Thursday, July 19, 2012

Ramadhan Bulan Mulia

Kita akan memasuki Ramadhan tidak lama lagi. Saya sebagai Muslim, merasakan kehadiran Ramadhan merupakan platform terbaik untuk kita mengubah menjadi lebih baik. Kali ini, saya hendak berkongsi tentang mengenai khutbah Jumaat.

Khatib menerangkan bahawa puasa itu bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga. Tetapi, ianya lebih daripada itu, iaitu menahan mata, telinga, mulut dari melakukan perkara-perkara yang Allah tidak suka.

Itulah kesan tarbiah rohani di bulan Ramadhan.



Puasa juga mengajar kita untuk menghindari dari sikap buruk. Seperti merendahkan orang lain dan memandang rendah pendapat orang lain. Kita hendaklah tidak mencemuh orang lain kerana kita tidak tahu siapa lagi baik dan soleh amalannya. Sekiranya kita melakukan juga, hendaklah bertaubat. Jika tidak, kita dikira sebagai zalim. Na’uzubillah.

Ramadhan juga membolehkan kita merasai saling lengkap melengkapi dengan saling berbantuan. Selain itu, ianya dapat mengikis sifat sombong. Amalan sedekah perlulah diperbanyakkan ketika Ramadhan berlangsung.

Wallahualam.

Rembau
29 Sya'ban 1433H


Read more...

Tuesday, July 17, 2012

Artis & Seniman Berusrah

KUALA LUMPUR - 17 JULAI: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak para artis dan selebriti menyertai usrah Seniman, Karyawan dan Artis (Musika) sebagai langkah untuk mereka terus istiqamah dengan penghijrahan.

PAS sentiasa memastikan setiap ahlinya akan menyertai program usrah baik di peringkat akar umbi apatah lagi di peringkat pimpinan atasan kerana usrah dilihat sebagai aktiviti pentarbiyahan.

Ketuanya Nasruddin Hassan berkata, program usrah Musika yang dikhususkan kepada artis dan selebriti pernah diadakan sebelum ini dan pada 19 Julai ini adalah untuk kali ke-3.

Dengan adanya program seperti ini, katanya artis yang belum menyertai PAS juga melahirkan minat untuk menyertai Musika. 

"Ini adalah perkembangan yang baik, kita tidak mahu artis dan selebriti yang menyertai PAS mensia-siakan penghijrahan mereka dan daripada program ini insyallah mereka akan istiqamah," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya,  usrah yang mungkin diadakan secara berkala itu akan turut membincangkan peranan dan penghijrahan yang mereka lakukan terhadap PAS dan masyarakat.




Di samping itu, DPPM akan bekerjasama dengan Lajnah Kebudayaan PAS Pusat untuk menganjurkan majlis dan taklimat khusus Presiden PAS kepada semua ahli baru yang bukan sahaja artis tetapi golongan penjawat awam yang menyertai PAS.

"Kita akan adakan pertemuan tertutup untuk jelaskan hala tuju, dasar dan prinsip PAS. Sekali gus mewujudkan hubungan secara tidak langsung individu dan pimpinan bersama golongan selebriti untuk pentarbiyahan secara tidak formal," katanya. 

Katanya, PAS telah membuat perubahan besar mendekati golongan artis sehingga mencetuskan fenomena kemasukkan artis dalam PAS.

"Kita telah mulakan langkah awal menziarahi dan mendekati mereka, jadi inilah (Musika) yang akan menjadi jambatan menghubungkan PAS dengan artis," katanya.




Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Pusat, Halim Ahmad berkata, PAS harus memainkan peranan mempergiatkan usrah di kalangan artis untuk mengelakkan mereka yang baru berhijrah ini hanyut semula dalam dunia hiburan mereka.

"Usrah perlu diberikan kepada mereka, usrah merupakan akar tunjang. Bukan sahaja artis, pimpinan PAS sendiri yang tidak usrah pun boleh hanyut," katanya.

Hari ini ramai artis dengan berani tampil secara rasmi menyertai PAS antaranya, pelakon filem Lt. Adnan Hairie Othman, penyanyi popular 'Janji Manismu' Wan Aishah Wan Ariffin, komposer lagu Bob Lokman, dan pengarah drama Adam Hamid dan pelawak Leman Raja Lawak. 



Adaptasi :- HarakahDaily


Rembau
28 Sya'ban 1433H



Read more...

Menguasai Diri

Percaya atau tidak, tiada sesiapapun atau keadaan apa sekalipun, boleh menggugat diri kita tanpa keizinan daripada diri kita sendiri. Seperti orang yang membuat kita marah, kita boleh memilih untuk sabar dan berlalu tanpa terkesan oleh sikap mereka.
Itulah sebenarnya sifat orang beriman. Bila hati mereka terikat dengan Allah, mereka dapat menguasai fikiran, nafsu dan perasaan. Tindakan mereka itu "dari dalam ke luar" bukannya " dari luar ke dalam". Persoalan yang mereka rasai dalam hati lebih penting. Apabila rasa takut dan cinta Allah menguasai hati, seseorang akan mampu menguasai dirinya.




Orang yang dapat menguasai diri itu seperti ikan yang tidak akan masin dengan kemasinan laut. Mereka juga bukan sesumpah, yang akan bertukar warna setiap kali warna persekitaran berubah.

