Friday, April 27, 2012

Perbezaan Riba & Jual Beli

Melihat beberapa jawapan ulama silam, kita akan dapati bahawa al-Qaffal al-Syafi’i telah berjaya menerangkan perbezaan di antara jual beli dan riba dengan baik, beliau berkata:-
                                                      
JUAL BELI

Apabila seorang penjual mengeluarkan modal sebanyak 10 dirham untuk sehelai pakaian dan kemudian menjualnya dengan harga 20 dirham. Maka penjual itu memperolehi keuntungan sebanyak 10 dirham iaitu sekali ganda daripada modal. Oleh itu, sekiranya diperolehi dengan rela daripada kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli, akan termeterai kontrak pertukaran pemilikan harta ( pada wang dan pakaian ) di antara kedua-duanya. Kedua-dua pihak tidak mengambil milik yang lain tanpa balasan material

PINJAMAN DENGAN FAEDAH

Jika seseorang member pinjaman sebanyak 10 dirham dan kemudian mengambil keuntungan melebihi daripada nilai tersebut tanpa sebarang pertukaran milik harta ( seperti baju dalam kes jual beli di atas ), maka apakah sebab yang membolehkan pemberi pinjaman itu untuk mengambil lebih daripada apa yang diberi?

Kita tidak boleh mengatakan penangguhan pulangan untuk sesuatu tempoh itu sebagai harta, kerana penangguhan adalah bukan sesuatu harta yang mempunyai nilain tersendiri. Atas sebab itu, tiada sebab untuk pemberi pinjaman mendapat lebihan sebanyak 10 dirham tadi

Itu adalah perbezaan antara jual beli yang berasaskan asset berbanding pinjaman riba yang tidak didasari aset.




Selain al-Qaffal, Fakhruddin al-Razi dan al-Baidawi turut memberikan penjelasan tambahan:-

JUAL BELI

Seseorang menjual satu aset yang bermodalkan dengan nilai RM 10, kemudian dia menjualnya dengan nilai RM 11. Di sini dia telah memberi peluang dan kemudahan kepada pembeli akan hasil aset itu sama ada untuk dirinya atau untuk diniagakan. Atas sebab itu, penjual berhak untuk mendapat bayaran melebihi modal daripada satu nilai kebaikan pada aset yang dijual. Itu juga adalah sumber untuk memperoleh keuntungan halal serta sesuatu harta di dalam sebuah masyarakat.

PINJAMAN

Seseorang peminjam yang membayar lebih atas pinjamannya, tidak beroleh sebarang manfaat kecuali hanya berpeluang memanfaatkan wang pinjaman yang diperolehinya. Walaupun dia boleh berniaga menggunakan wang tersebut sebagai modal, lalu mendapat keuntungan, namun ia tidak dapat lari daripada proses jual beli aset dan barang.

Mungkin ada yang mengatakan si peminjam boleh mendapat keuntungan dengan cara memberi pinjam kepada individu lain dengan riba. Jika begitulah cara untuk mendapatkan keuntungan, cuba bayangkan kesan yang akan berlaku kepada masyarakat.




Pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara pasti sukar disebabkan tiada proses jual beli berdasarkan “real” aset atau barangan sebenar. Atas sebab itu, jual beli amat berbeza dengan pinjaman yang mempunyai riba.


Adaptasi: Buku Riba & Isu Kewangan Semasa


Rembau
5 JamadilAkhir 1433H

No comments:

Post a Comment