Thursday, January 12, 2012

Jelajah Negara

KUALA LUMPUR, 27 Dis : Ketua Pembangkang (Parlimen) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan menemui rakyat melalui program jelajahnya ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia menjelang 9 Januari ini.

9 Januari adalah tarikh mahkamah tinggi membuat keputusan berhubung dengan dakwaan terhadap Anwar.

Program jelajah bermula 3 Januari 2012 itu dirangka bagi memberi peluang kepada rakyat mendengar penjelasan dari Ketua Umum Keadilan itu mengetahui tentang isu-isu yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Beliau juga dijangka akan memberi penjelasan terhadap isu fitnah II yang telah dirancangkan oleh Umno sejak awal lagi bagi menghalang perjuangan politik Anwar.

Program ielajah itu akan bermula pada 3 Januari iaitu di Johor meliputi Daerah Ledang dan Muar, pada 4 Januari pula Anwar akan berada di Bandar Tampin, Negeri Sembilan dan di Bukit Katil, Melaka.




Manakala pada 5 Januari beliau akan menemui pengundi di Pahang iaitu di Bentong, Balok dan juga Indera Mahkota setelah itu beliau juga turut ke Dungun dan Kuala Terengganu sebelum berada di Pasir Puteh dan Machang, Kelantan pada sebelah malam.

Untuk rangka program jelajah itu, Anwar dijadualkan akan berada di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan di Kelana Jaya, Selangor pada 6 Januari.

Beliau akan bertolak ke Pulau Pinang pada 7 Januari dan selepas itu ke Terengganu bagi mengikuti Program Sambutan 100 tahun penubuhan Kerajaan Islam Terengganu di Kuala Berang.

Kemuncak program jelajah tersebut berakhir di Kelab Sultan Sulaiman pada 8 Januari pada jam 11 malam, sebelum itu Anwar akan mengadakan sembahyang hajat di kediamannya.

Sebelum itu, program jelajah ini dirangka sepenuhnya bagi beliau menemui setiap lapisan rakyat di seluruh pelusuk negeri sebelum beliau hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari bagi mengetahui keputusan terhadap isu Fitnah II yang telah dilemparkan kepadanya.



UiTM Bandaraya Melaka
17 Safar 1433H

Read more...

Monday, January 9, 2012

Jika



Jika kita marah - TOPUP wudhu' untuk menyejukkan jiwa.

Jika kita bingung - KLIK doa agar tenang hati.

Jika kita dipuji - RELOAD syukur supaya tidak alpa.

Jika kita gagal - DOWNLOAD usaha untuk memberi semangat.

Jika kita kecewa - RESTART tenaga agar sentiasa sedar.

Jika kita bersedih - SELECT ibu bapa untuk meluahkan perasaan.

Jika kita berdosa - UNDO perangai itu dan bersolat taubat.

Jika kita berdendam - DELETE buruk sangka supaya bersih hati.

Jika kita berbohong - BACKSPACE kata-kata untuk memperbetulkan keadaan.

Jika kita buat maksiat - REGISTER SOFTWARE sikap baru dan bertaubat nasuha.


UiTM Bandaraya Melaka
14 Safar 1433H



Read more...

Thursday, January 5, 2012

Moleknya Akhlak Baginda

Muawiyah bin Al-Hakam Al-Sulami adalah seorang Badwi yang baru sampai ke kota Madinah. Pada suatu hari beliau telah masuk ke Masjid Nabawi di Madinah untuk mengerjakan solat berjemaah bersama-sama para sahabat yang lain. Tiba-tiba ada seseorang telah bersin. Lantas Muawiyah dengan serta-merta mengucapkan, " Yarhamukallah ( Semoga Allah merahmatimu )."

Orang-orang lain yang sedang solat telah melirik kepadanya. Muawiyah kehairanan kemudian berkata : " Mengapa kamu semua memandangku begitu?". Ini kerana dia belum tahu tentang larangan bercakap ketika sedang solat.



