Wednesday, December 26, 2012

Insya-Allah Kita Boleh

Perubahan merupakan perkara yang semua orang idamkan. Semua orang mahu berubah. Dari kurang baik kepada yang lebih baik. Namun, ada yang berjaya berubah dan ada yang sekejap sahaja perubahan mereka. Saya menjangkakan bahawa terdapat beberapa sebab kenapa golongan yang berubah itu sekejap sahaja momentumnya:-





Perubahannya bukan kerana Allah SWT

Kebanyakannya orang yang sebegini sebab perubahannya adalah untuk mendapatkan satu kepentingan yang lain. Benar atau tidak, wallahu'alam. Muungkin seseorang itu berubah untuk mendapatkan pasangan. Mereka menjadi lebih sopan dan beradab bila dapat berkasihan dengan seseorang. 

Namun, jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka seperti perkelahian antara mereka berdua, yang menyebabkan mereka "clash", ada individu yang selepas itu hidupnya menjadi tidak tentu arah. Lebih sedih lagi, ia kembali kepada cara hidupnya yang lama.




Sungguh rugilah golongan yang sebegini atas amalan baik selama mana individu tersebut ketika masih bersama dengan sang kekasihnya. Bukannya saya hendak mempromosikan berkasih-kasih sebelum nikah, tapi mari kita lihat implikasinya terhadap seseorang yang melakukan perubahan atau penghijrahan cara hidup kepada yang lebih baik demi mahu meraih redha makhluk.

Apakah ini juga salah? Bagi saya, keikhlasan itu perlu dilatih. Memang pada mulanya, ada individu berasa hendak melakukan penghijrahan untuk satu kepentingan yang lain, Tapi, disarankan melatih keikhlasan mereka dalam beramal untuk menjadikannya betul-betul terpatri dengan diri kita dalam menjalani hidup ini. Dan keikhlasan itu sangat penting dan sukar dilatih.


Dibuat atas semangat semata-mata

Ada juga yang berubah atas semangat semata-mata. Ini juga berkemungkinan perubahannya tidak lama. Contoh yang paling kita biasa lihat adalah; seseorang yang berhenti merokok ataupun mahu berhenti bercouple. Ada individu yang saya lihat berhenti merokok kerana kesempitan wang dan ada individu yang berhenti bercouple dek kerana tidak berminat lagi dengan pasangannya. Lalu, mereka bersemangat untuk tinggalkan semua perkara itu.

Namun, bila datang satu situasi; bagi yang merokok mereka sudah berduit dan bagi yang berhenti bercouple pula, datang seseorang dalam hidupnya yang begitu tampan ataupun cantik, soleh ataupun solehah, beradab ataupun sopan, mereka mula goyah pendiriannya. Bagi mereka, apa salahnya mereka mencuba sekali lagi untuk bercouple dan bukannya bernikah.




Lihatlah. Perkara yang dibuat atas dasar semangat semata-mata, ada turun naiknya. Jadi, bersemangat itu tidak salah, namum titipkanlah KEFAHAMAN yang mendalam tentang sesutau perkara itu. Sebagai contoh, ada orang yang berhenti untuk perkara tersebut, kerana faham dengan dalil pengharaman perkara tersebut. Mereka bertekad untuk tidak mengulanginya lagi kerana takut murka Allah SWT sampai kepada mereka kerana masih melakukan larangan-Nya.

Pendek kata, kalau kita buat sesuatu perkara atas dasar semangat, semangat akan luntur. Tapi, jika kita tambahkan dengan kefahaman, insya-Allah, Allah akan mempermudahkan urusan kita.


Suasana persekitaran yang mencabar

Ini adalah faktor yang paling biasa kita lihat dan dengar. Kadang-kadang, ada orang yang sudah berubah, bila masuk dalam satu suasana, mereka mula kembali pada asal. Tidak kiralah baik atau buruk.

Tidak dinafikan bahawa pengaruh rakan sebaya sangat mempengaruhi cara hidup seseorang. Kalau kita, mempunyai kawan yang suka mencarut, lama-kelamaan kita juga berkemungkinan akan mencarut atau paling tidakpun kita sudah mula bercakap kasar.

Perlukah kita mengasingkan diri daripada kawan-kawan itu?

Bagi saya, mungkin itu salah satu caranya. Tapi, kalau kita berubah sekalipun dengan cara itu, adakah kawan kita juga turut berubah? Sanggupkah kita melihat kawan-kawan kita terus dengan dunia mereka akan tetapi kita hendak menjadi baik berseorangan? Bak kata murabbi saya; Masyarakat semakin rosak kerana ramai orang yang baik, hendak menjadi soleh bersorangan. Hendak solehkan dirinya dulu tanpa memikirkan untuk mengajak orang lain. Walhal, perkara ini perlu seiringan.

Jadi, saya berpendapat mungkin perlu kita mengasingkan diri untuk beberapa ketika. Dan kembali kepada kawan-kawan kita semula untuk menjadi agen perubahan. Bukanlah kita mesti tunggu ilmu tinggi dan sebagainya, kerana apa yang lebih penting ilmu yang sedikit itu diamalkan dan dikongsi dengan orang lain. Pengaruhilah mereka dengan cara yang santai.



