KUANTAN: Gara-gara berebut alat kawalan televisyen, pelajar lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia selepas serpihan kaca tingkap nako yang dipegang kakaknya ketika mereka bertengkar terlepas lalu mencederakan pangkal paha remaja itu di Balok Baru, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, Muhammad Naili Nafis Zakaria dan kakaknya yang berusia 16 tahun bertengkar selepas remaja lelaki terbabit berebut alat kawalan televisyen dengan adik bongsunya berusia lima tahun bagi menukar program kegemaran masing-masing.
Kakak mangsa mahu meleraikan pergaduhan antara Muhammad Naili dan adik bongsunya, bagaimanapun dikatakan memarahi dan menampar pipi mangsa yang menyebabkannya berang. Muhammad Naili yang juga bekas pelajar sekolah tahfiz di sini dan kakaknya kemudian berlari ke luar rumah sebelum berlaku cabar-mencabar antara mereka.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata kakak mangsa kemudian mengambil kaca tingkap nako dan mengacu ke arah Muhammad Naili bagi menakutkannya.
“Namun, tiba-tiba kaca itu terlepas lalu terkena pangkal paha kanan mangsa yang menyebabkannya mengalami pendarahan teruk dan meraung minta pertolongan sebelum disedari jiran yang kemudian menghantarnya ke klinik berhampiran.
Mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia di klinik itu jam 5.40 petang sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat,” katanya. Datuk mangsa, Abdul Rauf Salleh, berkata ketika kejadian hanya tiga beradik itu di rumah kerana ibu mereka, Noranita, 37, menunaikan solat Asar di surau, manakala bapa berada di tempat kerja.
“Ketika pulang, Noranita mendapati Muhammad Naili terbaring berlumuran darah dan arwah sempat meminta halalkan makan minumnya,” katanya.
Jenazah Muhammad Naili dikebumikan jam 9 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Balok, di sini.
No comments:
Post a Comment