Thursday, August 11, 2011

Apa Itu Aikido?

Seni bela diri tanpa guna kekerasan sesuai dipelajari, kanak-kanak mahupun orang dewasa

SENI mempertahankan diri dilihat semakin penting dan perlu didedahkan serta diajarkan kepada kanak-kanak. Lebih-lebih lagi, jaminan terhadap tahap keselamatan kanak-kanak pada masa kini, khususnya ketika berada di luar rumah sukar diduga dan terdapat pelbagai ancaman yang tidak disangka serta boleh membahayakan diri mereka. 

Oleh itu, sejak usia masih mentah dan mudah dibentuk lagi, kanak-kanak perlu dipersiapkan diri dengan ilmu mempertahankan diri serta digalakkan menyertai pelbagai persatuan seni pertahanan yang ada di negara ini. Antara ilmu mempertahankan diri sesuai dipelajari kanak-kanak di negara ini ialah aikido yang berasal dari Jepun dan diasaskan oleh Morihei Ueshiba (1883-1969). 

Pengarah Aikido Yoshinkan Shudokan, Martial Art Centre, Ramlan Ahmed, berkata aikido adalah seni mempertahankan diri dalam erti kata sebenar dan sesuai, di samping pilihan baik untuk dipelajari kanak-kanak kerana ia tidak memerlukan kekuatan mutlak untuk mempertahankan diri. 


TUNJUK AJAR: Pengawasan dan bimbingan jurulatih profesional membantu menambah kecekapan.


Beliau berkata, tidak ada penggunaan kaki dalam pergerakan seni mempertahankan itu sebaliknya, ia menggunakan kepantasan dan ketangkasan tangan dengan kaedah bertahan mahupun menepis. Pergerakan aikido juga tampak lembut tetapi yang pasti, ia sudah cukup dijadikan senjata atau dipraktikkan untuk mempertahankan dan menewaskan lawan. 

Tidak seperti seni bela diri Jepun lain yang disifatkan sesetengah pihak sebagai ganas, aikido ialah seni yang diperkemaskan. Malah, jika samurai, jujitsu, judo dan ninjitsu akhirnya berkesudahan dengan menang atau kalah serta mungkin juga kematian, aikido pula sebaliknya, malah tiada pertandingan dalam seni bela diri ini. 


TINGKAT KEYAKINAN: Seni mempertahankan diri membantu membentuk perwatakan dan peribadi diri.

“Konsepnya yang lembut membuatkan aikido bukan saja sesuai dipelajari di kalangan dewasa, tetapi juga kanak-kanak. Seni mempertahankan diri ini juga tidak agresif, sebaliknya lebih kepada konsep bertahan. 

“Ada dua teknik dalam aikido, iaitu melontar dan mengunci lawan. Ia seboleh-bolehnya cuba meminimumkan kecederaan terhadap lawan. Konsep sebegitu akhirnya akan memenatkan lawan sehingga mereka menyerah kalah," katanya ketika ditemui di pusat Aikido Yoshinkan Shudokan, Martial Art Centre di Taman Sungai Indah, Seri Kembangan, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment