Thursday, July 7, 2011

Marilah Bersama Mengelaknya

Assalamu’alaikum w.b.t kepada semua pembaca.

Rasanya sudah lama saya  tidak mengutarakan pandangan saya dalam blog kepunyaan saya ini. Maklumlah dengan kemalasan saya untuk berfikir ini membuatkan saya sering mengadaptasi maklumat daripada sumber-sumber yang lebih bagus lagi.

Kali ini saya hendak melontarkan pandangan apa yang saya faham tentang sesuatu. Tajuk kali ini adalah “Marilah Bersama Mengelaknya”. Apa yang hendak dielakkan? Artikel ini lebih menjurus kepada pemahaman saya tentang fitnah dan umpat. Saya tujukan artikel ini khusus untuk diri saya sendiri dan sekiranya ia bermanfaat pada kamu semua, Alhamdulillah.

Sekadar Pengenalan

Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui secara tepat apakah maksud fitnah. Mengikut Kamus Dewan, fitnah bermaksud tuduhan, khabar atau kisah yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang.

Fitnah asalnya diserap daripada bahasa Arab, dan pengertian asalnya adalah "cobaan" atau "ujian".

Dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w, perkataan fitnah digunakan bagi menunjukkan pelbagai makna yang berbeza-beza mengikut kefahaman ayat dan ada sesetengahnya adalah boleh dirujuk sebagaimana kefahaman masyarakat kita terhadap maksud fitnah.


Selain itu, dalam hadis Rasulullah s.a.w daripada Abi Hurairah menerangkan secara jelas pengertian fitnah:
"Tahukah kamu apakah memfitnah?"

Sahabat berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." 

Baginda bersabda: "Memfitnah adalah mengatakan sesuatu mengenai saudara (Muslim) ketika tiada yang dia tidak suka."

Ditanya: "Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus kami katakan?"

Baginda menjawab: "Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat." (Riwayat Muslim). 

Sementara itu, menurut kamus dewan edisi ketiga pula "umpat  = umpatan" membawa maksud kata kata yang bermaksud untuk menodai nama orang (merugikan orang), fitnah: aku dibuang negeri ini kerana umpatan orang.

Rasulullah s.a.w menjelaskan mengumpat dalam sabda baginda yg bermaksud, “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya
(Hadis Riwayat Muslim)

Itulah serba sedikit untuk pengenalan. Sebenarnya banyak lagi maksud yang boleh dirujuk dalam mana-mana sumber. InsyaAllah.




Realiti masa kini

Sekiranya kita melihat kepada suasana bermasyarakat sekarang, budaya fitnah dan umpat itu sudah dianggap perkara biasa. Sama ada ia “disinonimkan” atau “tersinonim’ dengan wanita, bagi saya itu ialah satu stereotaip. Bagi seorang pengamal fitnah dan pembudaya umpat, biasanya mereka tidak senang hati dengan satu pihak. Lalu mereka memfitnahnya dan mengumpatnya.

Fitnah dan umpat terhadap para pemimpin politik, biasanya dilakukan kerana tidak mahu pemimpin itu memimpin mereka. Mungkin kerana ada pihak yang tidak mahu segala benefit yang bakal diperolehi jatuh ke tangan orang lain. Mungkin juga pemimpin yang difitnahnya tidak mempunyai “agenda” yang sama dengan pihak-pihak tertentu.

Fitnah dan umpat terhadap para ahli agamawan pun turut tidak terkecuali. Pelbagai gelaran yang diberikan kepada mereka yang berusaha menjernihkan Islam daripada unsur khurafat, tahyul, bid’ah dan sebagainya. Ajaran ini, ajaran itu. Mereka sering dilemparkan dengan tuduhan membawa ajaran-ajaran baru sedangkan golongan yang mulia ini berusaha untuk menyesuaikan Islam dengan keadaan semasa dan penerimaan oleh masyarakat menjadikan Islam sebagai cara hidup adalah tujuan murni mereka.

Terlalu banyak perkara yang dibincangkan adalah permasalahan cabang sehinggakan permasalahan yang asas tidak diberikan tumpuan. Sebagai contoh, Imam yang menggunakan mikrofon berwayar yang ada tahi cicak di wayar tersebut. Antara yang lain pula, kedudukan tangan yang ketika sedang berdiri.Adakah sah atau tidak solatnya? Walhal perkara itu semua adalah khilaf yang ada penjelasan yang tersendiri.

