Saturday, December 24, 2011

Meminggirkan Ulama

Kita sedang berhadapan dengan suasana gawat yang mana rakyat sedang diancam dengan pelbagai tohmahan dan propaganda untuk menolak Islam oleh para pimpinan. Bermula dengan peristiwa demi peristiwa di mana hukum Allah dikecam, Rasulullah SAW dihina dan para alim ulama diperlekeh dan direndahkan martabat dan keilmuan mereka.




Hukum taghut pula diangkat, pimpinan zalim diminta dijadikan ikutan. Inilah kemelut yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan bangsa Melayu yang rata-ratanya mengakui Islam atau Islam mengikut keturunannya.

Pada zaman ini sekiranya kita tidak berhati-hati dan tidak prihatin maka institusi ulama dan keilmuan Islam akan dilanda kehancuran sebagaimana berlakunya di Turki. Institusi ini akan menghadapi " patah tak tumbuh, hilang tak berganti ". Ulama peranannnya di zaman ini selepas wafatnya Rasulullah SAW merupakan pewaris para nabi.

Iaitu ulama yang memartabatkan Al-Quran dan As-Sunnah serta ulama yang berkata benar hatta kepada seorang raja yang zalim. Ulama ini akan membawa ummah kepada cahaya dan cahaya itu pula akan menjadi pedoman kemajuan, kejayaan, pembangunan dan keseimbangan duniawi dan ukhrawi serta akan menjadi penyuluh kepada jalan ke syurga.




Zaman ini kita memerhatikan dengan penuh kebimbangan kehilangan alim ulama yang mursyid. Institusi pondok yang melahirkan para ulama makin pupus dan sedang ada pula usaha untuk dimilik negarakan dalam proses untuk melenyapkannya. Kita harus sedar bila ulama tiada maka akan lahirlah pemimpin yang zalim, kejam, rakus dan tidak berperikemanusiaan.

Abu Hurairah teleh meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang mafhumnya - " Akan datang suatu zaman di mana seseorang tidak akan peduli di mana dia mendapat harta, sama ada halalkah atau haramkah, zaman yang tandus nilai rohani dan dinilai dengan nilai kemanusiaan, zaman cakar-mencakar, zaman jatuh menjatuh, zaman fitnah memfitnah demi untuk memperoleh pangkat dan harta tanpa dipedulikan dimana sumber halal haramnya."

Inilah peringatan Rasulullah SAW yang tepat sekali berlaku di zaman kita ini, manusia rakus, tamak, zalim dan berjiwa haiwan dan lebih hina dari haiwan. 




Kenapa jadi demikian?

Tidak lain kerana manusia hari ini membelakangkan nilai ajaran agama yang mereka sendiri letakkan di bawah telapak kaki mereka, mereka tidak ada perasaan langsung dengan Islam, kerana bagi mereka Islam bukan agama yang membawa kepada kemajuan, malah menuju kepada kemunduran dan kehancuran.

Adaptasi :- Harakah


Rembau
28 Muharram 1433H

Read more...

Tuesday, December 13, 2011

Detik Kewafatan Rasulullah SAW

Daripada Ibnu Mas'ud r.a., bahawasanya dia berkata:   "Ketika ajal Rasulullah saw sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aishah r.a


Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda: Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah."  


"Allah berfirman: Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa."  


Kemudian kami bertanya:   "Bilakah ajal baginda ya Rasulullah?"  


Baginda menjawab:   "Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila."  


Kami bertanya lagi:   "Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah?" 

Rasulullah menjawab:   "Salah seorang ahli bait."  


Kami bertanya:   "Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?"


Baginda menjawab:   "Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah."  


Kami bertanya:   "Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?"   Kami menangis dan Rasulullah saw pun turut menangis.


Kemudian baginda bersabda:   "Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku. Kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. 


Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya.
Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua."  





SEMAKIN TENAT


Semenjak hari itu, Rasulullah saw bertambah sakitnya yang ditanggungnya selama 18 hari.

Setiap hari, ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, disaat baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.   Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. 


Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, dia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:   "Assalamualaikum ya Rasulullah?"  


Kemudian dia berkata lagi:   "Assolah yarhamukallah."  


Fatimah menjawab:   "Rasulullah dalam keadaan sakit."  


Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid. Ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu dia berkata seperti perkataan yang tadi.


Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh dia masuk.   Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah saw bersabda:   "Saya sekarang berada dalam keadaan sakit. Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat."  


Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata:   "Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?"   


Kemudian dia memasuki masjid dan memberitahu Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut.   Ketika Abu Bakar r.a. melihat ke tempat Rasulullah SAW yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, dia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu dia menjerit dan akhirnya dia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah saw. 

Baginda bertanya:   "Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu?" 

Siti Fatimah menjawab:   "Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah saw tidak ada bersama mereka."  


