Wednesday, October 31, 2012

Terbatal Kerana Terpegang

SOALAN

Nasri berada dalam keadaan berwudhu' dan keluar menuju ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dengan menaiki bas. Di dalam bas, dia membayar tambang kepada konduktor perempuan berbangsa cina. Ketika mengambil baki, tangannya tersentuh jari wanita itu. Dia berfikir, adakah wudhu'nya terbatal? Sedangkan dia tidak sengaja.


JAWAPAN

Dalam masalah ini, wudhu' Nasri telah terbatal kerana bersentuhan dengan bersentuhan dengan kulit perempuan ajnabi. Walaupun kulit yang disentuh itu sedikit, ia tetap mambatalkan wudhu'. Sentuhan ini pula tidak mensyaratkan ia berlaku pada tapak tangan sahaja. Semua bahagian kulit daripada anggota badan bukan mahram yang tersentuh termasuk dalam salah satu perkara yang membatalkan wudhu'.

Berbeza dengan menyentuh kemaluan selepas berwudhu', hanya tapak tangan sahaja yang merupakan kawasan anggota badah yang membatalkan wudhu' jika menyentuhnya.




Sama ada tersentuh, menyentuh ataupun disentuh, menurut perkiraan para ulama mazhab Syafi'i hukumnya sama sahaja. Keadaan yang berlaku daripada ketiga-tiga tindakan ini boleh membatalkan wudhu' seseorang.

Begitu juga, ulama tidak membezakan individu yang bersentuhan itu sama ada Muslim atau tidak. Asalkan ia berlaku dalam kalangan bukan mahram, maka wudhu' salah seorang atau kedua-dua mereka terbatal. Namun, jika ada yang memakai sarung tangan atau sentuhan itu berlaku di atas lapik, ia tidak mengapa.

Jadi, Nasri perlu mengambil wudhu' semula apabila sampai ke masjid sebelum menunaikan solat Jumaat.

Adaptasi :- Gen-Q 14

Rembau
15 Zulhijjah 1433H


Read more...

Friday, October 19, 2012

Harapan Palsu

Yahya bin Muaz berkata :- Penipuan yang paling besar dalam mengharapkan datangnya rahmat Allah SWT adalah :-

  • Mereka yang sentiasa berbuat dosa dengan harapan dosanya diampuni Allah SWT tanpa disertai penyesalan.

  • Mereka yang merasakan dekat dengan Allah SWT tanpa ada usaha beribadah dan taat kepada-Nya.

  • Mereka yang menanti kenikmatan syurga dengan menabur "benih-benih" seksa neraka.




  • Mereka yang mencari tempat kembali orang yang taat ( syurga ) dengan melakukan maksiat.

  • Mereka yang menanti pahala tanpa beramal.

  • Mereka yang mengharapkan rahmat Allah SWT dengan melakukan perbuatan yang melampaui batas.

Adaptasi:- Gen-Q 14

UiTM Bandaraya Melaka
3 Zulhijjah 1433H



Read more...

Sunday, October 14, 2012

Bermesra Dengan Dosa

Zaman sekarang ini, mari kita cuba perhatikan perlakuan wanita dan lelaki di pejabat, universiti mahupun di sekolah ketika mereka bergurau, ada yang sungguh mesra. Apabila bertemu mereka bertegur sapa sampai ketawa bersama. Salahkah? Sudah tentunya tidak.

Tapi, jika dilihat lebih lama, ada lelaki yang menepuk lembut isteri orang. Ada pula isteri orang yang mencubit geram suami orang. Pelajar universiti bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan meskipun berlapik. Pelajar sekolah yang bermain cubit-cubit antara lelaki dan perempuan. Salahkah? Tepuk dada, tanya iman.

