Sunday, February 26, 2012

Pandangan Masyarakat

Kebiasaan dalam masyarakat kita ada yang terlalu mengikut adat sehinggakan mengabaikan hukum dalam Islam. Namun, tidak salah sekiranya ianya masih dalam lingkungan batasan syarak dan tidak mendatangkan fitnah pada Islam.


Ada segilintir daripada masyarakat kita merasakan sesuatu perkara itu "mesti" dibuat. Pelbagai contoh yang kita boleh dapat dalam kehidupan seharian. Dari mula bangun tidur sehinggalah ke katil semula pada malam hari.





Kita semua tahu sekiranya ada seseorang meninggal di tempat kita, kita tidak perlulah dijemput baru hendak menghadirinya. Lain halnya sekiranya yang dijemput itu adalah walimatulurus. Namun, saya sesekali terfikir. Mengenai menjemput orang ramai bertandang ke rumah untuk mengadakan tahlil dan kenduri doa selamat. Saya bukan hendak mempertikaikan tahlil itu. Cuma saya cuba berfikir, orang itu baru kehilangan ahli keluarganya, tapi masih lagi mengeluarkan wang untuk tetamu menjamu selera di rumah mereka. Saya kadang-kadang rasa seperti membebankan pula tuan rumah yang masih dalam kesedihan itu.

Tambahan pula, ada doa selamat dilakukan. Saya kira tiada masalah sekiranya doa yang panjang itu ditukar dalam bahasa Malaysia. Itu lebih kita fahami. Dan biasanya saya melihat doa itu "diswastakan" kepada imam atau ustaz. Bagi saya, sekiranya yang meninggal itu adalah ibubapa, maka lebih afdhal anak yang mendoakan. Itu perkiraan saya. Dan yang paling penting, bukannya sekadar doa, tapi perbuatan kita sebagai anak boleh meningkatkan saham pahala ibubapa kita. InsyaAllah.




Kadang-kadang saya pelik juga mengenai botol air yang dibuka bilamana Yaasin dibaca. Pandangan masyarakat mengatakan bahawa berkat akan masuk dalam air itu. Memang disahkan bahawa air yang dibaca Al-Quran molekulnya berbeza dari air biasa. Itu keajaiban kuasa Allah. Tapi, kalau kita tidak buka tutup botol itu, adakah berkat itu "tidak berjaya" masuk? Dek kerana pandangan masyarakat, saya tidak ambil pusing sangat mengenainya.

Seterusnya kita ke kubur pula. Ada larangan yang mengatakan membaca Al-Quran di atas kubur. Tapi, itu saya menganggapnya perkara-perkara khilafiah. Ada orang yang membaca Yaasin dan membuat tahlil di atas kubur. Termasuk family saya. Tapi, saya berpendapat, sekiranya kita membaca di rumah atau dimana-mana, tapi niatkan untuk si mati, ia akan tetap sampai. Kerana Allah Maha Mengetahui. Ziarah ke kubur itu lebih elok mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah sambil membersihkan kubur. Lebih penting lagi, kita mengambil iktibar bersama-sama.




Kesimpulannya, tidak salah untuk mengamalkan adat, kepercayaan, kebiasaan selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Tapi, janganlah kita terlalu "rigid" bahawa sesuatu perkara itu "mesti" dibuat dan tidak boleh ditinggalkan. Terpulanglah kepada masing-masing dalam membuat penilaian.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.


Rembau
3 RabiulAkhir 1433H


No comments:

Post a Comment