Mereka memberikan isyarat agar dia tidak berkata-kata. Maka di pun diam sahaja. Selesai solat, Rasulullah SAW menghadap kepada para jemaah lalu Baginda SAW bersabda yang bermaksud: " Sesungguhnya di dalam solat tidak boleh ada kata-kata. Cuma yang dibenarkan hanyalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran."

Lalu Muawiyah berkata: " Sungguh aku belum pernah melihat seorang guru sebelum dan sesudah Rasulullah SAW yang lebih baik daripada Baginda SAW. Baginda tidak mengherdik dan mencela kesalahan yang dilakukan."

Begitulah cara Rasulullah SAW memperbetulkan orang yang melakukan kesalahan kerana kejahilan. Beliau tidak mensasarkan tegurannya secara langsung kepada orang yang bersalah demi menjada kehormatannya. Teguran itu mengandungi pengajara dan tunjuk ajar agar kesalahan yang sama tidak dilakukan pada masa akan datang.




Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu'bah bahawa pada satu masa setelah Rasulullah SAW menikmati hidangan makanan, maka iqamat pun dikumandangkan untuk solat. Tanpa disuruh, al-Mughirah segera mngambilkan air untuk Baginda berwudhu'. Tetapi Rasulullah SAW tidak menggunakannya kerana Baginda telah berwudhu' sebelumnya.

Perkara itu menyebabkan Mughirah berasa tidak senang hati lalu menyampaikannya kepada Umar bin Khattab RA. Umar lalu bertanyakan Rasulullah SAW kalau-kalau Baginda mempunyai perasaan marah atau tidak menyenangi sesuatu tindakan yang dilakukan oleh Mughirah.



Baginda lalu berkata: " Aku tidak berasa marah padanya cuma aku berasa bimbang jika aku mengambil wudhu' dengan air yang dihulurkan olehnya, amalan ini akan diikuti oleh umatku ( iaitu wajib mengambil wudhu' sesudah makan )."

Demikianlah.

UiTM Bandaraya Melaka
11 Safar 1433H

Read more...

Monday, January 2, 2012

Biasan Fatamorgana

Panas yang membahang disangka air, dunia dan nafsu bagai bayang-bayang, dilihat ada ditangkap hilang.


Pernahkah kalian mendengar lirik lagu di atas? Ya. Dendangan Raihan - Antara Dua Cinta. Dan saya pasti kalian pun turut pernah merasainya ketika memandu di jalan yang panas terik. Tiba-tiba kelihata seperti lopak air di hadapan. Pabila semakin hampir, rupanya hanya biasan fatamorgana.

Apakah itu fatamorgana?

Ia merupakan fenomena optik yang berlaku secara semulajadi apabila sinar cahaya membengkok membentuk "displaced image". Ia biasa dijumpai di kawasan panas terik seperti gurun yang menghasilkan imej seperti takungan air.

Namun, apa yang saya hendak cuba kaitkan, fenomena ini telah digambarkan dalam Al-Quran bertepatan dengan ciri asas pembentukan biasan optik. 

Mari kita lihat Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud :- " Orang-orang kafir, amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang mendatar yang disangka air oleh mereka yang dahaga tetapi apabila didatangi air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun."

Begitulah manusia yang apabila jauh dari cahaya keimanan dan hidayah Allah SWT, mereka akan berada dalam "dunia kebaikan" mereka sendiri. Masing-masing mempunyai takrifan kebaikan mereka sendiri menepati selera dan undang-undang yang dibentuk. Namun, di penghujungya mereka mendapati mereka telah terperangkap dalam biasan fatamorgana.




Sukar untuk menggambarkan apa yang penulis cuba sampaikan? Baiklah. Begini. Saya cuba bagi contoh yang relevan dengan fatamorgana kebaikan remaja, di antaranya ialah:-

1. Taubatnya semudah ABC ; " Apa susah sangat fikir, kita layan je lah dulu. Besok atau nanti-nanti kita taubat le. Tuhan kan Maha Pengampun."

2. Berpegang pada cinta nafsu ; " Demi bukti cinta Mia, Mia bagi lah awak pegang tangan Mia. Pegang tangan je taw."

3. Ibadah memadai dilakukan ; " Aku ni ko tengok je macam ni je taw. Suka mencarut, menyumpah, mengeji, mengusik perempuan. Tapi, solat jumaat dengan tahlil aku tak tinggal taw!"

4. Apabila diiktiraf oleh rakan ; " Feewitt!! Ko memang terbaik le 1 Malaysia!! Belanja aku rokok, ajak aku makan dengan awek cun!! Terbaik!! "

Begitulah serba sedikit apa yang dapat saya permudahkan. Apa pun pengajaran daripada ayat ini ialah:-

1. Hidup mesti bersyariat.

2. Hanya mata hati dapat menyelamatkan diri dari tipudaya fatamorgana dunia.

3. Kebaikan akan sia-sia jika tidak selari dengan kehendak Allah SWT.


Rembau
7 Safar 1433H



Read more...

Friday, December 30, 2011

Menjadi Lebih Matang

Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi di atas kurniaan-Nya kerana mengizinkan saya sekali lagi pada hari ini menghirup udara-Nya sehingga hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW di atas pengorbanan Baginda dan para sahabat memperjuangkan Islam sehingga kita dapat merasainya sehingga kini.

Hari ini, genaplah 22 tahun saya menghirup oksigen-Nya. Banyak pengalaman pahit, manis, suka, duka, pelik dan misteri yang dialami. Sorotan kenangan 2011 menjadikan saya dapat menambah ilmu dan pengalaman.




Bermula daripada Januari, mak saya berpindah ke Sandakan di atas kenaikan pangkatnya sebagai CC. Saya pula berada di alam ijazah yang menempatkan saya sebagai pelajar UiTM Bandaraya Melaka awal tahun ini.

Pada pertengahan Mac, pemergian allahyarham moyang saya – Haji Ismail Haji Isa. Allahyarham meninggal akibat sakit tua ketika berumur 92 tahun. Pemergiannya menjadikan hari raya kami sekeluarga menjadi tidak semeriah seperti dulu kerana bila Aidilfitri rumahnya menjadi tumpuan sanak saudara datang bertandang. Apa pun, yang muda akan PERGI, yang tua pasti PERGI.

Penghujung April bermulalah Final Exam saya sebagai seorang pelajar UiTM. Agak mendebarkan kerana kesemua exam adalah dalam masa 3 jam. Tidak tahu hendak menjawab, pakai hentam keromo sahaja. Tapi, alhamdulillah keputusannya memberangsangkan.

Bulan Mei menyaksikan saya baru sahaja membeli laptop baru akibat penyakit yang dihidapi oleh laptop lama. Pertengahan Mei pula, saya mengambil penyertaan dalam perkhemahan HaluanSiswa di Tanjung Malim.

Masuk sahaja Jun, saya pergi bercuti di rumah mak saya di Sandakan. Selama hampir 3 bulan di sana. Banyak pengalaman yang saya dapat bila berada di sana. Terutamanya dari segi budaya.

Bulan Ogos saya pulang ke Negeri Sembilan untuk menyambut Aidilfitri. Aidilfitri disambut seperti biasa. September pula saya masuk ke semester baru iaitu semester 3. Kawan-kawan berubah kerana saya telah ditukarkan ke kelas lain akibat penyusunan semula oleh UiTM.

Pada Oktober, panggilan haji kepada Nenek, Pak Tih & Mak Tih, Pak Ndak & Mak Ndak tiba. Mereka pergi menunaikan rukun Islam ke-5 itu dengan tenang. Mereka pulang pada awal November.

Pada Disember pula, saya lebih suka memerhatikan keadaan sekeliling. Dengan politik yang menegang, ekonomi dunia turun naik, sosial masyarakat menjadi-jadi, namun program-program agama banyak diadakan. Alhamdulillah.


30/12/2011
Penulis genap 22 tahun


AZAM TAHUN BARU @ AZAM UMUR BARU?

