Tuesday, September 27, 2011

Sangat Hormat

Imam Malik sangat menghormati Rasulullah s.a.w. Meskipun Baginda s.a.w telah wafat, namun beliau tetap menghormati Baginda s.a.w. sehingga beliau tidak mahu menunggang kuda di dalam kota Madinah kerana hati dan jiwanya tidak tergamak melihat kaki kuda yang ditungganginya menginjak-injak tanah yang di dalamnya ada jasad mulia Rasulullah s.a.w.




Diceritakan bahawa beliau mempunyai beberapa ekor kuda yang cantik, pemberian beberapa orang hartawan kepada beliau sebagai hadiah. Oleh kerana orang ramai melihat kuda-kuda itu hanya tertambat di kandang rumahnya sahaja dan melihat beliau pula yang selalu berjalan kaki ketika hendak ke masjid kerana mengajar dan bersolat, maka mereka tidak pernah melihat beliau menunggang kuda sehingga ada orang yang bertanya kepada beliau :-


" Kenapa Tuan Guru tidak pernah menunggang kuda dan hanya menyimpannya sahaja? "


Beliau menjawab :- 


" Apakah aku tidak malu kepada Allah SWT jika aku menginjak kaki kudaku ke atas bumi yang di dalamnya ada tertanam jasad Rasulullah s.a.w.? "




Meskipun pada ketika usia beliau telah lanjut dan badannya telah terasa lemah serta sakit-sakit, beliau masih juga tidak mahu menunggang kudanya untuk pergi bersolat di masjid atau untuk menziarahi sahabat dan saudara maranya. 


Beliau lebih suka berjalan kaki demi hormatnya beliau kepada Rasulullah s.a.w.




Melaka Tengah
28 Syawal 1432H

Read more...

Saturday, September 24, 2011

Satelit NASA Dijangka Terhempas Ke Bumi

CAPE CANAVERAL (Florida): Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) mengesahkan satelit sains yang tidak lagi berfungsi seberat enam tan sudah jatuh dari ruang angkasa menuju ke bumi.

Dalam laman Twitter agensi itu, Satelit Penyelidikan Atmosfera Atas (UARS) memasuki ruang angkasa bumi awal pagi tadi tetapi lokasinya terhempas belum diketahui lagi.

Difahamkan, satelit berkenaan akan terbakar keseluruhannya.




UARS adalah satelit terbesar milik NASA yang terapung di orbit tanpa kawalan sejak 32 tahun lalu. UARS dilancarkan dari kapal angkasa Discovery pada 1991.

NASA menamatkan khidmat satelit berkenaan pada 2005 selepas menurunkannya ke paras orbit rendah. - AP





Melaka Tengah
25 Syawal 1432H

Read more...

Tuesday, September 20, 2011

Permainan Kutu & Cabutan Gilirannya


SOALAN

Ustaz, saya nak tanya tentang permainan kutu. sekali pandang nampak halal. 

Ok begini. Pekerja office saya ada membuat \"main kutu\". satu kepala atau seorang RM100 seramai 11 orang jadinya setiap orang akan dapat 1100 (100 duit sendiri) tiap bulan. Yang jadi masalahnya tiap bulan cabutan akan dibuat, siapa dapat happy la.

Saya melihat disini ia ada unsur judi, sebab sebelum cabutan-cabutan mengharap nasibnya akan kena, jadi saya fikir kalau dibuat cabutan number giliran yang dah tetap siapa yang dapat tiap bulan sebagai contah mamat bulan jan, abu feb, ali mac dan seterusnya itu adalah harus.

Saya harap sangat komen ustaz. namun jika pendapat saya tu betul alhamdullilah, ini bermakna saya faham setelah membaca buku Ustaz tulis.


JAWAPAN

Sebelum saya menghuraikan hukumnya pada sudut pandangan Islam, terlebih dahulu ada baiknya kita melihat tafsiran 'kutu' menurut AKTA 28 AKTA (LARANGAN) KUMPULAN WANG KUTU 1971 , ia ditafsirkan sebagai :

"kumpulan wang kutu" ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine




Hukum dari sudut Undang-undang Malaysia

Setelah meneliti akta yang berkaitan, jelas termaktub seperti berikut :-

Seksyen 3. Salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu.
Maka adalah salah di sisi undang-undang bagi sesiapa menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu dan seseorang yang menjalankan perniagaan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Justeru, amat jelas lagi bersuluh kegiatan skim simpanan kutu ini adalah salah dan tidak dibenarkan di sisi undang-undang.