Mari kita ambil mana-mana situasi di atas dan letakkan diri kita dan ahli keluarga kita ( isteri/suami, adik perempuan/kakak ) dalam situasi berikut. Apa yang kita rasa? Si suami yang membiarkan isterinya begitu mesra dengan lelaki lain dan si lelaki yang bermesra dengan isteri orang lain, mereka berdua sama sahaja. Seorang abang yang tidak kisah adik perempuannya bermesra dan bermanja dengan lelaki lain, pun sama sahaja. Mereka gagal mendidik ahli keluarga wanita di sekeliling mereka, bahkan mereka sanggup pula biarkan ahli keluarga tejebak dalam kemungkaran.




Jika kita lihat di luar buat masa ini, kita akan pasti menemui anak dara Melayu yang tanpa segan silu mendedahkan aurat. Mana pergi bapa dan abang mereka yang tidak mempedulikan mereka? Sedangkan ancaman Allah SWT sangat berat kepada mereka yang dayus itu. Ini menandakan bahawa iman mereka semakin nipis.

Dayus bererti suami/bapa/abang yang langsung tiada perasaan risau dan ambil tahu dengan siapa isteri, anak mahupun adik perempuan bertemu dan melepak bersama, malah sebahagiannya membiarkan sahaja mereka dipegang dan dipeluk oleh sembarangan lelaki. Para ulama’ berpendapat dayus adalah seseorang yang tidak ada perasaan cemburu ( kerana iman ) terhadap ahlinya ( isteri dan anak-anaknya ).

Saya tutup perkongsian saya ini dengan sepotong hadith. Daripada Ammar bin Yasir, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:- “Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat bertanya:- “Wahai Rasulullah, kami faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah dayus?” Nabi SAW menjawab:- “Iaitu orang yang tidak mempedulikan orang yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”  ( Riwayat al-Tabarani )

Adaptasi :- Gen-Q 14


UiTM Bandaraya Melaka
28 Dzulka’edah 1433H


Read more...

Saturday, October 13, 2012

Bukti Cintakan Allah

MENGINGATI ALLAH SETIAP MASA, KEADAAN DAN SITUASI

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud :- " Orang-orang yang beriman itu sangat kuat cintanya kepada Allah. "

Imam Ahmad Taqiyuddin berkata:- " Hakikat sebuah kecintaan adalah dengan sentiasa bersama ingatannya dengan yang dicintai."



CINTAI DAN IKUTI SUNNAH RASULULLAH SAW

Merupakan prasyarat utama mencintai Allah.

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 31 yang bermaksud:- " Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah daku ( Rasulullah SAW ) nescaya kamu akan dicintai Allah. "



MEMPERBANYAKKAN AMALAN-AMALAN SUNAT

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT berfirman, mafhumnya:- " Sentiasalah hamba-Ku berada dalam keadaan mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat ( nawafil ) sehinggalah Aku mencintainya. " ( Riwayat al-Bukhari )



MENJAGA SOLAT WITIR

Merupakan bukti kejujuran cinta kepada Allah.

Fudhail bin Iyadh berkata, Allah SWT berfirman yang bermaksud:- " Seorang hamba yang mengaku mencintai-Ku tidaklah jujur kalau dia tidur lantas melupakan-Ku tatkala malam. "





MENJAGA HUBUNGAN DENGAN IBU BAPA

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan Allah juga terletak pada kemurkaan kedua-duanya.



BERSAHABAT DENGAN AL-QURAN

Sentiasa membaca dan menghayati ayat-ayatnya kerana Al-Quran umpama warkah ayat-ayat cinta-Nya buat kita.


SENTIASA TERTUNGGU-TUNGGU PANGGILAN AZAN DAN SOLAT FARDHU

Persis menunggu panggilan daripada seorang kekasih , sudah tentu panggilan azan akan membuatkan kita seolah-olah "ketagih" untuk mendengarnya semula kerana ia umpama panggilan Allah buat kita.


DOA

Sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:- " Ya Allah!! Aku memohon cinta-Mu dan cinta mereka yang mencintai-Mu serta mencintai segala amalan yang mendekatkan diriku kepada cinta-Mu." ( Riwayat al-Tirmizi )


Adaptasi:- Gen-Q 14


UiTM Bandaraya Melaka
27 Dzulka'edah 1433H


Read more...