Monday, January 5, 2015

Tahun 2015

Assalamu’alaikum WBT.

Alhamdulillah setelah hampir setahun blog ini tanpa coretan, hari ini saya berhajat untuk memulakannya kembali. Mungkin kerana sibuk dengan urusan kerja dan mula hendak menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru membuatkan saya tidak mempunyai kesempatan untuk berkongsi maklumat. InsyaAllah, dengan kehadiran tahun 2015 ini, saya akan cuba lebih konsisten untuk menulis.



Tahun 2014 telahpun berlalu dan kini kita melangkah ke tahun baru. Banyak perkara yang telah kita semua lalui sepanjang tahun lepas. Namun, mari kita kita tanya diri kita sendiri apakah dengan banyaknya perkara yang berlaku sepanjang tahun lepas menjadikan kita lebih matang, lebih berilmu, lebih banyak melakukan perkara-perkara baik dan sebagainya.




Jika kita hendak hitung tragedi yang berlaku dalam Malaysia sendiripun sudah banyak yang boleh kita ambil untuk dijadikan pengajaran. Kehilangan MH 370, nahas MH 17, kejatuhan matawang RM, gejala zina yang berleluasa, puting beliung, pesta arak secara besar-besaran, nahas Air Asia QZ8501 dan banjir besar yang melanda di sebahagian negeri di Malaysia. Namun, bagaimana kita memandang perkara ini? Adakah kita menganggapnya sebgai satu takdir? Atau kita menganggapnya sebagai peringatan dari Allah? Ataupun kita tidak merasai apa-apa?

Saya mengajak diri saya dan menyeru kepada sahabat sekalian agar kita sentiasa bermuhasabah diri. Apakah dengan ujian daripada Allah yang menimpa diri kita atau orang lain membuatkan diri kita semakin hampir dengan-Nya? Apakah apabila kita mempunyai sesuatu hajat membuatkan kita semakin dekat dengan-Nya? Jika ya, Alhamdulillah. Akan tetapi, masih ada manusia yang apabila mempunyai sesuatu hajat, mereka meminta pada yang lain seperti roh di kubur, pokok, tangkal dan sebagainya. Ada juga apabila diberi ujian oleh Allah seperti bencana, kehilangan harta benda dan sebagainya, mereka merungut dan mengeluh dan yang paling dibimbangi sekali apabila mereka mula menyalahkan Allah. Na’uzubillahiminzalik.




Semoga dengan setiap kejadian yang berlaku meningkatkan iman kita kepada Allah SWT dan menjadikan kita orang yang sentiasa bersabar dalam kehidupan. Dengan kehadiran tahun 2015 ini, marilah kita semua berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi hamba-Nya yang soleh. InsyaAllah. 


Rembau
14 Rabiul Awwal 1436H


1 comment: