"Semuanya
bermula sewaktu di Universiti Malaya, ketika itu saya memegang jawatan sebagai
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Dan dari situ jugalah
saya dapat merasakan tanggungjawab dan peranan yang perlu saya pikul dalam
membimbing serta membuka jalan kepada anak-anak muda tentang keilmuan
Islam," itulah kata-kata permulaan yang keluar dari mulut pendakwah
terkenal, Ustaz Haji Zaharuddin bin Haji Abd Rahman.
Nama beliau bukan sahaja terkenal di serata pelusuk negeri
di Malaysia, bahkan juga di luar negara. Ustaz Haji Zaharuddin bin Haji Abd
Rahman merupakan seorang pendakwah bebas, pengacara, pensyarah dan juga pakar
dalam bidang perbankan Islam. Kepakaran beliau dapat dihidu oleh pelbagai
syarikat terkemuka di dalam dan di luar negara sehinggakan beliau mendapat
banyak tawaran kerja dari serata dunia.
Kisah beliau bermula apabila beliau menamatkan pengajiannya
di dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya. Sudah menjadi kebiasaan, anak
muda yang baru sahaja menamatkan pengajian akan mula sibuk mencari pekerjaan
bagi menampung perbelanjaan diri dan juga keluarga.
Namun, lain pula bagi Ustaz Zaharuddin. Sebaik sahaja
menamatkan pengajian, beliau berjinak-jinak dalam memberi motivasi kepada
anak-anak muda. Walaupun secara sambilan, namun secara tidak langsung ia dapat
memberi satu impak besar dan positif kepada remaja ketika itu.
"Tamat sahaja belajar, saya terus menjadi freelance
motivator. Dari situ saya memupuk semangat mencabar diri saya dalam mengharungi
kehidupan yang penuh dengan liku dan cabaran," kata Ustaz Zaharauddin.
Peluang jangan ditolak, sepanjang menjadi freelance
motivator, Ustaz Zaharuddin berpeluang untuk berkenalan dengan ramai
tokoh-tokoh korporat yang berjaya. Dan dari situ, beliau mengambil peluang dan
kesempatan untuk merapatkan diri dengan golongan berjaya ini dan mendapatkan
tips dan juga nasihat untuk melangkah ke hadapan.
Menurut Ustaz Zaharuddin, beliau berhenti menjadi freelance
motivator dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat
sarjana dalam jurusan Syariah di Universiti Al-Yarmouk, Jordan.
Kemudian, beliau bekerja dengan RHB Islamik Bank sebagai
Pengurus Kanan di bank tersebut. Menurutnya, pengalaman bekerja di RHB
merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh beliau pada ketika itu. Apa
tidaknya, tugas beliau melibatkan segenap aspek perkara sehinggakan tidak
menang tangan. Namun, beliau tidak mudah putus asa dan sudah menjadi kebiasaan
membuat banyak kerja dalam satu masa.
Setiap saat beliau bekerja, beliau cuba mencari ruang dan
peluang untuk mendapatkan ilmu. Beliau selalu menekankan di dalam dirinya
supaya tidak jemu-jemu untuk mencari ilmu dengan ilmu orang yakni bermaksud
tiada batasan dalam mencari ilmu.
Tempuhi
Cabaran
"Semasa saya bekerja, banyak perkara yang belum saya
ketahui. Bekerja di bank bukanlah suatu perkara yang biasa. Pada saya, ianya
sangat mencabar. Saya mempunyai masalah dalam penggunaan perkataan atau
terminologi yang digunakan dalam sistem perbankan. Namun itu bukanlah
penghalang untuk saya meneruskan kerjaya saya." itulah jawapan dari Ustaz
Zaharuddin apabila ditanya tentang antara cabaran yang beliau hadapi.
Sepanjang kerjayanya, beliau mendalami segala ilmu-ilmu
perbankan Islam. Dari sistem perbankan Islam tempatan sehingglah sistem
perbankan Islam di luar negara dapat dikuasai beliau. Ini kerana, terdapat
banyak perbezaan antara dua sistem tersebut.
Menurut Ustaz Zaharuddin, cabaran bekerja di bank pada
ketika itu banyak mengajar beliau erti kesabaran dan kesungguhan. Apa tidaknya,
banyak perkara yang perlu beliau pelajari ketika itu. Beliau juga pernah
diminta oleh pihak pengurusan untuk memberi penerangan tentang sistem kewangan
Islam dihadapan tokoh-tokoh dan pakar perbankan Islam sedunia. Pada waktu itu,
beliau baru sahaja bekerja kurang dari setahun dan diminta untuk memberi
penerangan.
"Saya terkejut dengan permintaan pihak pengurusan.
Namun, tugas dan tanggungjawab harus saya laksanakan juga. Dan alhamdullilah,
semuanya berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancang. Saya juga dinaikkan
pangkat. Selain itu, saya juga diminta untuk menjadi penulis di dalam akhbar
NST Business Times" ujar beliau sambil tersenyum.
