Sunday, January 22, 2012

Berkat Doa Ibu

Juraij adalah seorang hamba yang taat beribadah kepada Allah SWT. Walaupun ibunya masih hidup, beliau lebih banyak menghabiskan masa di sebuah pondok yang didirikan bagi melakukan pelbagai amalan yang mendekatkannya kepada tuhan.

Suatu hari, ibu Juraij datang ke pondok beliau untuk berjumpa dengannya sedangkan beliau sedang mengerjakan solat sunat. Lalu, ibunya memanggil namanya, “ Wahai Juraij!” Juraij mendengar panggilan ibunya namun beliau berasa serba salah, “Ibuku atau solatku?” katanya di dalam hati.

Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk meneruskan solatnya dan tidak menyahut panggilan ibunya. Tetapi, ibunya terus memanggil Juraij. Sama seperti sebelumnya, setiap kali mendengar panggilan si ibu, Juraij berasa serba salah namun tetap meneruskan solat. Setelah panggilan ketiga tidak dijawab, ibu Juraij berkata, “ Semoga Allah SWT tidak mematikanmu sehingga kamu dapat melihat wajah para pelacur.” Kemudian, ibunya berlalu pulang ke rumah.




Pada masa tersebut, terdapat seorang wanita yang telah berzina dengan seorang pengembala yang tinggal berhampiran dengan pondok Juraij dan melahirkan seorang anak. Wanita tersebut dibawa ke hadapan raja lalu ditanyanya, “ Anak siapa ini?” Dia menjawab, “Anak Juraij.”

Raja bertanya lagi, “Pemilik pondok itu?” Dia menjawab, “Ya”. Mendengar jawapannya, raja terus memerintahkan agar pondok Juraij dirobohkan dan beliau diikat serta dibawa menghadapnya. Dalam perjalanan, beliau telah melalui sekumpulan manusia dan melihat para pelacur di kalangan mereka turut berada bersama.

Sampai di hadapan raja, beliau ditanya tentang pertuduhan yang dilakukan oleh wanita itu. Dengan penuh ketenangan, beliau meminta agar dibawakan si anak kepadanya lalu dia ditanya, “Siapa ayahmu?”. Dengan kuasa Allah SWT, bayi tersebut menjawab, “Si penggembala lembu.”




Raja dan orang ramai berasa terkejut dengan apa yang berlaku lalu meneyesali terhadap tuduhan palsu yang dilakukan ke atas Juraij. Untuk menebus kesalahan, raja bertanya kepada Juraij, “Adakah kami perlu membina semula pondokmu daripada emas?” Jawab Juraij, “Tidak”.
Daripada perak?"
Tidak.
“Maka bagaimana kami perlu membinanya?”
Beliau menjawab, “Kembalikan semula seperti keadannya yang asal."

Tetapi, mereka melihatnya tiba-tiba tersenyum lalu si raja bertanya, “Apa yang engkau senyumkan?”
Beliau berkata, “Kerana suatu perkara yang aku sedari, doa ibuku telah menimpa diriku.” Lalu beliau menceritakan kisah tersebut kepada mereka.


Rembau
27 Safar 1433H

1 comment: