Thursday, March 29, 2012

Perangkap Yang Sering Dilupakan

Tekanan akibat kenaikan harga minyak semakin kelihatan meracuni pemikiran rakyat berpendapatan sederhana dan rendah sudah tentu. Menurut Bank Negara Malaysia, inflasi dicatatkan setinggi 7 % pada bulan Jun 2008. Kadar faedah bank pula sudah kedengaran akan menaik sekurang-kurangnya 0.25 % hingga ke 0.5 %. Demikian juga info dari rakan-rakan di bank walaupun ia dikatakan masih tahap ‘cakap-cakap' sahaja.

Apa yang diperhatikan, mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah terutamanya kelihatan cuba mendapatkan penyelesaian sementara yang kelihatan melegakan, namun hakikatnya ia menawarkan kehancuran dan bala di masa hadapan. Iaitu apabila mereka semakin berjinak-jinak dengan penggunaan kad kredit.

Apatah lagi hari ini individu berpendapatan sekitar RM 1,500 juga sudah layak untuk memiliki kad kredit. Malah, laporan menyebut penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus.




Saya berkata demikian apabila membaca berita berikut :-

"Penggunaan kad kredit untuk urusan pembelian minyak di stesen minyak seluruh negara meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak kerajaan melakukan penstrukturan semula subsidi minyak awal bulan ini. 


Penggunaan kad kredit paling ketara adalah bagi urusan pembelian diesel yang kini mencecah 95 peratus, berbanding sebelum ini hanya 80 peratus.

Kebanyakan pengguna diesel adalah kenderaan perdagangan.Berkuat kuasa 4 Jun lalu, harga petrol dan diesel mencatatkan kenaikan masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus. 


Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata pembelian petrol menggunakan kad kredit pula meningkat kepada 75 peratus daripada 55 peratus. "  
Malah, katanya penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus.

Beliau berkata, kad kredit digunakan kerana mudah dimiliki berikutan syarat kelayakan yang minimum seperti hanya perlu berpendapatan RM1,500. 

"Antara sebab peningkatan penggunaan ini ialah pengguna tidak perlu membayar tunai, sebaliknya boleh dijelaskan sebelum tarikh akhir pembayaran kad kredit.



HANTU KAD KREDIT RIBA

Saya kerap mendedahkan dalam kuliah-kuliah berkenaan pertemuan saya dan rakan-rakan ketika berkhidmat di sebuah bank Islam dengan beberapa pegawai tinggi syarikat pengeluar kad kredit.

Secara terus terang mereka berkata, sasaran dan harapan mereak dari pelanggan adalah agar pelanggan sentiasa lambat bayar dan gagal bayar on time' sehingga menyebabkan mereka mampu meariah interest yang lebih tinggi. Mereka juga tanpa segan silu mengatakan, kurang gemar dengan pelanggan yang kerap membayar penuh kos kegunaan mereka pada setiap bulan. Bagi mereka orang sebegini patutnya pergi menggunakan kad caj berbanding kad kredit.

Bayangkan, betapa dahsyatnya bisnes kad kredit ini. Ia bisnes cekik darah orang melalui kelemahan manusia lain. Ia juga sentiasa merangsang nafsu membeli pelanggan kerana terasa mudah. Mana tidaknya, mampu membeli tanpa mempunyai atau membawa duit di ketika itu.

Disebabkan itu, saya katakan ia menawarkan kenikmatan sementara tetapi kecelakaan masa depan.

Jika anda masih belum faham maksud saya, setiap kad kredit menawarkan kepada pemegangnya kelayakan berhutang dengan jumlah tertentu, katalah RM 5000. Justeru pelanggan boleh membeli apa jua selagi jumlah RM 5000 belum dicapai.  Setiap pembelian yang dibuat menggunakan kad ini, pihak pengeluar kad akan beroleh komisyen dari penjual atau pekedai sekitar 1 - 2.5 %. Ini pendapatan pengeluar yang pertama.  

Kemudian, pihak pengeluar kad akan membayar setiap harga yang dibeli oleh pelanggan. Dengan demikian telah sah bahawa si pelanggan berhutang dengan pengeluar kad.

Namun hasil target ‘jahat' si pengeluar kad, mereka MEMBENARKAN pengguna tadi membayar 5 % dari harag yang mereka guna sahaja terlebih dahulu. Bermakna jika, pelanggan guna sebanyak RM 4000, mereka hanya dikehendaki bayar minimum sebanyak RM200 sahaja. Baki sebanyak RM 3800 DIGALAKKAN oleh pengeluar kad agar pelanggannya melenagh-lengahkannya. INi kerana mereka akan mengenakan interest sebanyak 15-20 % ke atas baki RM3800 itu. Dengan cara ini, meraka akan perolehi untung besar-besaran dan pelanggan akan semakin hampir kepada muflis dan tenggelam dengan hutang dan interestnya.