Pendirian saya, kita tidak perlu untuk mengasingkan diri dengan orang lain terus-menerus. Tetapi, kita mengasingkan diri dengan cara pemikiran yang berlainan. Orang lain, cara pemikirannya lain. Kita, cara pemikiran kita. Dan cara pemikiran itu berlandaskan syarak dan batasan agama. Sebagai contoh; ada orang menganggap mempunyai awek/pakwe itu perkara biasa. Bertepuk-tampar dengan berlainan jantina itu biasa. Bermanja-manja dengan berlainan jantina itu biasa. Bergambar berdua-duaan dengan berlainan jantina itu perkara biasa. Namun, kita memikirkan dari satu sudut yang lain. 

Jadi, perkara ini terpulang pada kita untuk menilainya. Kita berlapang dada dalam hal-hal perbezaan pendapat selagimana ianya tidak bertentangan dengan syarak. Dan kita menyokong sepenuhnya dalam hal-hal yang sependapat.

Begitulah serba-sedikit pendapat saya dalam hal ini. Sememangnya, pembaca semua boleh mengkritik pendapat saya untuk penambahbaikan cara saya berurusan dengan orang lain dan untuk menambahkan ilmu di antara kita.

Saya berharap ada manfaat yang boleh diambil daripada artikel ini. Dan marilah kita melakukan perubahan dengan penuh keikhlasan.

Insya-Allah, kita boleh!!


UiTM Bandaraya Melaka
12 Safar 1433H


Read more...

Sunday, December 23, 2012

Pembohong Besar

Senyum. Tidak perlu kata apa-apa.




Gambar ini diambil daripada keratan akhbar Utusan Malaysia. Setahu saya, walaupun saya bukan ahli mana-mana parti politik, tapi saya tidak pernah dengar pula Pemuda Tahan Lasak PAS. Pelik!! Apa pun, selidikilah apa berita sekalipun terlebih dahulu sebelum mempercayai dan menyebarkannya. 

Adaptasi:- HarakahDaily

Rembau
9 Safar 1434H


Read more...

Sunday, December 9, 2012

Petronas Untung RM241 bilion

KUALA LUMPUR: Ketika minyak petrol RON97 dinaikkan beberapa kali oleh kerajaan Umno-BN dan terbaru gas asli yang menyaksikan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus,  Petronas dicatat mengaut keuntungan RM241 bilion.
Petronas dilapor memperoleh keuntungan lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, didorong kenaikan harga semua produk dan jumlah daganganyang tinggi.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata perolehan Petronas meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion.
Sementara keuntungan pracukai juga dikatakan meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.



Syarikat minyak negara itu dalam masa sama turut mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan.
Pada April lalu, petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 20 sen kepada RM2.70 seliter yang merupakan kenaikan kali kelima sejak harga bahan api itu diapungkan dan kenaikan kedua sejak 31 Januari lalu.
Sementara itu, kerajaan Umno-BN menaikkan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun lalu sebagai usaha menarik balik subsidi daripada rakyat, meskipun Tenaga Pengeluar Bebas (IPP) memperoleh RM19 bilion hingga RM22 bilion setahun.



Gas asli pula dinaikkan RM3 setiap mmBtu setiap enam bulan sehingga mencecah harga pasaran pada 2016, apabila harganya diapung sepenuhnya.
Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini menyelar kenaikan itu dan mendesak supaya kerajaan mendedahkan perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Tenaga Nasional Berhad dan IPP yang lebih menguntungkan syarikat korporat tersebut.
Dalam masa yang sama pula, Petronas dikatakan menanggung subsidi gas sehingga mencecah RM131 bilion akibat daripada perjanjian berat sebelah tersebut, apabila dipaksa menjual gas dengan harga yang lebih rendah kepada IPP.

Adaptasi:- KeadilanDaily

UiTM Bandaraya Melaka
25 Muharram 1434H


Read more...

Saturday, December 8, 2012

Haron Din Di Kuliah Jumaat

KOTA BHARU - Lebih 5, 000 umat Islam di negeri ini memenuhi Dataran Ilmu untuk mendengar dan mengikuti Kuliah Jumaat selain melihat lebih dekat wajah tokoh ulama terkenal tanah air, Datuk Dr Haron Din.

Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, didatangkan khas untuk memberi Kuliah Jumaat kepada penduduk di negeri ini menghabiskan kirakira sejam berkongsi sirah Rasulullah dengan orang ramai.

Kuliah yang biasanya disampaikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kali ini memberi kelainan kepada penduduk negeri Serambi Mekah apabila berpeluang menukar halwa telinga mereka mengikuti ceramah dari penceramah luar.

Seorang pendengar, Abdullah Ahmad, 58, berkata, tidak dinafikan setiap minggu dia akan meluangkan masa mengikuti Kuliah Jumaat di situ, dan semalam agak bertuah kerana dapat mendengar ceramah dari penceramah tidak asing lagi di negara ini.




Menurutnya, daripada pemerhatiannya, agak ramai yang datang ke Kuliah Jumaat pagi itu berbanding sebelum ini mungkin disebabkan kemunculan Haron yang julung- julung kalinya ke negeri ini.

