Wednesday, December 28, 2011

Aurat Di Hadapan Non-Muslim




Situasi:-


Seorang perempuan Islam tidak menutup aurat di hadapan lelaki non-Muslim.

Jawapan:-

Berkenaan aurat di hadapan orang lelaki non-Muslim - perkara ini ustaz rasa sudah jelas kepada kita bahawa membuka aurat kepada lelaki non-Muslim adalah haram sama sekali. Secara logik akalnya, sedangkan syarak menuntut wanita Muslimah menutup aurat di hadapan lelaki ajnabi seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, inikan pula kepada lelaki ajnabi non-Muslim yang sama sekali berlainan akidah dengan kita.

Sehinggakan ada pendapat sebahagian ulama mazhab Maliki dan Hambali yang menyatakan had aurat seorang wanita Muslimah dengan wanita kafir adalah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan, maka had aurat bersama lelaki non-Muslim adalah lebih utama dan wajib untuk dijaga. 



Ini kerana berkemungkinan seorang lelaki kafir berpegang kepada ajaran agamanya yang menyatakan tidak salah melihat anggota badan wanita lain. Ini lebih merbahaya dan mengundang fitnah yang lebih besar kepada wanita.

Ustaz melihat sebahagian di kalangan wanita Muslimah yang memandang remeh perkara ini. Contohnya ada situasi wanita Muslimah tidak segan silu "free hair" apabila orang bukan Islam datang menjual barang di rumah atau lalu di hadapan rumah mereka tatkala mereka menyidai pakaian. Namun, apabila ada seorang Muslim yang datang, cepat-cepat cari tudung kononnnya kena tutup aurat.



Pelik, bukan? Menutup aurat bukan kepada orang Islam sahaja bahkan kepada seluruh manusia mengikut garis panduan syarak.

Adaptasi : Info daripada Ustaz Mohd Azrul Ismail


Rembau
3 Safar 1433H



Read more...

Tuesday, December 27, 2011

Donald Trump Merajuk

WASHINGTON: Ahli perniagaan terkemuka dan personaliti realiti televisyen, Donald Trump, keluar daripada Parti Republikan, menukar pendaftaran undiannya kepada calon bebas di New York, dalam langkah yang dilihat memudahkan persaingan tiga penjuru pemilihan Presiden Amerika Syarikat tahun depan.




Tindakan Trump itu diumumkan 10 hari selepas hartawan hartanah itu mengumumkan membatalkan rancangan untuk menjadi pengacara perbahasan antara calon Presiden Parti Republikan dalam usaha melindungi kemungkinan bertanding sebagai calon bebas.
Hanya dua calon bersetuju mengambil bahagian dalam forum yang dirancang Trump pada Selasa depan di Iowa. 


“Trump sudah berkata sejak hampir setahun lalu jika dia tidak berminat dengan siapa yang menjadi calon Republikan, dia mungkin bertanding sebagai calon bebas. 

“Tindakannya keluar parti bertujuan melindungi haknya untuk memutuskan hala tuju seterusnya selepas rancangan akhir program The Apprentice, Mei depan,” kata jurucakapnya, Michael Cohen, lapor akhbar Los Angeles Times. 

The Apprentice ialah rancangan pertandingan realiti televisyen yang dihoskan Trump. Pemilihan presiden Amerika Syarikat akan diadakan pada November 2012. 
Trump dianggap ada niat bertanding merebut pencalonan Parti Republikan sebagai presiden. Dia juga dicemuh kerana menuduh Presiden Barack Obama, dari Parti Demokrat, mungkin tidak dilahirkan di Amerika. 


Pada masa sama, Trump tidak pernah mengadakan kempen sebenar dan pengkritik menyifatkan usahanya dalam perkara itu hanya usaha mempromosi diri sendiri. 

Calon yang enggan menyertai debat yang dikendalikan Trump termasuk bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney; bekas Gabenor Utah, Jon Huntsman; Gabenor Texas, Rick Perry serta ahli Kongres, Ron Paul dan Michele Bachmann.

Hanya bekas Speaker Kongres, Newt Gingrich dan bekas Senator, Rick Santorum bersetuju mengambil bahagian. 

Apapun, Trump dianggap bukan penyokong setia Republikan kerana hanya menyertai parti itu pada 2009. Beliau lebih lama menjadi anggota Demokrat apabila mendaftar sebagai ahli pada 2001 sebelum mengubah angin. 