Walaupun begitu, beliau telah ditawarkan bekerja oleh Asian
Islamic Bank yang beroperasi di Qatar. Menerima tawaran tersebut, Ustaz
Zaharuddin akhirnya berpindah ke Qatar dan bekerja di sana selama hampir satu
tahun setengah. Walaupun pelbagai rintangan yang dihadapinya, namun berbekalkan
semangat dan keazaman beliau yang tinggi akhirnya beliau dapat menguasai
pelbagai terminologi perbankan Islam dan juga segala ilmu tentang perbankan
Islam di dalam dan di luar negara.
Tukar Bidang
Setiap manusia pasti mempunyai impiannya yang tersendiri.
Begitu juga dengan Ustaz Zaharuddin, keinginan beliau untuk bekerja di bank
mula padam. Nalurinya berkata untuk menjadi seorang pendidik.
Akhirnya beliau mengisi borang dan menjalani temuduga untuk
jawatan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Ketika menjalani sesi
temuduga, menurut Ustaz Zaharuddin, si penemuduga terperanjat melihat
pengalaman kerjayanya seraya bertanyakan "Adakah awak pasti dengan apa
yang awak cuba lakukan? Gaji awak akan merudum banyak."
Namun bukan gaji yang dipandang Ustaz Zaharuddin. Pada
beliau, menjadi seorang pendidik adalah suatu perkara yang sangat mulia. Beliau
ingin berkongsi ilmu dengan orang lebih-lebih lagi yang menjadi anak muridnya
nanti.
"Saya pun terkejut kerana orang yang menemuduga saya
bertanyakan soalan sebegitu. Tapi saya tidak kisah. Saya nyatakan terus hasrat
dan niat saya. Dalam masa yang sama, saya nyatakan juga keinginan untuk
menyambung pengajian saya di peringkat Doktor Falsafah atau PhD."
Akhirnya beliau diterima masuk sebagai pensyarah. Beliau
menjadi pensyarah selama satu semester sahaja dan kemudian beliau melanjutkan
pengajiannya di University of Wales, United Kingdom dengan mengambil jurusan
dalam bidang PhD Syariah dan Perbankan Islam.
Laman Web Islamik Terbaik
Menurut Ustaz Zaharuddin, fokus utama beliau menghasilkan
laman webnya adalah untuk berkongsi ilmu dengan semua orang. Ini sedikit
sebanyak dapat memberi manfaat kepada mereka yang melayarinya
Di dalam laman webnya, beliau banyak menerapkan dan mengisi
pelbagai hadis – hadis yang sahih. Ini kerana, hari ini ramai umat Islam Mulism
mudah tertipu dengan hadis-hadis yang tidak sahih.
Antara lain, beliau juga mengenakan layout yang santai dan
mudah untuk menarik perhatian orang ramai untuk melayari laman webnya. Tambahan
itu, untuk beliau mengelakkan untuk memasukkan mana-mana isu yang boleh menyentuh
sensitiviti orang lain.
"Di dalam laman web saya, saya gemar untuk berkongsi
tentang ilmu-ilmu perbankan Islam, hadis-hadis Nabi SAW. Ini kerana itulah yang
ingin dicari oleh orang yang mengikuti perkembangan diri saya. Dan itulah ilmu
yang saya ingin kongsikan dengan mereka." ujar Ustaz Zaharuddin.
Menurut Ustaz Zaharuddin lagi, beliau tidak menyangka laman
webnya akan dianugerahkan sebagai laman web Islamik terbaik. Ini kerana, beliau
tidak megisi borang penyertaan atas kesibukan yang melanda diri.
"Saya tidak mengisi borang penyertaan kerana pada
ketika itu saya sibuk dengan urusan kerja. Dan saya juga terperanjat apabila
saya mendengar ada orang beritahu laman web saya menang. Perasaan saya gembira
bercampur pelik. Akhirnya, ada orang memberitahu saya, ada seorang hamba Allah
yang mengisikan borang tersebut untuk dipertandingkan. Saya terharu dan
mengucap terima kasih walaupun tidak pernah bertemu. " jelas Ustaz
Zaharuddin.
Kini, Ustaz Zaharuddin menetap di United Kingdom dan
menjadi pensyarah di universiti tersebut. Selain itu, beliau juga banyak
terlibat dengan persidangan perbankan Islam sedunia malah telah berjumpa dengan
ramai tokoh-tokoh perbankan Islam yang termasyhur. Ini merupakan sesuatu yang
boleh dibanggakan sebagai seorang anak Malaysia yang berjaya di negara orang.
Adaptasi: iluvislam
UiTM Bandaraya Melaka
24 JamadilAwal 1433H
salam..bole sy tahu,siapa lg tokoh2 seperti beliau di malaysia?
ReplyDeletewsalam.. ramai.. antranya; prof asyraf wajdi dusuki & tan sri ali hashim
Delete