Tinjauan Shariah

Untuk menentukan hukum Shariah adalah amat mudah dalam hal yang telah diputuskan 'salah' oleh undang-undang negara. Selagi mana peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Al-hadis, ia akan diiktiraf sebagai haram juga di sisi Shariah.

Namun jika anda ingin memahaminya skim kutu ini dari sudut proses dan caranya , sama ada ia diterima oleh Shariah atau tidak. Setakat info yang diberikan dan juga menurut pengetahuan saya berkenaan skim 'kutu' ini, secara dasarnya saya lihat urus aturan 'kutu' ini adalah harus. ( Namun keharusan ini telah dibataskan oleh akta wang kutu di atas tadi)

Ini adalah kerana sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara 'in advance' disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran 'In advance' ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan.

Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.

Namun demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis bagi protect kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar.

Bayangkan zaman hari ini, orang yang nampak baik pun liat nak bayar hutang.

Kesimpulannya, skim 'kutu' antara sesama rakan yang dipercayai dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam.




Aktiviti saling memberi pinjam dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus. Antara hujjah saya adalah seperti berikut :-

1) Keharusan kaedah :-

أسلفني وأسلفك

Ertinya : "Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak" (Mawahibul Jalil, Al-Hattab, 4/395)

Menurut mazhab Maliki, konsep ini dianggap makruh apabila ia memberikan manfaat kepada yang pemberi hutang lalu ia haram, tetapi jika manfaat diperolehi oleh peminjam ia adalah harus.

Namun dalam bab ini kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata. Justeru ia sewajarnya diharuskan. Inilah yang diperolehi dari skim 'kutu' ini.

2) Tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.

Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ia tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Shariah. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram.

Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, jikapun ia dianggap sebagai satu manfaat namun ia adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan. Ia juga boleh dilihat dalam isu ‘Suftajah'. Demikian menurut pendapat Ibn Qudamah, Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim. Malah diperjelaskan lagi oleh Prof. Dr Nazih Hammad  (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 230)

3) Riba diharamkan disebabkan kerana zalim yang berlaku ke atas satu pihak.

Namun di dalam hal ni tiada sebarang kezaliman berlaku kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.
Ibn Qayyim berkata :-

والشارع نهي عن الربا لما فيه من الظلم

Ertinya : "Shariah melarang riba disebabkan kerana kezaliman yang terdapat padanya" ('I'lam al-Muwaqqi'en, 1/386)

Adapun persepakatan dalam pinjaman berbalas dengan jumlah dan tempoh sama ini tiada terkandung di dalamnya sebarang zalim kepada mana-mana pihak. (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 231)



Perihal Cabutan Untuk Menentukan Giliran

Tepat sekali, permainan 'kutu' akan menjadi semakin bersih dan baik jika giliran telah ditentukan dari awal agar semua pihak tidak tertunggu-tunggu.

Namun, setakat pengamatan saya berdasarkan perbincangan para ulama berkenaan asas 'undian' atau disebut dalam bahasa 'Arab sebagai Qur'ah boleh dilakukan apabila semua pihak mempunyai hak yang sama untuk terpilih. Hukumnya adalah harus dan tiada unsur judi di situ. Nabi Muhammad SAW juga pernah mencabut undi untuk melihat siapa dari kalangan isterinya yang akan terpilih untuk bermusafir bersama baginda SAW.


Kesimpulan

Jika dilihat dari sudut proses dan perjalanan skim kutu ini semata-mata, ia adalah harus menurut pandangan Islam, namun diwaktu wujudnya akta rasmi yang melarang. Ia secara rasminya dianggap haram dari sudut hukum Islam atas dasar "kewajiban taat kepada pemerintah dalam hal yang tidak berkait dengan maksiat dan demi kemaslahatan umum yang dilihat oleh pemerintah".

Adaptasi dari blog UZAR.


Melaka Tengah
21 Syawal 1432H



Read more...