Cohen juga berkata: “Suatu perkara yang pasti ialah Trump memang berazam supaya Obama tewas dalam persaingan 2012.” – Reuters 


Rembau 
2 Safar 1433H



Read more...

Monday, December 26, 2011

Sihat Dengan Solat

Salah satu gerakan yang paling memberi kesan kepada kesihatan kita ialah sujud. Sujud merupakan satu keadaan yang mana kita sangay hampir dengan Allah SWT. Dari sudut kesihatan pula, kajian saintifik yang dibuat berjaya menemui pelbagai manfaat hasil daripada gerakan istimewa ini.

Antara manfaat kesihatan yang dapat dibuktikan dengan melakukan sujud ialah:-

1) Meningkatkan kecerdasan otak

Apabila kita berdiri tegak, biasanya pengaliran darah ke otak tidak mencukupi untuk keperluan otak. Apabila kita sujud, darah akan mengalir dengan lebih banyak ke bahagian otak yang sangat penting untuk kesihatan otak. Dengan sujud juga darah akan mengalir dengan lebih banyak ke bahagian kulit muka dan ia boleh menyegarkan kulit muka dan mengurangkan risiko terkena penyakit resdung.

2) Mengurangkan risiko migrain atau sakit kepala.

Aliran darah yang meningkat ke bahagian otak semasa sujud mampu mengurangkan risiko terkena serangan sakit kepala dan juga migrain

3) Baik untuk sistem pernafasan

Apabila manusia bernafas secara normal, hanya 2/3 udara di dalam paru-paru dihembus keluar. Selebihnya berada di dalam paru-paru sebagai udara lebihan. Udara yang tidak terusik ini boleh menakung bakteria dan juga habuk yang disedut dari udara dan mendatangkan pelbagai masalah kepada paru-paru kita. Apabila kita sujud, organ dalaman akan menekan diafragma kita dan sekaligus menolak paru-paru bahagian bawah ke atas dan boleh mengeluarkan udara berlebihan tersebut. Mekanisma ini sangat penting untuk menjaga kesihatan paru-paru kita.



4) Menggerakkan sendi dan otot

Sujud melibatkan pergerakan kesemua anggota badan kita seperti kepala, kaki, tangan, bahu, tulang belakang, tulang pinggul, dada dan sebagainya. Pergerakan sendi dan otot anggota badan ini boleh melatih otot tersebut untuk menjadi lebih kuat dan membantu melancarkan peredaran darah. Otot yang bergerak boleh menghilangkan sengal dan lenguh sendi.

5) Mengelakkan penyakit buasir

Kedudukan sujud yang mana pinggul lebih tinggi berbanding badan boleh mengurangkan risiko terkena penyakit buasir. Semakin banyak sujud, semakin kurang risiko untuk penyakit ini kerana graviti akan menarik pembuluh darah buasir ke arah bertentangan arah.

6) Mengubat penyakit rohani

Lebih penting lagi, sujud boleh mengubat penyakit rohani jika kita betul-betul menghayatinya. Sujud boleh menyebabkan seseorang itu merasa rendah diri di hadapan Allah SWT dan merasai bahawa DIA sangat dekat dengannya, sekali gus bolh mengikis penyakit hati seperti sombong, riak dan takabbur.

Sekali lagi hendak diingatkan untuk diri ini dan semua, gerakan solat dan sujud yang kita lakukan bukanlah untuk mengejar manfaat kesihatan berikut. Ia hanyalah anugerah yang diberikan Allah SWT yang Maha Pemurah.

Rembau
1 Safar 1433H

Read more...

Sunday, December 25, 2011

Hati Nan Bahagia

Dia melihat reaksi anak-anak muda yang lalu lalang berdekatan dengannya. Masing-masing mempamerkan wajah ceria dan gembira. Lakaran hidup mereka seolah-olah terpamer lukisan kegirangan tanpa duka lara. Bebas riang mengisi sisa kehidupan tanpa terpalit raut gusar di wajah. Bersama rakan-rakan seusia, mereka meredah hiruk-pikuk kehidupan yang dipenuhi ujian dan dugaan.





Hatinya tertanya-tanya, benarkah apa yang terpamer di wajah mereka turut menggambarkan keadaan isi hati mereka? Atau sebenarnya hati mereka sedang merintih mencari erti bahagia yang sebenar. Namun, hati yang bersedih sering mempamerkan wajah sugul dan gundah. Tubuh mereka yang dibaluti kesedihan akan longlai dan layu serta tidak bermaya. Jauh sekali hendak bergaul mesra dan menguntum senyuman. Tetapi kenapa mereka masih oleh melirik senyum dan tertawa andai hati mereka dirundung resah?

