Monday, November 30, 2015

Al-Quran Sebagai Bekalan

Dalam hidup ini, ada ketika kita merasa lemah kerana kurangnya bekalan untuk terus menyampaikan kebenaran kepada orang lain. Justeru, perkara yang perlu kita lakukan adalah dengan kembali bergantung kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang menganugerahkan hidayah dan iman serta melimpahkan Nur dan rahmat-Nya tanpa sempadan. Firman Allah SWT dalam surah Ali - Imran ( 74 ) :-


يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
" Allah menentukan rahmat-Nya (kenabian) kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah mempunyai karunia yang besar."


Maka, perkara pertama adalah kita kembali kepada Allah SWT menerusi kalam-Nya lantas bermohon kepada-Nya supaya diberi bekalan kekuatan untuk melalui jalan yang mengajak manusia mendekati Allah SWT. Oleh kerana bekalan itu bertambah & berkurangan; maka kita mestilah berusaha untuk memperbaharuinya, menambahnya dan menjaganya agar tidak berkurangan atau kehabisan.

Di antara cara yang terpenting untuk mendapatkan bekalan itu ialah dengan menerusi Al-Quran; kerana ia merupakan bekal yang sentiasa menolong dan tidak akan kehabisan. Ia merupakan bekalan iman dan taqwa yang paling berkesan kerana di dalamnya terkandung juga bekalan lain seperti panduan, hidayah & rahmat.




Al-Quran mengarahkan kita supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT dan bertafakkur kerana ia membolehkan bekalan taqwa itu sentiasa diperbaharui. Dengan cara itu, kita dapat mengenali sifat-sifat Allah SWT yang membuatkan kita mengagungkan, membesarkan & menyucikan Allah SWT. Oleh demikian, itulan bekalan iman dan taqwa yang terbaik. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra (9) :-


إِنَّ هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
" Sesungguhnya Al Qur'an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu'min yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar " 

Al-Quran dapat mengubah jiwa dan menerangi jalan serta memberi hidayah kearah jalan yang lurus kerana dengan membacanya, akan menambah iman dan tawakkal untuk orang mu’min terhadap Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal (2) :-


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَاناً وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
" Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."


Maka, marilah kita bersama memperelokkan hubungan kita dengan Al – Quran kerana ia akan menggegarkan perasaan dan menerangkan hati umpama aliran elektrik yang menghasilkan tenaga. Ia mengubati semua permasalahan iman dalam segenap aspek dan ia menunjukkan banyak tempat yang memudahkan orang yang tidak beriman untuk mendapatkan iman dan orang yang beriman untuk menambahkan iman.




Al – Quran juga memelihara & membimbing kita dalam menentukan sikap dalam pelbagai perkara, supaya kita mengambil jalan yang betul seperti orang-orang yang beriman pada perkataan & perbuatan. Al – Quran juga mengawasi dan memelihara kita dari terjebak kepada perkara-perkara yang membuatkan seseorang itu berasa dukacita dan putus asa terhadap rahmat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar (53) :-


  قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ الَّهِ ۚإِنَّ الَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚإِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
" Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


Secara kesimpulannya, kita mestilah mentadabbur Al-Quran ketika membacanya. Kita disarankan supaya meletakkan keinginan yang utama dalam pembacaan Al-Quran ialah untuk mengikut dan mengamalkannya seperti firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar (55) :-


وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ
" Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyadarinya. "




Oleh itu, marilah kita semua bukan hanya menumpukan kepada makhraj huruf & hukum-hakam tilawah, tetapi turut juga mentadabbur dan memahamkan maksud-maksud ayat yang dibaca supaya mendatangkan kesan kepada diri kita. Mari kita sama-sama beterusan membaca Al-Quran agar bekalan dapat diperbaharui dan hubungan dengan Allah SWT sentiasa terjalin dengan cara membaca kalam-Nya.


Adaptasi :- Bekalan Di Sepanjang Jalan Da’wah


Bandar Baru Bangi
18 Safar 1437


Read more...