Saturday, September 17, 2011

Jenis Status Facebook



Update status di Facebook merupakan rutin bulanan, mingguan, harian atau mungkin setiap jam bagi seorang Facebookers. Kadang kala kita boleh mengetahui keadaan terkini seseorang melalui statusnya. Apa pun, terdapat banyak jenis status yang ada di FB. Mari kita lihat. Antaranya :-


Banyak Masalah / Merungut

“ Kalau cakap, orang ni marah. Kalau x cakap, orang ni pulak marah. Serba salah aku dibuatnya. Adoyai!! ”


Menunjuk

“ Haish!! Letih tadi bersama kawan-kawan pergi Dataran Pahlawan cari iPhone HTC RM 2500.. Tapi kira ok le jugak dapat casing yang RM 200 jadi RM 100.. Terujanya aku.. ”


Nonsense

“ Kitew dapat jumpew pakwer hensem tadi kat kampus. Mukew diew mcam Khairy Jamaluddin tu. Sukew sangat-sangat! ”


Story Everything

“ Pergi ke kelas pagi ini bersama kawan bilik. Sampai di kampus, orang penuh di lif. Kena la naik tangga sampai tingkat 13. Rushing punya pasal, sampai terlebih satu tingkat. Nyaris silap kelas. Turun semula 1 tingkat. Tengok bilik kuliah kosong. Rupa-rupanya lambat baca mesej yang kelas cancel. Bla.. bla.. bla.. ”


Dikhianati Orang Lain / Kena Hack

“ Tiba-tiba rasa nak korek hidung! Best taw! ”


Cynical / Sarcastic

“ Pagi tadi aku ternampak beberapa orang badud. Bukan pipi dorang je merah. Hidung pun dorang merahkan. Mungkin dorang kena belajar lagi make-up dengan budak-budak Mass Com. Tutt..”


Tengah Bengang / Blur

“ ....... ”


Baru Clash

“ I hope U happy with Him. Kita x dapat bersama hingga ke jinjang pelamin. Mungkin benarnya Shahir dengan Kebahagiaan Dalam Perpisahan yang didendangkannya tu. ”


Student Masuk Semester Baru

“ Sesiapa yang berminat nak beli buku FIN 420, pm or contact me. Less 30 % using reducing balance depreciation method.. FIRST COME, FIRST SERVE. Serious buyers only. ”


Informative

 “ Manchester United menundukkan Arsenal 8-2 di Old Trafford malam tadi ”


Status Pendek

“ Erk !! ”


Tiada Tujuan / Motif

“ Okay. Baiklah! ”


Kata Mutiara / Quote

“ Insan yang cemerlang datangnya dari hati yang girang, badan yang sihat, dan jiwa yang mantap!!  - Dr Fadzilah Kamsah - ”


Jiwang

“ Sukar hendak tidur malam ni. Saya asyik teringatkan awak. Bestnya dapat bila bersama shoppping dengan awak. Harap esok kita dapat jumpa lagi. Tadi awak belanja saya 5 jenis baju, esok saya belanja awak aiskrim pulak ye cayang. Luv u always!! ”


Nasihat

“ Kepada semua wanita, diharap anda semua berhati-hati dalam pemakaian. Statistik menunjukkan majoriti yang terkena gangguan seksual adalah mereka yang tidak menutup aurat, membungkus aurat, menarik perhatian orang lain dengan pakaian yang berbling-bling. Periksa etika pemakaian anda, Pastikan ia bukan sahaja selari dengan Busana Muslimah tapi selari jua dengan Busana Masjid. ”


Ayat Al-Quran / Hadith

 ... Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat... - Al Mujadalah : 11 - ” 


Politik

“ Suasana di dewan Parlimen hari ini agak tegang kerana beberapa ahli parlimen merajuk meninggalkan dewan kerana tidak diberi peluang untuk bersuara ”


Itulah serba sedikit yang penulis tahu. Kepada pembaca sekalian, status manakah yang anda selalu terbaca? Atau ada jenis status lain yang anda semua pernah terbaca?

Apa yang penting di sini ialah, setiap apa yang kita share, post, update, publish akan ditanya semula kelak di depan Allah nanti. Yakin atau tidak? Terpulang.


Rembau
18 Syawal 1432 H

Read more...

Monday, September 5, 2011

Tatkala Menegur

Kadang-kadang kita mempunyai kawan yang banyak melakukan kesilapan. Sekiranya kita seorang majikan, mesti ada pekerja kita yang selalu membuat kesilapan. Begitu juga dengan seorang murabbi dengan mutarabbi.


Apakah maksud penyataan di atas?

Semestinya ianya berkaitan dengan tegur-menegur atau nasihat-menasihati.

Ada orang yang jenis tegur direct sahaja. Ada juga yang penuh berhikmah.

