Suatu hari, Nabi Musa AS telah keluar meninggalkan bumi Mesir dalam keadaan takut kerana Firaun dan konco-konconya berpakat untuk membunuh baginda. Namun, baginda tidak lupa untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT dan berdoa, “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.”
Lalu, baginda menuju ke negeri Madyan yang bukan merupakan wilayah jajahan kerajaan Firaun sambil mengharapkan naungan Allah SWT, “Moga-moga Tuhanku memberikan petunjuk kepadaku ke jalan yang lurus dan selamat.”
Benar, Allah SWT mengabulkan permintaan Nabi Musa AS. Baginda sampai ke negeri tersebut dengan selamat. Tiba-tiba, baginda terlihat sekumpulan manusia yang sedang berasak-asak di sebuah telaga untuk mengambil air bagi ternakan mereka. Sedangkan tidak jauh daripada itu, terdapat dua orang gadis yang berdiri bersama ternakan mereka juga sambil menunggu giliran. Mereka tidak seperti kumpulan tersebut yang saling bersaing, tetapi sanggup menunggu sehingga keadaan menjadi tenang.
Maka, baginda bertanya kepada mereka berdua, “Mengapa keadaan kamu berdua begini?” Tujuan pertanyaan itu adalah kerana merka berdua tidak bersama kumpulan manusia tadi mengambil air. Begitu juga, mereka menahan ternakan yang dibawa bersama daripada terus menuju kearah telaha yang berisi air bersama ternakan yang lain.
Lalu keduanya menjawab, “ Kami tidak akan mengambil air minuman itu melainkan pengembala-pengembala itu telah beredar pulang, dan kami juga mempunyai seorang bapa yang sudah tua.” Mendengar jawapan tersebut, Nabi Musa AS terus membantu mereka berdua mengambil air untuk minuman ternakan mereka.
Sambil terus memohon kebaikan daripada Allah SWT, salah seorang perempuan tadi berjalan dengan penuh malu ke arah baginda dan mengajaknya ke rumah atas jemputan bapanya untuk memberikan upah di atas pertolongannya itu. Akhirnya, baginda menerima jemputan tersebut dan tinggal di Madyan dalam keadaan selamat.
Sumber :- Gen-Q 6
Rembau
14 RabiulAwal 1433H
No comments:
Post a Comment