Monday, March 7, 2011

Cara Hidup Kita

Apabila kita berbicara mengenai cara hidup masing - masing, pelbagai jawapan dan reaksi yang akan kita lihat dan dengar. Ada orang yang cara atau gaya hidupnya mewah dan berlebih-lebihan. Dan ada juga yang bersederhana dalam berbelanja atau dalam apa sahaja perkara. Dan ada pula yang terlalu berjimat - cermat dan kadangkala kelihatan seperti seorang yang kedekut.

Ianya terpulang pada diri masing - masing. Samada ingin menjalani kehidupan yang bagaimana. Namun, bukan itu yang saya mahu kongsikan dalam post kali ini. Apa yang saya ingin kongsikan kali ini adalah berkaitan apa yang masyarakat kini faham tentang Islam.




Ramai daripada kita memahami yang Islam itu hanya terletak pada 5 rukun Islam. Seseorang itu akan dikira mengikuti perintah agama sekiranya dia menunaikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji bila mampu. Ya. Memang golongan ini merupakan mereka yang taat pada perintah agama.

Tapi, apalah gunanya sekiranya perbuatan mereka, percakapan mereka, pergaulan mereka tidak mengikut batas - batas Islam. Contohnya, seorang pelajar yang menjaga solat dengan sempurna. Akan tetapi, apabila bercakap dengan rakan - rakan lain, perkataan kasar yang keluar dari mulut mereka.

Ada juga lelaki yang memakai seluar panjang yang menutup aurat ketika bersukan di tengah padang. Akan tetapi, ada juga yang berpendapat bahawa di dalam bilik bersama - sama rakan yang lain seluar pendek yang menampakkan peha adalah boleh dalam Islam. Mereka beranggapan bahawa tidak mengapa selagi mana tidak dilihat oleh perempuan.

Bukanlah saya menulis post ini untuk menghentam golongan sebegitu rupa. Jauh sekali ingin mengatakan diri ini lebih baik daripada yang lain. Perkongsian dari keterbatasan ilmu saya ini adalah cuma bagaimana saya hendak melontarkan cara berfikir dan pendapat saya.




Oleh itu, marilah kita semua mengubah paradigma kita bahawa Islam itu bukanlah hanya terletak pada rukun Islam sahaja. Islam mencakupi cara hidup kita. Bagaimana kita menjalani kehidupan seharian kita. Baik dari segi politik, sosial dan ekonomi. Islam itu bukan hanya sekadar agama, tetapi adalah cara hidup kita.

Kita berbangga menjadi orang Islam. Kerana Islamlah kita mulia. Semoga kita semua dapat menjalani kehidupan dengan berpandukan Islam yang sebenar.

1 comment:

  1. salam ukhwah.. terima kasih sudi singgah blog saya... :)

    ReplyDelete