Wednesday, March 7, 2012

Beli Kereta Cara Islam

Ada seorang pelanggan hendak membeli kereta dan membuat pnjaman kereta dari Islamic Bank, kemudian bagaimana dengan insuran? Pelanggan itu dimaklumkan mesti buat insurans dan road tax di bank tersebut. Maka pelanggan akan terdedah kepada insuran konvensional. Adakah harus? 

Pertama : Pelanggan itu perlu membetulkan istilah dan kefahaman anda tentang Bank Islam. Pelanggan itu mengatakan "membuat pinjaman dari bank Islam".

Hakikatnya Bank Islam tidak memberikan pinjaman tetapi memberikan pembiayaan melalui pelbagai konsep dan aqad yang menepati Shariah, Antara konsep yang digunakan adalah Murabahah (seperti dibuat oleh Bank Islam Malaysia Berhad - BIMB) iaitu bank membeli dari pengedar dan menjual kereta itu kepada anda dengan harga 'mark up', kerana anda memilih bayaran secara ansuran.

Deposit 10 % atau lebih yang anda bayar kepada pengedar itu adalah sebenarnya kepada BIMB kerana mereka telah melantik pengedar itu sebagai wakil mereka. Dapatkan info lanjut dari pegawai di Bank Islam Malaysia Berhad.

Kebanyakan Bank Islam lain pula mengamalkan konsep al-Ijarah Thumma Al-Bai' iaitu "sewaan yang ditamatkan dengan jualan", proses dibuat apabila pihak bank akan membeli kereta dari pengedar atau mungkin juga terus dari anda, dan kemudian apabila pemilikan bank ke atas manfaat kereta (beneficial ownership) telah sempurna, pihak bank akan menyewakan kereta itu kembali kepada anda, dan pembayaran terakhir akan dianggap sebagai jualan terus. Selain itu, ada juga Bank Islam yang menggunakan konsep Tawarruq dalam pembiayaan kereta. Semuanya telah disahkan oleh Majlis Penasihat Shariah masing-masing.




Insuran

Hukum insuran konvesnional adalah haram menurut keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru anda wajib mengambil insuran Islam atau TAKAFUL dari mana-mana syarikat takaful yang wujud di Malaysia bila membeli kereta atau rumah.

Biasanya insuran tidak diuruskan oleh Bank, ia diuruskan oleh anda sendiri atau penjual kereta itu. walaubagaimanapun jika ia diurus oleh bank atau penjual, anda berhak untuk menuntut perlindungan TAKAFUL untuk kereta itu. Tiada sebarang undang-undang yang membolehkan mereka memaksa anda mengambil insuran yang tidak anda kehendaki.

Kebiasaannya, penjual kereta menggambarkan seolah-olah mesti diambil insuran tertentu, sebenarnya mereka sedang MENIPU. Hakikatnya mereka cuba mendapat untung lebih kerana syarikat insuran yang mereka cadang adalah panel mereka dan mereka akan mendapat komisyen kelak.

Jika mereka kata 'tak boleh', anda perlu tegas mengatakan bahawa jika demikian anda akan membeli kereta yang sama daripada pengedar dan penjual lain. Saya pasti tatkala itu mereka akan mengatakan permintaan anda boleh diusahakan.

Saya sendiri pernah mengalaminya apabila cuba ditipu kononnya mesti ambil dengan insuran konvensional tertentu yang memerlukan tempoh minimum 1 tahun, kemudian saya bebas untuk menukar kepada insuran lain atau TAKAFUL katanya. Dengan tegas saya katakan :-
"jika demikian, maaf, saya cari kedai lain. Saya mesti nak Takaful, 1 tahun dengan insuran, maaf saya tak mahu"

Dengan segera mereka dapatkan saya syarikat takaful.

Ingat, penjual kereta akan cuba paksa anda ambil insuran yg mereka jual kerana mereka dapat komisyen, jangan endahkan paksaan mereka. Tiada sebarang peruntukan kuasa untuk memaksa anda. Jika paksa juga, dan anda tertipu, sila buat aduan dan laporan segera kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia. InshaAllah pasti menang.

Road tax akan diuruskan sekaligus oleh syarikat penjual atau Takaful, road tax tiada masalah, hukumnya adalah harus.

Adaptasi:- Blog Ustaz Zaharuddin


UiTM Bandaraya Melaka
13 RabiulAkhir 1433H




Read more...

Sunday, March 4, 2012

Antara Dua : Insurans Atau Takaful

Ramai yang kurang memahami beza di antara praktis yang dilakukan oleh syarikat Insuran dan Takaful. Setelah saya menulis tentang terdapat unsur gharar dan riba di dalam insuran konvensional. Maka timbul dakwaan bahawa jika demikian, takaful juga mengandungi proses yang sama. Lalu, bagaimanakah bentuk yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Takaful?. Bukankah ia juga mempunyai elemen meletakkan wang dan menunggu pampasan apabila musibah mendatang?