“Jika sebelum ini media menjadi perantara untuk orang ramai melihat wajah Dr Haron Din, namun kali ini peluang di depan mata digunakan sebaiknya, tambahan pula ramai yang ternantinantikan kedatangan beliau,” katanya ketika ditemui di sekitar Dataran Ilmu, Kota Bharu di sini, semalam.

Abdullah yang datang dari Pulau Chondong berkata, ramai menyimpan hasrat berjumpa pemimpin berkenaan dan kesempatan di sebalik program ilmu ini dimanfaatkan sebaiknya.

Seorang lagi pendengar, Zakiah Alias, 21, pula tidak menyangka dapat mendengar ceramah secara langsung daripada Haron Din yang sebelum ini banyak diikuti di laman sesawang dan televisyen.

“Saya ke sini untuk mendengar ceramah Tok Guru (gelaran kepada Nik Abdul Aziz), tetapi tak sangka Dr Haron yang ada hari ini, sekurangkurangnya saya tak perlu pergi jauh untuk mendengar ceramahnya dan melihat beliau secara langsung,” katanya.

Menurutnya, dia yang turut mengenali Haron sebagai pengamal perubatan Islam mengakui teringin berjumpa dan mengetahui rahsia begitu ramai ingin mendapatkan khidmat atau berubat dengannya sehingga sanggup menempuh beratus kilometer demi tujuan itu.


Adaptasi:- Sinar Harian - 8 Disember 2012


UiTM Bandaraya Melaka
24 Muharram 1433H


Read more...

Sunday, December 2, 2012

Isytihar Perang

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap Pakatan Rakyat dengan laungan slogan anti-Pakatan dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno hari ini.

"Satu undi untuk PKR satu undi untuk kerosakan akidah dan sosial!," laung Najib di hadapan perwakilan perhimpunan yang berdiri sebagai tanda penghormatan kepada.

Laungan anti-Pakatan itu diteruskan lagi dengan menyamakan tindakan mengundi PAS dengan kemerosotan Islam, dan undi DAP dengan penindasan bangsa Melayu.



"Satu undi untuk PAS bermakna satu undi untuk kehancuran Islam!

"Satu undi untuk DAP maksudnya satu undi untuk penindasan bangsa tercinta!," laung Najib lagi disambut sorakan dari para perwakilan.

Sebelum itu, Najib turut merakamkan penghargaannya kepada pejuang siber Umno yang bertungkus-lumus melawan perkara yang disifatkannya sebagai fitnah di laman sosial.

"Segala fitnah ini dalam laman sosial, jadi kita kena menguasai laman sosial," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut menegaskan bahawa beliau sentiasa bersedia mendengar suara orang muda yang membentuk 20 peratus daripada pengundi baru.

"Orang muda turun ke jalan, saya pun turun duduk di jalan... tengok bola," katanya.





Najib turut bersetuju dengan cadangan sayap Pemuda dan Puteri agar Umno menubuhkan akademi kepimpinan.

Bagaimanapun, akademi itu perlu memberikan lebih tumpuan kepada pengisian berbanding kemudahan latihan untuk melatih pemimpin masa akan datang, tegasnya.

"Kita boleh gunakan pusat latihan yang sedia ada yang pentingnya pengisian yang ada.

"Dengan ini kita akan sediakan barisan lebih ampuh untuk hadapi cabaran akan datang," katanya



Adaptasi :- MalaysiaKini


Rembau
 18 Muharram 1434H


Read more...

Thursday, November 29, 2012

Saham MAS Jatuh

Saham Malaysian Airline System Bhd (MAS) menjunam sehingga 20.8 peratus selepas syarikat itu berkata ia merancang untuk mengumpul RM3.1 bilion (AS $ 1 bilion) melalui terbitan hak.

Penganalisa dari Maybank IB Research memberitahu Reuters bahawa pencairan bagi syarikat tersebut daripada terbitan itu adalah besar, maka akan ada turun naik harga saham sehingga ianya menjadi lebih jelas.

Saham MAS turun 19.3 peratus pada 82 sen pada 0202 GMT selepas harga pembukaannya pada RM1.01.




Dalam satu pengumuman kepada Bursa Saham semalam, MAS berkata terbitan tersebut akan digunakan untuk membayar modal dan perbelanjaan hutang.

Syarikat penerbangan itu mencatatkan keuntungan operasi kecil sebanyak RM4 juta - untuk mengakhir enam suku kerugian.

"Tidak syak lagi pasaran terlebih bertindak balas, tetapi ini adalah apa yang akan berlaku sehingga ada input daripada pihak pengurusan mengenai struktur terbitan hak itu," kata penganalisis tersebut.

MAS juga berkata ia akan mengurangkan nilai tara sahamnya kepada 90 sen daripada RM1, untuk membina rizab kredit sebanyak RM8 bilion.

"Pelabur tidak yakin dengan apa yang MAS akan buat dengan wang tersebut. Masih terdapat satu stigma kerana pelabur bimbang MAS tidak akan mampu kembali mencatat keuntungan walaupun dengan wang tersebut," kata seorang lagi penganalisis.

Syarikat penerbangan itu telah mengumpulkan RM2.7 bilion dalam terbitan hak pada tahun 2010.




