Assalamu’alaikum w.b.t kepada semua pembaca.
Rasanya sudah lama saya tidak mengutarakan pandangan saya dalam blog kepunyaan saya ini. Maklumlah dengan kemalasan saya untuk berfikir ini membuatkan saya sering mengadaptasi maklumat daripada sumber-sumber yang lebih bagus lagi.
Kali ini saya hendak melontarkan pandangan apa yang saya faham tentang sesuatu. Tajuk kali ini adalah “Marilah Bersama Mengelaknya”. Apa yang hendak dielakkan? Artikel ini lebih menjurus kepada pemahaman saya tentang fitnah dan umpat. Saya tujukan artikel ini khusus untuk diri saya sendiri dan sekiranya ia bermanfaat pada kamu semua, Alhamdulillah.
Sekadar Pengenalan
Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui secara tepat apakah maksud fitnah. Mengikut Kamus Dewan, fitnah bermaksud tuduhan, khabar atau kisah yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang.
Dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w, perkataan fitnah digunakan bagi menunjukkan pelbagai makna yang berbeza-beza mengikut kefahaman ayat dan ada sesetengahnya adalah boleh dirujuk sebagaimana kefahaman masyarakat kita terhadap maksud fitnah.
Selain itu, dalam hadis Rasulullah s.a.w daripada Abi Hurairah menerangkan secara jelas pengertian fitnah:
"Tahukah kamu apakah memfitnah?"
Sahabat berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."
Baginda bersabda: "Memfitnah adalah mengatakan sesuatu mengenai saudara (Muslim) ketika tiada yang dia tidak suka."
Ditanya: "Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus kami katakan?"
Baginda menjawab: "Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat." (Riwayat Muslim).
Sementara itu, menurut kamus dewan edisi ketiga pula "umpat = umpatan" membawa maksud kata kata yang bermaksud untuk menodai nama orang (merugikan orang), fitnah: aku dibuang negeri ini kerana umpatan orang.
Rasulullah s.a.w menjelaskan mengumpat dalam sabda baginda yg bermaksud, “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya”
(Hadis Riwayat Muslim)
(Hadis Riwayat Muslim)
Itulah serba sedikit untuk pengenalan. Sebenarnya banyak lagi maksud yang boleh dirujuk dalam mana-mana sumber. InsyaAllah.
Realiti masa kini
Sekiranya kita melihat kepada suasana bermasyarakat sekarang, budaya fitnah dan umpat itu sudah dianggap perkara biasa. Sama ada ia “disinonimkan” atau “tersinonim’ dengan wanita, bagi saya itu ialah satu stereotaip. Bagi seorang pengamal fitnah dan pembudaya umpat, biasanya mereka tidak senang hati dengan satu pihak. Lalu mereka memfitnahnya dan mengumpatnya.
Fitnah dan umpat terhadap para pemimpin politik, biasanya dilakukan kerana tidak mahu pemimpin itu memimpin mereka. Mungkin kerana ada pihak yang tidak mahu segala benefit yang bakal diperolehi jatuh ke tangan orang lain. Mungkin juga pemimpin yang difitnahnya tidak mempunyai “agenda” yang sama dengan pihak-pihak tertentu.
Fitnah dan umpat terhadap para ahli agamawan pun turut tidak terkecuali. Pelbagai gelaran yang diberikan kepada mereka yang berusaha menjernihkan Islam daripada unsur khurafat, tahyul, bid’ah dan sebagainya. Ajaran ini, ajaran itu. Mereka sering dilemparkan dengan tuduhan membawa ajaran-ajaran baru sedangkan golongan yang mulia ini berusaha untuk menyesuaikan Islam dengan keadaan semasa dan penerimaan oleh masyarakat menjadikan Islam sebagai cara hidup adalah tujuan murni mereka.
Terlalu banyak perkara yang dibincangkan adalah permasalahan cabang sehinggakan permasalahan yang asas tidak diberikan tumpuan. Sebagai contoh, Imam yang menggunakan mikrofon berwayar yang ada tahi cicak di wayar tersebut. Antara yang lain pula, kedudukan tangan yang ketika sedang berdiri.Adakah sah atau tidak solatnya? Walhal perkara itu semua adalah khilaf yang ada penjelasan yang tersendiri.
