SOALAN
Asalamualaikum Ustaz, sahabat
saya mintak tolong tanya pada ustaz. Kes dia mcm ni, kalau badan perempuan tu
kotor kena lumpur banjir lepas tu tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh
buat jamak ke? Kes lagi satu, kalau baju kotor kena lumpur. Bnjir lepas tu ada
tempat solat tapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana
tu? Mintak ustaz tolong jelaskan. Syukran jazakallah.
JAWAPAN
Wa’alaikumussalam,
Solat fardhu sentiasa wajib
dalam apa jua keadaan selagi beraqal dan waras. Ia juga wajib fardhu 'ain ke
atas setiap individu Muslim dan muslimah walau dalam keadaan banjir.
Ulama mengharuskan jama’ solat
Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran
tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka
yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid
(termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat,
1/185)
Ulama mazhab Syafie
mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian,
dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan
ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau
pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul
Akhyar, 1/337)
Ulama mazhab Hanbali turut
mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang
istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan
untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari
Ibn Abbas yang ertinya: Rasululllah telah
menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas
ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas
apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan
ummatnya.
Kesatuan ulama Fiqh sedunia
telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit
dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat
sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang
munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.
KESIMPULAN
Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi (
Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini
terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan
rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya
dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan
serba kurang. Air bersih terlalu terhad.
Hukumnya adalah HARUS dan
DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia
meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan,
pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam
keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua
solat jama' itu, wudhu tetap WAJIB diambil.
Jika terlalu terdesak dan tiada
air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan
namun wajar dielakkan setakat mampu.
Cuma para ulama bersepakat jika
solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat
adalah batal dan tidak sah.
Jika penempatan banjir atau
rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada
tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi,
dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih
ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir
BERCAMPUR LELAKI WANITA
Manakala soalan, berkaitan
campur lelaki wanita di tempat wudhu’, wudhu masih mesti diambil. Bagi
membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :
1) Cakap elok-elok pada kaum
lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhu’.
2) Minta ketua atau pegawai
beri kerjasama untuk wanita berwudhu’.
3) Meminta saudara mara ambil
kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita
masing-masing ingin mengambil wudhu.
Adaptasi :- zaharuddin.net
Bandar Baru Bangi
30 Rabiul Akhir 1435H
Read more...