Sementara itu, MAS mencatatkan keuntungan bersih RM37.1 juta ($12.14 juta) pada suku ketiga yang berakhir pada 30 september 30 berbanding dengan kerugian bersih RM477.6 juga pada suku yang sama tahun lalu.
      
Prestasi yang lebih baik itu adalah kerana program rasionalisasi laluan yang membantu syarikat itu mengungkat kos bahan api, kata MAS dalam satu kenyataan semalam.

Jumlah perolehan Hasil jatuh 4 peratus kepada RM3.3 bilion. 

Syarikat penerbangan itu melaporkan keuntungan operasi yang kecil sebanyak RM3.9 juta, yang mengakhiri enam suku tahun kerugian. Dalam suku tahun yang sama tahun lalu, syarikat penerbangan itu melaporkan kerugian operasi sebanyak RM191.8 juta.



      
Melangkah ke hadapan, syarikat penerbangan itu berkata fokusnya adalah untuk meningkatkan perolehan dan menguruskan kos.
      
Saham MAS tidak berubah semalam pada harga RM1.01 sesaham, mengatasi kemerosotan 0.6 peratus dalam komposit indeks.
($1 = 3,0553 ringgit Malaysia)


Adaptas:- MalaysiaKini


UiTM Bandaraya Melaka
15 Muharram 1434H



Read more...

Thursday, November 15, 2012

Semangat Baru

Assalamu'alaikum warahmatullah.

Rasanya sudah lama saya tidak berceloteh sendirian dalam kolum Celoteh Blogger ini. Memandangkan hari ini adalah cuti am, maka bolehlah saya mengemaskini kolum ini sekarang.




Alhamdulillah, pertamanya kita sudah melangkah ke tahun baru Islam. Meskipun yang sebenarnya tahun baru Islam bukanlah di awal Muharram kerana ini diperkenalkan oleh Saidina Umar RA, namun tidak perlulah kita mempertikaikannya dalam hendak melakukan amalan-amalan yang dipuji seperti membaca do'a akhir tahun dan awal tahun. Kerana di dalam intipati do'a itu mempunyai masuk yang mendalam. Namun, janganlah kita menganggap ianya tidak boleh dibaca kerana Rasulullah SAW tidak pernah melakukannya. Ambil sahaja semangat untuk berhijrah tanpa menanggapnya satu kemestian yang perlu dilakukan bila masuk awal Muharram.

Apa yang menggembirakan saya ialah apabila saya melihat surau kediaman yang saya menetap seakan-akan hendak penuh. Alhamdulillah. Bila Allah hendak memberi peluang kepada kita untuk beribadah, maka bersyukurlah. Ada orang yang hatinya hendak ke surau, tetapi ada kekangan. Ada juga yang memang hendak ke surau, dan Allah izinkannya ke surau dengan menggerakkan hati dan anggotanya. Maka bersyukurlah dan janganlah kita berasa bangga kerana boleh turun ke surau kerana tanpa izinNya, kita tidak punya apa-apa.




Pada malam harinya, saya dan rakan sebilik bersembang pelbagai cerita. Rakan sebilik saya merupakan Pengerusi surau tempat yang saya menetap. Seorang yang saya sangat kagumi.  Banyak perkongsian yang kami bualkan sehingga kami terlelap awal daripada biasa. Sebelum jam 11 kami sudah melayari bahtera di alam maya. Keletihan yang amat.

Dan apabila kami terjaga serentak pada jam 2 pagi, kelaparan mula menyerang. Lalu kami pergi mengisi perut dengan roti naan dan ayam tandoori di kedai. Saya ingatkan semuanya lelaki yang akan makan bersama, rupanya ada 3 gadis turut serta. Tapi tidak mengapa kerana tujuan kami adalah hendak makan, bukannya bergurau senda di awal pagi. Saya cuma meraikan pelawaan kawan-kawan. Ini juga satu perubahan. SmiLe!!



Marilah kita semua menitipkan rasa ingin berhijrah daripada perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Dan apa yang paling penting, apabila kita sudah berubah, janganlah kita merasakan diri kita sudah cukup baik. Ajaklah rakan-rakan yang lain untuk melakukan kebaikan. Sematkanlah semangat baru supaya kita sering istiqamah berada di atas jalan menuju redha Allah.

Wallahu'alam.


UiTM Bandaraya Melaka
1 Muharram 1434H



Read more...

Monday, November 12, 2012

Ijazah Hasil Meniru

SOALAN

Seorang pelajar memperoleh ijazah dari sebuah university, namun ketika peperiksaan dia sering meniru. Dia kemudian menggunakan ijazah tersebut sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan. Adakah gaji bulanannya halal?




JAWAPAN ( Syeikh ‘ Abdul ‘Aziz Abdullah bin Baz, Mufti Arab Saudi )

Dia wajib bertaubat kepada Allah SWT atas perbuatannya menipu dalam peperiksaan dan menyesal terhadap perbuatan tersebut.

Pekerjaan dan gaji yang diperolehnya itu halal selama mana dia melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Bagaimanapun, dia wajib bertaubat kepada Allah SWT atas perbuatan mungkarnya itu. Taubat dapat menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

Adaptasi:- Gen-Q 15


UiTM Bandaraya Melaka
27 Zulhijjah 1433H



Read more...

