Saturday, December 8, 2012

Haron Din Di Kuliah Jumaat

KOTA BHARU - Lebih 5, 000 umat Islam di negeri ini memenuhi Dataran Ilmu untuk mendengar dan mengikuti Kuliah Jumaat selain melihat lebih dekat wajah tokoh ulama terkenal tanah air, Datuk Dr Haron Din.

Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, didatangkan khas untuk memberi Kuliah Jumaat kepada penduduk di negeri ini menghabiskan kirakira sejam berkongsi sirah Rasulullah dengan orang ramai.

Kuliah yang biasanya disampaikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kali ini memberi kelainan kepada penduduk negeri Serambi Mekah apabila berpeluang menukar halwa telinga mereka mengikuti ceramah dari penceramah luar.

Seorang pendengar, Abdullah Ahmad, 58, berkata, tidak dinafikan setiap minggu dia akan meluangkan masa mengikuti Kuliah Jumaat di situ, dan semalam agak bertuah kerana dapat mendengar ceramah dari penceramah tidak asing lagi di negara ini.





Menurutnya, daripada pemerhatiannya, agak ramai yang datang ke Kuliah Jumaat pagi itu berbanding sebelum ini mungkin disebabkan kemunculan Haron yang julung- julung kalinya ke negeri ini.

“Jika sebelum ini media menjadi perantara untuk orang ramai melihat wajah Dr Haron Din, namun kali ini peluang di depan mata digunakan sebaiknya, tambahan pula ramai yang ternantinantikan kedatangan beliau,” katanya ketika ditemui di sekitar Dataran Ilmu, Kota Bharu di sini, semalam.

Abdullah yang datang dari Pulau Chondong berkata, ramai menyimpan hasrat berjumpa pemimpin berkenaan dan kesempatan di sebalik program ilmu ini dimanfaatkan sebaiknya.

Seorang lagi pendengar, Zakiah Alias, 21, pula tidak menyangka dapat mendengar ceramah secara langsung daripada Haron Din yang sebelum ini banyak diikuti di laman sesawang dan televisyen.

“Saya ke sini untuk mendengar ceramah Tok Guru (gelaran kepada Nik Abdul Aziz), tetapi tak sangka Dr Haron yang ada hari ini, sekurangkurangnya saya tak perlu pergi jauh untuk mendengar ceramahnya dan melihat beliau secara langsung,” katanya.

Menurutnya, dia yang turut mengenali Haron sebagai pengamal perubatan Islam mengakui teringin berjumpa dan mengetahui rahsia begitu ramai ingin mendapatkan khidmat atau berubat dengannya sehingga sanggup menempuh beratus kilometer demi tujuan itu.


Adaptasi:- Sinar Harian - 8 Disember 2012


UiTM Bandaraya Melaka
24 Muharram 1433H

No comments:

Post a Comment