Zaman sekarang ini, mari kita cuba perhatikan
perlakuan wanita dan lelaki di pejabat, universiti mahupun di sekolah ketika
mereka bergurau, ada yang sungguh mesra. Apabila bertemu mereka bertegur sapa
sampai ketawa bersama. Salahkah? Sudah tentunya tidak.
Tapi, jika dilihat lebih lama, ada lelaki yang
menepuk lembut isteri orang. Ada pula isteri orang yang mencubit geram suami
orang. Pelajar universiti bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan meskipun
berlapik. Pelajar sekolah yang bermain cubit-cubit antara lelaki dan perempuan.
Salahkah? Tepuk dada, tanya iman.
Mari kita ambil mana-mana situasi di atas dan
letakkan diri kita dan ahli keluarga kita ( isteri/suami, adik perempuan/kakak
) dalam situasi berikut. Apa yang kita rasa? Si suami yang membiarkan isterinya
begitu mesra dengan lelaki lain dan si lelaki yang bermesra dengan isteri orang
lain, mereka berdua sama sahaja. Seorang abang yang tidak kisah adik
perempuannya bermesra dan bermanja dengan lelaki lain, pun sama sahaja. Mereka
gagal mendidik ahli keluarga wanita di sekeliling mereka, bahkan mereka sanggup
pula biarkan ahli keluarga tejebak dalam kemungkaran.
Jika kita lihat di luar buat masa ini, kita akan
pasti menemui anak dara Melayu yang tanpa segan silu mendedahkan aurat. Mana
pergi bapa dan abang mereka yang tidak mempedulikan mereka? Sedangkan ancaman
Allah SWT sangat berat kepada mereka yang dayus itu. Ini menandakan bahawa iman
mereka semakin nipis.
Dayus bererti suami/bapa/abang yang langsung tiada
perasaan risau dan ambil tahu dengan siapa isteri, anak mahupun adik perempuan
bertemu dan melepak bersama, malah sebahagiannya membiarkan sahaja mereka
dipegang dan dipeluk oleh sembarangan lelaki. Para ulama’ berpendapat dayus
adalah seseorang yang tidak ada perasaan cemburu ( kerana iman ) terhadap
ahlinya ( isteri dan anak-anaknya ).
Saya tutup perkongsian saya ini dengan sepotong
hadith. Daripada Ammar bin Yasir, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:- “Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si
dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu
sahabat bertanya:- “Wahai Rasulullah, kami faham erti orang yang ketagih arak,
tetapi apakah dayus?” Nabi SAW menjawab:- “Iaitu orang yang tidak mempedulikan
orang yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” ( Riwayat al-Tabarani )
Adaptasi :- Gen-Q 14
UiTM Bandaraya Melaka
28 Dzulka’edah 1433H
No comments:
Post a Comment