Thursday, May 12, 2011

Sakit

Maksud sabda Rasulullah s.a.w; " Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang. " ( Riwayat Bukhari )

Namun orang yang beriman, apabila ditimpa musibah penyakit dia akan tetap berzikir kepada Allah SWT, bersyukur, bersabar dan mengharapkan ganjran pahala.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w; " Sungguh ajaib keadaan seorang Mukmin. Seluruh keadaannya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya. Apabila ia ditimpa musibah, ia akan bersabar dan musibah itu akan menjadi kebaikan buat dirinya. " ( Riwayat Muslim )




Jika orang sakit mahu merenung pelbagai keuntungan dan kebaikan daripada penyakitnya, nescaya ia tidak mahu sembuh daripada penyakit tersebut.

Selain penyakit dapat menghapuskan dosa-dosa, ia juga dapat mengangkat darjat seseorang.

Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya; " Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui oleh ujian yang besar. Kalau Allah SWT mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah SWT, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya. " ( Riwayat al-Tirmizi )




Bila cubaan dan penyakit menimpa orang yang hubungannya baik dengan Allah SWT, lalu dia akan mampu bersabar, nescaya itu akan menjadi tanda kebaikan dan tanda cinta kasih daripada Allah SWT.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya; " Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah SWT akan mempercepatkan seksaan di dunia. " ( Riwayat al-Tirmizi )

Benarlah kata-kata orang tua bahawa setiap kejadian itu ada hikmahnya. 

Wallahualam.

Read more...

Wednesday, May 11, 2011

Bergurau

Salam ukhwah buat semua pembaca. Di sini, saya ada sedikit tips untuk dikongsi dengan pembaca sekalian. Perkara ini saya adaptasi dalam sebuah artikel.

Islam tidak membunuh fitrah manusia untuk berhibur. Terdapat banyak hiburan dan salah satunya ialah gurauan. Akan tetapi, ia mestilah mengikut landasan dan adab yang sebenarnya bagi membolehkan gurauan itu memberi kekuatan kepada kita semua. Antara adab-adabnya ialah:-

Niat yang benar. Kita boleh bergurau dengan niat untuk menghilangkan rasa bosan, penat, lesu, serta menyegarkan jiwa supaya mendapat semangat baru bagi meneruskan tanggungjawab.

Tidak berlebih-lebihan dalam bergurau kerana Islam menuntut kesederhanaan dalam setiap perkara. Gurauan yang berlebihan kadang-kadang boleh menjatuhkan kewibawaan seseorang terutamanya pemimpin.


Bergurau dengan orang yang sesuai seperti kanak-kanak sebagaimana gurauan Rasulullah s.a.w dengan Anas bin Malik dan Abu Umair.

Menjauhi bergurau dengan tangan dan kata-kata yang buruk. Maksud firman Allah SWT; " Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan antara mereka." ( Surah al-Isra, 17:53 )

Berkata benar walaupun sedang bergurau. Maksud sabda Rasulullah s.a.w; " Sesungguhnya aku juga bergurau senda namun aku tidak mengatakan kecuali yang benar." ( Riwayat al-Tabarani ) Kita juga boleh mengamalkan sunnah dalam bergurau dengan cara berkata benar.


Tidak bergurau dalam perkara-perkara yang serius seperti talak, kahwin, rujuk, semasa menjadi saksi dan sebagainya.

Elakkan bergurau dengan orang yang tidak suka bergurau kerana mereka selalu menganggap serius setiap ucapan dan perbuatan walaupun sekadar gurauan.

Tidak menakut-nakutkan seorang Muslim. Maksud sabda Rasulullah s.a.w; " Tidak halal bagi seorang Muslim membuat takut seorang Muslim yang lain. " ( Riwayat Abu Daud )


Jangan memperlekeh individu tertentu atau kelompok tertentu dengan tujuan untuk bergurau.