Sebenarnya hati mereka ingin merasai manisnya kebahagiaan. Kebahagiaan yang hadir dan meresap ke dalam sanubari. Kebahagiaan yang dapat mencetuskan ketenangan dan keindahan bertuhan. Bukan kebahagiaan yang terasa di luar namun di dalam bersarang duka. Bukan itu yang mereka cari.




Lumrahnya hidup insan kini hanya bertopengkan bahagia. Topeng bahagia yang disarungkan ke muka menutup seluruh mimik muka yang berduka. Hanya hati sahaja yang mengerti resahnya hidup mereka. Ya Allah, bantulah hidup mereka untuk mencari kasih-Mu yang tidak bertepi.

Nikmat kesenangan yang mereka kecapi turut tidak dapat memadam resah dan laranya jiwa. Mereka sebenarnya telah memiliki segalanya. Segalanya yang insan lain inginkan agar hidup lebih sempurna dan bahagia. Itu adalah erti bahagia pada pandangan mata pincang manusia.




Sedarlah, bahagia yang dicari hadirnya dari lubuk hati. Pencetus rasa bahagia bermula dari kenali Allah, kasihkan Allah, ingatkan Allah dan rindukan Allah.


Rembau
29 Muharram 1433H



Read more...

Saturday, December 24, 2011

Meminggirkan Ulama

Kita sedang berhadapan dengan suasana gawat yang mana rakyat sedang diancam dengan pelbagai tohmahan dan propaganda untuk menolak Islam oleh para pimpinan. Bermula dengan peristiwa demi peristiwa di mana hukum Allah dikecam, Rasulullah SAW dihina dan para alim ulama diperlekeh dan direndahkan martabat dan keilmuan mereka.




Hukum taghut pula diangkat, pimpinan zalim diminta dijadikan ikutan. Inilah kemelut yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan bangsa Melayu yang rata-ratanya mengakui Islam atau Islam mengikut keturunannya.

Pada zaman ini sekiranya kita tidak berhati-hati dan tidak prihatin maka institusi ulama dan keilmuan Islam akan dilanda kehancuran sebagaimana berlakunya di Turki. Institusi ini akan menghadapi " patah tak tumbuh, hilang tak berganti ". Ulama peranannnya di zaman ini selepas wafatnya Rasulullah SAW merupakan pewaris para nabi.

Iaitu ulama yang memartabatkan Al-Quran dan As-Sunnah serta ulama yang berkata benar hatta kepada seorang raja yang zalim. Ulama ini akan membawa ummah kepada cahaya dan cahaya itu pula akan menjadi pedoman kemajuan, kejayaan, pembangunan dan keseimbangan duniawi dan ukhrawi serta akan menjadi penyuluh kepada jalan ke syurga.




Zaman ini kita memerhatikan dengan penuh kebimbangan kehilangan alim ulama yang mursyid. Institusi pondok yang melahirkan para ulama makin pupus dan sedang ada pula usaha untuk dimilik negarakan dalam proses untuk melenyapkannya. Kita harus sedar bila ulama tiada maka akan lahirlah pemimpin yang zalim, kejam, rakus dan tidak berperikemanusiaan.

Abu Hurairah teleh meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang mafhumnya - " Akan datang suatu zaman di mana seseorang tidak akan peduli di mana dia mendapat harta, sama ada halalkah atau haramkah, zaman yang tandus nilai rohani dan dinilai dengan nilai kemanusiaan, zaman cakar-mencakar, zaman jatuh menjatuh, zaman fitnah memfitnah demi untuk memperoleh pangkat dan harta tanpa dipedulikan dimana sumber halal haramnya."

Inilah peringatan Rasulullah SAW yang tepat sekali berlaku di zaman kita ini, manusia rakus, tamak, zalim dan berjiwa haiwan dan lebih hina dari haiwan. 




Kenapa jadi demikian?

Tidak lain kerana manusia hari ini membelakangkan nilai ajaran agama yang mereka sendiri letakkan di bawah telapak kaki mereka, mereka tidak ada perasaan langsung dengan Islam, kerana bagi mereka Islam bukan agama yang membawa kepada kemajuan, malah menuju kepada kemunduran dan kehancuran.

Adaptasi :- Harakah


Rembau
28 Muharram 1433H

Read more...