Jawapan mudah adalah, syarikat-syarikat Takaful telah mengubah aqad ‘Mu'awadah Maliah' yang digunakan oleh syarikat Insuran konvensional kepada aqad Tabarru'at (kontrak derma). Hasilnya, aqad derma tidak terikat dengan syarat-syarat jual beli tadi, tidak juga diperlukan untuk jelas dan terang jumlah itu dan ini semasa serahan derma.




Contoh mudahnya, apabila anda memberikan hadiah kepada seseorang, adakah menjadi syarat agar anda memberitahu kepadanya berapa jumlah yang anda beri? Jawapnya sudah tentu tidak menjadi syarat. Ini kerana, ia adalah sumbangan baik dari satu pihak, tatkala itu tidak banyak syarat diperlukan untuk melaksanakan aqad derma ini.

Bagaimanapun bagi memudahkan urusan syarikat Takaful, mereka akan menggunakan gabungan beberapa aqad. Asas asasnya adalah :-

·         a) Tabarru' dan Mudarabah

·         b) Wakalah dan Tabarru

Saya tidak akan mengulas kedua-dua bentuknya secara panjang lebar, cukup saya sertakan gambar rajah bagi kedua-dua bentuk agar ia dapat memberi sedikit gambaran awal kepada para pembaca.




1) Takaful Model Wakalah dan Tabarru'

Keterangan ringkas : Syarikat Pengendali Takaful dilantik oleh pencarum sebagi wakil bagi menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu syarikat Takaful akan mengambil sejumlah upah (al-Ujr) atas sebagai kos pengurusannya. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang belum didermakan dan atas dasr Ju'alah, syarikat akan mengambil satu lagi jumlah upah sekiaranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan yang diusahakannya itu.

2) Takaful Model Tabarru dan Mudarabah

Keterangan ringkas : Menurut model ini, pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah tertentu atas aqad tabarru', pihak syarikat akan menguruskan tabung takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya, jika terdapat lebihan keuntungan (surplus) setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak syarikat Takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai penghargaan penyertaannya.
Kesimpulan; perubahan dari aqad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh Insuran konevsnional menjadikannya bermasalah dari sudut Shariah. Ini berbeza dengan yang digunakan oleh Takaful yang menggunakan samada aqad derma (tabarru') atau (wakalah).

Adaptasi : Blog Ustaz Zaharuddin


Rembau
10 RabiulAkhir 1433H



Read more...

Wednesday, February 29, 2012

Pelaburan Emas

Saya cuba menyenaraikan sebanyak mungkin kelebihan yang ada di dalam pelaburan dan simpanan emas fizikal, secara jujurnya, apa yang menarik minat pembeli untuk membeli emas?  Saya pernah jumpa pelanggan dari Kelang yang membeli sekadar untuk merasai feeling menyentuh emas, ada pelanggan di Pahang membeli emas kerana tertarik dengan design dan kilaunnya, ada yang membeli untuk bagi kepada anak2 dan isteri..tp umumnya di Malaysia, ramai yang menyimpan  untuk dipakai di majlis kahwin dan hari raya.

Kata kanak-kanak kecil yang belum kenal sepak terajang kehidupan, "emas hanya logam"

Kata orang dewasa yang kenal sepak terajang dunia, kerja,  hutang dan cukai, "emas sangat-sangat bernilai"

Kata nenek, "emas ni nak bagi ke cucu (perempuan sahaja)"

Kata orang yang nak kahwin, "kenaikan harganya, menyusahkan mereka untuk merancang dan membina istana"

Kata pakar ekonomi pula, "setiap kelebihan yang ada pada pelaburan emas sebenarnya bergantung kepada apa yang anda mahu"




Jadi, anda bebas untuk memilih apa kelebihannya yang sesuai sebelum melabur dan menyimpan emas. lain orang lain caranya begitu juga lain kepala lain pemikirannya. maka antara kelebihan melabur didalam emas adalah:

  • Suatu pelaburan untuk jangka masa sederhana dan panjang sebagai aset simpanan pelabur
  • Simpanan aset yang mudah dicairkan dan laku dimana sahaja pada bila-bila masa
  •  Tidak memerlukan pihak ketiga untuk urusan jual-beli, pelabur sendiri boleh menjual emas simpanan pada bila-bila masa 
  • Halal dengan akad jual beli emas yang dituntut islam
  • Mudah dan senang untuk diuruskan. Hanya simpan dan tunggu 
  • Aset simpanan apabila keadaan ekonomi, politik walaupun sistem ekonomi jatuh 
  • Harga emas adalah stabil dan tidak terikut dengan kesan kenaikan inflasi “Kekukuhan nilai emas memang tiada bandingannya. Misalnya, harga 1 dinar emas yang bernilai kira-kira RM50 pada era 1960an dapat membeli seekor kambing pada masa itu; sekarang ini 1 dinar emas telah bernilai kira-kira RM397 dan juga dapat membeli seekor kambing. “Berdasarkan contoh ini, ternyata nilai emas adalah kukuh berbanding wang kertas yang meningkat ekoran kenaikan kadar inflasi,” tambahnya (Berita Harian – 11 Januari 2008) 
  • Emas tidak boleh dimanipulasikan dan tidak boleh ditiru
  • HANTARAN KAHWIN!! SAPA KAHWIN TAK BELI EMAS. Lebih lama ditunggu, harga emas akan lebih tinggi

Rembau
6 RabiulAkhir 1433H


Read more...

