Friday, August 23, 2013

Hadiah Ingatan Baginda SAW

Seperti mana yang kita tahu, Rasulullah SAW mahukan daripada umatnya supaya peka dalam menambah koleksi pahala selepas puasa Ramadhan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.

Berpuasa enam hari di bulan Syawal ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu begitu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa.




Sekiranya kita melakukan 30 hari puasa Ramadhan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari menjadikan ia bagaikan 360 hari yang bersamaan dengan satu tahun berpuasa.

Ia disandarkan kepada sabda Baginda SAW yang bermaksud:- “ Sesiapa berpuasa di bulan Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.” – Riwayat Muslim & Imam Ahmad –




Inilah yang dikatakan ingatan Nabi SAW terhadap umatnya, begitu juga dengan peringkat awal kefardhuan solat pada malam Mi’raj ke langit, Nabi SAW kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu solat hingga bermohon ke hadrat Allah SWT agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun masih ada dalam kalangan umat Islam yang tidak melakukan lima waktu secukupnya.

Adakah tindakan manusia hari ini membolehkan kita semua mendapat syafaat Baginda SAW pada hari kiamat? Tepuk dada, tanya iman.


Adaptasi :- Harakah


Rembau
17 Syawal 1434H



Read more...