Thursday, March 22, 2012

Mengekonomikan Belanja Perkahwinan

Assalamualaikum UZAR,

InsyaAllah saya bakal melangsungkan perkahwinan di akhir tahun namun saya berada dalam situasi tertekan kerana masalah adat dalam perkahwinan yang melibatkan kewangan. Alhamdulillah pada mulanya berjalan lancar dan apabila kedua keluarga kami bertemu kami bersetuju untuk mengenepikan adat dan mahu melangsungkan majlis secara ala kadar berlandaskan Islam. Pihak perempuan mencadangkan bahawa kami mengantikan wang hantaran dengan perhiasan untuk bakal isteri saya yang mana mampu. Namun setelah membeli didapati bahawa nilai barang perhiasan yang pihak perempuan jangkakan adalah lebih dari apa yang saya sangka dan mampu.


Ini mungkin ini salah faham dari pihak saya dan keluarga. Dalam jangka masa yang singkat ini saya amat terdesak untuk mencari wang dan jalan yang paling ringkas ialah dengan meminjam dari bank. pun begitu saya faham bahawa adalah haram jika meminjam untuk membeli emas. Bagaimana pula dengan hukum wang hantaran lebih-lebih lagi jika wang hantaran adalah sumber pinjaman dari bank?


Saya juga khuatir wang hantaran lebih kepada menunjuk-nunjuk dan akhirnya tidak diberkati majlis saya nanti.


Oleh kerana perkahwinan adalah untuk memulakan hidup baru saya amat berhati-hati lebih-lebih lagi kerana takutkan riba. diharap uzar dapat memberikan pendapat.




JAWAPAN


Alhamdulillah dan tahniah atas perkahwinan yang bakal berlangsung, semoga dipermudahkan oleh Allah. Berikut adalah respon saya terhadap beberapa soalan yang diajukan:-


 1. Memang benar, perkahwinan tanpa melibatkan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi adalah lebih baik dan mudah mendapat keberkatan berbanding yang mahal kerana itu bakal meyukarkan pihak kurang berkemampuan, menyukarkan perkahwinan yang diperlukan untuk menghalalkan hubungan pasangan yang memerlukan, mudah dihinggapi penyakit riya’ dan menunjuk-nunjuk kekayaan.  Walaupun nilai hantaran dan mas kahwin yang mahal itu diharuskan oleh hukum Islam, namun iu bukanlah suatu yang terbaik. 


Dinyatakan bahawa Nabi s.a.w bersabda :


إن أعظم النساء بركة أصبحهن وجوها وأقلهن مهرا


Ertinya : Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya ( Riwayat Ibn Hibban)


Dalam sebuah hadis lain :


خَيْرُكُنَّ أَيْسَرُكُنَّ صَدَاقًا 


Ertinya : Sebaik-baik kamu adalah yang paling mudah mas kahwinnya ( Hadis Marfu’ riwayat At-Tabrani, namun lemah pada sanadnya)


Juga hadis yang lain berbunyi :

إن أعظم النساء بركة أيسرهن صداقا 

Maksudnya;


“Wanita-wanita yang paling diberkati dikalangan umatku adalah yang paling rendah mas kahwinnya” (Riwayat Ahmad, namun lemah pada sanadnya)


Memang kelihatan hadis-hadis di atas menyebut perihal mas kahwin, namun dalam konteks Malaysia yang mempunyai adat memisahkan mas kahwin dan hantaran, kedua-dua belanja yang berkait langsung dengan aqad nikah dianggap relevan dalam erti hadis di atas. Manakala kenduri pula adalah sesuatu yang terasing. 





2. Saudara memberitahu bahawa kedua-dua keluarga telah bersetuju secara ala kadar bagi meraih keberkatan, maka sewajarnya saudara dan keluarga berterus terang dengan bakal pasangan berkenaan luar jangkaannya nilai hantaran yang mereka harapkan. Itu adalah amat penting berbanding menjatuhkan diri dalam hutang untuk berkahwin yang merupakan satu cara yang tidak sihat dari sudut perancangan kewangan.





 3.  Secara asasnya, tidak ada salahnya meminjam untuk membeli emas bagi tujuan simpanan masa hadapan, pelaburan jangka panjang atau sebagai hantaran, namun ia menjadi SALAH dan DOSA BESAR jika pinjaman dibuat dari bank konvensional secara  riba yang dikenakan ‘interest’, atau membeli emas itu secara bertangguh bayarannya. Namun jika saudara membuat ‘pembiayaan peribadi’ dari institusi kewangan Islam untuk memperolehi tunai bagi tujuan perkahwinan, ia tiada masalah dari sudut hukum dan telah disahkan patuh hukum Shariah oleh ulama yang berwibawa dan menyelia institusi terbabit, cuma ia tidak digalakkan sahaja dari sudut perancangan kewangan kerana boleh membawa masalah bebanan hutang di kemudian hari.


Adaptasi : Blog Ustaz Zaharuddin


UiTM Bandaraya Melaka
28 Rabiul’Akhir 1433H



No comments:

Post a Comment