Kenapa kita tidak membicarakan persoalan bagaimana kekhusyukan dalam solat itu sendiri? Kenapa kita tidak membincangkan bagaimana caranya untuk mengajak orang untuk solat berjemaah di masjid? Saya tinggalkan persoalan ini pada anda semua.




Persada Seni

Seterusnya, mari kita beralih pandangan kepada skop yang lebih kecil lagi iaitu skop bidang kesenian. Apa yang saya maksudkan di sini adalah dengan kehidupan artis-artis. Terutamanya artis yang baru hendak “naik’ dan “menjadi”.

Biasanya, kalau golongan seperti itu, fitnah itu tiada, tapi “gosip” itu ada. Apakah perbezaan kedua-dua istilah ini? Saya rasa macam tiada perbezaan. Entahlah.

Kadang-kadang, gosip ini direka oleh artis itu sendiri bagi tujuan “mencapub”. Mereka bertujuan untuk meraih komen orang ramai samada sokongan atau kritikan. Sedikit sebanyak dapat menonjolkan diri mereka bahawa mereka masih hot di sisi persada seni. Ada juga yang berbangga dengan gosip yang dilemparkan. Rancangan-rancangan sensasi pula mengambil peranan untuk mempopularkan fitnah dah umpat ini.

Nanti dulu.

Saya bukanlah hendak mengkritik golongan artis. Saya cuba menjelaskan budaya yang tidak sihat yang diamalkan itu. Tidak dinafikan bahawa masih terdapat artis yang masih memegang prinsip ketimuran meskipun tidak memegang prinsip Islam sebagai cara hidup. Semoga mereka beroleh hidayah Allah.

Berbicara mengenai hidayah Allah kepada golongan artis, Alhamdulillah kita harus bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada mereka kembali ke jalan yang sebenarnya sebagaimana kisah artis Malaysia yang pernah saya post.

Namun begitu, artis yang baru “berhijrah” ini juga kadangkala tidak terlepas dari fitnah dan umpat. Ada yang menganggap mereka mempunyai niat tertentu. Ada juga yang mengaitkan mereka berubah untuk meraih simpati. Tidak kurang juga ada golongan yang memperlekehkan mereka dengan kehidupan lampau mereka. Sedangkan Allah itu Maha Pengampun.

Persada seni tidaklah rigid kepada artis sahaja. Mari kita lihat arus media perdana. Televisyen, radio, suratkhabar, blog dan seumpamanya menjadi alat untuk menyebarkan fitnah. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai masalah iman. Tidak kurang juga ada siaran t.v yang menyiarkan rancangan-rancangan sensasi yang kononnya untuk berkongsi perkembangan isu dalam negara, hakikatnya adalah untuk mengadu-domba.

Sekali lagi, nanti dulu.

Bukanlah saya mengkritik dan tidak suka kepada siaran t.v yang dimaksudkan. Hakikatnya, saya juga menonton rancangan-rancangan sebegitu untuk update isu-isu sekarang. Saya cuma tidak begitu menyenangi dengan apa yang disiarkan. Pokok-pangkalnya, berhati-hatilah kita semua dalam mempercayai sesuatu sumber.

Firman Allah swt yang bermaksud :- “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kalian orang fasik dengan membawa berita, maka telitilah berita itu agar kalian tidak memberikan keputusan kepada suatu kaum tanpa pengetahun sehingga kalian akan menyesali diri atas apa yang telah kalian kerjakan.” Al-Hujurat:6



Mengundang Fitnah

Ini adalah perkara yang sering dan selalu berlaku dalam dunia hari ini. Pada mulanya saya faham mengenai ungkapan ini ialah apabila tengok cerita-cerita drama Melayu masa kecil-kecil dulu.

Kebanyakannya, dalam drama sering mempamerkan adegan seorang perempuan yang datang seorang diri ke rumah seorang lelaki bukan mahram dikatakan tidak manis dipandang orang. Boleh mengundang fitnah. Nanti apa orang kata dan macam-macam lagi.

Namun, setelah umur saya meningkat, rupanya perkara itu bukan setakat itu.