Tidak banyak tertawa. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan umatnya agar tidak banyak ketawa berdekah-dekah; " Janganlah kalian banyak tertawa. Sesungguhnya banyak tertawa dapat mematikan hati. " ( Riwayat Ibn Majah )

Itulah antara adab-adab bergurau. Di sini saya ada video gurauan yang agak menarik supaya dapat dijadikan iktibar oleh kita semua. ( http://www.youtube.com/watch?v=0N0a2Y56zVg&oref=http://www.youtube.com/results%3Fsearch_query%3Ddeath%2Bprank%26aq%3Df&has_verified=1 )

Wallahualam.

Read more...

Tuesday, May 10, 2011

Bebas

Pada satu ketika, saya ada terbaca satu majalah. Panelis di dalam majalah itu menukilkan bahawa beliau pernah menemui satu pengakuan tulus dan jujur mengenai tulisan seorang wanita Barat bernama R.Stevenson dalam The Toronto Star bertarikh 23 Januari 2002. Ianya berhubung etika pemakaian wanita Islam.

Menurut beliau, berdasarkan pengamatannya, wanita Muslimah kelihatan bebas daripada terperangkap dengan fesyen. Mereka bebas daripada menjadi bahan perbandingan, tidak perlu risau soal diet dan tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan pengiktirafan lelaki ajnabi.


Wanita yang menjadi mangsa fesyen sebenarnya tidak lebih daripada menjadi bahan pameran dan kepuasan nafsu semata-mata.

Wanita Muslimah yang bebas tidak perlu bersaing untuk menunjukkan kemegahan.

Namun mereka masih mempunyai daya tarikan tersendiri. Daya tarikan tersebut tersembunyi di sebalik rasa taqwa, akhlak dan kesederhanaan mereka.


Begitulah pandangan segelintir masyarakat Barat yang masih ada befikir apakah rasionalnya sesuatu perkara dalam Islam. Semoga kita semua dapat berfikir sepertimana beliau berfikir. InsyaAllah.
Read more...

Wednesday, April 20, 2011

Menjaga Silaturrahim Supaya Mesra

Memelihara hubungan silaturrahim adalah satu kewajipan kepada umat Islam. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayat oleh Muslim bermaksud: “Allah akan selalu menolong hambaNya selama mana hambaNya selalu menolong saudaranya.”

Oleh sebab itu, jika kita mahukan pertolongan Allah, kita perlu memelihara hubungan dengan manusia dan hidup tolong-menolong antara satu sama lain.


SELALU INGAT KEBAIKAN ORANG


Orang di sekeliling kita merupakan sebahagian dari hidup kita. Kita tidak boleh hidup sendirian tanpa keluarga kita, kawan-kawan, jiran-jiran, jemaah, pasangan atau sesiapa sahaja yang kita perlukan. Walaupun orang yang kita umpat atau keji, hakikatnya mereka juga penting dalam hidup kita.

Untuk kita menyukai seseorang dan mengelakkan bersangka buruk, kita mestilah selalu melihat kebaikan yang orang itu lakukan kepada kita.

Melihat kebaikan orang boleh melupakan kita kepada kelemahan mereka. Kita akan lebih menghargai kehadiran mereka dalam hidup kita.


HORMATI PERBEZAAN


Manusia dijadikan Allah sungguh unik dan berbeza-beza. Perbezaan dari segi fizikal, cara berfikir, emosional dan spiritual. Janganlah kita beranggapan semua orang itu sama kerana hakikat perbezaan yang wujud pada setiap individu itulah yang membentuk keharmonian dan kerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.


SAMPAIKAN KEBAIKAN


Kita berkomunikasi adalah untuk menyampaikan maklumat dan menerima maklumat. Kita digalkkan untuk menyampai perkara-perkara yang baik. Jika terdapat maklumat yang tidak baik, sebolehnya dielakkan. Lebih-lebih lagi jika perkara tersebut berkenaan dengan keaiban seseorang.