Kemudian Rasulullah saw memanggil Ali bin Abi Talib dan Abbas r.a. Sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat.


Setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda:   "Ya ma aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua, setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini."  





MALAIKAT MAUT DATANG BERTAMU


Pada hari esoknya iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya dia turun menemui Rasulullah saw dengan berpakaian sebaik-baiknya.   Dan Allah menyuruh Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah saw dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan masuk. Tetapi jika Rasulullah saw tidak mengizinkannya, dia tidak boleh masuk dan hendaklah dia kembali sahaja.  


Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Dia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah saw,
Malaikat Maut itupun berkata:   "Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!"  


Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu:   "Wahai Abdullah (hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit."  


Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi:   "Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?"  


Akhirnya Rasulullah saw mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah:   "Siapakah yang ada di muka pintu itu?"  


Fatimah menjawab:   "Seorang lelaki memanggil baginda. Saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian dia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma."  


Rasulullah saw bersabda:   "Tahukah kamu siapakah dia?"  


Fatimah menjawab:   "Tidak wahai baginda."  


Lalu Rasulullah saw menjelaskan:   "Wahai Fatimah, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.  


Kemudian Rasulullah saw bersabda:   "Masuklah, wahai Malaikat Maut."  


Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan:   "Assalamualaika ya Rasulullah." 

Rasulullah saw pun menjawab:   "Waalaikassalam ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?"  


Malaikat Maut menjawab:   "Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan. Jika tidak, saya akan pulang."  


Rasulullah saw bertanya:   "Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?"  


Jawab Malaikat Maut:   "Saya tinggal dia di langit dunia."  


Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril a.s. datang lalu duduk di samping Rasulullah saw.


Maka bersabdalah Rasulullah saw:   "Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?"  


Jibril menjawab:   "Ya, wahai kekasih Allah."  





KETIKA SAKARATUL MAUT:  


Seterusnya Rasulullah saw bersabda:   "Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?"  


Jibril pun menjawab:   "Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu."  


Baginda saw bersabda:   "Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?"  


Jibril menjawab lagi:   "Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu."  


Baginda saw bersabda lagi:   "Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang disediakan Allah untukku?"  


Jibril menjawab:   "Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti."  


Kemudian Rasulullah saw bersabda:   "Segala puji dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. 


Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku."  


Jibril a.s. bertanya:   "Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?"  


Rasulullah saw menjawab:   "Tentang kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?"  


Jibril menjawab:   "Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman:   Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu."  


Maka berkatalah Rasulullah saw:   "Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku."  


Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah saw.  


Ali r.a. bertanya:   "Wahai Rasulullah saw, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?"  


Rasulullah menjawab:   "Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga."  


Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah saw. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata:   "Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut."  


Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril a.s. memalingkan mukanya.


Lalu Rasulullah saw bertanya:   "Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?"  


Jibril menjawab:   "Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?"  


Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah saw. 




KESEDIHAN SAHABAT


Berkata Anas r.a.:   "Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah r.a., aku terdengar dia sedang menangis sambil mengatakan:   Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera, wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum, wahai orang-orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana, wahai orang-orang yang jarang tidur diwaktu malam kerana takut Neraka Sa'ir."  


Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Muaz bin Jabal r.a. telah berkata:   "Rasulullah saw telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang. Kemudian orang itu berkata kepadaku:   Apakah anda masih lena tidur juga wahai Muaz, padahal Rasulullah saw telah berada di dalam tanah?"  


Muaz terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia mengucapkan:   "A'uzubillahi minasy syaitannir rajim."   Lalu setelah itu dia mengerjakan solat.   Pada malam seterusnya, dia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama.


Muaz berkata:   "Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan."   Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman.   Pada keesokan harinya, orang ramai berkumpul lalu Muaz berkata kepada mereka:   "Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah saw bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku."   


Setelah Muaz menerima Mushaf, lalu dibukanya. Maka nampaklah firman Allah yang bermaksud:   "Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula."   (Surah Az-Zumar: ayat 30)  


Maka menjeritlah Muaz, sehingga dia tidak sedarkan diri. Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi dan dia nampak firman Allah yang berbunyi:   "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?"   (Surah Al-lmran: ayat 144)   Maka Muaz pun menjerit lagi:   "Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad."  


Kemudian dia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika dia akan meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata:   "Seandainya apa yang ku lihat ini benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."  


Kemudian dia berkata:   "Aduhai, sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad saw."   Lalu dia pun pergi meninggalkan mereka. Di saat dia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud:   "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."  


Lalu Muaz mendekati sumber suara itu. Setelah berjumpa, Muaz bertanya kepada orang tersebut:   "Bagaimana khabar Rasulullah saw?"   Orang tersebut menjawab:   "Wahai Muaz, sesungguhnya Muhammad saw telah meninggal dunia."   Mendengar ucapan itu, Muaz terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya. Dia memanggil Muaz:   "Wahai Muaz, sedarlah dan bangunlah."  


