah hendak memberi peluang kepada kita untuk beribadah, maka bersyukurlah. Ada orang yang hatinya hendak ke surau, tetapi ada kekangan. Ada juga yang memang hendak ke surau, dan Allah izinkannya ke surau dengan menggerakkan hati dan anggotanya. Maka bersyukurlah dan janganlah kita berasa bangga kerana boleh turun ke surau kerana tanpa izinNya, kita tidak punya apa-apa.




Pada malam harinya, saya dan rakan sebilik bersembang pelbagai cerita. Rakan sebilik saya merupakan Pengerusi surau tempat yang saya menetap. Seorang yang saya sangat kagumi.  Banyak perkongsian yang kami bualkan sehingga kami terlelap awal daripada biasa. Sebelum jam 11 kami sudah melayari bahtera di alam maya. Keletihan yang amat.

Dan apabila kami terjaga serentak pada jam 2 pagi, kelaparan mula menyerang. Lalu kami pergi mengisi perut dengan roti naan dan ayam tandoori di kedai. Saya ingatkan semuanya lelaki yang akan makan bersama, rupanya ada 3 gadis turut serta. Tapi tidak mengapa kerana tujuan kami adalah hendak makan, bukannya bergurau senda di awal pagi. Saya cuma meraikan pelawaan kawan-kawan. Ini juga satu perubahan. SmiLe!!



Marilah kita semua menitipkan rasa ingin berhijrah daripada perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Dan apa yang paling penting, apabila kita sudah berubah, janganlah kita merasakan diri kita sudah cukup baik. Ajaklah rakan-rakan yang lain untuk melakukan kebaikan. Sematkanlah semangat baru supaya kita sering istiqamah berada di atas jalan menuju redha Allah.

Wallahu'alam.


UiTM Bandaraya Melaka
1 Muharram 1434H


No comments:

Post a Comment