Friday, November 2, 2012

Ikatan Yang Manis

Kali ini saya hendak berkongsi pandangan mengenai cinta. Kalau kita lihat pada masa kini, ramai orang yang bercinta samada di alam persekolahan, IPT mahupun di alam pekerjaan. Dan ada juga yang baru berjinak-jinak dengan percintaan yang pertama dan ada juga yang sudah beberapa kali. Perlu saya tegaskan di sini bahawa saya bukanlah hendak mempromosikan cinta sebelum perkahwinan tapi hendak berkongsi pandagan saya mengenai cinta.



Cinta. Satu perkara yang indah. Bak kata orang; kalau dah bercinta, kentut pasangan pun berbau wangi. Itulah penangan cinta. Namun, ada pihak yang berlebih-lebihan dengan cinta dan ada juga yang menolak cinta.


Mari kita selusuri orang yang berlebih-lebihan dalam cinta terlebih dahulu. Berdasarkan pemerhatian, golongan ini sangat menyayangi pasangannya. Akan tetapi, gagal mengawal diri sehingga terbabas dan tergelincir ke lembah maksiat. Memang pada mulanya, pasangan itu adalah segalanya. Namun, jika berlaku sesuatu yang buruk dalam perhubungan seperti putus/clash, segala yang buruk mengenai pasangan akan diungkit satu demi satu. Adakah ini cinta?


Seterusnya, mari kita lihat golongan mereka yang menolak cinta pula. Kebiasannya, hujah yang digunakan adalah; bercouple itu haram. Nanti dulu. Apakah percintaan itu perlu dengan bercouple? Dan golongan ini biasanya adalah golongan yang dikenali sebagai ahli surau, geng-geng tudung labuh, geng-geng da’wah dan sebagainya. Mungkin mereka ada pendapat sendiri mengenai tafsiran cinta ini. Apakah itu juga cinta?




Pada pandangan saya, cinta itu boleh. Cinta itu murni. Suci dan memotivasikan diri. Cinta itu membawa diri kita kearah yang lebih baik dan menghampiri syurga. Apa yang saya pegang adalah; Islam tidak mengajar umatnya membunuh fitrah, tapi Islam mengajar umatnya mengurus fitrah. Agar fitrah tidak menjadi fitnah. Begitu juga dengan cinta.


Lalu, bagaimana kita hendak mengurus fitrah ini?


Pertamanya, marilah kita meletakkan cinta kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan ibubapa kita mendahului daripada pasangan kita. Kerana itulah yang pastinya ada kaitan dengan kita. Sekalipun ibubapa kita bercerai ataupun hilang, namun adakah kita akan memanggil mereka; Mereka itu BEKAS ibubapa aku? Tiada kan? Jadi marilah kita mengutamakan apa yang sepatutnya.


Yang keduanya, jika kita ada berkenan kepada seseorang, nyatakanlah hajat kepadanya mengikut syarak. Jikalau mampu, segerakanlah perkahwinan. Jika tidak mampu, mintalah penangguhan dan dalam pada masa yang sama, kita berusaha kearah mampu. Baik dari segi ilmu, ibadah, akhlak, ekonomi dan pengurusan yang berkaitan. Tidak ada gunanya kita menanti seseorang itu, tanpa membuat apa-apa perubahan ataupun berusaha kearah mampu. Asyik duduk dengan angan-angan. Takut-takut, bila si pasangan hendak memberi jawapan, jawapan itu adalah tidak setuju/ tidak sudi, kita kehilangan arah. Sudahlah dia tidak menerima kita, kita pula tidak tertingkat apa-apa.


Dan akhir sekali mengikut pandangan saya, pastikanlah cinta itu berpaksi kepada keimanan. Bermatlamatkan keredhaan Allah SWT. Bagaimana? Dengan menyimpan niat untuk bersama-sama dengan pasangan kita menuju Jannah Allah SWT. Jika ada masalah, berbaliklah kepada pokok keimanan.




Itulah serba-sedikit mengenai pandangan saya. Bagi saya, ada dua kesilapan dalam bercinta. Pertama; mencintai orang yang salah. Kedua; mencintai orang yang betul tapi dengan cara yang salah. Maka, marilah kita saling bermuhasabah diri agar tidak dikelabui dengan indahnya percintaan. Dan sesungguhnya, percintaan selepas perkahwinan itu adalah yang terindah. Kerana pada masa itulah, kita hendak mula mengenali pasangan masing-masing dan saling lengkap melengkapi. Itulah ikatan yang manis.


Wallahua’lam.

Rembau
18 Zulhijjah 1433H

1 comment:

  1. teringat pula mase zaman muda2 remaja dulu...
    mase tu ramai malu nk mengaku dah ada bf/gf..kalo kwn2 dpt tau..mesti kecoh sgt..mcm dah tahap ptot masuk sokabar.haha
    tp skrg..yg single tu plak yg jd malu sbb dipndg seolah xlaku...
    hhehe..

    btwy. read and agree dgn pendapat kamu.keep writing..
    slm~

    ReplyDelete