Kenapa kita tidak membicarakan persoalan bagaimana kekhusyukan dalam solat itu sendiri? Kenapa kita tidak membincangkan bagaimana caranya untuk mengajak orang untuk solat berjemaah di masjid? Saya tinggalkan persoalan ini pada anda semua.
Persada Seni
Seterusnya, mari kita beralih pandangan kepada skop yang lebih kecil lagi iaitu skop bidang kesenian. Apa yang saya maksudkan di sini adalah dengan kehidupan artis-artis. Terutamanya artis yang baru hendak “naik’ dan “menjadi”.
Biasanya, kalau golongan seperti itu, fitnah itu tiada, tapi “gosip” itu ada. Apakah perbezaan kedua-dua istilah ini? Saya rasa macam tiada perbezaan. Entahlah.
Kadang-kadang, gosip ini direka oleh artis itu sendiri bagi tujuan “mencapub”. Mereka bertujuan untuk meraih komen orang ramai samada sokongan atau kritikan. Sedikit sebanyak dapat menonjolkan diri mereka bahawa mereka masih hot di sisi persada seni. Ada juga yang berbangga dengan gosip yang dilemparkan. Rancangan-rancangan sensasi pula mengambil peranan untuk mempopularkan fitnah dah umpat ini.
Nanti dulu.
Saya bukanlah hendak mengkritik golongan artis. Saya cuba menjelaskan budaya yang tidak sihat yang diamalkan itu. Tidak dinafikan bahawa masih terdapat artis yang masih memegang prinsip ketimuran meskipun tidak memegang prinsip Islam sebagai cara hidup. Semoga mereka beroleh hidayah Allah.
Berbicara mengenai hidayah Allah kepada golongan artis, Alhamdulillah kita harus bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada mereka kembali ke jalan yang sebenarnya sebagaimana kisah artis Malaysia yang pernah saya post.
Namun begitu, artis yang baru “berhijrah” ini juga kadangkala tidak terlepas dari fitnah dan umpat. Ada yang menganggap mereka mempunyai niat tertentu. Ada juga yang mengaitkan mereka berubah untuk meraih simpati. Tidak kurang juga ada golongan yang memperlekehkan mereka dengan “kehidupan lampau” mereka. Sedangkan Allah itu Maha Pengampun.
Persada seni tidaklah rigid kepada artis sahaja. Mari kita lihat arus media perdana. Televisyen, radio, suratkhabar, blog dan seumpamanya menjadi alat untuk menyebarkan fitnah. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai masalah iman. Tidak kurang juga ada siaran t.v yang menyiarkan rancangan-rancangan sensasi yang kononnya untuk berkongsi perkembangan isu dalam negara, hakikatnya adalah untuk mengadu-domba.
Sekali lagi, nanti dulu.
Bukanlah saya mengkritik dan tidak suka kepada siaran t.v yang dimaksudkan. Hakikatnya, saya juga menonton rancangan-rancangan sebegitu untuk update isu-isu sekarang. Saya cuma tidak begitu menyenangi dengan apa yang disiarkan. Pokok-pangkalnya, berhati-hatilah kita semua dalam mempercayai sesuatu sumber.
Firman Allah swt yang bermaksud :- “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kalian orang fasik dengan membawa berita, maka telitilah berita itu agar kalian tidak memberikan keputusan kepada suatu kaum tanpa pengetahun sehingga kalian akan menyesali diri atas apa yang telah kalian kerjakan.” Al-Hujurat:6
Mengundang Fitnah
Ini adalah perkara yang sering dan selalu berlaku dalam dunia hari ini. Pada mulanya saya faham mengenai ungkapan ini ialah apabila tengok cerita-cerita drama Melayu masa kecil-kecil dulu.
Kebanyakannya, dalam drama sering mempamerkan adegan seorang perempuan yang datang seorang diri ke rumah seorang lelaki bukan mahram dikatakan tidak manis dipandang orang. Boleh mengundang fitnah. Nanti apa orang kata dan macam-macam lagi.
Namun, setelah umur saya meningkat, rupanya perkara itu bukan setakat itu.
Seorang pendakwah yang sering berdakwah tetapi perbuatannya tidak selari dengan percakapannya juga boleh mengundang fitnah. Namun begitu, kita sememangnya tidak terlepas dari kesalahan dan dosa. Pembaikan berterusan itu adalah sepatutnya dilakukan.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:- “Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari)
Teringat akan cerita seorang murabbi saya yang mana beliau menceritakan arwah Ustaz Dahlan Mohd Zain, seorang murabbi mithali yang dikagumi beliau dan turut dikagumi saya, pernah memberitahu beliau bahawa kalau kita hendak pergi ke suatu tempat, dan berdekatan di tempat itu pula ada tempat yang tidak elok seperti pub, kelab malam dan sebagainya, ambillah parking yang jauh sedikit dari tempat itu bagi tidak mengundang fitnah. Sampai begitu sekali tahap akhlak murabbi kami itu.