Saturday, November 10, 2012

Wanita Umpama Pakaian

Ada orang kata, perempuan itu umpama pakaian. Mari kita lihat bagaimana mereka membuat perbandingan.

PAKAIAN MURAH
  • PAKAIAN = Hanya dilonggokkan. Pembantu kedai pun tidak sudi melipatnya kemas. Berhabuk. Sesiapa pun boleh pegang sesuka hati. Tak suka, campak. Ambil yang lain pula.
  • WANITA = Wanita yang terdedah sana sini, malah mudah bergaul dan mudah didekati. Sudah tentu orang yang bakal memilik pakaian sebegini daripada taraf yang sama.



PAKAIAN BIASA

  • PAKAIAN = Digantun rapi, tetapi kadang-kadang apabila tiba musim jualan murah, turut dilonggokkan bersama. Pakaian ini tarafnya tinggi sedikit daripada pakaian murah.
  • WANITA = Wanita yang penampilannya dijaga tetapi tidak sepenuhnya. Mungkin bertudung, tetapi tidak berakhlak dan tidak solat. Mungkin bertudung, tapi masih pakai sendat dan masih bergaul bebas dengan lelaki. Bertepuk tampar tanpa malu.

PAKAIAN MAHAL

  • PAKAIAN = Disimpan cantik dalam "show room" khas. Siap cantik tersimpan di dalam almari kaca. Bukan semua orang yang mampu miliki, bukan semua orang yang berani sentuh.
  • WANITA = Wanita yang sangat menjaga penampilan dan akhlak serta imannya. InsyaAllah, pemilik pakaian untuk golongan ini juga bukan calang-calan orangnya.

Pilihan di tangan kita. Wallahu'alam

Adaptasi :- Gen-Q 15


UiTM Bandaraya Melaka
25 Zulhijjah 1433H


Read more...

Friday, November 2, 2012

Ikatan Yang Manis

Kali ini saya hendak berkongsi pandangan mengenai cinta. Kalau kita lihat pada masa kini, ramai orang yang bercinta samada di alam persekolahan, IPT mahupun di alam pekerjaan. Dan ada juga yang baru berjinak-jinak dengan percintaan yang pertama dan ada juga yang sudah beberapa kali. Perlu saya tegaskan di sini bahawa saya bukanlah hendak mempromosikan cinta sebelum perkahwinan tapi hendak berkongsi pandagan saya mengenai cinta.



Cinta. Satu perkara yang indah. Bak kata orang; kalau dah bercinta, kentut pasangan pun berbau wangi. Itulah penangan cinta. Namun, ada pihak yang berlebih-lebihan dengan cinta dan ada juga yang menolak cinta.


Mari kita selusuri orang yang berlebih-lebihan dalam cinta terlebih dahulu. Berdasarkan pemerhatian, golongan ini sangat menyayangi pasangannya. Akan tetapi, gagal mengawal diri sehingga terbabas dan tergelincir ke lembah maksiat. Memang pada mulanya, pasangan itu adalah segalanya. Namun, jika berlaku sesuatu yang buruk dalam perhubungan seperti putus/clash, segala yang buruk mengenai pasangan akan diungkit satu demi satu. Adakah ini cinta?


Seterusnya, mari kita lihat golongan mereka yang menolak cinta pula. Kebiasannya, hujah yang digunakan adalah; bercouple itu haram. Nanti dulu. Apakah percintaan itu perlu dengan bercouple? Dan golongan ini biasanya adalah golongan yang dikenali sebagai ahli surau, geng-geng tudung labuh, geng-geng da’wah dan sebagainya. Mungkin mereka ada pendapat sendiri mengenai tafsiran cinta ini. Apakah itu juga cinta?




Pada pandangan saya, cinta itu boleh. Cinta itu murni. Suci dan memotivasikan diri. Cinta itu membawa diri kita kearah yang lebih baik dan menghampiri syurga. Apa yang saya pegang adalah; Islam tidak mengajar umatnya membunuh fitrah, tapi Islam mengajar umatnya mengurus fitrah. Agar fitrah tidak menjadi fitnah. Begitu juga dengan cinta.


Lalu, bagaimana kita hendak mengurus fitrah ini?


Pertamanya, marilah kita meletakkan cinta kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan ibubapa kita mendahului daripada pasangan kita. Kerana itulah yang pastinya ada kaitan dengan kita. Sekalipun ibubapa kita bercerai ataupun hilang, namun adakah kita akan memanggil mereka; Mereka itu BEKAS ibubapa aku? Tiada kan? Jadi marilah kita mengutamakan apa yang sepatutnya.


Yang keduanya, jika kita ada berkenan kepada seseorang, nyatakanlah hajat kepadanya mengikut syarak. Jikalau mampu, segerakanlah perkahwinan. Jika tidak mampu, mintalah penangguhan dan dalam pada masa yang sama, kita berusaha kearah mampu. Baik dari segi ilmu, ibadah, akhlak, ekonomi dan pengurusan yang berkaitan. Tidak ada gunanya kita menanti seseorang itu, tanpa membuat apa-apa perubahan ataupun berusaha kearah mampu. Asyik duduk dengan angan-angan. Takut-takut, bila si pasangan hendak memberi jawapan, jawapan itu adalah tidak setuju/ tidak sudi, kita kehilangan arah. Sudahlah dia tidak menerima kita, kita pula tidak tertingkat apa-apa.