Dan ada juga yang tidak tegur langsung lantaran terlalu memikirkan cara paling berhikmah yang tidak membuatkan seseorang itu tidak terasa hati. Ini sudah lari dari konsep Amar Makruf Nahi Mungkar.




Namun, ada beberapa tips yang boleh dikongsikan. Mungkin ada manfaatnya.


1) Tegurlah dengan cara paling baik dan pada waktu paling tepat sekali.
Yang penting, bukanlah untuk sampaikan teguran itu, paling penting adalah supaya teguran itu diterima.
Maka sediakan mekanisme terbaik untuk melakukan teguran itu.
Tak kiralah teguran itu dirasakan dalam suasana penuh kasih sayang, tapi jika cara dan waktu tidak tepat, kita hanya akan menyalakan lava yang tengah meluap-luap amarahnya.

2) Jalinkan kecintaan sebelum meminta ketaatan. Jalinkan kepercayaan sebelum memberikan nasihat.
Adilkah jika kita menegur seorang mutarabbi mahupun jundiy kita, sahabat atau adik beradik kita, pekerja atau orang bawahan kita dalam keadaan kita tidak merasai ikatan hati, ataupun paling penting, dia TIDAK merasai kasih sayang dari kita?
Kita tak pernah endahkan dia, tak pernah mendengar masalah dia, tak pernah membantu dia.
Dan kini kita hadir padanya, meminta ketaatan berbuat baik dan mahu menegur sahaja?
Asasnya, santunilah kekurangan pada diri mereka dengan baik.

3) Mencari medium terbaik dalam memberikan teguran/didikan.

Barangkali kita bukanlah orang yang terbaik dalam menegurnya. Carilah orang yang hati mutarabbi dan jundiy kita lebih terbuka untuk menceritakan segalanya. Carilah orang yang pandai berbicara dalam memberikan didikan ini. Jadikan mereka orang tengah kita jika orang lain lebih pandai menegur dari kita
Menegur melalui E-mail, SMS, Telefon, Facebook?
Tidak dinafikan bahawa medium berikut ada baiknya. Tapi, ketika menegur dan memberikan didikan, manusia sangat banyak salah faham jika teguran itu tidak bernada, dan menunjukkan teguran berlaku secara sehala tanpa bertanya apakah asal usul punca masalah itu berlaku.
Bertemulah, berjumpalah, dan mendengar penjelasan darinya. Insyaallah, Allah akan mempermudahkan urusan kita dengan membuka hatinya pada kita.





4) Cari masa sesuai dan tenang dalam memberikan teguran.
Jika kita memegang halaqah, bukan sepuluh minit sebelum mutarabbi kita nak menyampaikan usrah, di waktu itulah kita menegur dia. Hancurlah perasaan dia, dan menurunlah semangat dia dalam amal.
Bawalah dia pergi ke kedai makan. Berboraklah perihal-perihal santai sebelum membicarakan hal serius.
Cuba buka hati dia dahulu menerima kita sebelum kita menyampaikan apa-apa pada dia.
Duduk bersemuka dengan dia, dalam keadaan dia tenang, bukan ketika dia sedang mengalami tekanan perasaan yang mengancam.
Ambil waktu paling tepat sekali. Jangan gopoh dan tidak bersabar.

5) Anggaplah dia seperti adik sendiri/anak sendiri/diri sendiri.
Fahami dan dengarilah dia sebelum kita menegur.
Dan tegurlah dengan cara seperti mana kita mahu diri kita sendiri ditegur.
Mulakan dengan pujian dan penghargaan, kemudian barulah membuka topik perbincangan.
Jangan memandang rendah akan dirinya. Jangan membuatkan dia rasa begitu hina, lebih hina dari tanah. Jangan bagi dia rasa down selepas teguran. Setiap manusia ini ada ego yang perlu dijaga.
Kerana setiap nasihat, kita mahukan perubahan.Kita bukan mahu dia lari dari tarbiyah!

6) Paling penting, jangan menegur dalam keadaan kita sangat beremosi.
Biarkan waktu melegakan hati kita. Minta pada Allah diberikan cara dan petunjuk terbaik dalam menegur.
Niat yang ikhlas sahaja takkan menjamin teguran itu diterima, cara kena amat betul dalam penyampaian.
Itulah serba sedikit tips yang dapat dikongsikan.



Kita haruslah mengigatkan diri kita jika kita menjadi Qiyadah, Murabbi agung, Mas’ul, Bos, sekalipun, kita tidaklah superior dari mereka, kita tidaklah lebih baik dari mereka. Mungkin lebih teruk sekalipun.
Kerana itu, teguran itu dibuat atas dasar diri kita bersedia untuk ditegur dan berubah juga. Diri kita mahu juga ditegur dan dinasihati selalu.
Kita merasa ajaib apabila melihat, kematangan hidup dan pengalaman bergaul dengan ramai manusia, amat memberi kesan kepada perwatakan dan kata-kata pada seseorang. Namun, natijah lambat atau cepat, itu urusanNya. Kita cuma berusaha.
Dan kita yang menjadi tentera kecil mahupun Mutarabbi hina ini, perlu belajar dari kesilapan ini. Jangan ulangi perkara sama. Jadilah manusia lebih baik. Samalah seperti mana kita mengharapkan mereka juga belajar dari kesilapan kita , membetulkan kesilapan kita, dan sentiasa menjadi lebih baik dari kita.
Ada di antara kita yang lebih bahagia kerana tingginya kedudukan mereka di mata jemaah, manusia mahupun dunia, namun kedudukan kita di sisi Allah itu lebih utama. Dan betul, teguran pada Qiyadah, Naqib, Mas’ul, Bos juga perlu sama sahaja seperti di atas. Kita merupakan sekelompok jemaah manusia, bukannya robot dan tentera. Ada emosi dan masalah. Maka seharusnya belajar cara berkomunikasi dengan baik.
Akhir kalam, teringat saya pada pesanan Mas’ul saya:
“ Kalau nak menegur sesuatu kemungkaran itu, jangan sampai kemungkaran itu bertambah besar. Tapi, jangan tidak menegur langsung. “
Wallahu’alam.

Rembau 
7 Syawal 1432H

Read more...

Thursday, September 1, 2011

Srikandi Sunyi

Wanita mithali ini bukanlah terkenal kerana kecantikan atau kebangsawanan. Dia memang tidak memiliki kecantikan atau kekayaan. Dia hanyalah seorang hamba kepada Umar al-Khattab sebelum keislamannya namun dia memiliki aqidah tauhid yang menebal pada zaman penentangan Islam. Biarpun fizikal wanita ini diseksa dengan berbagai-bagai kesakitan, penderitaan & kesusahan tetapi hatinya tetap kepada Allah S.W.T. Dia menerima penyeksaan itu walaupun tubuhnya hancur akibat pukulan demi pukulan, sepakan terajang & hantukan. Namun, demi Islam dia tidak akan menyerah kalah.

Zinnirah, begitulah indah namanya, mungkin tidak ramai yang tahu kisah ketabahan & keagungan cintanya kepada Allah S.W.T. Wanita ini tidak punya ijazah, tidak terkenal di dunia, tidak mempunyai harta apalagi memiliki pangkat yang besar. Namun, Allah S.W.T memuliakan dan memberi penghormatan yang tinggi kepadanya.




Dunia dan segala isinya bukan lagi matlamat. Sekalipun dilonggokkan emas sebesar Bukit Uhud, dia tidak akan menukar aqidah yang telah bertunjang di hatinya. Menurut riwayat islam, Zinnirah adalah di antara org yang awal memeluk Islam.Zaman awal Islam penuh cubaan. Sesiapa yang memeluk Islam, tidak seorang pun bebas daripada pelbagai penderitaan, kecaman, kata nista dan penindasan. Zinnirah mengalami itu semua. Wanita berbangsa Rom ini telah ditawan dan dijual di Kota Makkah. Kemudian Umar al-Khattab membelinya dengan harga yang murah utk dijadikan hamba, seterusnya menjadi tawanan tuannya.

Pada peringkat awal, Zinnirah cuba menyembunyikan pengislamannya daripada diketahui oleh Umar. Dia melakukan ibadah ketika org lain tiada di rumah atau pada waktu tengah malam ketika org lain sedang nyenyak tidur. Namun, lama kelamaan amalan solehahnya dapat dicium oleh musuh.

Sudah tentu orang yang paling marah ialah tuannya sendiri iaitu Umar. Siapakah yang tidak kenal dengan Umar al-Khattab yang terkenal dengan sikap kejam, bengis, ganas, garang, tidak berhati perut, tidak berperikemanusiaan itu. Umar terus menampar Zinnirah, menendang, mengikat kedua belah kai tangan Zinnirah. Kemudian, dijemur di tengah panas mentari. Bayangkanlah antara seksaan yang dihadapinya. Sungguh panas padang pasir pada waktu siang dan terlalu sejuk pada waktu malam, badannya dihempap dengan batu besar dan 1001 macam penyeksaan yang diterimanya.