Bercakap mengenai azam, sudah banyak azam yang saya azamkan. Azam tahun ini pun tidak terlaksana lagi. Kalau ada pun, secara on-off. Namun, tidak salah saya merasakan kita meletakkan niat untuk melakukan perkara baik di hari esok di samping tidak melupakan muhasabah diri mengenai apa yang telah kita lakukan dan apa kita telah sumbangkan pada tahun ini mahupun tahun sebelumnya.

Kalau dari segi pelajaran, saya suka menangguhkan kerja dan malas berjumpa lecturer. Ini akan saya cuba ubahkan mulai saat ini. Sudut ibadah pula, suka meringankan perkara sunat dan makruh. Sudut da’wah pula, malas hendak membaca buku-buku fikrah. Sedangkan saya sudah diajar untuk meletakkan target sepanjang bulan untuk mengukur prestasi diri masing-masing. Namun, saya mengambil remeh perkara tersebut. Ini juga akan saya usahakan.

Dari segi kewangan, habis bercelaru. Finance student fail to manage their Financial Planning? – Embarrassing –

Dengan sedikit kekuatan yang ada dalam diri, insyaAllah saya akan cuba mengurusnya dengan lebih baik. Moga Allah permudahkan.

PERTINGKATKAN IMAN, MENGAWAL HAWA NAFSU

Tulis memang senang. Dah ada dalam situasi tertentu, halal haram dipandang sepi. Bagi saya, kalau kita hendak meningkatkan iman, sibukkan diri dengan perkara berfaedah. Sibukkan diri sampai letih. Letih itu akan mempersempitkan masa kita untuk merancang aktiviti maksiat dan mungkar yang terlintas di fikiran dan terdetik di hati.

Teringat pesan kawan saya – Dalam dunia ini, ada 2 perkara. Kalau bukan Islam, ianya Jahiliah dan sebaliknya – Ya. Saya setuju. Kalau kita tidak menyibukkan diri dalam perkara yang berkaitan Islam, nescaya kita akan diburu oleh perkara Jahiliah. Hawa nafsu sentiasa menunggu kita alpa lalu merentap masa kita untuk diisi dengannya.

MEMPERBAIKI AKHLAK

Akhlak menurut pemahaman saya adalah satu perbuatan yang mana ianya bukan dibuat-buat. Ianay terjemahan spontan apa yang ada dalam diri. Kita sering tengok orang melatah atau mengkritik seseorang. Lihat pada apa yang terpacul dari mulut mereka. Daripada situ, kita dapat tahu tinggi atau rendahnya akhlak seseorang itu. Memang ianya tidak menggambarkan keseluruhan peribadi seseorang itu, namun kita dapat tahu sedikit akhlak mereka dari segi perkataan yang dituturkan, tidak begitu?

Bergaul berlainan jantina ada akhlaknya. Bergurau dengan rakan dan sahabat ada akhlaknya, Bersemangat dalam politik ada akhlaknya. Malah dalam berhibur pun ada akhlaknya. Lihat indahnya Islam. Hikmahnya mencakupi keseluruhan hidup penganutnya. Namun, itu yang menjadi masalah bagi saya. Saya tidak berjaya mengaplikasikannya dalam hidup. Namun, tiada salahnya berusaha untuk memperbaiki. Saya cuma risau dengan fenomena tempangnya satu-satu da’wah itu kerana ketempangan akhlak yang dimiliki oleh penyebar-penyebar risalah Islam.

HARAPAN HANYA TINGGAL HARAPAN

Ya. Itulah ungkapan yang kita sering dengar. Tanpa usaha, ianya menjadi seperti angan-angan Mat Jenin. Saya berdoa supaya Allah mempermudahkan dan menguatkan saya dan kalian untuk mencapai apa yang diharapkan.Semoga hidup saya dan kalian lebih baik dari semalam, lebih baik dari tahun-tahun lepas. Apa yang kita harapakan? Menjadi lebih matang. Ya. Lebih matang. InsyaAllah.

Ya Allah, bantulah hamba-hambaMu ini.

 – Wassalam –


Rembau 
4 Safar 1433H



Read more...