Dan akhir sekali mengikut pandangan saya, pastikanlah cinta itu berpaksi kepada keimanan. Bermatlamatkan keredhaan Allah SWT. Bagaimana? Dengan menyimpan niat untuk bersama-sama dengan pasangan kita menuju Jannah Allah SWT. Jika ada masalah, berbaliklah kepada pokok keimanan.




Itulah serba-sedikit mengenai pandangan saya. Bagi saya, ada dua kesilapan dalam bercinta. Pertama; mencintai orang yang salah. Kedua; mencintai orang yang betul tapi dengan cara yang salah. Maka, marilah kita saling bermuhasabah diri agar tidak dikelabui dengan indahnya percintaan. Dan sesungguhnya, percintaan selepas perkahwinan itu adalah yang terindah. Kerana pada masa itulah, kita hendak mula mengenali pasangan masing-masing dan saling lengkap melengkapi. Itulah ikatan yang manis.


Wallahua’lam.

Rembau
18 Zulhijjah 1433H

Read more...

Thursday, November 1, 2012

Ku Bahagia

Untuk menjadi orang yang bahagia adalah dengan menjadi orang yang bersyukur terlebih dahulu. Tapi, apakah benar rasa bersyukur itu dapat membuatkan kita bahagia? Ya, semestinya dengan rasa bersyukur itu akan melahirkan rasa kecukupan dan menghilangkan rasa kekurangan.

Dengan itu, insyaAllah hati dan perasaan menjadi senang, bahagia dan mampu berfikiran positif.




Rasa bersyukur ini akan menyebabkan berlakunya perubahan diri kepada yang lebih baik. Iman itu akan semakin bertambah, ibadah semakin sempurna, amal soleh semakin banyak, tutur kata makin terjaga dan semakin jauh daripada maksiat dan dosa, insyaAllah.

Kesimpulannya, marilah kita sentiasa melihat kepada mereka yang di bawah, agar kita yang di atas mampu bersyukur. Bersama perhatikan mereka yang kurang agar akan ada rasa lebih pada kita. Jadi, basahkanlah lidah kita dengan ucapan “Alhamdulillah” sebanyak mugkin sebagai bukti kesyukuran kita.

Adaptasi:- Gen-Q 14


Rembau
16 Zulhijjah 1433H


Read more...

Wednesday, October 31, 2012

Terbatal Kerana Terpegang

SOALAN

Nasri berada dalam keadaan berwudhu' dan keluar menuju ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dengan menaiki bas. Di dalam bas, dia membayar tambang kepada konduktor perempuan berbangsa cina. Ketika mengambil baki, tangannya tersentuh jari wanita itu. Dia berfikir, adakah wudhu'nya terbatal? Sedangkan dia tidak sengaja.


JAWAPAN

Dalam masalah ini, wudhu' Nasri telah terbatal kerana bersentuhan dengan bersentuhan dengan kulit perempuan ajnabi. Walaupun kulit yang disentuh itu sedikit, ia tetap mambatalkan wudhu'. Sentuhan ini pula tidak mensyaratkan ia berlaku pada tapak tangan sahaja. Semua bahagian kulit daripada anggota badan bukan mahram yang tersentuh termasuk dalam salah satu perkara yang membatalkan wudhu'.

Berbeza dengan menyentuh kemaluan selepas berwudhu', hanya tapak tangan sahaja yang merupakan kawasan anggota badah yang membatalkan wudhu' jika menyentuhnya.




Sama ada tersentuh, menyentuh ataupun disentuh, menurut perkiraan para ulama mazhab Syafi'i hukumnya sama sahaja. Keadaan yang berlaku daripada ketiga-tiga tindakan ini boleh membatalkan wudhu' seseorang.

Begitu juga, ulama tidak membezakan individu yang bersentuhan itu sama ada Muslim atau tidak. Asalkan ia berlaku dalam kalangan bukan mahram, maka wudhu' salah seorang atau kedua-dua mereka terbatal. Namun, jika ada yang memakai sarung tangan atau sentuhan itu berlaku di atas lapik, ia tidak mengapa.

Jadi, Nasri perlu mengambil wudhu' semula apabila sampai ke masjid sebelum menunaikan solat Jumaat.

Adaptasi :- Gen-Q 14

Rembau
15 Zulhijjah 1433H


Read more...

Friday, October 19, 2012

Harapan Palsu

Yahya bin Muaz berkata :- Penipuan yang paling besar dalam mengharapkan datangnya rahmat Allah SWT adalah :-

  • Mereka yang sentiasa berbuat dosa dengan harapan dosanya diampuni Allah SWT tanpa disertai penyesalan.

  • Mereka yang merasakan dekat dengan Allah SWT tanpa ada usaha beribadah dan taat kepada-Nya.

  • Mereka yang menanti kenikmatan syurga dengan menabur "benih-benih" seksa neraka.




  • Mereka yang mencari tempat kembali orang yang taat ( syurga ) dengan melakukan maksiat.

  • Mereka yang menanti pahala tanpa beramal.

  • Mereka yang mengharapkan rahmat Allah SWT dengan melakukan perbuatan yang melampaui batas.