Mari kita lihat sirah ketikamana Rasulullah SAW ditanya siapakah orang yang paling kuat, Baginda SAW menjawab: "Orang yang dapat menguasai marahnya." 

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: "Kalau meminum segelas air yang dingin ketika kehausan yang amat sangat boleh menjatuhkan maruahku, nescaya aku tidak akan meminumnya."

Umar Ibn Aziz juga pernah berkata: "Aku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin bercakap. Sebaliknya, aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap."




Justeru, ingin ditegaskan bahawa kekuatan diri sangat berkait dengan keyakinan kepada Allah. Maksudnya, sesiapa yang lebih kuat keyakinan kepada Allah, maka dialah yang paling mampu menguasai dirinya!


Adaptasi: Gen-Q 09


Rembau
27 Sya'ban 1433H



Read more...

Saturday, July 7, 2012

Suka Memberi, Tidak Suka Menerima

Mungkin tidak ramai yang pernah mendengar nama al-Nu'Man bin Thabit bin al-Marzuban. Sebenarnya itu adalah nama seorang imam yang sangat masyhur yang dikenali sebagai Imam Abu Hanifah. Orangnya kacak,berbudi bahasa dan manis tutur katanya. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Ditambah pula dengan pakaiannya yang kemas dan harum semerbak. Orang ramai boleh menyedari kehadiran beliau melalui bau wangi tersebut walaupun tanpa melihatnya.





Imam Abu Hanifah merupaka seorang tabiin yang lahir pada 80 Hijrah. Beliau berkesempatan hidup pada akhir zaman pemerintahan Bani Umaiyyah dan permulaan zaman Bani Abbasiyyah. Pada zaman beliau, para khalifah dan pemerintah sentiasa mendampingi para ulama yang berkebolehan hingga mereka ini dapat hidup mewah kerana rezeki mereka datang mencurah-curah tanpa perlu bekerja. Namun demikian, Abu Hanifah tetap menjaga harga diri dan nilai ilmunya. Beliau berazam untuk bergantung hanya pada hasil usahanya sendiri dan sentiasa ingin memberi, bukannya menerima sedekah.




Banyak kisah hidup beliau yang boleh dijadikan iktibar dan panduan hidup. Sebagai contoh, suatu ketika khalifah al-Mansur pernah menjemput Abu Hanifah untuk menziarahinya. Apabila Abu Hanifah smapai, khalifah al-Mansur menyambut beliau dengan penuh hormat dan mesra, lalu dipersilakan duduk berdekatan dengannya. Kemudian, khalifah al-Mansur mengemukakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan agama dan dunia.

Ketika Imam Abu Hanifah mahu berangkat pulang, khalifah al-Mansur menghadiahkan seuncang wang yang berisi 30 ribu dinar kepada Imam Abu Hanifah. Khalifah al-Mansur sebenarnya terkenal dengan sifat bakhil. Sambil tersenyum, beliau berkata: " Wahai Amirulmukminin, saya ini orang asing di Baghdad. Saya tiada tempat untuk menyimpan wang ini. Saya juga berasa bimbang akan keselamatannya. Simpankan wang ini di Baitulmal. Apabila saya memerlukannya, saya akan datang menerimanya nanti. Khalifah al-Mansur menerima alasan beliau.




Walau bagaimanapun, tidak lama selepas peristiwa tersebut, beliau meninggal dunia. Setelah kewafatan beliau, orang ramai menemui sejumlah harta di rumahnya yang jauh berlipat kali ganda berbanding hadiah yang diterimanya. Apabila khalifah mendengar khabar tersebut, khalifah al-Mansur menitis air mata seraya berkata: " Moga Allah merahmati Imam Abu Hanifah. Walaupun enggan menerima hadiah saya, tetapi beliau menolak dengan penuh sopan."


Adaptasi : Gen-Q 09


UiTM Bandaraya Melaka
17 Sya'ban 1433H



Read more...

Tuesday, July 3, 2012

Mara Dan Serbu!

Setiap perkara dalam hidup kita, ada tatatertibnya. Dalam Islam, apa-apa perkara baik yang diniatkan lurus untuk Allah SWT akan dikira pahala. Mara dan serbu masjid juga ada adabnya. Pendek kata, mari mengikut sunnah yang Rasulullah SAW ajarkan.



Bersegera menuju masjid

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Seandainya manusia mengetahui keutamaan panggilan azan dan saf pertama, kemudian tidaklah mereka boleh mendapatinya kecuali dengan mengundi, pastilah mereka mengundi. Dan seandainya mereka mengetahui keutamaan bersegera menuju masjid, nescaya mereka akan berlumba. Dan seandainya mereka mengetahui keutamaan solat isyak dan subuh ( berjemaah ), nescaya mereka akan datang walaupun dengan merangkak." ( Muttafaq 'Alaih )



Dahulukan kaki kanan ketika masuk dan kiri ketika keluar

Berdasarkan perkataan Anas bin Malik RA : " Termasuk sunnah, apabila engkau masuk masjid dahulukan kaki kananmu dan apabila engkau keluar dahulukan kaki kirimu."            ( Riwayat al-Hakim )


Adaptasi : Gen-Q 09

UiTM Bandaraya Melaka
13 Sya'ban1433H



Read more...