Monday, June 17, 2013

Buat Persediaan

Biasanya, jika kia ingin melakukan sesuatu perkara, mesti kita sudah buat persediaan. Begitu juga halnya jika kita ingin bercinta. Jika kita ingin mula bercinta, antara perkara yang mesti dibuat persediaan ialah kita perlukan persediaan dari segi emosi, mental, jiwa dan material.

Kita mestilah memilik jiwa yang sentiasa tenang dan tidak tergopoh-gapah dalam membuat sesuatu perkara, akal yang matang dalam membuat pertimbangan dan emosi yang seimbang agar kita tidak membuat sesuatu perkara itu hanya berdasarkan emosi semata-mata. Ada yang berpandangan bahawa mereka mahu bercinta kerana suka-suka. Walhal, bercinta itu sebenarnya adalah seolah-olah kita telah memulakan langkah untuk menuju ke gerbang perkahwinan.




Jadi, sesiapa yang tiada niat untuk berkahwin, maka disarankan tidak mulakan percintaan kerana dibimbangi akan banyak menimbulkan masalah jika tempoh percintaan itu memakan masa yang lama. Kadang-kadang, ada yang berubah hati dan sebagainya. Maka, percintaan ini perlulah dipandang sebagai satu perkara yang serius.

Oleh itu, saya menyeru diri saya dan pembaca sekalian, khususnya para pemuda-pemudi, agar menjadikan tempoh keremajaan kita sekarang ini, sebagai tempoh untuk membuat segala persediaan dari segenap aspek.




Marilah kita menimba ilmu sebanyak-banyaknya tidak kira ilmu apa sekalipun, dan kita menambahkan pengalaman sebanyak yang mungkin. Selain itu, kita perlulah belajar mengurus emosi kita dengan pelbagai perkara dan berusaha untuk mencari sumber pendapatan yang stabil. Mari kita lakukan dengan tertib. Kata orang; Utamakan yang utama.

Justeru, segala apa yang kita rancangkan untuk persediaan, mestilah kita disipin dalam mengikutinya dan melakukannya. Kerana bercinta juga ada disiplinnya. InsyaAllah, kita akan mencapai matlamatnya.

Janganlah kita sibuk seperti sesetengah orang yang kononnya sibuk mencari siapakah rusuk kirinya. Walhal, emaknya sendiri tidak terjaga. Emak itu bukan sahaja rusuk kiri bagi ayah kita, tapi dia adalah tulang belakang keluarga. Ada juga yang sibuk mencari bakal imam atau makmumnya, walhal ayah kandung sendiri tidak pernah mereka mengajaknya solat berjemaah. Maka, hal-hal sebegini perlu dititik beratkan terlebih dahulu.
.



Kesimpulannya, bagi lelaki, marilah kita semua berusaha memantapkan ilmu agama, melatih diri menjadi imam dalam solat berjemaah dalam keluarga sendiri dan berusaha mencari sumber pendapatan yang stabil. Bagi perempuan pula, lengkapilah diri anda semua dengan pebagai kemahiran rumahtangga, samada memasak, menguruskan anak-anak dan menjaga keharmonian keluarga.

Jadi, apa lagi? Mari buat persediaan!

Adaptasi:- Gen-Q 22


Rembau
8 Sya'ban 1434H


Read more...

Sunday, June 2, 2013

Seiring Bersama

Biasanya, kita susah hendak mempercayai kata seseorang dek kerana perangainya. Oleh itu, kadang-kadang kita lihat, ada insan yang tidak perlu berceramah atau berkhutbah panjang, tapi kata-kata mereka tetap diambil berat oleh orang sekelilingnya.

Saya mempunyai beberapa orang guru dan sahabat yang sebegitu rupa. Dengan hanya berwajah manis, bersopan santun, berperangai molek, tersusun urusannya, berpenampilan kemas dan menjaga kebersihan, secara tidak langsung mereka telah menyebarkan da'wah kepada orang ramai.

Keindahan Islam terserlah daripada tindak-tanduk mereka dan gerak geri mereka. Perilaku yang sebegitu membuatkan saya, bahkan mungkin kalian akan sejuk mata memandang.



Apakah pandangan anda jika ada seorang anak berkata pada ibubapanya:- " Ayah ini lembab la jalan. Cepatlah sikit! "

Apakah pandangan anda jika seorang murid berkata kepada gurunya :- " Cikgu ajarlah betul-betul! Ni kira baik dah kitorang datang kelas tambahan. "

Apakah pandangan anda jika seorang kawan berkata kepada kawannya :- " Kepala hotak ko! Bangang! @#$%^ "

Oleh itu pembaca semua, mari kita berfikir sejenak. Apa guna ilmu yang tinggi jika tiada akhlak? Moga kita semua dijauhkan daripada perkara tersebut dan begitu struggle dalam mendidik jiwa dan akhlak. Moga-moga, dengan sebab kita berusaha sedemikian, dapat memadamkan keburukan yang kita risaukan.




Suka saya ingatkan diri saya sekali lagi, kalau kita belajar dapat 10A sekalipun, dean list setiap semester, tapi akhlak teruk, tiada gunanya. Bagi saya, pendidikan itu bukan hanya soal ilmu sahaja. Ia turut terpalit sekali dengan akhlak. Dengan memantapkan akhlak kita, insyaAllah ia akan menjadi malakah ( darah daging ) dalam kita beramal dan dapat meningkatkan jati diri kita.

Oleh itu, ayuh! Kita serasikan ilmu dan akhlak bersama-sama. Kenangkanlah Rasulullah SAW berjuang menyampaikan da'wah dengan akhlak yang mulia. 

Apa yang penting, ilmu dan akhlak mesti seiring bersama!

Rembau
23 Rejab 1434H


Read more...