Sabda Rasulullah SAW:- “Seorang hamba yang menutup aib seorang hamba lain di dunia, nescaya Allah tutup aibnya di hari kiamat kelak.” – Riwayat Muslim –


LIHAT KELEBIHAN ORANG LAIN


Setiap orang memiliki kelebihan masing-masing. Sebagai Muslim, kita seharusnya menampung kekurangan Muslim yang lain dan bukannya untuk bertanding untuk menunjukkan kehebatan masing-masing. Hakikat ini lebih dekat dengan konsep saling lengkap melengkapi.

Seorang tukang paip apabila tidak sihat, dia akan pergi berjumpa Doktor. Seorang Doktor pula apabila paip rumahnya bocor, dia akan memanggil tukang paip.

Kepakaran / kelebihan pada setiap orang boleh membantu masyarakat kita pada masa kini hidup dalam keadaan saling tolong-menolong dan saling lengkap-melengkapi bagi menjamin keharmonian kehidupan bermasyarakat pada masa hadapan

Wallhualam.




Read more...

Friday, April 1, 2011

Politik Kotor

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu semua pihak tidak kira ideologi politik agar menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan “kebencian rakyat” terhadap “politik lucah dan kotor.”

Katanya, semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek dalam kalangan politikus dan media di negara ini.

Tokoh agama muda ini memberikan pendirian tegas ini ketika negara berhadapan dengan skandal pendedahan rakaman video seks, didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR) melanggan pelacur asing di sebuah hotel di ibu negara akhir bulan lalu.



Rakaman itu didedahkan oleh tiga “Datuk T” kepada wakil media Isnin lalu dan kemudian kepada beberapa pemimpin politik.
Masing-masing pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PR kini terlibat dalam perang kenyataan - berkaitan soal moral dan konspirasi politik.
Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud pembabitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin parti itu dan BN, tetapi presiden Umno itu kelmarin menafikan pihaknya terlibat dalam konspirasi yang dimaksudkan ketua pembangkang tersebut.

“Kita menentang politik lucah dan politik selak kain,” kata Asri (gambar) dalam satu kenyataan hari ini, yang menggariskan lima perkara yang perlu diamalkan bagi mengelakkan politik lucah dan kotor daripada berlarutan.

Ini bukan kali pertama negara berhadapan dengan politik seks dan politik lucah.

Akhir 2007, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang kini merupakan Presiden MCA meletakkan jawatan selepas dikaitkan dengan skandal seks yang rakaman aksi seks turut didedahkan kepada umum.

Pada 1994, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik meletakkan jawatannya ekoran tuduhan merogol pelajar bawah umur.

Pada 1988, bekas setiausaha agung MIC D. P. Vijandran meletakkan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat ekoran pendedahan 11 pita video seks yang disimpan di rumahnya.

Dalam satu kenyataan berasingan kelmarin, Asri meminta rakyat mengusir pemimpin-pemimpin politik yang suka “menyelak kain” pemimpin politik lain.

Justeru menerusi kenyataan hari ini, Asri menambah, semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat.

“Ia adalah amalan jijik dan kotor. Sama ada dalam Umno, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; sama ada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang.

“Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain,” kata beliau lagi.

Selain itu kata Asri, bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini.

“Ini akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif. Maka orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan petuturan.

“Mereka hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan,” katanya lagi.

Asri turut berpandangan bahawa media hendaklah menjadi wacana bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya lucah dan kotor dalam politik.
“Media yang menggalakkan fitnah atau pendedahan unsur lucah hendaklah dipulau oleh masyarakat bermaruah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, ahli-ahli politik yang rakyat mahukan ialah mereka yang mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, memimpin rakyat dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang positif.

“Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari pentas politik kita.
“Mereka yang sebeginilah yang akan cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina kekuatan diri,” katanya lagi.
Oleh itu tegas beliau, rakyat hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti.
“Bebas dari fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam menegakkan kebenaran,” katanya lagi.


Read more...