Tuesday, September 27, 2011

Sangat Hormat

Imam Malik sangat menghormati Rasulullah s.a.w. Meskipun Baginda s.a.w telah wafat, namun beliau tetap menghormati Baginda s.a.w. sehingga beliau tidak mahu menunggang kuda di dalam kota Madinah kerana hati dan jiwanya tidak tergamak melihat kaki kuda yang ditungganginya menginjak-injak tanah yang di dalamnya ada jasad mulia Rasulullah s.a.w.




Diceritakan bahawa beliau mempunyai beberapa ekor kuda yang cantik, pemberian beberapa orang hartawan kepada beliau sebagai hadiah. Oleh kerana orang ramai melihat kuda-kuda itu hanya tertambat di kandang rumahnya sahaja dan melihat beliau pula yang selalu berjalan kaki ketika hendak ke masjid kerana mengajar dan bersolat, maka mereka tidak pernah melihat beliau menunggang kuda sehingga ada orang yang bertanya kepada beliau :-


" Kenapa Tuan Guru tidak pernah menunggang kuda dan hanya menyimpannya sahaja? "


Beliau menjawab :- 


" Apakah aku tidak malu kepada Allah SWT jika aku menginjak kaki kudaku ke atas bumi yang di dalamnya ada tertanam jasad Rasulullah s.a.w.? "




Meskipun pada ketika usia beliau telah lanjut dan badannya telah terasa lemah serta sakit-sakit, beliau masih juga tidak mahu menunggang kudanya untuk pergi bersolat di masjid atau untuk menziarahi sahabat dan saudara maranya. 


Beliau lebih suka berjalan kaki demi hormatnya beliau kepada Rasulullah s.a.w.




Melaka Tengah
28 Syawal 1432H

No comments:

Post a Comment