Setelah Muaz sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar As-siddiq, dengan cop dari Rasulullah saw. Tatkala Muaz melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya. Kemudian dia menangis dengan tersedu-sedu.   Setelah puas dia menangis, dia pun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Muaz sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan:   "Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah?"   Muaz menyambungnya:   "Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah."   Kemudian dia menangis dan akhirnya dia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.  


Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy r.a. lalu dia berkata kepada Bilal:   "Wahai Bilal, sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya. Dia adalah Muaz yang sedang pengsan."   Setelah Bilal selesai azan, dia mendekati Muaz, lalu dia berkata:   "Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Muaz, aku telah mendengar dari Rasulullah saw, baginda bersabda: Sampaikanlah salamku kepada Muaz."   Maka Muaz pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa dia telah menghembuskan nafas yang terakhir. 


Kemudian dia berkata:   "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah r.a."   


Setelah sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Muaz mengucapkan:   "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh."   Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, dia berkata:   "Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah."   


Kemudian Muaz menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan:   "Assalamualaikum ya ahlil bait."  


Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian dia berkata:   "Rasulullah saw bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Muaz bin Jabal. Dia adalah kekasih Rasulullah saw."   


Kemudian Fatimah berkata lagi:   "Masuklah wahai Muaz."   Ketika Muaz melihat Siti Fatimah dan Aisyah r.a., dia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Setelah dia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya:   "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Muaz dan khabarkan kepadanya bahawasanya dia kelak dihari kiamat sebagai imam ulama."   Kemudian Muaz bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah saw.  


(Dipetik dari buku 1001 Duka - Himpunan Kisah-kisah Menyayat Hati)


UiTM Bandaraya Melaka
17 Muharram 1433H





Read more...

Saturday, December 10, 2011

Saman Daripada Adinda Sultan Kelantan

9 Disember - Tengku Muhammad Fakhry Petra, adinda kepada Sultan Kelantan, memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan tiga lagi berhubung penahanannya yang didakwanya dibuat secara salah pada Ogos 2009.

Tengku Fakhry menamakan Ismail, ASP Norazman Ismail, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.

Beliau memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melalui firma undang-undang AS Dhaliwal and Co.





Bercakap kepada pemberita kemudian, Tengku Fakhry berkata beliau mengambil tindakan itu bukan bermotifkan wang tetapi untuk menuntut keadilan.

"Saya rasa ini adalah kali pertama seorang anggota keluarga diraja telah menamakan ketua polis negerinya sendiri sebagai defendan," katanya.

Peguam AS Dhaliwal dan Harpal Singh turut hadir semasa saman difailkan.

Mengikut penyata tuntutannya, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau telah ditahan secara salah pada 30 Ogos 2009 di perkarangan Istana Mahkota Kubang Kerian ketika sedang memandu kereta jenis Bentley Brooklands.   



Tengku Muhammad Fakhry berkata beliau membawa kenderaan itu atas arahan Sultan Ismail Petra untuk dihantar ke Singapura tetapi berikutan arahan efendan kedua dan ketiga, anggota polis telah menghalang beliau memandu enderaan tersebut dan menutup pintu pagar istana tanpa memberi sebarang alasan.


Tengku Muhammad Fakhry mendakwa anggota polis menahan beliau selama sejam sebelum membenarkannya keluar dari Istana Mahkota tanpa membawa kenderaan itu.   


Sambil menganggap penahanan itu sebagai mala fide dan salah di sisi
undang-undang, beliau memohon gantirugi am RM1 juta, gantirugi keterlaluan dan teladan sebanyak RM50 juta, faedah pada kadar 4 peratus, kos dan lain-lain.



Rembau
14 Muharram 1433H



Read more...

Wednesday, December 7, 2011

4 Tahun Sahaja

Ini adalah perpustakaan awam negeri Selangor. Ianya terletak di Seksyen 13 Shah Alam. Adakah ini hasil daripada pemerintahan Pakatan Rakyat yang baru masuk 4 tahun? Jika ia, teruskan usaha wahai sekalian pemimpin!!









































































UiTM Bandaraya Melaka
11 Muharram 1433H




Read more...

Sunday, December 4, 2011

Waspada Dengan Pintu-Pintu Itu

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' ( An-Nisa': 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri. Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut. 

Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu: 

1. Melalui sifat bohong dan angkuh

Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan ALlah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah. 

3. Melalui sifat takbur dan bongkak

Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. ALlah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23) 



4. Sifat khianat

Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.


5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat


Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6. Melalui sifat hasad
Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim). 



7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim). 

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan

Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya. 



10. Melalui sifat buruk sangka

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. RasuluLlah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)


UiTM Bandaraya Melaka
8 Muharram 1433H


Read more...