Thursday, August 4, 2011

Dosa & Industri Kemungkaran

Ada satu kisah seorang alim dengan anak muridnya.

Satu ketika, orang alim tersebut mengajak anak muridnya berjalan-jalan di luar. Kemudian mereka melalui kawasan berumput. Kata orang alim tersebut, “ Cabut rumput di bawah”. Anak muridnya segera mencabut rumput itu menggunakan dua hujung jarinya dengan mudah sekali.

Mereka terus berjalan lagi, melalui kawasan yang berpokok bunga renek. Kata orang alim tersebut, “ Cabut pokok kecil tersebut ”.  Anak muridnya segera mencabut pokok tersebut dengan genggaman tangannya.

Mereka terus berjalan lagi, melalui kawasan berpokok yang sederhana besar. Sekali lagi orang alim tersebut menyuruh anak muridnya mencabut salah satu daripada pokok-pokok itu. Kali ini anak muridnya tidak dapat mencabut dengan sebelah tangan. Namun setelah mencuba dengan kedua belah tangannya, maka pokok itu pun tercabut.

Seterusnya, mereka berjalan lagi dan menemui pokok-pokok kayu besar. Orang alim menyuruh anak muridnya mencabut pokok tersebut. Dengan sifat taat, anak murid itu cuba mencabut dengan kedua belah tangannya. Beberapa kali dicuba namun gagal. Lalu dia memeluk pokok itu dan cuba mencabutnya dengan sedaya upayanya. Malangnya dia tetap gagal mencabut pokok tersebut.

Lalu dia menantikan kata-kata gurunya tersebut. Kata orang alim tersebut, “ Demikianlah perbuatan dosa, awal-awal mudah untuk berhenti, namun jika dibiarkan lama-kelamaan menjadi susah untuk berhenti dan bertaubat.”

Begitulah kisahnya.




Dalam kehidupan seharian, sememangnya kita tidak terlepas dari melakukan dosa dan kesalahan. Tapi, sifat orang beriman itu adalah merasa salah dan gundah bila melakukan dosa lalu mereka bertaubat. Itulah sebaik-baiknya. Namun demikian, apabila dosa itu dilakukan kali kedua, ketiga dan berulang kali tanpa disertai taubat, lama kelamaan ia akan sakedar menjadi lintasan hati sahaja. Turut terkesan ialah hati. Ia tidak akan merasakan kesal lagi untuk berbuat dosa.

Rasa itu akan diperkuatkan lagi apabila dosa dilakukan, musibah atau apa-apa kejadian tidak berlaku ke atas pendosa. Dosa akan dirasakan perkara biasa kerana seolah-olah bila melakukan dosa, mereka tidak mendapat hukuman “tunai” lalu mereka lasa lega.

Sekalipun umum mengetahui bahawa ada balasan dan hukuman yang akan diterima di akhirat, namun apabila tiada apa-apa berlaku terhadap dirinya, ia dibiarkan berlalu begitu sahaja. Ini berlainan dengan melakukan kesalahan jalan raya. Bila kita melanggar satu arahan jalan raya, kita akan dihukum samada disaman atau sebagainya. Jadi, kita lebih berhati-hati.


Bilamana dosa itu terus menerus dilakukan, sehingga rasa kesal dan bersalah itu tidak dirasakan, lalu akan sampailah ke satu tahap di mana seseorang itu akan mula SUKA melakukan dosa. Pada peringkat ini, rasa bangga melakukan dosa. Bila rasa suka nak buat, akan dibuat. Bila rasa bosan, akan mencuba yang lain pula.

Lalu,dosa diteruskan sehinggalah hati merasakan melakukan dosa berikut MAHU dan PERLU dilakukan. Dan sekali lagi, bila tiada apa-apa yang berlaku terhadap diri, ia dianggap seperti perkara biasa.

Inilah akibat apabila dosa itu dilakukan berterusan.


Persoalannya, mengapa semua itu terjadi? Tidak lain dan tidak bukan iaitu masalah ini berpunca daripada iman. Apabila seseorang yang beriman itu melakukan dosa, imannya menjadi luntur. Dan apabila ia terus melakukan dosa, iman itu akan tercabut. Dengan iman yang lemah, dosa itu akan terus dilakukan dan mengakibatkan hati menjadi keras dan iman itu akan hilang. Pada peringkat inilah, seseorang itu akan menolak segala kebenaran yang disampaikan kepadanya atau lebih tepat lagi tidak mahu mendengar nasihat.

Meskipun begitu, tidak semua yang melakukan dosa itu sudah pasti hilangnya. Dosa boleh berlaku kepada pelbagai peringkat iman. Lantaran itu, pelbagai jawapan yang didengari bila diberitahu tentang perbuatan dosanya.

Sebagai contoh:-

“ Ya Allah. Alhamdulillah ko bagi tahu. Aku x tau sebnarnye”
“ Aik? Betul ke benda tu x boleh buat?”
“ Takkan tak boleh buat kot benda ni?”
“ Ye ke?”
“ Biasa le tu”
“ Alah. Itu pun nak bising”

Jadi, apakah kebiasaannya yang terjadi kepada mereka?


Bagi golongan yang baru melakukan dosa itu, sedang dalam mereka tidak mengetahui, apabila diberitahu, mereka akan berhenti melakukan dosa itu. Peringatan diberikan diselangi panduan.

Bagi yang sering mengulang-ulang melakukan dosa, dalam keadaan mereka tidak mengetahui atau tidak diberitahu, selepas diberitahu mereka akan berhenti. Namun, kemungkinan mereka akan membuatnya semula tidak dinafikan. Oleh itu, peringatan mestilah diberikan selalu.

Untuk golongan yang suka membuat dosa, bila diberikan teguran atau peringatan dan diselitkan sedikit apa implikasinya, mereka akan rasa BERAT untuk menerimanya. Akan tetapi, perasaan suka untuk membuat dosa itu ada harapan untuk menjadi kepada tidak suka. Lazimnya, mereka tidak akan melakukan dosa itu lagi bukan atas sebab ianya berdosa, tapi kerana mungkin mereka sudah tidak suka atau tidak minat lagi. Sekiranya mereka tetap dengan pendirian tidak suka terhadap dosa berikut, insyaAllah mereka boleh berubah sekiranya dilazimi dengan perbuatan baik dan amal soleh sekalipun ianya amal yang kecil.

Seterusnya, golongan yang merasakan perlu dan mahu membuat dosa pula jika diberikan teguran supaya meninggalkan dosa tertentu, lebih merasakan SUKAR & SUSAH untuk menerimanya dan ada yang lebih menyedihkan lagi, menolak kebenaran yang disampaikan. Maka usaha yang kuat, sesuai dan berterusan diperlukan untuk mengubahnya.



Secara konklusinya, dosa yang besar bermula dari dosa yang kecil. Dosa yang kecil bermula dari akibat ingin mencuba. Saya berpesan pada diri saya supaya berusaha dan bermujahadah untuk menjauhi dosa.  Oleh itu, saling ingat-mengingati adalah penting untuk diri kita dan orang lain. 

Imam Hasan al-Basri pernah berkata, “Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dlm kalangan kamu. Bukan juga yg paling soleh dlm kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah org yg memberi peringatan.

Sebelum saya menutup penulisan saya, saya ingin berkongsi satu kata-kata. Pesan mas’ul saya, “ Bila kemungkaran itu menjadi satu industri, dosa tidak lagi dirasakan dosa.”


Wallahualam.

No comments:

Post a Comment