SOALAN
Assalamualaikum Ustaz.
Nama saya syafiq,seorang pelajar perubatan luar negara. Saya ada satu kemusykilan.
Bolehkah saya menggunakan duit yg diberi kerajaan untuk perbelanjaan di luar negara itu untuk kegunaan persiapan perkahwinan? .Bagaimana dengan status wang tersebut dalam hal ini?
Mohon pencerahan daripada ustaz.
JAWAPAN
Menurut kefahaman saya, duit yang diberikan oleh kerajaan di atas nama biasiswa adalah suatu tajaan belanja kepada pelajar untuk sara hidup pelajar. Asal hukum bagi penggunaan jumlah tajaan yang diberikan mestilah dirujuk pada kontrak biasiswa yang ditandatangani.
Sementara itu, status hukum Islam dalam soal ini adalah HARUS ATAU DIBENARKAN untuk pelajar menggunakannya untuk apa juga tujuan, kerana ia adalah wang yang telah diserahkan miliknya kepada pelajar. Justeru, selaku pemilik yang sah kepada wang tajaan itu, pelajar bebas menggunakan wang tajaan itu untuk sebarang tujuan yang dirasakan sesuai selagi menepati hukum Islam. Atas dasar tersebut, harus saudara selaku pelajar untuk menggunakannya untuk kahwin.
Pun begitu, perlu diingatkan sekali lagi, isi kandungan kontrak perlu disemak semula, kerana jikalau terdapat klausa di dalam kontrak yang menghalang pelajar untuk menggunakannya untuk kahwin atau apa-apa tujuan lain, di ketika itu, mestilah pelajar menepati apa yang telah dipersetujuinya.
Ini berdasarkan hadis nabi yang bermaksud:- “ Orang muslim dipegang pada syarat yang dipersetujuinya, selagi mana syarat tersebut tidak mengharamkan yang halal dan tidak menghalalkan yang haram. ” ( Riwayat Abu Daud)
Dan juga firman Allah yang bermaksud:- “ Wahai orang yang beriman, tunaikanlah kontrak-kontrak kamu ” ( Al-Maidah : 1)
Kesimpulannya, rujuklah isi kontrak yang telah ditandatangani dan jika tiada disebut apa-apa maka boleh digunakan untuk persiapan kahwin atau kahwin. Cuma perlu difahami biasiswa diberikan untuk menamatkan pengajian, justeru menjadi amanah dan tanggungjawab untuk menyudahkan pengajian dengan jayanya jika berkahwin sewaktu belajar, tambahan pula menggunakan wang biasiswa.
Adaptasi dari www.zaharuddin.net
No comments:
Post a Comment