Seorang pendakwah yang sering berdakwah tetapi perbuatannya tidak selari dengan percakapannya juga boleh mengundang fitnah. Namun begitu, kita sememangnya tidak terlepas dari kesalahan dan dosa. Pembaikan berterusan itu adalah sepatutnya dilakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:- Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari)

Teringat akan cerita seorang murabbi saya yang mana beliau menceritakan arwah Ustaz Dahlan Mohd Zain, seorang murabbi mithali yang dikagumi beliau dan turut dikagumi saya, pernah memberitahu beliau bahawa kalau kita hendak pergi ke suatu tempat, dan berdekatan di tempat itu pula ada tempat yang tidak elok seperti pub, kelab malam dan sebagainya, ambillah parking yang jauh sedikit dari tempat itu bagi tidak mengundang fitnah. Sampai begitu sekali tahap akhlak murabbi kami itu.

Selain itu, undangan fitnah juga boleh berlaku daripada golongan yang dianggap orang yang ‘alim seperti ahli surau seperti ustaz, imam ,bilal. Bayangkan seorang ustaz atau imam atau bilal yang menghisap rokok. 

Apakah tanggapan masyarakat kepadanya? Sudah tentu mereka akan menggunakan perlakuan ustaz itu sebagai hujah mereka supaya dapat merokok dan perkara yang seumpamanya.

Murabbi saya pernah berkata, golongan ini seolah-olah “memfatwakan” sesuatu perkara itu halal dan dibolehkan. Sedangkan, mereka inilah yang sepatutnya dijadikan contoh dan memberi tauladan yang baik di samping menjelaskan hukum-hukum yang berlandaskan syarak.

Mengundang fitnah juga boleh berlaku di mana-mana institusi yang dikenali dengan menggunakan jenama Islam. Sebagai contoh, penuntut universiti yang menuntut di IPT yang ada tertera perkataan “Islam” tidak beramal dengan Islam sendiri. Tidak berakhlak dengan akhlak Islam.

Budaya couple menjadi kebiasaan. Lebih memeranjatkan lagi, jika mereka itu adalah pelajar dari jurusan dinniyah seperti Fiqh, Usuluddin, Pengajian Islam dan sebagainya. Yang haram menjadi halal.

Dan sekali lagi, hujah inilah yang akan digunakan oleh masyarakat untuk melakukannya. Tidak semua. Cuma segelintir atau sekelumit sahaja dalam masyarakat yang melakukannya itu.

Impak dari situasi ini, institusi yang dibanggakan Islam akan diperlekehkan dan akan menjadi bahan umpatan.




Oleh itu, kita yang mempunyai kesedaran bahawa Islam itu bukan sahaja sekadar rukun Islam yang 5 itu, tetapi mencakupi seluruh cara hidup kita, marilah kita semua terus memperbaiki diri kita dan berkongsi ilmu dengan mereka yang masih tercari-cari di luar sana.

Kalau nak diikutkan ilmu, memang saya tidak layak untuk bercakap tentang Islam ini. Tetapi, saya teringat pesan seorang ustaz yang mana beliau menyatakan bahawa ilmu ini bukanlah tunggu sampai banyak baru hendak sampaikan. Tetapi, ilmu itu untuk diamalkan dan disampaikan bila kita memperolehinya. Tambahan lagi, telah menjadi kewajipan kita untuk melakukan amar makruf nahi mungkar.

Justeru itu, saya mengajak diri saya dan pembaca sekalian supaya dapat istiqamah dalam Islam. Tidak dapat diduga bagaimana kehidupan kita minggu depan, tahun depan, 10 tahun lagi, atau ketika sakaratulmaut nanti. Life is unpredictable. Kita berharap semoga Allah memelihara dan melindungi daripada perkara-perkara yang menjauhkan kita dari Islam.

Rasulullah saw mengajarkan do’a ini kepada kita semua:-  “Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu dan dalam ketaatan kepada-Mu”





Pesanan dari murabbi saya yang sehingga kini saya masih ingat bahawa setiap umat Islam  adalah berperanan penting untuk menjadi  “Duta Islam” atau “Ejen Marketing Islam” dalam usaha untuk mempromosikan Islam di luar sana supaya orang Islam semakin bertambah minat dengan Islam dan orang bukan Islam berasa minat dengan Islam. Bagaimanakah caranya? Saya tinggalkan persoalan ini kepada anda semua kerana saya juga sedang mencari jawapannya.

