Perubahan merupakan perkara yang semua orang idamkan. Semua orang mahu berubah. Dari kurang baik kepada yang lebih baik. Namun, ada yang berjaya berubah dan ada yang sekejap sahaja perubahan mereka. Saya menjangkakan bahawa terdapat beberapa sebab kenapa golongan yang berubah itu sekejap sahaja momentumnya:-
Perubahannya bukan kerana Allah SWT
Kebanyakannya orang yang sebegini sebab perubahannya adalah untuk mendapatkan satu kepentingan yang lain. Benar atau tidak, wallahu'alam. Muungkin seseorang itu berubah untuk mendapatkan pasangan. Mereka menjadi lebih sopan dan beradab bila dapat berkasihan dengan seseorang.
Namun, jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka seperti perkelahian antara mereka berdua, yang menyebabkan mereka "clash", ada individu yang selepas itu hidupnya menjadi tidak tentu arah. Lebih sedih lagi, ia kembali kepada cara hidupnya yang lama.
Sungguh rugilah golongan yang sebegini atas amalan baik selama mana individu tersebut ketika masih bersama dengan sang kekasihnya. Bukannya saya hendak mempromosikan berkasih-kasih sebelum nikah, tapi mari kita lihat implikasinya terhadap seseorang yang melakukan perubahan atau penghijrahan cara hidup kepada yang lebih baik demi mahu meraih redha makhluk.
Apakah ini juga salah? Bagi saya, keikhlasan itu perlu dilatih. Memang pada mulanya, ada individu berasa hendak melakukan penghijrahan untuk satu kepentingan yang lain, Tapi, disarankan melatih keikhlasan mereka dalam beramal untuk menjadikannya betul-betul terpatri dengan diri kita dalam menjalani hidup ini. Dan keikhlasan itu sangat penting dan sukar dilatih.
Dibuat atas semangat semata-mata
Ada juga yang berubah atas semangat semata-mata. Ini juga berkemungkinan perubahannya tidak lama. Contoh yang paling kita biasa lihat adalah; seseorang yang berhenti merokok ataupun mahu berhenti bercouple. Ada individu yang saya lihat berhenti merokok kerana kesempitan wang dan ada individu yang berhenti bercouple dek kerana tidak berminat lagi dengan pasangannya. Lalu, mereka bersemangat untuk tinggalkan semua perkara itu.
Namun, bila datang satu situasi; bagi yang merokok mereka sudah berduit dan bagi yang berhenti bercouple pula, datang seseorang dalam hidupnya yang begitu tampan ataupun cantik, soleh ataupun solehah, beradab ataupun sopan, mereka mula goyah pendiriannya. Bagi mereka, apa salahnya mereka mencuba sekali lagi untuk bercouple dan bukannya bernikah.
Lihatlah. Perkara yang dibuat atas dasar semangat semata-mata, ada turun naiknya. Jadi, bersemangat itu tidak salah, namum titipkanlah KEFAHAMAN yang mendalam tentang sesutau perkara itu. Sebagai contoh, ada orang yang berhenti untuk perkara tersebut, kerana faham dengan dalil pengharaman perkara tersebut. Mereka bertekad untuk tidak mengulanginya lagi kerana takut murka Allah SWT sampai kepada mereka kerana masih melakukan larangan-Nya.
Pendek kata, kalau kita buat sesuatu perkara atas dasar semangat, semangat akan luntur. Tapi, jika kita tambahkan dengan kefahaman, insya-Allah, Allah akan mempermudahkan urusan kita.
Suasana persekitaran yang mencabar
Ini adalah faktor yang paling biasa kita lihat dan dengar. Kadang-kadang, ada orang yang sudah berubah, bila masuk dalam satu suasana, mereka mula kembali pada asal. Tidak kiralah baik atau buruk.
Tidak dinafikan bahawa pengaruh rakan sebaya sangat mempengaruhi cara hidup seseorang. Kalau kita, mempunyai kawan yang suka mencarut, lama-kelamaan kita juga berkemungkinan akan mencarut atau paling tidakpun kita sudah mula bercakap kasar.
Perlukah kita mengasingkan diri daripada kawan-kawan itu?
Bagi saya, mungkin itu salah satu caranya. Tapi, kalau kita berubah sekalipun dengan cara itu, adakah kawan kita juga turut berubah? Sanggupkah kita melihat kawan-kawan kita terus dengan dunia mereka akan tetapi kita hendak menjadi baik berseorangan? Bak kata murabbi saya; Masyarakat semakin rosak kerana ramai orang yang baik, hendak menjadi soleh bersorangan. Hendak solehkan dirinya dulu tanpa memikirkan untuk mengajak orang lain. Walhal, perkara ini perlu seiringan.
Jadi, saya berpendapat mungkin perlu kita mengasingkan diri untuk beberapa ketika. Dan kembali kepada kawan-kawan kita semula untuk menjadi agen perubahan. Bukanlah kita mesti tunggu ilmu tinggi dan sebagainya, kerana apa yang lebih penting ilmu yang sedikit itu diamalkan dan dikongsi dengan orang lain. Pengaruhilah mereka dengan cara yang santai.
Pendirian saya, kita tidak perlu untuk mengasingkan diri dengan orang lain terus-menerus. Tetapi, kita mengasingkan diri dengan cara pemikiran yang berlainan. Orang lain, cara pemikirannya lain. Kita, cara pemikiran kita. Dan cara pemikiran itu berlandaskan syarak dan batasan agama. Sebagai contoh; ada orang menganggap mempunyai awek/pakwe itu perkara biasa. Bertepuk-tampar dengan berlainan jantina itu biasa. Bermanja-manja dengan berlainan jantina itu biasa. Bergambar berdua-duaan dengan berlainan jantina itu perkara biasa. Namun, kita memikirkan dari satu sudut yang lain.
Jadi, perkara ini terpulang pada kita untuk menilainya. Kita berlapang dada dalam hal-hal perbezaan pendapat selagimana ianya tidak bertentangan dengan syarak. Dan kita menyokong sepenuhnya dalam hal-hal yang sependapat.
Begitulah serba-sedikit pendapat saya dalam hal ini. Sememangnya, pembaca semua boleh mengkritik pendapat saya untuk penambahbaikan cara saya berurusan dengan orang lain dan untuk menambahkan ilmu di antara kita.
Saya berharap ada manfaat yang boleh diambil daripada artikel ini. Dan marilah kita melakukan perubahan dengan penuh keikhlasan.
Insya-Allah, kita boleh!!
UiTM Bandaraya Melaka
12 Safar 1433H
No comments:
Post a Comment