Ada seorang pelanggan hendak membeli kereta dan membuat pnjaman kereta dari Islamic Bank, kemudian bagaimana dengan insuran? Pelanggan itu dimaklumkan mesti buat insurans dan road tax di bank tersebut. Maka pelanggan akan terdedah kepada insuran konvensional. Adakah harus?
Pertama : Pelanggan itu perlu membetulkan istilah dan kefahaman anda tentang Bank Islam. Pelanggan itu mengatakan "membuat pinjaman dari bank Islam".
Hakikatnya Bank Islam tidak memberikan pinjaman tetapi memberikan pembiayaan melalui pelbagai konsep dan aqad yang menepati Shariah, Antara konsep yang digunakan adalah Murabahah (seperti dibuat oleh Bank Islam Malaysia Berhad - BIMB) iaitu bank membeli dari pengedar dan menjual kereta itu kepada anda dengan harga 'mark up', kerana anda memilih bayaran secara ansuran.
Deposit 10 % atau lebih yang anda bayar kepada pengedar itu adalah sebenarnya kepada BIMB kerana mereka telah melantik pengedar itu sebagai wakil mereka. Dapatkan info lanjut dari pegawai di Bank Islam Malaysia Berhad.
Kebanyakan Bank Islam lain pula mengamalkan konsep al-Ijarah Thumma Al-Bai' iaitu "sewaan yang ditamatkan dengan jualan", proses dibuat apabila pihak bank akan membeli kereta dari pengedar atau mungkin juga terus dari anda, dan kemudian apabila pemilikan bank ke atas manfaat kereta (beneficial ownership) telah sempurna, pihak bank akan menyewakan kereta itu kembali kepada anda, dan pembayaran terakhir akan dianggap sebagai jualan terus. Selain itu, ada juga Bank Islam yang menggunakan konsep Tawarruq dalam pembiayaan kereta. Semuanya telah disahkan oleh Majlis Penasihat Shariah masing-masing.
Insuran
Hukum insuran konvesnional adalah haram menurut keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru anda wajib mengambil insuran Islam atau TAKAFUL dari mana-mana syarikat takaful yang wujud di Malaysia bila membeli kereta atau rumah.
Biasanya insuran tidak diuruskan oleh Bank, ia diuruskan oleh anda sendiri atau penjual kereta itu. walaubagaimanapun jika ia diurus oleh bank atau penjual, anda berhak untuk menuntut perlindungan TAKAFUL untuk kereta itu. Tiada sebarang undang-undang yang membolehkan mereka memaksa anda mengambil insuran yang tidak anda kehendaki.
Kebiasaannya, penjual kereta menggambarkan seolah-olah mesti diambil insuran tertentu, sebenarnya mereka sedang MENIPU. Hakikatnya mereka cuba mendapat untung lebih kerana syarikat insuran yang mereka cadang adalah panel mereka dan mereka akan mendapat komisyen kelak.
Jika mereka kata 'tak boleh', anda perlu tegas mengatakan bahawa jika demikian anda akan membeli kereta yang sama daripada pengedar dan penjual lain. Saya pasti tatkala itu mereka akan mengatakan permintaan anda boleh diusahakan.
Saya sendiri pernah mengalaminya apabila cuba ditipu kononnya mesti ambil dengan insuran konvensional tertentu yang memerlukan tempoh minimum 1 tahun, kemudian saya bebas untuk menukar kepada insuran lain atau TAKAFUL katanya. Dengan tegas saya katakan :-
"jika demikian, maaf, saya cari kedai lain. Saya mesti nak Takaful, 1 tahun dengan insuran, maaf saya tak mahu"
Dengan segera mereka dapatkan saya syarikat takaful.
Ingat, penjual kereta akan cuba paksa anda ambil insuran yg mereka jual kerana mereka dapat komisyen, jangan endahkan paksaan mereka. Tiada sebarang peruntukan kuasa untuk memaksa anda. Jika paksa juga, dan anda tertipu, sila buat aduan dan laporan segera kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia. InshaAllah pasti menang.
Road tax akan diuruskan sekaligus oleh syarikat penjual atau Takaful, road tax tiada masalah, hukumnya adalah harus.
Adaptasi:- Blog Ustaz Zaharuddin
UiTM Bandaraya Melaka
13 RabiulAkhir 1433H
No comments:
Post a Comment