Friday, May 27, 2011

Pemilihan Pemimpin

Dalam suasana politik tidak menentu sekarang, di mana runtuhnya institusi moral, undang-undang dan peraturan akibat sengketa politik, rakyat sedang menanti kepimpinan baru yang diharapkan mampu menyelamatkan keadaan.

Kepimpinan yang boleh menyelamatkan generasi masa kini dan akan datang itu sudah pasti datangnya daripada kalangan yang sangat berpegang teguh dalam prinsip agama, etika moral universal dan undang-undang.




Ada dua jenis kepimpinan, iaitu bersifat negarawan dan kepimpinan politik semata-mata. Negarawan memikirkan nasib generasi akan datang, sementara pemimpin politik semata-mata memikirkan kemenangan pilihan raya akan datang.

Kepimpinan politik seperti ini sangat bahaya bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga kepada negara. Justeru itu, dia akan berbuat apa saja untuk memenangi pilihan raya dan mengekalkan kuasa.




Adapun ciri-ciri pemimpin yang diperlukan dalam Islam, ialah:
  • Menganggap tugas memimpin itu amanah, bukan peluang untuk menambah kekayaan untuk diri, keluarga dan suku-sakatnya.  
  • Ia mesti bijaksana, merancang sesuatu jauh kedepan dan bertindak secara bijaksana.
  • Dia mesti mempunyai idea dan berfikiran terkini serta berstrategi, mampu menghadapi cabaran betapapun hebatnya.
  • Dia mesti bersifat terbuka, demokratik dan menjadi pendengar yang baik, iaitu bersedia mendengar pandangan orang lain serta bersedia pula menerima kritikan. 
  • Menjadikan rakyat atau orang yang dipimpinnya itu sebagai rakan penting untuk sama-sama memikul tanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

Oleh itu menjadi kewajipan rakyat, melalui demokrasi pilihan raya, memilih pemimpin yang dapat melindungi dan memenuhi keperluan mereka.




Mereka mahukan pemimpin yang dapat melaksanakan amanah, keadilan dan demokrasi, yang dapat menyelesaikan masalah mereka, yang mampu menjalankan pemerintahan dengan cekap dan berwibawa.


Adaptasi dari : Kolumnis Fikrah Bil 1643

No comments:

Post a Comment