Inikah yang disukai dan diingini oleh pengguna kad kredit?.. Kelihatan anda mudah sementara di stesyen minyak dan pasaraya namun rupanya anda MENGORBANKANNYA DENGAN MENANGGUNG BEBAN interest sebesar 15-20 % yang amat merugikan untuk jangka panjang di dunia dan akhirat.!!!

Kerugian di dunia akan bermula dengan tekanan-tekanan hutang yang semkain menggila dan akhirnya boleh menyebabkan pengguna tertekan dengan begitu dahsyat sehingga macam-macam perkara buruk berlaku. Mungkin salah satu kesannya adalah sebagaimana yang tercatat dari petikan berita di bawah :-

"Bebanan hutang dan tekanan perasaan dikatakan menjadi punca seorang ibu sanggup bertindak di luar batasan dengan cuba membunuh dua anak kandungnya di Seri Kembangan dekat sini, kelmarin.

Dia yang bekerja sebagai jururawat dipercayai memaksa kedua-dua anak perempuannya yang berusia enam dan empat tahun minum racun rumpai selepas mendakwa cecair itu hanya air kosong.

Bagaimanapun, dia hanya sempat memberi racun itu kepada anak yang berusia enam tahun selepas seorang lagi menjerit dan menangis sekuat hati.

Difahamkan, hasil siasatan awal, wanita yang mempunyai tiga anak itu memberitahu dia melakukan perbuatan berkenaan KERANA MENGALAMI TEKANAN PERASAAN DAN MENANGGUNG HUTANG YANG BANYAK. 

JIKA GUNA TAPI BAYAR PENUH SETIAP BULAN

Saya dapati ramai yang bertanya saya soalan ini. Mereka menggunakan kad kredit namun membayar penuh setiap jumlah kegunaan mereka dalam tempoh 20 hari yang terawal. Dengan cara ini tiada sebarang interest dikenakan, dan tatkala itu kad itu hanya seperti Kad Caj. Adakah halal?

Jawapnya telah saya ulas keputusan Majlis Fiqh dunia dalam artikel lepas. Kesimuplannya IA TETAP HARAM kerana sebagaimana yang diberitahu sebelum ini, setiap pembelian menggunakan kad kredit riba dari bank konvensional ini, pihak bank akan mendapat komisyen sekitar 1 peratus hingga 3 peratus daripada pihak penjual. DENGAN DEMIKIAN, INI JELAS MENUNJUKKAN PENGGUNA MENYOKONG INDUSTRI RIBA UNTUK BERKEMBANG, iaitu dengan memberikan lagi keuatan kepada mereka, lebih kurang sama dengan memberikan upah dan komisyen kepada perompak dan pembunuh atas kerja jahatnya. Bukankah itu dosa yang jelas.




Dosanya sama seperti mereka yang terlibat dengan riba secara langsung. Taubatlah. Tiada lagi alasan untuk menggunakannya, terutama di waktu wujudnya kad kredit Islam dank ad caj Islam yang diiktiraf Visa dan Mastercard, bermakna ia diterima di seantero dunia.

Berfikirlah berlandaskan Islam di musim kaya, miskin dan sukar, nescaya Allah melapangkan jalanmu.

Sumber : Ustaz Zaharuddin


UiTM Bandaraya Melaka
6 Jamadil Awal 1433H



Read more...

Monday, March 26, 2012

Hadiah Atau Rasuah


SITUASI :-

Saya bekerja makan gaji. Apakah hukumnya jika pelanggan saya memberi wang kerana dia berasa gembira dengan kerja-kerja saya yang memuaskan hatinya? Ertinya, wang itu diberi setelah saya selesai melakukan tugas-tugas yang berkaitan dengannya. Dia juga menjelaskan bahawa wang itu diberi dengan hati yang ikhlas, untuk anak-anak saya yang memang dikenalinya.





KOMEN:-


Sebenarnya, soalan seperti ini hanya mampu di jawab dengan tepat jika maklumat dapat diperolehi sepenuhnya iaitu dari sudut : jenis kerja, jawatan, faedah dari hubungan pekerja dan pelanggan pada masa hadapan dan lain-lain, setelah mendapat semua maklumat yang lengkap, barulah jawapan kami boleh diguna pakai, ertinya, ia perlu dirawat secara “case by case’.


Perlu diketahui, disana terdapat asas yang mengharamkan rasuah dan jenis-jenisnya. Antara jenis rasuah adalah ‘pemberian ganjaran’ sama ada atas nama ‘hadiah’, ‘upah tambahan’ dan sebagainya kepada orang yang mempunyai kuasa atau penjawat jawatan tertentu dengan tujuan bagi membolehkannya menjatuhkan hukuman (jika hakim) seperti yang dikehendakinya, atau menyelesaikan sesuatu kerja atau mendapatkan sesuatu kontrak atau melambatkan sesuatu tugas yang sepatutnya boleh disiapkan.

Tujuan tegahan ini di dalam Islam adalah kerana ia jalan kepada berlaku rasuah yang terang , kerana hati akan dieasak untuk meraih faedah harta yang lebih besar dari itu. (Naylul Awtar, As-Syawkani, 8/622, cet Dar al-Khayr; Al-Halal wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi, hlm 298 , cet Al-Maktab Al-Islami -dengan tambahan)




Dalil-dalil yang perlu di sematkan dengan kemas di minda dan hati semua penjawat jawatan yang boleh memberi “sesuatu” kepada orang ramai adalah seperti berikut :-

a) Nabi bersabda : “ Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) ” ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

b) Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata : “ini untukmu ( bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda :“ Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)” ( Al-Bukhari & Muslim )

Sebagai ringkasan, wang hadiah kepada pegawai boleh dikira sebagai pengkhianatan (tidak halal) dalam keadaan berikut :-

1) Diberikan kepada hakim khas memastikannya menang dalam kes mahkamahnya yang ia sepatutnya kalah. Samada dibuat untuk menyelamatkan diri atau menyalahkan seseorang yang tidak bersalah.

2) Diberikan kepada pegawai berkuasa bagi melepaskan diri dalam hal ketika di dapati bersalah.

3) Diberikan kepada pegawai berkuasa (samada diletakkan atas nama komisyen atau hadiah) bagi mendapatkan tender kontrak untuknya. Haram ke atas si pemberi dan si penerima.

4) Diberikan kepada pegawai berkuasa untuk mempercepatkan urusannya dan menangguhkan urusan orang lain yang sepatutnya mendapat giliran lebih awal

5) Menggunakan kuasanya (yang diberikan oleh syarikat) untuk memberikan sesuatu kontrak/tender kepada orang tertentu dengan syarat “upah khas” atau dinamakan “komisyen” diberikan kepadanya oleh pembida.




Bagaimanapun Dr. Syeikh Yusof Al-Qaradawi mengatakan, terdapat beberapa pengecualian seperti “Barangsiapa yang kehilangan haknya, namun tidak mungkin mendapatkannya kembali kecuali dengan jalan menyogok, atau akan berlaku kezaliman ke atasnya kecuali terpaksa memberi suapan wang, walaupun demikian, adalah lebih utama untuknya bersabar, jika tiada pilihan kecuali dengan menyogok wang, ketika itu yang berdosa adalah penerima sogokkan sahaja” (Naylul Awtar, 8/622 ; Al-Halal Wal Haram Fil Islam, hlm 301) Keadaan di atas berdasarkan hadith Riwayat Abu Ya’la dan Ahmad.

Berkenaan soalan di atas, maklumat yang diberikan tidak mencukupi untuk saya memberikan pandangan yang tepat, sememangnya sekali pandang kes di atas kelihatan tiada cacatnya kerana tugas telah selesai, diberikan dengan ikhlas (tetapi ikhlas hanya si pemberi yang mengetahuinya) dan khas untuk anak-anak yang dikenalinya. 

Bagaimanapun, sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam As-Syawkani sebelum ini, ingin saya ingatkan bahawa jika pemberian itu boleh diungkit pada masa akan datang bagi memperolehi sesuatu manfaat di kemudian hari untuk si pemberi. Eloklah di jauhkan penerimaan itu dan cukuplah gaji yang kita perolehi dari majikan untuk membuat tugasan itu dengan cekap, ganjaran selebihnya diserahkan kepada Allah membalasnya.

Kesimpulannya, bagi saya pemberian itu tetap syubhat kerana tiada siapa akan memberinya kepada kita tanpa jawatan dan tugas yang kita buat tadi dan satu lagi, ia juga memang tugasan kita yang terdapat dalam senarai tugasan rasmi, berlainan jika tugas itu tidak termasuk dalam senarai tugasan rasmi kita, seperti upah dan saguhati diberikan oleh orang kuar setelah kita lakukan tugasan di luar senarai tugas rasmi di syarikat/ organisasi, tatkala itu, pendapatan hadiah itu adalah halal. 

Wallahu’alam.

Sumber :- Ustaz Zaharuddin


UiTM Bandaraya Melaka
3 Jamadil Awal 1433H




Read more...

