Tuesday, July 9, 2013

Keadaan Yang Dikhuatiri

Tidak ada seorang pun dari kita yang tahu bagaimana kita akan mengakhiri hidup dan dalam keadaan bagaimana kematian itu akan mendatangi kita.

Adakah ia akan datang saat mata kita sedang terfokus untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran ataupun saat mata kita sedang sibuk memikirkan kekasih kita?




Sesungguhnya kematian adalah akhir kehidupan yang penuh misteri. Dan Allah tidak akan pernah menampakkan dengan jelas bagaimana kematian itu akan datang kepada kita. Cuma, bahagia dan sengsaranya seseorang itu dapat dilihat dari bagaimana kematian itu datang di akhir hidupnya.

Kerana itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:- " Janganlah kamu kagum ( takjub ) dengan amal seseorang, sampai kamu melihat sedang melakukan apakah ia saat kematian itu datang menghampirinya. " ( HR Thabrani )

Orang-orang soleh selalu menjadikan tempat tidur mereka sebagai pertaruhan untuk meraih akhir hidupnya. Mereka selalu memantapkan hati untuk sentiasa istiqamah dalam mengingat dan memuja-Nya. Mengapa tidak? Kerana Rasulullah SAW banyak berdoa kepada Allah yang bermaksud:- " Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah ( teguhkanlah ) hati kami di atas agama-Mu. "

Jika demikian itulah kekhuatiran orang soleh tentang keadaan kematian mereka, bagaimana dengan kita yang jauh dari cahaya kesolehan ini? Bukankah kita juga patut merasa lebih khuatir?




Saat-saat seperti itu, adalah saat-saat yang kita semua pasti akan menghadapinya. Pengakhiran hidup kita yang akan menentukan golongan yang mana kita akan bergabung. Golongan yang celaka atau yang bahagia.

InsyaAllah, saya mengajak diri saya dan kalian semua agar mari kita persiapkan diri dari sekarang. Kita yang menentukan seperti apa kita di akhir hidup kita kelak. Kerana, jika kita istiqamah di dalam kebaikan, insyaAllah kita akan mati bersamanya.

Adaptasi:- Anda Ingin Mati Seperti Apa?


Rembau
29 Sya'ban 1434H 



Read more...

Monday, July 8, 2013

Selera Pengundi Bandar

PRU 13 jelas menunjukkan kepada kita penolakan pengundi di kawasan bandar terhadap BN. Jika kita lihat pada keputusan PRU 13, kerusi-kerusi parlimen di bandar di semua 13 buah negeri hampir dikuasai PR kecuali di P2 Kangar dan P160 Johor Bharu. 

Apa yang dapat kita jangkakan di sini ialah penolakan pengundi bandar terhadap BN mungkin dapat dibayangkan bahawa program Transformasi Dato Seri Najib khususnya dalam hal ehwal ekonomi tidak diterima oleh golongan terpelajar. Justeru, beliau perlu mengkaji semula dasar-dasar transformasi yang diperkenalkan.



Antara faktor utama penolakan pengundi bandar terhadap BN adalah mungkin di kawasan-kawasan tersebut, monopoli media konvensional telahpun digugat oleh kewujudan media baru. Jadi, sebahagian besar pengundi mempunyai akses yang seimbang terhadap kedua-dua belah pihak samada ada BN mahupun PR. Pelbagai serangan dan tohmahan yang sering menjadi modal politik BN kini sudah dapat dijelaskan dan dipatahkan oleh pihak PR.

Kemungkinan besar, pengundi bandar juga lebih tertarik kepada manifesto PR yang menekankan pengurangan kos sara hidup seperti pemansuhan tol, pengurangan harga kereta, pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan penurunan harga minyak.




Secara kasarnya, dapatlah disimpulkan, kebanyakan intipati manifesto PR dilihat lebih tertumpu kepada pengundi bandar berbanding luar bandar manakala manifesto BN lebih dirasai oleh pengundi luar dan pinggir bandar. 

Adaptasi :- Kemenangan Yang Tertangguh


Rembau
28 Sya'ban 1434H


Read more...

Saturday, July 6, 2013

SmiLe!!

Alhamdulillah, pertama dan selamanya, saya hendak mengucapkan rasa syukur kerana telah diberi peluang oleh Allah untuk melengkapkan pengajian saya dalam bidang kewangan di UiTM Bandaraya Melaka.

Selama hampir 2 tahun setengah saya berada di Melaka. Banyak perkara yang saya telah pelajari, ramai juga kawan-kawan yang saya kenali. Terima kasih kepada semua kenalan saya di UiTM kerana banyak mendorong saya untuk menjadi insan yang lebih berguna.


Kini, apabila telah tamat belajar, antara fokus utama bagi kebiasaan para mahasiswa, adalah untuk mencari pekerjaan. Sama halnya seperti saya. Saya berhajat, jika diizinkan Allah, saya hendak berkhidmat dalam industri perbankan. Kerana ia sangat berkait dengan apa yang saya pelajari selama ini.



Ada yang mencadangkan bahawa banyak bank-bank yang sedang mencari pekerja. Tapi, bila saya tanya, kebanyakannya adalah bank yang mengamalkan "dual-banking system". Pada hemat saya, saya tidak berminat untuk menyumbangkan tenaga dalam bank seumpama itu. Saya lebih berasa senang jika tenaga saya dapat disumbangkan kepada bank yang mematuhi sepenuhnya konsep syariah.

Selain itu, terdapat juga rakan-rakan yang mengajukan soalan tentang perkahwinan. Soalan itu saya bagi jawapan yang biasa saya bagi; " Bila Ditakdirkan". Orang kata kena usaha. Saya cakap saya sedang berusaha. Dengan cara, meningkatkan ilmu dan memastikan perkara-perkara dalam agama dijaga. Itulah saya cara berusaha. Kita jangan terikut rentak yang dicanang oleh barat yang menganggap "bercouple" itu perkara biasa. Islam ada caranya yang tersendiri. Kata orang; " Lebihkan Menjadi, Dari Mencari ".

Ingin saya kongsikan kepada rakan-rakan saya, bahawa cinta itu bukannya setahun dua. Bukannya pada kecantikan. Bukannya pada kelembutan semata-mata. Cinta itu sebenarnya PERLU diiringi dengan rasa tanggungjawab dan beramanah. Janganlah kita menjadikan drama-drama Melayu & Korea sebagai ukuran cinta. Walaupun saya selalu menontonnya, tapi saya tahu cerita sedemikian tidak berpijak pada realiti di luar sana.

Apa pun, saya harap, semua kawan-kawan dapat mencari erti KEBAHAGIAAN yang sebenar. Perlu kita ingatkan diri kita sendiri, bahawa dunia ini hanya sementara. Kebahagiaan yang sebenar terletak di akhirat sana.




Saya mohon maaf kepada semua rakan-rakan saya jika ada terkasar bahasa, terjentik hati, terpijak kaki dan sebagainya. Moga kita semua dapat menjadi hamba-Nya yang taat dan dapat menyumbangkan sedikit tenaga, harta & masa demi menegakkan Islam di dunia ini.

SmiLe!!

Rembau
27 Sya'ban 1434H


Read more...