Akhir sekali, saya menyeru diri saya sekali lagi dan pembaca sekalian, marilah kita bersama-sama mengamalkan Islam dalam cara hidup kita. Sekiranya melakukan kesalahan, ketahuilah Allah Maha Pengampun. Fitnah dan umpatan tidak memberikan faedah kepada kita. Marilah bersama mengelaknya.

Wallahua’alam.















Read more...

Wednesday, July 6, 2011

Kerajaan Sedia Bertemu BERSIH : Perdana Menteri

2011/07/05

PUTRAJAYA: Kerajaan sedia menemui penganjur demonstrasi jalanan yang dicadangkan 9 Julai ini berhubung hasrat mereka mengadakan perhimpunan di stadium, asalkan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan, pihak terbabit ingin mengadakan pertemuan dengan kerajaan bagi menimbang kemungkinan mengadakan perhimpunan itu di stadium.

"Kita sedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan supaya perhimpunan itu diadakan di stadium dengan syarat mereka akan pergi dengan aman, mengadakan perhimpunan dengan aman dan mereka akan balik dengan aman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Penganjur demonstrasi jalanan 9 Julai ini kini mengubah rancangannya untuk mengadakan perhimpunan mereka di stadium selepas pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara hari ini.

Sumber ini dipetik dari Berita Harian Online 5 Julai 2011.
Pendapat saya ialah rakyat memang berhak untuk menuntut kelapan-lapan perkara itu.
Cumanya, kerajaan telah mengharamkan perhimpunan berikut sebelum ini, jadi saya sebagai mahasiswa akan diambil tindakan jika menyertainya.
Nantikan perkembangan seterusnya di arus media hari ini.











Read more...

Sunday, July 3, 2011

Freedom Flotilla 2 Terkandas Di Greece

KUALA LUMPUR : 3 Julai - Pasukan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan antarabangsa 'Pembebasan Flotila 2' ke Gaza tidak dapat meneruskan pelayaran berikutan dihalang memasuki Pelabuhan Corfu di Greece kelmarin. Presiden Life Line For Gaza (LL4G), Norazaman Mohd. Shamsuddin berkata, kerajaan Greece dilaporkan akan mengambil tindakan termasuk kekerasan jika halangan itu dicabuli oleh misi bantuan kemanusiaan tersebut.

"Sekiranya kapten kapal ditekan atau didakwa hingga tidak dapat meneruskan pelayaran, pasukan Malaysia akan bergabung dengan rakan-rakan sekutu antarabangsa di Athens untuk membuat bantahan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. Selain itu, Norazaman berkata, satu memorandum bantahan akan dibuat oleh Pasukan Pengurusan Krisis LL4G Malaysia bersama-sama semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan politik di Kedutaan Greece di Kuala Lumpur esok.
KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama para peserta misi 
kemanusiaan dari Malaysia yang terkandas di atas kapal PY Sefano Chiarini Lome Corfu, Greece semalam

Adakah Greece juga telah dihasut oleh ejen Israel?

Teruskan membaca di akhbar-akhbar hari ini  dan laman web yang berkaitan.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita.


Adaptasi dari Kosmo! Online

Read more...

Saturday, July 2, 2011

Misi Gaza : Bersatu Untuk Palestin

Kira-kira 150 ahli Umno, PAS dan NGO hari ini berkumpul untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat supaya mendesak sekutu negara itu - Israel - supaya jangan mengganggu kapal konvoi misi antarabangsa Freedom Flotilla II ke Gaza.

Memorandum bantahan itu disediakan oleh Life Line 4 Gaza dan disokong oleh Umno, PAS, Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ehsan Malaysia, Peace Malaysia dan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Mereka juga mendesak Amerika Syarikat supaya memberi tekanan ke atas Israel agar tidak menghalang perjalanan konvoi tersebut ke Gaza.

"Kami meminta Amerika Syarikat membuka mata lebih positif untuk menyelamatkan rakyat Gaza.

"Langkah ini adalah untuk umat Islam, dan ianya tidak ada provokasi selain daripada menghantar bantuan kemanusiaan," kata Setaiusaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid dalam satu sidang media.




Sebelum itu, beliau bersama-sama umat Islam yang selesai menunaikan solat Jumaat, berarak dari sebuah tempat letak kereta yang terletak kira-kira 100 meter dari kedutaan Amerika.

Mereka juga membawa sepanduk dan kain rentang yang mengutuk tindakan Israel dan Amerika Syarikat dan melaungkan takbir beberapa kali.