Adaptasi:- Gen-Q 14

UiTM Bandaraya Melaka
3 Zulhijjah 1433H



Read more...

Sunday, October 14, 2012

Bermesra Dengan Dosa

Zaman sekarang ini, mari kita cuba perhatikan perlakuan wanita dan lelaki di pejabat, universiti mahupun di sekolah ketika mereka bergurau, ada yang sungguh mesra. Apabila bertemu mereka bertegur sapa sampai ketawa bersama. Salahkah? Sudah tentunya tidak.

Tapi, jika dilihat lebih lama, ada lelaki yang menepuk lembut isteri orang. Ada pula isteri orang yang mencubit geram suami orang. Pelajar universiti bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan meskipun berlapik. Pelajar sekolah yang bermain cubit-cubit antara lelaki dan perempuan. Salahkah? Tepuk dada, tanya iman.

Mari kita ambil mana-mana situasi di atas dan letakkan diri kita dan ahli keluarga kita ( isteri/suami, adik perempuan/kakak ) dalam situasi berikut. Apa yang kita rasa? Si suami yang membiarkan isterinya begitu mesra dengan lelaki lain dan si lelaki yang bermesra dengan isteri orang lain, mereka berdua sama sahaja. Seorang abang yang tidak kisah adik perempuannya bermesra dan bermanja dengan lelaki lain, pun sama sahaja. Mereka gagal mendidik ahli keluarga wanita di sekeliling mereka, bahkan mereka sanggup pula biarkan ahli keluarga tejebak dalam kemungkaran.




Jika kita lihat di luar buat masa ini, kita akan pasti menemui anak dara Melayu yang tanpa segan silu mendedahkan aurat. Mana pergi bapa dan abang mereka yang tidak mempedulikan mereka? Sedangkan ancaman Allah SWT sangat berat kepada mereka yang dayus itu. Ini menandakan bahawa iman mereka semakin nipis.

Dayus bererti suami/bapa/abang yang langsung tiada perasaan risau dan ambil tahu dengan siapa isteri, anak mahupun adik perempuan bertemu dan melepak bersama, malah sebahagiannya membiarkan sahaja mereka dipegang dan dipeluk oleh sembarangan lelaki. Para ulama’ berpendapat dayus adalah seseorang yang tidak ada perasaan cemburu ( kerana iman ) terhadap ahlinya ( isteri dan anak-anaknya ).

Saya tutup perkongsian saya ini dengan sepotong hadith. Daripada Ammar bin Yasir, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:- “Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat bertanya:- “Wahai Rasulullah, kami faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah dayus?” Nabi SAW menjawab:- “Iaitu orang yang tidak mempedulikan orang yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”  ( Riwayat al-Tabarani )

Adaptasi :- Gen-Q 14


UiTM Bandaraya Melaka
28 Dzulka’edah 1433H


Read more...

Saturday, October 13, 2012

Bukti Cintakan Allah

MENGINGATI ALLAH SETIAP MASA, KEADAAN DAN SITUASI

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud :- " Orang-orang yang beriman itu sangat kuat cintanya kepada Allah. "

Imam Ahmad Taqiyuddin berkata:- " Hakikat sebuah kecintaan adalah dengan sentiasa bersama ingatannya dengan yang dicintai."



CINTAI DAN IKUTI SUNNAH RASULULLAH SAW

Merupakan prasyarat utama mencintai Allah.

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 31 yang bermaksud:- " Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah daku ( Rasulullah SAW ) nescaya kamu akan dicintai Allah. "



MEMPERBANYAKKAN AMALAN-AMALAN SUNAT

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT berfirman, mafhumnya:- " Sentiasalah hamba-Ku berada dalam keadaan mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat ( nawafil ) sehinggalah Aku mencintainya. " ( Riwayat al-Bukhari )



MENJAGA SOLAT WITIR

Merupakan bukti kejujuran cinta kepada Allah.

Fudhail bin Iyadh berkata, Allah SWT berfirman yang bermaksud:- " Seorang hamba yang mengaku mencintai-Ku tidaklah jujur kalau dia tidur lantas melupakan-Ku tatkala malam. "





MENJAGA HUBUNGAN DENGAN IBU BAPA

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan Allah juga terletak pada kemurkaan kedua-duanya.



BERSAHABAT DENGAN AL-QURAN

Sentiasa membaca dan menghayati ayat-ayatnya kerana Al-Quran umpama warkah ayat-ayat cinta-Nya buat kita.


SENTIASA TERTUNGGU-TUNGGU PANGGILAN AZAN DAN SOLAT FARDHU

Persis menunggu panggilan daripada seorang kekasih , sudah tentu panggilan azan akan membuatkan kita seolah-olah "ketagih" untuk mendengarnya semula kerana ia umpama panggilan Allah buat kita.


DOA

Sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:- " Ya Allah!! Aku memohon cinta-Mu dan cinta mereka yang mencintai-Mu serta mencintai segala amalan yang mendekatkan diriku kepada cinta-Mu." ( Riwayat al-Tirmizi )


Adaptasi:- Gen-Q 14


UiTM Bandaraya Melaka
27 Dzulka'edah 1433H


Read more...

