Wednesday, January 21, 2015

Solat Ketika Ditimpa Musibah Banjir

SOALAN

Asalamualaikum Ustaz, sahabat saya mintak tolong tanya pada ustaz. Kes dia mcm ni, kalau badan perempuan tu kotor kena lumpur banjir lepas tu tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh buat jamak ke? Kes lagi satu, kalau baju kotor kena lumpur. Bnjir lepas tu ada tempat solat tapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak ustaz tolong jelaskan. Syukran jazakallah.


JAWAPAN

Wa’alaikumussalam,

Solat fardhu sentiasa wajib dalam apa jua keadaan selagi beraqal dan waras. Ia juga wajib fardhu 'ain ke atas setiap individu Muslim dan muslimah walau dalam keadaan banjir.

Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185) 

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas yang ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.

Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.




KESIMPULAN 

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad.

Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat jama' itu, wudhu tetap WAJIB diambil.

Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu.

Cuma para ulama bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah.

Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir




 BERCAMPUR LELAKI WANITA

Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di tempat wudhu’, wudhu masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :

1) Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhu’.
2) Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhu’.
3) Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil wudhu.

Adaptasi :- zaharuddin.net

Bandar Baru Bangi
30 Rabiul Akhir 1435H


Read more...

Monday, January 5, 2015

Tahun 2015

Assalamu’alaikum WBT.

Alhamdulillah setelah hampir setahun blog ini tanpa coretan, hari ini saya berhajat untuk memulakannya kembali. Mungkin kerana sibuk dengan urusan kerja dan mula hendak menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru membuatkan saya tidak mempunyai kesempatan untuk berkongsi maklumat. InsyaAllah, dengan kehadiran tahun 2015 ini, saya akan cuba lebih konsisten untuk menulis.



Tahun 2014 telahpun berlalu dan kini kita melangkah ke tahun baru. Banyak perkara yang telah kita semua lalui sepanjang tahun lepas. Namun, mari kita kita tanya diri kita sendiri apakah dengan banyaknya perkara yang berlaku sepanjang tahun lepas menjadikan kita lebih matang, lebih berilmu, lebih banyak melakukan perkara-perkara baik dan sebagainya.




Jika kita hendak hitung tragedi yang berlaku dalam Malaysia sendiripun sudah banyak yang boleh kita ambil untuk dijadikan pengajaran. Kehilangan MH 370, nahas MH 17, kejatuhan matawang RM, gejala zina yang berleluasa, puting beliung, pesta arak secara besar-besaran, nahas Air Asia QZ8501 dan banjir besar yang melanda di sebahagian negeri di Malaysia. Namun, bagaimana kita memandang perkara ini? Adakah kita menganggapnya sebgai satu takdir? Atau kita menganggapnya sebagai peringatan dari Allah? Ataupun kita tidak merasai apa-apa?

Saya mengajak diri saya dan menyeru kepada sahabat sekalian agar kita sentiasa bermuhasabah diri. Apakah dengan ujian daripada Allah yang menimpa diri kita atau orang lain membuatkan diri kita semakin hampir dengan-Nya? Apakah apabila kita mempunyai sesuatu hajat membuatkan kita semakin dekat dengan-Nya? Jika ya, Alhamdulillah. Akan tetapi, masih ada manusia yang apabila mempunyai sesuatu hajat, mereka meminta pada yang lain seperti roh di kubur, pokok, tangkal dan sebagainya. Ada juga apabila diberi ujian oleh Allah seperti bencana, kehilangan harta benda dan sebagainya, mereka merungut dan mengeluh dan yang paling dibimbangi sekali apabila mereka mula menyalahkan Allah. Na’uzubillahiminzalik.




Semoga dengan setiap kejadian yang berlaku meningkatkan iman kita kepada Allah SWT dan menjadikan kita orang yang sentiasa bersabar dalam kehidupan. Dengan kehadiran tahun 2015 ini, marilah kita semua berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi hamba-Nya yang soleh. InsyaAllah. 


Rembau
14 Rabiul Awwal 1436H



Read more...