Thursday, March 22, 2012

Mengekonomikan Belanja Perkahwinan

Assalamualaikum UZAR,

InsyaAllah saya bakal melangsungkan perkahwinan di akhir tahun namun saya berada dalam situasi tertekan kerana masalah adat dalam perkahwinan yang melibatkan kewangan. Alhamdulillah pada mulanya berjalan lancar dan apabila kedua keluarga kami bertemu kami bersetuju untuk mengenepikan adat dan mahu melangsungkan majlis secara ala kadar berlandaskan Islam. Pihak perempuan mencadangkan bahawa kami mengantikan wang hantaran dengan perhiasan untuk bakal isteri saya yang mana mampu. Namun setelah membeli didapati bahawa nilai barang perhiasan yang pihak perempuan jangkakan adalah lebih dari apa yang saya sangka dan mampu.


Ini mungkin ini salah faham dari pihak saya dan keluarga. Dalam jangka masa yang singkat ini saya amat terdesak untuk mencari wang dan jalan yang paling ringkas ialah dengan meminjam dari bank. pun begitu saya faham bahawa adalah haram jika meminjam untuk membeli emas. Bagaimana pula dengan hukum wang hantaran lebih-lebih lagi jika wang hantaran adalah sumber pinjaman dari bank?


Saya juga khuatir wang hantaran lebih kepada menunjuk-nunjuk dan akhirnya tidak diberkati majlis saya nanti.


Oleh kerana perkahwinan adalah untuk memulakan hidup baru saya amat berhati-hati lebih-lebih lagi kerana takutkan riba. diharap uzar dapat memberikan pendapat.




JAWAPAN


Alhamdulillah dan tahniah atas perkahwinan yang bakal berlangsung, semoga dipermudahkan oleh Allah. Berikut adalah respon saya terhadap beberapa soalan yang diajukan:-


 1. Memang benar, perkahwinan tanpa melibatkan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi adalah lebih baik dan mudah mendapat keberkatan berbanding yang mahal kerana itu bakal meyukarkan pihak kurang berkemampuan, menyukarkan perkahwinan yang diperlukan untuk menghalalkan hubungan pasangan yang memerlukan, mudah dihinggapi penyakit riya’ dan menunjuk-nunjuk kekayaan.  Walaupun nilai hantaran dan mas kahwin yang mahal itu diharuskan oleh hukum Islam, namun iu bukanlah suatu yang terbaik. 


Dinyatakan bahawa Nabi s.a.w bersabda :


إن أعظم النساء بركة أصبحهن وجوها وأقلهن مهرا


Ertinya : Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya ( Riwayat Ibn Hibban)


Dalam sebuah hadis lain :


خَيْرُكُنَّ أَيْسَرُكُنَّ صَدَاقًا 


Ertinya : Sebaik-baik kamu adalah yang paling mudah mas kahwinnya ( Hadis Marfu’ riwayat At-Tabrani, namun lemah pada sanadnya)


Juga hadis yang lain berbunyi :

إن أعظم النساء بركة أيسرهن صداقا 

Maksudnya;


“Wanita-wanita yang paling diberkati dikalangan umatku adalah yang paling rendah mas kahwinnya” (Riwayat Ahmad, namun lemah pada sanadnya)


Memang kelihatan hadis-hadis di atas menyebut perihal mas kahwin, namun dalam konteks Malaysia yang mempunyai adat memisahkan mas kahwin dan hantaran, kedua-dua belanja yang berkait langsung dengan aqad nikah dianggap relevan dalam erti hadis di atas. Manakala kenduri pula adalah sesuatu yang terasing. 





2. Saudara memberitahu bahawa kedua-dua keluarga telah bersetuju secara ala kadar bagi meraih keberkatan, maka sewajarnya saudara dan keluarga berterus terang dengan bakal pasangan berkenaan luar jangkaannya nilai hantaran yang mereka harapkan. Itu adalah amat penting berbanding menjatuhkan diri dalam hutang untuk berkahwin yang merupakan satu cara yang tidak sihat dari sudut perancangan kewangan.





 3.  Secara asasnya, tidak ada salahnya meminjam untuk membeli emas bagi tujuan simpanan masa hadapan, pelaburan jangka panjang atau sebagai hantaran, namun ia menjadi SALAH dan DOSA BESAR jika pinjaman dibuat dari bank konvensional secara  riba yang dikenakan ‘interest’, atau membeli emas itu secara bertangguh bayarannya. Namun jika saudara membuat ‘pembiayaan peribadi’ dari institusi kewangan Islam untuk memperolehi tunai bagi tujuan perkahwinan, ia tiada masalah dari sudut hukum dan telah disahkan patuh hukum Shariah oleh ulama yang berwibawa dan menyelia institusi terbabit, cuma ia tidak digalakkan sahaja dari sudut perancangan kewangan kerana boleh membawa masalah bebanan hutang di kemudian hari.


Adaptasi : Blog Ustaz Zaharuddin


UiTM Bandaraya Melaka
28 Rabiul’Akhir 1433H




Read more...