Wednesday, May 11, 2011

Bergurau

Salam ukhwah buat semua pembaca. Di sini, saya ada sedikit tips untuk dikongsi dengan pembaca sekalian. Perkara ini saya adaptasi dalam sebuah artikel.

Islam tidak membunuh fitrah manusia untuk berhibur. Terdapat banyak hiburan dan salah satunya ialah gurauan. Akan tetapi, ia mestilah mengikut landasan dan adab yang sebenarnya bagi membolehkan gurauan itu memberi kekuatan kepada kita semua. Antara adab-adabnya ialah:-

Niat yang benar. Kita boleh bergurau dengan niat untuk menghilangkan rasa bosan, penat, lesu, serta menyegarkan jiwa supaya mendapat semangat baru bagi meneruskan tanggungjawab.

Tidak berlebih-lebihan dalam bergurau kerana Islam menuntut kesederhanaan dalam setiap perkara. Gurauan yang berlebihan kadang-kadang boleh menjatuhkan kewibawaan seseorang terutamanya pemimpin.


Bergurau dengan orang yang sesuai seperti kanak-kanak sebagaimana gurauan Rasulullah s.a.w dengan Anas bin Malik dan Abu Umair.

Menjauhi bergurau dengan tangan dan kata-kata yang buruk. Maksud firman Allah SWT; " Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan antara mereka." ( Surah al-Isra, 17:53 )

Berkata benar walaupun sedang bergurau. Maksud sabda Rasulullah s.a.w; " Sesungguhnya aku juga bergurau senda namun aku tidak mengatakan kecuali yang benar." ( Riwayat al-Tabarani ) Kita juga boleh mengamalkan sunnah dalam bergurau dengan cara berkata benar.


Tidak bergurau dalam perkara-perkara yang serius seperti talak, kahwin, rujuk, semasa menjadi saksi dan sebagainya.

Elakkan bergurau dengan orang yang tidak suka bergurau kerana mereka selalu menganggap serius setiap ucapan dan perbuatan walaupun sekadar gurauan.

Tidak menakut-nakutkan seorang Muslim. Maksud sabda Rasulullah s.a.w; " Tidak halal bagi seorang Muslim membuat takut seorang Muslim yang lain. " ( Riwayat Abu Daud )


Jangan memperlekeh individu tertentu atau kelompok tertentu dengan tujuan untuk bergurau.

Tidak banyak tertawa. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan umatnya agar tidak banyak ketawa berdekah-dekah; " Janganlah kalian banyak tertawa. Sesungguhnya banyak tertawa dapat mematikan hati. " ( Riwayat Ibn Majah )

Itulah antara adab-adab bergurau. Di sini saya ada video gurauan yang agak menarik supaya dapat dijadikan iktibar oleh kita semua. ( http://www.youtube.com/watch?v=0N0a2Y56zVg&oref=http://www.youtube.com/results%3Fsearch_query%3Ddeath%2Bprank%26aq%3Df&has_verified=1 )

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment