Wednesday, March 11, 2015

Permulaan Perancangan Kewangan

Buat kita yang masih berumur lingkungan 20-an, majoriti daripada kita baru memulai alam pekerjaan. Pada waktu ini, segalanya terasa indah dek kerana kita sudah mempunyai sumber kewangan sendiri dan menanggap kita boleh memilik apa yang kita mahu.

Ada juga yang masih belum dapat menempatkan diri dalam alam kerjaya & bakal ditemuduga.  Oleh itu, kita mestilah membuat sedikit kajian mengenai nilai kerjaya kita dalam pasaran. 



Sewaktu baru menjejaki alam kerjaya pula, banyak perkara yang begitu asing pada kita. Antaranya ialah KWSP, SOCSO, PCB, potongan zakat pendapatan dan sebagainya. Umumnya kita mengetahui bahawa semua ini menuntut sebahagian daripada wang gaji kita. Dicadangkan supaya kita membuka fail-fail potongan/caruman daripada gaji kita itu supaya mudah untuk kita merujuknya.

Selain itu, antara perkara-perkara yang akan datang kepada kita sewaktu kita memulakan pekerjaan adalah para promoter kad kredit yang bersedia menunggu bakal pelanggannya di kompleks membeli-belah atau di mana-mana tempat tumpuan awam. Tahukah anda? Bahawa keperluan kepada kad kredit hanya sebagai alternatif cara bayaran sesuatu transaksi pembelian. Ianya cuma memudahkan kita membeli sesuatu tanpa membawa sejumlah wang tunai yang besar.



Oleh itu, kad kredit tidak sepatutnya kita lihat sebagai sumber untuk mendapakan pinjaman yang mudah. Bergaya dengan kad kredit umpama kita "membelanjakan pendapatan masa hadapan" demi untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mampu pada masa sekarang.

Kebiasannya, pada masa muda ini, ramai yang memikirkan untuk mendirikan rumah tangga. Kebanyakannya, ramai yang mengambil jalan untuk berhutang demi majlis perkahwinan. Betulkah cara ini? Sebabnya, apabila bajet perkahwinan telah dibuat dan dirancang lebih awal, insyaAllah tiada sebab untuk kita berhutang. Pokoknya, jangan cuba menandingi majlis orang yang berada sekiranya kita tidak mampu. Yang wajib adalah majlis akad & menjamu saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat-handai.



Semasa berumah-tangga pula, pengurusan kewangan keluarga eloklah dibincangkan bersama. Dari sudut pengaliran wang tunai, kawalan pengurusan, apa yang hendak dibelanjakan perlu dibincangkan. Segala komitmen setiap pasangan seperi pinjaman pelajaran, kereta, kad kredit perlulah diberitahu kepada pasangan agar wujudnya persefahaman.

Seperkara lagi, setiap pasangan hendaklah mengetahui tabiat berbelanja pasangan masing-masing. Mungkin juga akan timbul keinginan untuk memakai kereta yang lebih berkualiti ataupun memiliki rumah yang lebih selesa. Tambahan lagi, apabila anak-anak telah ramai, maka pengurusan kewangan perlulah diteliti dari semasa ke semasa. 

Kesimpulannya, sikap berjimat-cermat dan menyediakan pengurusan kewangan yang mantap adalah amat penting agar kita semua dapat menghadapi liku-liku kehidupan yang tidak menentu kelak.


Bandar Baru Bangi
20 Jamadil Awwal 1436

No comments:

Post a Comment