Sebelum sidang media dimulakan, Megat Firdouz bersama tiga lagi wakil NGO termasuk presiden Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ehsan Malaysia, Muhammad Ridhwan Sulaiman dan setiausaha agung pengurusan Life Line 4 Gaza, Hishammuddin Hashim - menyerahkan memorandum tersebut kepada Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak.

Memorandum itu diserahkan kepada setiausaha kedua jabatan politik, Kedutaan Amerika, Greg Chapman di hadapan pintu masuk kedutaan.

Turut hadir memberi sokongan adalah wakil daripada Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia dan Exco Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad.




Mengulas lanjut dalam sidang media, Megat Firdouz berkata, perhimpunan aman tersebut bertujuan membangkitkan isu kemanusiaan sejagat kerana ia adalah perjuangan bersama.

Ditanya mengenai ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang kini sudah dua minggu berada di Greece, beliau berkata ahli parlimen Rembau itu dan semua sukarelawan berada dalam keadaan selamat.

"Kesihatan YB Khairy sihat dan beliau tidak sabar-sabar untuk turut serta dalam misi kemanusiaan di Gaza," katanya.

Megat Firdouz juga menafikan tohmahan bahawa frotila itu membawa peralatan senjata dan menerima latihan ala tentera, tetapi sebaliknya menegaskan tujuan misi itu semata-mata mahu menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Sementara itu, Hishamuddin berkata memorandum bantahan tersebut, menggariskan lima resolusi penting antaranya, mendesak Amerika memberi perlindungan kepada peserta misi frotilla.


"Kami menggesa kerajaan Amerika supaya mendesak Israel menghentikan penggunaan senjata terhadap Freedom Frotilla.

"Kami bimbang tindakan menghentikan misi frotilla ini akan memberi kesan buruk, bukan sahaja kepada Amerika tetapi juga kepada masyarakat dunia," memorandum itu dipetik.

Mereka juga menggesa Amerika mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa, dan seterusnya membenarkan misi frotilla memasuki Gaza untuk tujuan kemanusiaan.

Semoga kita semua dapat bersatu dalam isu-isu sebegini.


Read more...

Friday, July 1, 2011

Penghijrahan Artis

KETIKA irama dangdut di puncak kegemilangan persada muzik tanah air sekitar pertengahan 90-an, nama Iwan cukup meledak di pasaran. Malah, dia yang tampil menyanyi lagu dangdut secara solo, turut berduet bersama Amelina dan Sheeda.


Pastinya, lagu Memori Daun Pisang dan Yang Tersayang, cukup mengingatkan peminat pada keserasian Iwan dan Amelina. Bahkan, lagu Secangkir Madu Merah pula dinyanyikan Iwan bersama Sheeda. Selain itu, Iwan juga popular dengan lagu solo, Yang Sedang Sedang Saja dan Wulan.


Namun, semua itu sudah menjadi kenangan buat Iwan atau nama sebenar, Wan Syahman Yunus, 50. Ini kerana, Iwan sudah berubah imej dan dia lebih menjurus kepada berdakwah. Malah, Iwan juga memiliki keluarga baru dan seorang anak perempuan.


Iwan bertemu jodoh dengan isterinya, Evie Surriantyy pada 2 Oktober 2009 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan Wan Nur Sumayyah, setahun. Ternyata, Iwan sangat bahagia dengan cara hidupnya yang disifatkan lebih dekat dengan Tuhan.





Terdahulu, Iwan ditemui pada majlis perkahwinan anak gadisnya, Wan Syamira Putri Oktavia, 19, hasil perkahwinan bersama bekas isteri yang juga pelakon era 80, Rosnah Mohd Nor di Taman Putra Perdana Puchong, Ahad lalu, bertemakan coklat keemasan.


Hadir ditemani isterinya yang berjilbab hitam, anak serta ahli keluarga dari Indonesia, Iwan mengakui dia sangat bersyukur anaknya bertemu jodoh pada usia muda. Katanya, perkahwinan itu indah dan tuntutan agama, maka tidak perlu dilewat-lewatkan.

Mesra berbicara, Iwan juga bersikap terbuka berkongsi kisah hidup barunya. Katanya, dia akan muncul dengan album dakwah tidak lama lagi.

Semoga kita semua sentiasa berada dalam hidayah-Nya.

Adaptasi : myMetro


Read more...