Sunday, September 30, 2012

Simbol Keimanan

Doa merupakan tanda ibadah dan pengabdian diri kepada Allah SWT. Memohon kepada Allah SWT adalah pengikitrafan bahawa hanya Allah SWT Maha Berkuasa dalam memenuhi hajat manusia.

Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 55-56 yang bermaksud:-
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah SWT menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau doa tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya doa makbul). Sesungguhnya rahmat Allah SWT itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”




Daripada segala yang diterangkan di atas, dapatlah kita membuat satu kesimpulan penting bahawa doa merupakan ibadah dan symbol ketulusan cinta seorang hamba kepada Tuhannya. Menerusinya, seseorang hamba mampu menggamit rahmat Allah agar dikurniakan kepadanya.

Adaptasi:- Gen-Q 14


UiTM Bandaraya Melaka
14 Zulkaedah 1433 H


Read more...

Wednesday, September 19, 2012

SA’D BIN MALIK BIN SINAN AL-KHUDRI AL-ANSARI

Nama sebenar beliau ialah Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudri al-Ansari, dipanggil Abu Sa’id.

Bapanya syahid dalam peperangan Uhud.

Lahir 10 tahun sebelum Hijrah.

Antara para sahabat yang alim dan banyak menghafaz hadith Rasulullah SAW iaitu sebanyak 1170 hadith.




Selain Rasulullah SAW, beliau turut meriwayatkan hadith daripada ramai orang seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya juga ramai, antaranya ialah Ibn Abbas dan Ibn Umar.

Sempat bersama Rasulullah SAW dalam 12 peperangan, dengan peperangan Khandaq adalah peperangan yang mula-mula disertainya bersama Baginda SAW.

Wafat pada tahun ke-74 Hijrah di Madinah.

Adaptasi:- Gen-Q 13


UiTM Bandaraya Melaka
3 Zulkaedah 1433H


Read more...

Monday, September 10, 2012

Pengaruh Senior

Alhamdulillah setelah hampir sebulan tidak mengemaskan sesawang dalam blog ini, maka saat ini akhirnya saya diizinkan oleh-Nya untuk mengemaskini blog.
Setelah hampir sebulan, banyak perkara yang saya lalui. Daripada kisah saya mengambil semester pendek sehinggalah saya masuk ke semester baru ini - semester 5.

Sepatutnya bila kita masuk semester penghujung, kita lebih arif tentang selok-belok 'Student Life's '. Apa yang pernah kita lalui pada satu masa dahulu, adalah pengalaman yang patut diambil pengajaran. ' Culture Shock ' adalah istilah biasa dalam kalangan adik junior yang mereka akan lalaui. Siapa yang tahu menyesuaikan diri, maka merekalah yang akan dapat "menjiwai" persekitaran sekeliling.


Sebagai seorang senior, kita mestilah mempamerkan akhlak yang baik. Bukannya bertujuan untuk menarik perhatian terhadap kita. Tapi, hendak menarik perhataian mereka terhadap keindahan Islam. Kita berharap mereka dapat terus istiqamah dalam jalan ini.

Kesimpulannya, marilah kita semua berakhlak dengan akhlak Islam agar supaya kita menjadi titik-tolak untuk mereka yang sedang mencari jalan kebenarannya.


UiTM Bandaraya Melaka
23 Syawal 1433H



Read more...

Sunday, August 12, 2012

Badar Kubra

Kali ini mari kita singkap kembali sirah nabawiyyah ini secara bersama. Penulis mendapat perkongsian ini melalui khutbah Jumaat pada 3 Julai 2012.

Secara umumnya, ianya berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah. Dimulakan cerita, terdapat segolongan manusia daripada kafilah ( rombongan perniagaan ) Abu Sufian dari Syam yang membawa barang perdagangan yang mana akan diambil barangnya itu oleh Rasulullah SAW kerana sebagai bahan gentian kepada orang Islam yang diambilnya dahulu.

Kafilah Abu Sufian ini terlepas daripada sekatan Rasulullah SAW. Oleh kerana mereka hendak sampai di destinasinya, mereka memberitahu mahu membuat pesta minum arak untuk menguar-uarkan kedatangan mereka berjaya masuk ke bandar itu.

Rasulullah SAW berasa murka lalu menyusun saf ketenteraan dengan rapi dan bergantung kepada Allah SWT.

Saidina Hamzah RA & Saidina Ali berperang dengan golongan tersebut di antaranya ialah Utbah bin Rabiah.

Dengan jumlah tentera Muslimin yang sedikit, maka Allah SWT memperkenankan doa Rasulullah SAW dengan menghantar malaikat yang berduyun-duyun.

Dalam perang itu menyaksikan pembunuhan Abu Jahal dan kepalanya di bawa kepada Rasulullah SAW.

Penduduk Madinah menyambut berita itu dengan gembira.




Pengajaran daripada sirah ini:-
  • Islam yang kita nikmati ini adalah hasil perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat RA
  • Sistem Syura membuktikan ianya penting dalam asas politik Islam.
  • Strategi yang betul memudahkan perjalanan sesuatu perkara.
  • Yakin kepada Allah SWT akan member kemenangan kepada perjuangan Islam


Masjid Tanah, Chembong, Rembau
23 Ramadhan 1433H


Read more...