Dalam keperitan fizikal, Zinnirah masih mampu menguntum senyuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan " Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Allah lah yang Maha Besar ". Dan hatinya berbisik, " Ini untuk-Mu wahai Tuhan, aku membeli kesusahan ini utk mendapat kesenangan di akhirat ". Begitulah ungkapan katanya yang menjadi penawar untuknya.

Kemuncak penyeksaan yang diterima oleh Zinnirah ialah matanya dicucuk dengan besi tajam dan akhirnya gelaplah seluruh pandangan. Hatinya masih mampu berbisik," Tuhan, walau aku dibunuh mati, aku lebih rela daripada menjual agama-Mu ini Tuhan. Semakin aku diuji, semakin terasa kehebatan dan keagungan-Mu Tuhan. Panahan cinta dari-Mu itulah makin menguatkan diri ini untuk menerima apa sahaja. Cuma satu permintaanku, berilah petunjuk kepada orang yang menyeksaku ini. “

Ternyata doa orang teraniaya ini makbul. Akhirnya Umar memeluk Islam setelah mendapat hidayah Allah S.W.T melalui adiknya, Fatimah. Malah Saidina Umar menjadi sahabat yang tergolong Khulafa Arrasyidin. Sifat pembengisnya bertukar menjadi lembut, garang bertukar kepada pemaaf, bakhil bertukar pada pemurah,tidak berhati perut kepada bertimbang rasa, gila dunia kepada gila akhirat.




Kembali kepada Zinnirah, walaupun matanya buta untuk melihat alam maya tapi hatinya tidak buta untuk menerima cahaya kebenaran Islam. Pandangan hati boleh menembusi pandangan zahir. Apabila melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba mempermain-mainkannya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana menerima laknat dari Tuhan mereka iaitu, latta dan Uzza.

Zinnirah menolak penghinaan itu. Baginya kedua berhala itu tiada sedikitpun kena mengena dengan matanya. Dia cuba meyakinkan mereka bahawa masalah buta itu adalah datang daripada Allah S.W.T. Maka Allahlah yang berkuasa mengembalikan pancainderanya seperti biasa.

Berlakulah sedikit kekecohan, orang-orang Qurais mencabar Zinnirah kerana mempertahan dirinya. Umar pula sudah berhenti menyeksa kerana bosan melihat ketabahan hatinya.

Hambanya tidak mahu sedikitpun berganjak daripada keimanan kepada Allah S.W.T. Tiada siapa yang boleh menolak ketentuan Tuhan. Apabila Allah S.W.T mengambil sekejap nikmat mata, kemudian memulangkannya semula kepada Zinnirah. Allah S.W.T menggantikannya dengan mata yang lebih baik. Zinnirah boleh melihat seperti biasa, lebih terang daripada matanya yang asal. Demikianlah pertolongan Allah S.W.T kepadanya bagi menguatkan lagi keimanannya. Tidak lama kemudian, Saiyidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga tinggi. Terselamatlah dia daripada menjadi penindasan orang-orang kafir.

Di antara sifat wanita yang solehah ini, dia sentiasa merasa Allah S.W.T memerhatikan dirinya, setiap detik dan saat. Apabila nafsunya mengajak berbuat sesuatu perkara yang mungkar, segera pula hatinya bertindak balas dengan mengatakan Allah S.W.T Maha Melihat. Nafsu yang mahu berbuat segera ditepis dengan katanya," Wahai nafsu mengapa engkau tidak takut dengan neraka?".




Hati Zinnirah sentiasa terpimpin, begitu juga dengan akhlaknya. Hasilnya, hati dan jiwa merasa aman daripada kongkongan hawa nafsu. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperolehi oleh Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.

Marilah kita berazam dengan membulatkan sepenuh pengharapan memohon pada Allah S.W.T supaya sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah. Sekiranya diuji dengan pelbagai dugaan biarlah hati kita setabah Zinnirah. Biarlah iman kita sekuat dirinya. Biarlah hati kita terus celik. Inilah idola kita, Zinnirah.





Rembau
3 Syawal 1432H


Read more...