Selain itu, undangan fitnah juga boleh berlaku daripada golongan yang dianggap orang yang ‘alim seperti ahli surau seperti ustaz, imam ,bilal. Bayangkan seorang ustaz atau imam atau bilal yang menghisap rokok.
Apakah tanggapan masyarakat kepadanya? Sudah tentu mereka akan menggunakan perlakuan ustaz itu sebagai hujah mereka supaya dapat merokok dan perkara yang seumpamanya.
Murabbi saya pernah berkata, golongan ini seolah-olah “memfatwakan” sesuatu perkara itu halal dan dibolehkan. Sedangkan, mereka inilah yang sepatutnya dijadikan contoh dan memberi tauladan yang baik di samping menjelaskan hukum-hukum yang berlandaskan syarak.
Mengundang fitnah juga boleh berlaku di mana-mana institusi yang dikenali dengan menggunakan jenama Islam. Sebagai contoh, penuntut universiti yang menuntut di IPT yang ada tertera perkataan “Islam” tidak beramal dengan Islam sendiri. Tidak berakhlak dengan akhlak Islam.
Budaya couple menjadi kebiasaan. Lebih memeranjatkan lagi, jika mereka itu adalah pelajar dari jurusan dinniyah seperti Fiqh, Usuluddin, Pengajian Islam dan sebagainya. Yang haram menjadi halal.
Dan sekali lagi, hujah inilah yang akan digunakan oleh masyarakat untuk melakukannya. Tidak semua. Cuma segelintir atau sekelumit sahaja dalam masyarakat yang melakukannya itu.
Impak dari situasi ini, institusi yang dibanggakan Islam akan diperlekehkan dan akan menjadi bahan umpatan.
Oleh itu, kita yang mempunyai kesedaran bahawa Islam itu bukan sahaja sekadar rukun Islam yang 5 itu, tetapi mencakupi seluruh cara hidup kita, marilah kita semua terus memperbaiki diri kita dan berkongsi ilmu dengan mereka yang masih tercari-cari di luar sana.
Kalau nak diikutkan ilmu, memang saya tidak layak untuk bercakap tentang Islam ini. Tetapi, saya teringat pesan seorang ustaz yang mana beliau menyatakan bahawa ilmu ini bukanlah tunggu sampai banyak baru hendak sampaikan. Tetapi, ilmu itu untuk diamalkan dan disampaikan bila kita memperolehinya. Tambahan lagi, telah menjadi kewajipan kita untuk melakukan amar makruf nahi mungkar.
Justeru itu, saya mengajak diri saya dan pembaca sekalian supaya dapat istiqamah dalam Islam. Tidak dapat diduga bagaimana kehidupan kita minggu depan, tahun depan, 10 tahun lagi, atau ketika sakaratulmaut nanti. Life is unpredictable. Kita berharap semoga Allah memelihara dan melindungi daripada perkara-perkara yang menjauhkan kita dari Islam.
Rasulullah saw mengajarkan do’a ini kepada kita semua:- “Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu dan dalam ketaatan kepada-Mu”
Pesanan dari murabbi saya yang sehingga kini saya masih ingat bahawa setiap umat Islam adalah berperanan penting untuk menjadi “Duta Islam” atau “Ejen Marketing Islam” dalam usaha untuk mempromosikan Islam di luar sana supaya orang Islam semakin bertambah minat dengan Islam dan orang bukan Islam berasa minat dengan Islam. Bagaimanakah caranya? Saya tinggalkan persoalan ini kepada anda semua kerana saya juga sedang mencari jawapannya.
Akhir sekali, saya menyeru diri saya sekali lagi dan pembaca sekalian, marilah kita bersama-sama mengamalkan Islam dalam cara hidup kita. Sekiranya melakukan kesalahan, ketahuilah Allah Maha Pengampun. Fitnah dan umpatan tidak memberikan faedah kepada kita. Marilah bersama mengelaknya.
Wallahua’alam.
No comments:
Post a Comment