Friday, January 13, 2012

Angaukan Ia

Suatu hari kita menjamah makanan yang sangat lazat. Keenakannya membuatkan hati ini seolah-olah berkata ingin dimakan kesemuanya. Meja yang besar cuba dipenuhi. Namun perut yang kecil menjadi penghalang. Selesai sahaja kita makan, perut sudah memulas. Nafas semakin lelah. Bahkan perut yang penuh tidak membuatkan kita teruja untuk menyuap lagi hidangan walaupun dijamu menu yang lebih menyelerakan. Bukan tidak sedap. Tetapi itulah dinamakan resmi perut. Bila lapar semuanya manis, bila kenyang semuanya pahit.


Bagaimana pula dengan pelaku maksiat? Bermula dengan rokok, kemudian arak, berjudi, ke disko dan akhirnya terjebak ke kancah penzinaan. Semua jenis wanita sudah dia gauli. Dari yang berkulit sawo matang, kuning langsat, hinggalah ke hitam metalik. Lalu akhirnya jika ditanya kepadanya. Apa lagi yang ia mahukan? Adakah tidak merasa bosan? Bukankah klimaks segala maksiat sudah dicapai 'KPI'nya?



Itulah realitinya dunia. Ada awal, ada juga kesudahannya. Kesimpulannya, kita sama sekali tidak akan mendapatkan kebahagiaan di dunia daripada awal hingga akhir kecuali kesudahan yang mencacatkan!

Jika kita inginkan kebahagiaan tanpa kebosanan carilah di syurga. Namun ramai yang tidak mencarinya hanya kerana ia tidak nampak di hadapan mata. Berapa ramai yang berimaginasi rumah idaman, kereta impian, anak dan keturunan. Namun jarang orang berfikir tentang istana syurga masa hadapan.



Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: " Allah berfirman:- Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaku yang soleh apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia."

Gambaran keindahan syurga membuatkan penghuninya menjadi begitu sibuk. Tetapi bukan sibuk seperti kesibukan dunia. Hakikatnya sibuk di sana adalah sibuk menikmati syurga sehingga terlupa sesiapa sahaja. Firman Allah SWT dalam surah Yaasin ayat 55 yang bermaksud : " Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-lenang dalam kesibukan  ( mereka )."




Percayalah, sekiranya kita masih dapat membayangkan keindahan syurga, maka itu bukanlah syurga sebenarnya. Kerana hakikat syurga ialah suatu yang tidak tergambar di mata, tidak terdengar di telinga dan tidak terdetik di hati.

Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami sedang angaukan syurga!


UiTM Bandaraya Melaka
18 Safar 1433H


4 comments:

  1. bagi step mcamna nak tukarnye pun...

    ReplyDelete
  2. pegi kat blog ana, pastu tekan kat Fibox.(utk pegi ke webnya).. login guna fb.. kemudian amik kod, ganti je kat dlm kod shoutmix (yg sebelum ni).. habis...

    kalau nak guna box lain pun boleh, seperti cbox ke dan lain2. Tapi kebanyakkan org dah pakai fibox...

    ReplyDelete