Friday, July 29, 2011

Persoalan Demi Persoalan

Perlu kita  perhatikan  kepada tiga persoalan asas yang berkaitan dengan seluruh kehidupan kita. Persoalan-persoalan tersebut adalah:-

1.                  Dari  manakah kita datang ?
2.                  Mengapakah kita di datangkan ?
3.                  Kemanakah kesudahan kita ?

Untuk mencari jawapannya yang tepat maka perlulah kita merujuk kepada apa yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim.

Persoalan  Pertama:  Dari manakah kita datang ?


Jawapannya  akan kita dapati dari Firman Allah s.w.t yang maksudnya:-

Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian  daripada air mani, dari  air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi  orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan   hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui  “
( Surah Al Hajj : 5 )

Dengan meneliti ayat tersebut dapatlah kita mengetahui dari manakah datangnya kita dan persoalan tersebut telah terjawab.

Persoalan Kedua :  Mengapakah kita  didatangkan atau mengapa kita dijadikan oleh Allah s.w.t ?


Jawapan kepada persoalan ini terdapat di dalam firman Allah s.w.t yang maksudnya:-

“  Tidak  Aku (Allah) jadikan jin  dan  manusia, melainkan untuk  beribadah (mengabdikan)  diri kepada Ku
( Surah Adz Dzariyaat : 56 )

Para ulamak muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah itu dengan panjang lebar, yang mana perkataan ibadah ada kesyumulannya (kesempurnaannya) dan mempunyai ruang lingkup yang luas, tidak terbatas  atau  terhad semata-mata  kepada fardhu solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tugas dan kewajipan kita di dunia ini adalah beribadah dan memperhambakan diri kepada  Allah s.w.t berdasarkan kepada firmanNya  tersebut. 
  
Untuk menepati kehendak ibadah dalam seluruh hidup ini, maka setiap perbuatan yang kita lakukan itu mestilah semata-mata kerana Allah s.w.t serta mengikut betul-betul arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Jika demikian, segala makanan, minuman, pelajaran, pekerjaan, pendidikan jasmani, perkahwinan dan mendidik anak adalah merupakan jalan-jalan atau faktor-faktor yang membantu kita untuk taatkan Allah s.w.t serta teguh beribadah kepadaNya. Juga menjadikan kita bertaqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah s.w.t. Ini bermakna rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang   permainan , gedung perniagaan dan sebagainya adalah medan ibadah. Bahkan seluruh bumi Allah s.w.t  ini merupakan ‘ masjid ‘, tempat menunaikan ibadah dalam realiti kehidupan.

Sehubungan dengan Syaikh al Islam Ibn Taimiyyah telah menyatakan bahawa ‘ Setiap perkara yang telah Allah s.w.t perintahkan hamba-hambaNya melaksanakan adalah dikira sebagai ibadah. Ibadah yang meliputi apa sahaja yang diredhai oleh Allah s.w.t, samada tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.

Professor Dr Yusuf Qaradhawi menyatakan di dalam bukunya ‘ al Ibadah Fi  al Islam ‘  bahawa  ‘ Sesungguhnya beribadah kepada  Allah s.w.t tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji  dan perkara-perkara  yang berkaitan dengannya seperti tilawah al Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman  sesetengah golongan  Islam  (yang mendakwa Islam).  Ramai yang telah menyangka bahawa  apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah s.w.t terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah sesesai menunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap  Allah s.w.t. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset dari hakikatnya  yang sebenar ‘

Beliau membuat penjelasan lagi bahawa “ Tidaklah dikira ibadah kepada Allah s.w.t jika seseorang itu berfahaman  aku solah, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas memakan daging babi, minum arak,  makan riba’, berjudi serta menolak hukum-hukum syariat Allah s.w.t yang  tidak sesuai dengan pandanganku. Juga tidak dikira ibadah kepada Allah s.w.t bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya ketika berada di kawasan masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan menceburkan diri dalam bidang-bidang kehidupan lain ,  dia menjadi hamba kepada kehendak dirinya sendiri, bebas mengikut hawa nafsunya dengan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah s.w.t.

Oleh  kerana  itu maka setiap orang yang terkeliru mestilah membetulkan kefahamannya dan  kembali mengenal  Islam dan ibadah kepada Allah s.w.t. Semoga seluruh kehidupannya berada dalam keredhaan Allah s.w.t. cukuplah bagi seseorang Muslim itu berfikir bahawa dia adalah khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini untuk menjalankan tugas dan arahan Allah s.w.t  semata-mata. Memadai dia berbuat demikian  untuk mencorakkan segala jenis amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu menjadi  ibadah kepada  Allah s.w.t.

Menurut al Qaradhawi lagi, bahawa ibadah itu merangkumi  dua tugas besar yang menjadi teras bagi semua perkara yang tersebut sebelum ini. Tugas tersebut adalah:

1.                  Menyeru kepada kemakrufan dan mencegah daripada kemungkaran
2.                  Berjihad ke jalan Allah s.w.t.

Menurut huraian asy Syahid Sayyid Qutb, bahawa kerja-kerja menyuruh kepada makruf serta mencegah mungkar tidak boleh dipandang ringan. Umat ini tidak berjaya selagi makruf tidak tertegak sebagai makruf dan mungkar tidak dimusnahkan sebagai mungkar. Untuk melaksanakan tugas yang besar ini maka perlulah kepada pembentukan Ummah. Ummah yang tertegak di atas dasar Iman kepada  Allah s.w.t dan Persaudaraan kerana Allah s.w.t  agar hukum-hukum Allah s.w.t terlaksana, kerja-kerja makruf berjalan dengan senang, kebenaran mengatasi kepalsuan, kebaikan sentiasa disokong dan kemungkaran sentiasa di tentang. Untuk sampai kepada ummah Islam  sedemikian , maka jihad yang berterusan diperlukan dan mengikut jalan-jalan yang betul sebagaimana yang telah digariskan oleh Rasulullah   s.a.w.

Persoalan Ketiga : Kemanakah kesudahan kita ?


Persoalan ini tidak memerlukan kepada huraian yang panjang kerana setiap orang menyedari asal usulnya serta mengetahui akan tugas dan kewajipannya. Maka InsyaAllah ia akan menyedari pula kemanakah kesudahannya. Walaupun demikian, jawapannya tetap telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam firmanNyayang maksudnya:-

Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan  kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali
( Surah An Najm : 42 – 44 )  

Diadaptasi dari sumber tertentu.
 







No comments:

Post a Comment