Sunday, February 26, 2012

Pandangan Masyarakat

Kebiasaan dalam masyarakat kita ada yang terlalu mengikut adat sehinggakan mengabaikan hukum dalam Islam. Namun, tidak salah sekiranya ianya masih dalam lingkungan batasan syarak dan tidak mendatangkan fitnah pada Islam.

Ada segilintir daripada masyarakat kita merasakan sesuatu perkara itu "mesti" dibuat. Pelbagai contoh yang kita boleh dapat dalam kehidupan seharian. Dari mula bangun tidur sehinggalah ke katil semula pada malam hari.





Kita semua tahu sekiranya ada seseorang meninggal di tempat kita, kita tidak perlulah dijemput baru hendak menghadirinya. Lain halnya sekiranya yang dijemput itu adalah walimatulurus. Namun, saya sesekali terfikir. Mengenai menjemput orang ramai bertandang ke rumah untuk mengadakan tahlil dan kenduri doa selamat. Saya bukan hendak mempertikaikan tahlil itu. Cuma saya cuba berfikir, orang itu baru kehilangan ahli keluarganya, tapi masih lagi mengeluarkan wang untuk tetamu menjamu selera di rumah mereka. Saya kadang-kadang rasa seperti membebankan pula tuan rumah yang masih dalam kesedihan itu.

Tambahan pula, ada doa selamat dilakukan. Saya kira tiada masalah sekiranya doa yang panjang itu ditukar dalam bahasa Malaysia. Itu lebih kita fahami. Dan biasanya saya melihat doa itu "diswastakan" kepada imam atau ustaz. Bagi saya, sekiranya yang meninggal itu adalah ibubapa, maka lebih afdhal anak yang mendoakan. Itu perkiraan saya. Dan yang paling penting, bukannya sekadar doa, tapi perbuatan kita sebagai anak boleh meningkatkan saham pahala ibubapa kita. InsyaAllah.




Kadang-kadang saya pelik juga mengenai botol air yang dibuka bilamana Yaasin dibaca. Pandangan masyarakat mengatakan bahawa berkat akan masuk dalam air itu. Memang disahkan bahawa air yang dibaca Al-Quran molekulnya berbeza dari air biasa. Itu keajaiban kuasa Allah. Tapi, kalau kita tidak buka tutup botol itu, adakah berkat itu "tidak berjaya" masuk? Dek kerana pandangan masyarakat, saya tidak ambil pusing sangat mengenainya.

Seterusnya kita ke kubur pula. Ada larangan yang mengatakan membaca Al-Quran di atas kubur. Tapi, itu saya menganggapnya perkara-perkara khilafiah. Ada orang yang membaca Yaasin dan membuat tahlil di atas kubur. Termasuk family saya. Tapi, saya berpendapat, sekiranya kita membaca di rumah atau dimana-mana, tapi niatkan untuk si mati, ia akan tetap sampai. Kerana Allah Maha Mengetahui. Ziarah ke kubur itu lebih elok mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah sambil membersihkan kubur. Lebih penting lagi, kita mengambil iktibar bersama-sama.




Kesimpulannya, tidak salah untuk mengamalkan adat, kepercayaan, kebiasaan selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Tapi, janganlah kita terlalu "rigid" bahawa sesuatu perkara itu "mesti" dibuat dan tidak boleh ditinggalkan. Terpulanglah kepada masing-masing dalam membuat penilaian.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.


Rembau
3 RabiulAkhir 1433H



Read more...

Thursday, February 23, 2012

Baki-Sisa Cutiku

Sedar tidak sedar, sudah hampir 5 minggu saya bercuti semester. 3 minggu saya bekerja di kilang sarung tangan, 3 minggu lagi menguruskan urusan yang patut diesegerakan. Daripada membaiki kereta sehinggalah meghadiri majlis-majlis. Namun, itu sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapang saya.

Dan saya baru sahaja dapat mengetahui keputusan semester 2 saya. Alhamdulillah. Walaupun tidak Dean List, tapi saya bersyukur kerana Allah terus menerus memberikan saya nikmat. Walaupun hakikatnya saya banyak main dan tidak belajar bersungguh-sungguh semester lepas. InsyaAllah, semester baru, saya akan cuba merangka perancangan yang rapi untuk mencaai kecemerlangan.



Jadi, baki-sisa cuti semester yang tinggal ini saya hendak mengisinya dengan mewujudkan satu lagi kolum dalam blog saya-kolum Ekonomi. Ini kerana saya mengambil jurusan kewangan yang memang berkait sungguh dengan ekonomi.  Jadi, bagi berkongsi ilmu, menguatkan ingatan dan menambah ilmu berkaitan bidang saya, saya akan mewujudkan kolum ini. InsyaAllah.

Semoga baki-sisa masa yang ada sebelum masuk ke kampus ini, dapat saya sudahkan dengan jayanya.


Rembau
29 Rabiul'Awal 1433H



Read more...